Search This Blog

Pages

March 18, 2010

Kerana Kesombongan


Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari kesombongan dan tidak akan masuk neraka orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari iman.”


(Muslim dan Ibnu Majah)

Enggan Masuk Syurga?


Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “ Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda : “ Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.”






(al-Bukhari)

Kebajikan Dan Keburukan

Musaddad menyampaikan kepada kami, dari Abdul Aziz bin Mukhtar, dari Khalid al-Hazza’, dari Akramah katanya:”Abdullah bin Abbas berkata kepada aku dan anaknya Ali:”Kamu berdua dengarlah hadith (daripadanya). Maka kami berdua pun pergi dan ketika itu Abu Said sedang membersihkan halaman. Ia mengambil selendangnya lalu duduk. Selepas itu ia mula menyampaikan hadith hingga sampai kepada membicarakan binaan masjid. Beliau berkata:”Kami membawa batu-bata sekeping demi sekeping dan Ammar pula membawa dua batu bata (sekaligus), maka nabi s.a.w melihatnya lalu baginda mengibas-ngibas tanah daripadanya sambil bersabda:”Kasihan Ammar, puak pelampau ingin membunuhnya sedangkan ia menyeru mereka kapada syurga dan mereka menyerunya kepada neraka. Abu Said berkata, Ammar menjawab:”Aku berlindung dengan Allah daripada segala fitnah.”
 
(Bukhari)


Keluar Dari Neraka Kerana Syafaat

abir bin Abdullah r.a mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya Allah akan mengeluarkan suatu kaum daripada neraka kerana syafaat (pembelaan).”
 
(Muslim)

Keluar Dari Neraka Kerana Syafaat


Jabir bin Abdullah r.a mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya Allah akan mengeluarkan suatu kaum daripada neraka kerana syafaat (pembelaan).”
 
(Muslim)

Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim.”
 
(Muslim)


Bekas Ahli Neraka


Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:” Keluar satu kaum dari neraka sedangkan kulit mereka telah hitam kerananya. Mereka masuk ke dalam syurga, sedangkan isi syurga menamakan mereka ‘orang-orang dari jahannam’. “
 
(al-Bukhari)

Penyebab Masuk Syurga

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.”
 
(Muslim)

Tebusan Orang Islam

Dari Abu Musa r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak di hari kiamat, Allah Taala mendorong setiap Yahudi atau Nasrani ke hadapan setiap orang Islam lalu firman-Nya:”Inilah tebusanmu dari api neraka.”
 
(Muslim)

Biarpun Miskin Ada Baiknya

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:” Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita.”
 
(Muslim)


Ketetapan ajal


Dari Abdullah r.a katanya:”Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri nabi s.a.aw berdoa:”Ya Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suamiku, Rasulullah s.a.w dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudaraku Muawiyah.” Maka bersabda nabi s.a.w :”Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah) memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya serta rezeki yang yang sudah dibahagi-bahagikan yang tak dapat disegerakan sebelum tiba waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan sejak mula. Seandainya engkau memohon kepada Allah Taala perlindungan dari siksa neraka atau dari siksa kubur itu lebih baik dan lebih bagus.”
 
(Muslim)

Bunuh Diri

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Sesiapa yang membunuh diri dengan mencekik lehernya, maka dia akan mencekiknya pula nanti di neraka. Dan sesiapa yang menikam dirinya, maka dia akan menikamnya pula nanti di neraka.”
 
(al-Bukhari)


Panas Yang Membara


Dari Abu Hurairah r.a, rasulullah s.a.w bersabda:”Apimu di dunia ini sepertujuh api neraka”. Ada seseorang berkata:”Keadaannya sudah mencukupi”. Baginda bersabda:’Ditambah lagi dengan enam puluh sembilan kali panasnya dari api neraka.”
 
