Search This Blog

Pages

January 12, 2012

Sebahagian Dari Kelebihan Jaafar bin Abu Talib DanAsma' Binti Umais Serta Tentera Lautnya

Hadis Abu Musa r.a katanya: 
Telah sampai kepada kami berita keberangkatan Rasulullah s.a.w dan pada ketika itu kami berada di Yaman. Aku dan dua orang saudaraku iaitu Abu Burdah dan Abu Ruhmi bersama dengan orang-orang Muhajirin berangkat menemui Rasulullah s.a.w dan aku merupakan saudara yang terkecil. Abi Musa berkata samada beberapa orang, lima puluh tiga atau lima puluh dua orang dari kaumku menaiki kapal laut. Kami menghalakan kapal kami ke arah pasukan An-Najasyi di Habsyah. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Jaafar bin Abu Talib berserta sahabatnya. Jaafar berkata: Rasulullah s.a.w mengutus dan memerintahkan supaya kami tinggal di sini, maka kamu tinggallah bersama-sama kami. Abu Musa berkata: Kami tinggal bersama beliau sehinggalah kami pulang bersama-sama. Kami menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berjaya membuka Khaibar. Baginda telah membahagikan harta rampasan kepada kami atau dikatakan juga Rasulullah s.a.w memberikan kepada kami sebahagiannya dan Rasulullah s.a.w tidak memberikan harta rampasan tersebut kepada sesiapa pun kecuali kepada tentera yang menyertai pembukaan Khaibar dan kepada pasukan kami yang bersama dengan Jaafar serta sahabat-sahabatnya. Mereka telah membahaginya sesama mereka. Abu Musa berkata: Orang ramai berkata kepada kami iaitu pasukan laut: Kami berhijrah lebih dahulu daripada kamu. Abu Musa berkata: Asma' binti Umais iaitu salah seorang yang menyertai kami menemui Hafsah isteri Nabi s.a.w. Beliau juga telah berhijrah ke Najasyi. Ketika Umar masuk untuk menemui Hafsah, Asma' ada bersamanya. Setelah melihat Asma', Umar berkata: Siapakah ini? Beliau menjawab: Asma' binti Umais. Umar berkata: Adakah ini orang Habsyah yang menyertai angkatan laut? Asma' menjawab: Benar. Umar berkata: Kami lebih dahulu berhijrah daripada kamu, maka kami lebih berhak ke atas Rasulullah s.a.w. Asma' menjawab dengan marah: Wahai Umar! Sesungguhnya kamu berbohong. Aku tahu kamu bersama Rasulullah s.a.w, memberikan makan kepada orang kelaparan dan mengajar orang-orang bodoh, manakala kami yang berada jauh di Habsyah juga adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehinggalah aku memberitahu apa yang kamu katakan kepada Rasulullah s.a.w. Kami juga diseksa dan ditakuti. Aku akan ceritakan kepada Rasulullah s.a.w akan semua itu dan meminta pendapat baginda. Demi Allah, aku tidak akan berdusta, tidak menyeleweng dan tidak menambahi tentang perkara itu. Setelah Rasulullah s.a.w datang, Asma' pun berkata: Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya Umar telah berkata begini dan begini. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada yang lebih berhak terhadapku selain daripada kamu. Umar dan sahabat-sahabatnya hanyalah berhijrah satu kali sedangkan pasukan laut berhijrah sebanyak dua kali. Asma' berkata: Aku melihat Abu Musa dan pasukan laut datang untuk bertanya kepadaku mengenai Hadis tersebut. Tidak ada sesuatu yang lebih gembira dan agong di dunia ini melainkan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada mereka. Abu Burdah berkata: Asma' telah berkata: Aku telah bertemu dengan Abu Musa, beliau meminta semula Hadis ini dariku.