Search This Blog

Pages

November 3, 2011

Haram Memakan Daging Keldai Yang Dipelihara Untuk Kerja Dan Sebagainya

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
 Aku tidak tahu samada Rasulullah s.a.w melarangnya kerana binatang tersebut merupakan binatang pengangkut barang bagi manusia dan mereka tidak suka jika binatang seperti itu hilang atau mungkin juga diriwayatkan baginda mengharamkan daging keldai pada hari Khaibar hanya bagi keldai peliharaan. 

Harus Memakan Dhab

Hadis Ibnu Umar r.a katanya: 
 Nabi s.a.w pernah ditanya mengenai dhab. Baginda menjawab dengan bersabda: Aku tidak memakannya tetapi aku tidak mengharamkannya. 

Haram Memakan Daging Keldai Yang Dipelihara Untuk Kerja Dan Sebagainya

Hadis Abdullah bin Abu Aufa r.a:
 Diriwayatkan daripada Asy-Syaibani katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa r.a mengenai daging keldai peliharaan. Beliau menjawab: Pada hari Khaibar kami telah dilanda kelaparan dan waktu itu kami bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Kami mendapatkan beberapa ekor keldai dari luar Madinah lalu menyembelihnya. Ketika periuk-periuk kami yang berisikan binatang tersebut sudah hampir masak, tiba-tiba juru seru Rasulullah s.a.w menyeru agar kami mematikan api periuk-periuk tersebut dan jangan memakan daging keldai itu sedikit pun. Aku bertanya: Bagaimanakah pengharamannya? Katanya: Kami telah berbincang sesama kami dan kami katakan pengharaman tersebut adalah pasti dan sebab pengharamannya adalah ia tidak boleh dibahagi lima.

Haram Memakan Daging Keldai Yang Dipelihara Untuk Kerja Dan Sebagainya

Hadis Abu Tha'labah r.a:
 Sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengharamkan daging keldai peliharaan. 