(al-Bukhari)


Tersangat Panas Atau Dingin

Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Apabila udara sangat panas, maka solatlah bila udara sudah agak dingin. Kerana udara yang sangat panas itu bertiup dari neraka jahanam. Dan mengadulah neraka kepada Tuhannya :”Sebahagianku memakan sebahagian yang lain.” Maka Allah mengizinkannya berhembus dua kali, sekali di musim dingin dan sekali di musim panas. Maka itulah yang kamu rasakan, bersangatan panas di musim kemarau dan bersangatan dingin di musim dingin.”
 
(al-Bukhari)

Soalan Di Dalam Kubur

Dari Asma’ r.a katanya:”Pada masa (hidup) Rasulullah s.a.w pernah terjadi gerhana matahari. Lalu aku pergi menemui ‘Aisyah dan kudapati dia sedang solat. Aku bertanya kepadanya,”Mengapakah orang banyak mengerjakan solat?” Dia memberikan isyarat kepadaku dengan kepalanya (mendongak) ke langit. Aku bertanya, “Ayat? (tanda kebesaran Allah?)” Jawab ‘Aisyah, “Ya! Tanda kebesaran Allah!” Rasulullah s.a.w lama sekali berdiri (dalam solat), sehingga aku pusing (pening). Lalu aku mengambil air satu qirbah dan kubawa dekat denganku. Kemudian kubasahi kepala dan mukaku. Kata ‘Asma selanjutnya,”Ketika Rasulullah s.a.w telah selesai solat dan matahari telah terang kembali, baginda berkhutbah di hadapan orang ramai. Mula-mula baginda memuji dan menyanjung Allah. Sesudah itu baginda bersabda, antara lain:”Tidak ada sesuatu pun yang belum pernah kulihat melainkan telah kusaksikan dalam solatku sebentar tadi, syurga dan neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku bahawa kamu semua akan disoal di dalam kubur, atau seperti fitnah (bencana) dajjal. Masing-masing kamu akan didatangi lalu disoal,:”Apa pengetahuanmu tentang orang (Muhammad) ini?”Orang-orang yang beriman dengan yakin akan menjawab,:”Dia adalah Muhammad, Rasulullah. Dia datang kepada kami membawa keterangan-keterangan dan petunjuk lalu kami terima dan kami patuhi.” Pertanyaan itu berulang-ulang sampai tiga kali. Sesudah itu dia disuruh tidur. Katanya,:”Kami sudah tahu bahawa kamu betul-betul beriman dengannya.Kerana itu tidurlah dengan nyenyak.” Adapun orang-orang yang munafiq dan orang-orang yang ragu dalam kepercayaan mereka, maka jawab mereka,:”Aku tidak tahu apa-apa. Aku dengar orang ramai mengatakan begitu dan begini, lalu kuucapkan pula.”

 
(Muslim)




Menghindarkan Diri Daripada Api Neraka


Dari ‘Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda,:”Manusia diciptakan Allah mempunyai tiga ratus enam puluh ruas. Maka siapa yang membaca takbir, tahmid, tahlil, tasbih dan istighfar, menyingkirkan batu, duri atau tulang dari jalanan serta mengajak orang kepada kebajikan dan mencegah kepada yang mungkar sebanyak tiga ratus enam puluh kali itu, nescaya dia terhindar daripada api neraka pada hari itu.”
 
(Muslim)

Anak Adalah Ujian Allah

Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Seorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya daripadaku ketika itu selain daripada sebiji kurma, lalu kuberikan kepadanya. Kurma itu dibahagi dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu, dan ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah nabi s.a.w datang, aku ceritakan hal itu kepada baginda. Sabda beginda s.a.w, “Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.”
 
(Bukhari)

Biarpun Kecil, Besar Ganjarannya

‘Abayah bin Rifa’ah r.a mengkhabarkan bahawa dia bertemu dengan Abu ‘Abbas ketika dia pergi Jumaat. Abu ‘Abbas berkata kepadanya bahawa dia mendengar Nabi s.a.w bersabda:”Siapa yang berdebu kedua kakinya kerana berjalan di jalan Allah nescaya diharamkan Allah baginya api neraka.”
 