Surat Dari Nabi s.a.w Kepada Raja Hiraqal Yang Menyeru Beliau Memeluk Islam

Hadis Abu Sufian r.a katanya:
 Setelah aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dalam tempoh yang agak lama, pada waktu itu aku berada di Syam maka telah sampai sepucuk surat dari Rasulullah s.a.w yang ditujukan kepada Raja Hiraqal Pembesar Empayar Rom. Dahyat Al-Kalbi telah membawa surat tersebut dan menyampaikannya kepada pembesar Busra. Maka pembesar Busra telah membawa surat tersebut kepada Raja Hiraqal. Lalu Raja Hiraqal bertanya: Adakah di sini terdapat seorang lelaki dari kaum orang yang mendakwa sebagai Nabi ini? Orang-orang yang ditanya menjawab: Ya! Ada. Aku pun dipanggil bersama beberapa orang Quraisy yang lainnya, maka kami pun terus masuk menghadap Raja Hiraqal. Setelah dipersilakan duduk di hadapannya, Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaan: Adakah di antara kamu ini orang yang paling dekat nasab keturunan dengan seorang yang mengaku sebagai Nabi ini? Abu Sufian menjawab: Aku! Kemudian beliau menyuruh aku duduk lebih dekat di hadapannya. Sementara itu sahabat-sahabatku yang lain dipersilakan duduk di belakangku. Kemudian Raja Hiraqal mempersilakan juru bicaranya (penterjemahnya) dan berkata: Katakan kepada mereka yang berada di hadapanku ini, bahawa aku bertanya mengenai seorang lelaki yang telah mengaku sebagai nabi. Jika beliau berdusta kepadaku, bererti maka berdustalah beliau. Berkata Abu Sufian Demi Allah, sekiranya aku tidak bimbang pendustaanku akan diceritakan oleh sahabat-sahabatku di negeriku nanti, nescaya aku memilih berdusta. Melalui juru bicaranya Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaannya: Bagaimanakah nasab (keturunannya) di kalangan kamu? Aku menjawab: Di kalangan kami beliau mempunyai nasab (keturunan) yang cukup mulia. Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah terdapat di antara nenek moyangnya yang pernah menjadi raja? Aku menjawab: Tidak ada! Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah kamu pernah mencurigainya berdusta sebelum beliau mengatakan apa yang sudah dikatakannya? Aku menjawab: Tidak! Beliau (Raja Hiraqal) meneruskan pertanyaan: Siapakah yang menjadi pengikutnya? Adakah mereka terdiri dari kalangan orang yang mulia atau dari kalangan orang yang lemah? Aku menjawab: Para pengikutnya adalah terdiri dari kalangan orang yang lemah. Beliau terus bertanya: Adakah pengikutnya semakin berkurang atau bertambah? Aku menjawab: Tidak! Bahkan semakin bertambah. Beliau bertanya lagi: Adakah terdapat salah seorang dari pengikutnya yang keluar atau murtad dari agamanya kerana tidak suka kepadanya? Aku menjawab: Tidak pernah! Beliau bertanya lagi: Bagaimana dengan peperangan? Aku menjawab: Peperangan yang terjadi antara kami dengannya seimbang, adakalanya kami mendapat kemenangan dan adakalanya kami menerima kekalahan. Beliau bertanya: Adakah beliau pernah khianat? Aku menjawab: Tidak! Selama hidupku aku tidak pernah melihat beliau berbuat seperti itu. Beliau bertanya lagi: Adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya? Aku menjawab: Tidak pernah! Kemudian Raja Hiraqal memerintahkan juru bicaranya supaya menyatakan (isi hatinya) bahawa: Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai nasab (keturunannya), kamu menjawab sesungguhnya (Muhammad) adalah seorang yang mempunyai nasab (keturunan) yang baik dan memang begitulah keadaan para rasul apabila diutus di kalangan kaumnya. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah nenek moyangnya (Muhammad) ada yang pernah menjadi raja, kamu menjawab tidak ada sama sekali. Jadi itulah yang membuatkan aku kagum kerana dengan kedudukannya atau kebesarannya sekarang bukan merupakan warisan dari nenek moyangnya. Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai para pengikutnya, kamu menjawab bahawa para pengikutnya terdiri dari orang-orang yang lemah dan mereka itulah pengikut para rasul. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah kamu pernah menuduhnya berdusta tentang apa yang diucapkan, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah berdusta samada sesama manusia apalagi kepada Allah. Maka bagiku memang itulah sifat seorang rasul. Aku tanyakan kepadamu adakah salah seorang dari pengikutnya ada yang keluar dari agamanya (murtad), maka kamu menjawab tidak pernah ada dan begitulah keimanan beliau apabila terpancar di sudut hati dan berseri-seri. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah para pengikutnya berkurang atau bertambah, maka kamu menjawab pengikutnya semakin bertambah dan demikian itulah keimanan yang sempurna. Aku bertanya kepadamu adakah kamu pernah memeranginya, maka kamu menjawab pernah, di mana kadangkala kamu menang dan kadang-kala kamu tewas. Demikian itulah para rasul harus dicuba terlebih dahulu sebelum mereka menerima ganjaran yang baik. Aku bertanya kepadamu adakah beliau pernah khianat, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah khianat. Jadi begitulah sifat para rasul. Aku bertanya kepadamu adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya, kamu menjawab tidak pernah seorang pun sebelumnya yang mengucapkannya. Kalau begitu beliau (Muhammad) benar-benar orang yang sangat istimewa. Melalui juru bicaranya lagi, Raja Hiraqal bertanya kepadaku: Apakah yang telah diperintahkan oleh beliau (Muhammad)? Aku menjawab: Beliau memerintahkah kami supaya mendirikan sembahyang, membayar zakat, menghubungkan Silaturahim dan mencegah dari perkara-perkara yang diharamkan. Kemudian Raja Hiraqal berkata: Sekiranya apa yang kamu katakan ini benar, maka beliau (Muhammad) memang benar-benar seorang nabi. Aku tahu sesungguhnya beliau adalah seorang yang sungguh luar biasa dan aku sama sekali tidak menyangka bahawa seorang Nabi telah muncul dari kalangan kamu. Oleh itu, secara jujur aku katakan bahawa aku benar-benar ingin berjumpa dengannya. Seandainya aku berada di sisinya, nescaya aku akan membasuh kedua telapak kakinya dan akan meletakkan kekuasaannya di atas kedua telapak kakiku. Setelah itu raja Hiraqal meminta supaya diambil surat yang telah dikirimkan oleh Rasulullah s.a.w lalu membacanya: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Dari Muhammad utusan Allah ditujukan kepada Hiraqal pembesar Empayar Rom. Salam sejahtera buat mereka yang sentiasa mengikuti kebenaran. Sesungguhnya aku menyerumu untuk memeluk Islam. Masuklah Islam semoga kamu akan tenteram. Masuklah Islam nescaya Allah akan menganugerahkan kepadamu dua pahala sekaligus. Jika kamu menolak dari ajakan yang mulia ini, maka kamu akan menanggung dosa yang teramat besar. 
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لَا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِ 
Yang bermaksud: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, iaitu kita tidak akan sembah melainkan Allah dan kita tidak akan menyekutukan-Nya dengan sesuatupun dan tidak pula sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling (tidak mahu menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri kepada Islam (Allah). Setelah selesai membaca surat tersebut terdengar suara teriakan yang nyaring. Kami diarahkan supaya keluar. Maka ketika itulah aku berkata kepada sahabat-sahabatku: Inilah bukti bagi Ibnu Abu Kabsyah yang selalu ditakuti kemunculannya oleh raja orang-orang Rom Bani Asfar. Raja Hiraqal berkata: Aku yakin bahawa seruan dan ajakan Rasulullah s.a.w pada suatu masa nanti pasti akan muncul sehingga Allah berkenan memasukkan aku ke dalam Islam. 

Tegahan Daripada Banyak Meminta Perkara Yang Tidak Dihajati, Dan Tegahan Kerana Tidak Mahu Menunaikan Hak Yang Wajib Ditunainya Iaitu Tidak Mahu Memberi Barang Miliknya Kepada Orang Lain Tetapi Meminta Minta Barang Milik Orang Lain

Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a:
 Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, tidak mahu memberi miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta. 

Hukuman Itu Merupakan Kifarat Terhadap Orang Yang Berkenaan

Hadis Ubadah bin As-Somit r.a katanya:
 Ketika aku bersama dengan Rasulullah s.a.w dalam satu majlis. Baginda bersabda: Seharusnya kamu membuat pengakuan kepadaku bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain juga kamu tidak akan melakukan zina, mencuri dan tidak akan membunuh orang yang telah diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak. Sesiapa di antara kamu yang mematuhinya maka akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Sesiapa yang terlanjur melakukannya maka dia akan mendapat hukuman yang merupakan kifarat baginya. Sesiapa yang terlanjur melakukannya tetapi Allah telah menutupinya, maka itu adalah urusan Allah. Jika Allah mahu memberi keampunan kepadanya sudah pasti Allah akan mengampuninya. Tetapi jika Allah mahu menyeksanya, maka sudah pasti Allah akan menyeksanya.

Larangan Keras (Haram) Melakukan Pertumpahan Darah, Mengkhianati Kehormatan Dan Harta Benda Orang Lain) Hadis Ubadah

Hadis Abu Bakrah r.a:
 Daripada Nabi s.a.w sesungguhnya baginda telah bersabda: Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban. Kemudian Baginda bertanya: Bulan apakah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain. Baginda bertanya: Bukankah ia bulan Zulhijah? Kami menjawab: Benar. Baginda bertanya lagi: Negeri apakah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama yang lain. Baginda bersabda: Bukankah ia negeri Baldah? kami menjawab: Benar. Baginda bertanya: Hari apa kah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda diam saja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain. Baginda s.a.w bersabda lagi: Tidakkah itu hari An-Nahr? (hari perayaan) Kami menjawab: Benar, wahai Rasulullah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya darahmu, harta bendamu (Kata Muhammad Aku menyangka baginda bersabda pula) dan kehormatanmu adalah haram ke atas dirimu, seperti haramnya harimu yang sekarang ini, di negerimu ini dan di bulanmu ini. Kamu akan bertemu dengan tuhanmu. Dia akan bertanya kepadamu mengenai semua amalan kamu. Maka selepasku nanti janganlah kamu kembali kepada kekufuran atau kesesatan, di mana kamu akan berkelahi antara satu sama lain. Ingat, hendaklah orang yang hadir pada saat ini mesti menyampaikan kepada orang yang tidak ada pada waktu ini. Boleh jadi sebahagian dari mereka yang mendengar dari mulut orang kedua lebih dapat menjaga daripada orang yang mendengarnya secara langsung. Kemudian baginda bersabda: Ingat, bukankah aku telah menyampaikannya?. 

Orang Kafir Yang Bernazar, Jika Dia Memeluk Islam, Maka Dia Harus Menunaikan Nazarnya

Hadis Ibnu Umar r.a: 
 Sesungguhnya Sayidina Umar bin Al-Khattab pernah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku pernah bernazar pada zaman jahiliah untuk beriktikaf satu malam di Masjidilharam. Kemudian Baginda bersabda: Tunaikanlah nazarmu itu.

Pengharaman Jual Beli Arak, Bangkai, Babi Dan Patung Berhala

Hadis Abu Hurairah r.a:
 Daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Semoga Allah membinasakan orang Yahudi. Ketika Allah mengharamkan lemak bangkai ke atas mereka, mereka menjualnya lalu memakan hasil penjualan tersebut.

Pengharaman Jual Beli Arak, Bangkai, Babi Dan Patung Berhala

Hadis Sayidina Umar r.a:
 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya: Umar terdengar bahawa Samurah menjual arak, maka beliau berkata: Semoga Allah membinasakan Samurah. Adakah dia tidak tahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Semoga Allah melaknati orang Yahudi. Ketika diharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka mencairkannya lalu menjualnya. 

Pengharaman Jual Beli Arak, Bangkai, Babi Dan Patung Berhala

Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
 Ketika pembukaan Kota Mekah, beliau mendengar Rasulullah s.a.w yang ketika itu berada di Mekah bersabda: Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan berhala. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu, untuk dilumurkan di kulit supaya berminyak dan untuk menyalakan lampu? Baginda menjawab: Tidak boleh. Ianya tetap haram. Lalu baginda meneruskan kata-kata: Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah s.w.t ketika mengharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka beralasan lalu menjualnya dan memakan hasil penjualan tersebut. 

Pengharaman Menjual Arak

Hadis Aisyah r.a katanya: 
 Ketika ayat terakhir dari surat Al-Baqarah tentang riba diturunkan, Rasulullah s.a.w keluar ke masjid lalu mengharamkan perdagangan arak. 

LI'AN IAITU SUAMI MENUDUH ISTERI BERZINA TANPA SAKSI

Hadis Al-Mughirah bin Syukbah r.a katanya:
 Saad bin Ubadah telah berkata: Seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi, akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu daripadanya, malahan Allah lebih lagi cemburunya daripadaku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain daripada Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang mahu mendengar peringatan. Oleh sebab itulah, Allah mengutus para Rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang selalu memuji-Nya. Oleh sebab itu juga, Allah telah menjanjikan Syurga.

Wajib Berkabung Dalam Tempoh Idah Kerana Kematian, Dan Diharamkan Berkabung Selain Daripadanya Kecuali Hanya Tiga Hari

Hadis Zainab binti Jahsyin r.a:
 Diriwayatkan daripada Zainab binti Abu Salamah katanya: Aku telah masuk menemui Zainab binti Jahsyin sewaktu dia kematian saudara lelaki kandungnya. Dia meminta diambilkan untuknya wangi-wangian lalu dia menyapunya sambil berkata: Demi Allah! Sebenarnya aku tidak perlu memakai wangi-wangian ini. Tapi aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di atas mimbar: haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat berkabung di atas satu kematian lebih dari tiga hari kecuali terhadap kematian suaminya, maka dia diharuskan berkabung selama empat bulan sepuluh hari.

Wajib Berkabung Dalam Tempoh Idah Kerana Kematian, Dan Diharamkan Berkabung Selain Daripadanya Kecuali Hanya Tiga Hari

Hadis Ummu Habibah r.a isteri Nabi s.a.w: Diriwayatkan daripada Zainab binti Abu Salamah r.a katanya: Aku menemui Ummu Habibah isteri Nabi s.a.w ketika dia kematian ayahnya Abu Sufian. Ummu Habibah minta diambilkan sebuah wadah yang berisikan campuran minyak wangi, kemudian disapukan pada rambut dan pipi seorang jariah di samping dia juga menggunakannya. Kemudian dia berkata: Demi Allah! Sebenarnya aku tidak memerlukan wangi-wangian ini kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di atas mimbar: haram bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, berkabung atas kematian lebih dari tiga hari kecuali seorang isteri yang kematian suaminya. Dia mesti berkabung selama empat bulan sepuluh hari. 

Wajib Membayar Kifarat Iaitu Denda Bagi Orang Yang Mengharamkan Isterinya Tetapi Dia Tidak Berniat Untuk Menceraikannya

Hadis Aisyah r.a:
 Sesungguhnya Nabi s.a.w berada di rumah Zainab binti Jahsyin, baginda meminum susu, maka aku dan Hafsah bersepakat, sesiapa di antara kami berdua yang akan ditemui oleh Nabi s.a.w nanti, dia mesti mengatakan kepada Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya aku mencium bau getah pokok urfuth dari kamu. Adakah kamu baru saja memakannya? Kemudian baginda menemui salah seorang dari kami, langsung saja pertanyaan tersebut diajukan kepada baginda. Tetapi baginda menjawab: Bahkan aku baru sahaja minum madu di rumah Zainab binti Jahsyin, aku bersumpah tidak mengulanginya lagi. Lalu Allah menurunkan firman-Nya:


 لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ 


sehingga ayat


 إِنْ تَتُوبَا 


Yang bermaksud: Mengapa kamu mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah kepada kamu. Hingga kepada firman-Nya yang bermaksud: Jika kamu berdua bertaubat, kepada Aisyah dan Hafsah. Adapun sebab turun firman Allah yang berbunyi:


 وَإِذْ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلَي بَعْضِ أَزْوَاجِهِ حَدِيثًا 


Yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya iaitu Hafsah mengenai satu peristiwa ialah kerana sabda baginda: Bahkan aku minum madu. 

Wajib Membayar Kifarat Iaitu Denda Bagi Orang Yang Mengharamkan Isterinya Tetapi Dia Tidak Berniat Untuk Menceraikannya

Hadis Ibnu Abbas r.a: 
 Sesungguhnya dia pernah mengatakan mengenai masalah orang yang mengharamkan isterinya, itu merupakan suatu sumpah yang harus dia membayar kifaratnya. Selanjutnya Ibnu Abbas berkata, Allah telah berfirman:


 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ 


Yang bermaksud: Sesungguhnya untuk kamu dalam diri Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan yang baik. 

Haram Hukum Anak Perempuan Saudara Lelaki Sepersusuan

Hadis Ibnu Abbas r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w hendak dijodohkan dengan puteri Hamzah. Akan tetapi baginda bersabda: Sesungguhnya dia tidak halal bagiku. Dia adalah puteri saudara lelaki sepersusuanku sendiri. Pengharaman disebabkan sepersusuan itu sama seperti pengharaman kerana keturunan keluarga.

Haram Kerana Persusuan Sama Seperti Haram Kerana Keturunan

Hadis Aisyah r.a:
 Sesungguhnya pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada di sisi Aisyah r.a tiba-tiba dia mendengar suara seorang lelaki meminta izin di rumah Hafsah r.a. Aisyah berkata: Aku memberitahu kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Di sana ada seorang lelaki sedang meminta izin di rumah anda. Rasulullah s.a.w hanya menjawab: Aku tahu Si Polan ialah bapa saudara sepersusuan Hafsah r.a. Aisyah lantas bertanya: Wahai Rasulullah! Seandainya bapa sepersusuanku masih hidup, tentunya dia boleh menemuiku bukan? Rasulullah s.a.w menjawab: Benar! Kerana sesungguhnya persusuan itu mengharamkan seperti juga haram kerana keturunan. 

Wanita Hendaklah Musafir Bersama Mahramnya Samada Untuk Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya

 Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat musafir, di mana perjalanannya melebihi dari tiga hari melainkan bersama ayah, anak lelaki, suami, saudara lelaki atau siapa sahaja mahramnya yang lain.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2390,Bab Wanita Hendaklah Musafir Bersama Mahramnya Samada Untuk Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya)


Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada lagi yang dinamakan hijrah dari Mekah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu dipanggil oleh pemerintah untuk berperang, maka berangkatlah. Pada ketika yang lain, ketika pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan Kota Mekah sewaktu Dia menciptakan langit dan bumi. Pengharaman itu berterusan sehingga hari Kiamat kelak. Sebelumku, tiada siapa pun yang dibolehkan berperang di negeri ini. Aku sendiri pun tidak dibolehkan melakukan perkara yang sama kecuali satu ketika. Kota ini telah diharamkan oleh Allah hingga hari Kiamat nanti. Pokok-pokok tidak boleh ditebang, binatang buruan tidak boleh dibunuh iaitu diburu, barang yang ditemui di Kota ini tidak boleh diambil kecuali orang yang ingin mengumumkan, rumput-rumput tidak boleh dicabut atau dipotong. Al-Abbas r.a bertanya: Adakah rumput lalang terkecuali wahai Rasulullah kerana ia sangat berguna kepada manusia? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya! Kecuali rumput lalang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2412,Bab Perkara perkara Yang Haram Dilakukan Ketika Berada Di Mekah, Memburu, Mencabut Rumput Dan Pokok, Mengambil Barang Yang Ditemui Di Sana, Kecuali Bagi Orang Yang Ingin Mengumumkannya)


Hadis Abu Syuraih Al-Adawi r.a: 
Sesungguhnya beliau pernah berkata kepada Amru bin Said, yang telah mengutus beberapa orang utusan ke Mekah: Izinkan aku wahai Amir! Untuk menceritakan kepada kamu satu ucapan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah. Aku mendengar sendiri sabda baginda dengan kedua telinga aku, dengan hati yang khusyuk dan dengan kedua pasang mata aku terus menatap baginda. Setelah memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Sesungguhnya Allahlah yang mengharamkan Mekah, bukan manusia yang mengharamkannya. Maka diharamkan bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat menumpahkan darah di Kota Mekah atau memotong pokok-pokok di dalamnya. Jika ada seseorang yang mempersoalkan keringanan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w dalam hal ini, katakan saja kepada mereka; sesungguhnya Allah memang mengizinkan kepada Rasul-Nya tetapi tidak mengizinkannya kepada kamu. Sebenarnya aku sendiri pun hanya diizinkan seketika sahaja di waktu siang hari kemudian kembali diharamkan. Pengharaman yang berlaku hari ini adalah sebagaimana sebelumnya. Jadi, hendaklah orang yang hadir iaitu menyaksikan, menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2413,Bab Perkara perkara Yang Haram Dilakukan Ketika Berada Di Mekah, Memburu, Mencabut Rumput Dan Pokok, Mengambil Barang Yang Ditemui Di Sana, Kecuali Bagi Orang Yang Ingin Mengumumkannya)


Hadis Abdullah bin Zaid bin Aasim r.a: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Nabi Ibrahim a.s telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Mekah dan mendoakan keberkatan terhadap penduduknya. Maka sesungguhnya aku pun memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah sebagaimana Nabi Ibrahim a.s telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Mekah. Dan sesungguhnya aku juga telah mendoakan keberkatan makanan di Kota Madinah, sebagaimana yang pernah didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s kepada penduduk Mekah.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2422,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Anas bin Malik r.a: 
Diriwayatkan daripada Aasim r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik r.a: Adakah benar Rasulullah s.a.w telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah? Anas r.a menjawab: Ya! Antara dua gunung ini. Kemudian Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepadaku dengan nada mengancam: Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat atau fidyah iaitu penebus dosa darinya pada hari Kiamat kelak.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2429,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Ali bin Abu Talib r.a: 
Diriwayatkan daripada Yazid bin Syarik bin Tariq r.a katanya: Sayidina Ali bin Abu Talib r.a telah berkhutbah kepada kami: Sesiapa yang menganggap bahawa di sisi kita ada sesuatu yang kita baca selain dari kitab Allah dan Sahifah ini iaitu Sahifah yang digantung pada sarung pedangnya, bererti dia telah berdusta. Dalam Sahifah ini terkandung masalah mengenai gigi, yang diberikan sebagai diat, juga beberapa masalah mengenai tindakan jenayah. Juga terdapat sabda Nabi s.a.w: Kota Madinah adalah tanah haram, sempadannya bermula dari gunung 'Aair hingga gunung Thaur. Sesiapa yang melakukan suatu dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia pada Hari Kiamat kelak. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya. Jaminan Muslimin itu adalah suatu yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Sesiapa yang mendakwa bahawa dia bukan keturunan ayahnya atau mendakwa pada selain dari tuannya, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya pada Hari Kiamat kelak. Hadis Abu Bakar r.a dan Zuhair r.a hanya terhenti pada lafaz: Yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Mereka berdua tidak menyebut lafaz selepasnya, iaitu lafaz tergantung pada sarung pedangnya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2433,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w telah bersabda: Kota Madinah adalah Tanah haram. Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Pada Hari Kiamat kelak, Allah tidak akan menerima taubat dan fidyahnya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2434,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w pernah bersabda: Sembahyang satu waktu di masjidku adalah lebih utama daripada mendirikan sembahyang sebanyak seribu kali di masjid lain kecuali Masjidilharam.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2469,Bab Kelebihan Mendirikan Sembahyang Di Dalam Dua Buah Masjid Iaitu Masjid Di Mekah Dan Di Madinah Iaitu Masjid Nabi)


Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali menuju ke tiga buah masjid iaitu masjidku ini iaitu masjid Nabi, Masjidilharam di Mekah dan Masjidilaqsa.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2475,Bab Tidak Digalakkan Bersusah Payah Musafir Untuk Sembahyang Kecuali Menuju Ke Tiga Buah Masjid)


Hadis Abdullah r.a: 
Kami telah keluar berperang bersama Rasulullah s.a.w tanpa membawa isteri. Kami bertanya Rasulullah bolehkah kami mengembiri (kasi) kemaluan kami. Rasulullah segera menahan kami dari melakukannya. Baginda membenarkan kami mengahwini orang perempuan bermas-kahwinkan sehelai baju untuk tempoh waktu yang tertentu, kemudian Abdullah membaca firman Allah:


 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ 


Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman jangan sekali-kali kamu mengharamkan benda baik yang telah Allah halalkan untuk kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampau batas.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2493,Bab Masalah Kahwin Mut'ah Dan Penjelasan Bahawa Hal Itu Pernah Diharuskan Kemudian Dilarang, Kemudian Diharuskan Semula Dan Dilarang Kembali. Pengharamannya Ditetapkan Hingga Hari Kiamat)

Wanita Hendaklah Musafir Bersama Mahramnya Samada Untuk Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: haram bagi wanita muslim musafir dalam suatu perjalanan melainkan bersama-samanya seorang lelaki mahramnya.

Wanita Hendaklah Musafir Bersama Mahramnya Samada Untuk Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya

Hadis Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga buah masjid. Masjidku ini (Masjid Nabi), Masjidilharam dan Masjidilaqsa. Aku juga pernah mendengar baginda bersabda: Janganlah seseorang wanita musafir selama dua hari melainkan bersama mahram atau suaminya.

Sunat Mendahulukan Kaum Yang Lemah Iaitu Golongan Wanita Dan Sebagainya Supaya Berangkat Terlebih Dahulu Dari Muzdalifah Menuju Ke Mina Pada Akhir Malam Ketika Manusia Bersesak sesak. Disunatkan Kepada Orang Yang Selain Daripada Mereka Supaya Tetap Berada Di Muzdalifah Sehingga Selesai Sembahyang Subuh

Hadis Abdullah bin Umar r.a: Diriwayatkan daripada Salim bin Abdullah katanya: Abdullah bin Umar diminta supaya berangkat terlebih dahulu menemani rombongan yang lemah dari keluarga baginda. Mereka berhenti di Masy'aril haram di Muzdalifah pada waktu malam. Mereka berzikir kepada Allah kemudian mereka bertolak lagi sebelum imam sempat berhenti dan sebelum imam bertolak. Di antara mereka ada yang terus menuju ke Mina untuk mendirikan sembahyang Subuh dan ada pula bertolak selepas itu. Apabila semua telah sampai, mereka mula melontar di Jamrah. Ibnu Umar berkata: Rasulullah s.a.w memang telah memberi kelonggaran kepada mereka.