(Bukhari)


Sesal Dahulu Pendapatan Sesal Kemudian Tiada Gunanya


Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Nabi s.a.w bersabda:”Setiap yang masuk ke dalam syurga diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam neraka jika seandainya dia melakukan kesalahan, supaya dengan itu bertambah syukurnya kepada Tuhan. Setiap orang yang masuk ke dalam neraka, diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam syurga jika seandainya dia melakukan perbuatan baik, supaya dengan itu timbul penyesalannya.”
 
(Bukhari)

Larangan Membuat Hadith Palsu

Dari Mughirah r.a katanya ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya berdusta berkenaan dengan ucapanku tidaklah sama dengan dusta terhadap ucapan orang lain. Siapa yang sengaja berdusta tentang hadithku, maka hendaklah dia menempati tempatnya di neraka.”
 
(Bukhari)


Sujud tilawah

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:”Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)


Kurang Agama Dan Kurang Akal


Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?” Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? “Rasulullah s.a.w bersabda: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama”
 
(Muslim)

Puasa Penyelamat Dari Api Neraka


Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
 
(al-Bukhari dan muslim)


Ramadhan Dibuka Pintu syurga Dan Ditutup Pintu Neraka


Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”
 
(Bukhari & Muslim)

Seringan-ringan Azab Di Neraka


Dari Ibnu Abbas r.a katanya: Raulullah SAW bersabda:”Seringan-ringan azab penduduk neraka ialah azab yang dideritai oleh Abu Talib. Dia memakai sepasang terompah yang membuatkan otaknya menggelegak.”
 
(Muslim)

Tarikan Ke Neraka Dan Rintangan Ke Syurga

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.”
 
(al-Bukhari)

Isteri derhaka


Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:”Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka.. Ketika itu kulihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir.” Baginda ditanya oleh seseorang:”Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasulullah, “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata:”Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun!”
 
(al-Bukhari)

Nasihat Untuk Pendakwah


Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW bersabda “Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berputar-putar seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Para penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya:”Wahai saudara, mengapa ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada-perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara-perkara yang mungkar (kejahatan)?” Maka ia menjawab:”Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya.”
 
(Bukhari & Muslim)

Perempuan


Daripada Aisyah r.a, dari Nabi S.A.W baginda telah bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."
 
(Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Kecelakaan zina


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:” Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya. ”
 
Riwayat al-Bazzar

Keistimewaan Aidil Adha

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Tidak ada suatu hari di mana Allah memerdekakan lebih banyak hamba-Nya dari api neraka kecuali di hari Arafah. Sesungguhnya pada hari ini Allah mengetahui hamba-hamba-Nya lalu Allah memuji mereka di hadapan para Malaikat.”
 
Riwayat Muslim dan Aisyah r.a


Hakikat Puasa

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka.”
 
Riwayat Ahmad dan Baihaqi

Kelebihan Bulan Ramadhan

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup, syaitan dirantaikan.”
 
Riwayat Bukhari & Muslim

Larangan Bunuh-membunuh Tanpa Hak


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila dua orang muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka?” Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya.”
 
Riwayat Bukhari dan Muslim

Menghina Orang Lain

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.”
 
Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi


Keberkatan Doa

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat."
 
Abu al-Darda' r.a

Balasan Di Dalam Neraka

Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluar satu batang leher dari Neraka pada hari kiamat, dengan dua mata yang melihat, dan dua telinga yang mendengar, serta lidah yang bercakap, lalu berkata: "Aku diberi kuasa menyiksa tiap-tiap seorang dari tiga jenis manusia: Tiap-tiap orang yang kejam dan keras hati, lagi degil tidak menerima kebenaran yang diketahuinya; tiap-tiap orang yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, dan orang-orang yang membuat gambar".
 
Abu Hurairah r.a


Azab Hari Akhirat


Rasulullah s.a.w bersabda: "Di bawa Neraka jahanam pada hari itu, dengan tujuh puluh ribu tali penarik, pada tiap-tiap satu tali penarik ada tujuh puluh ribu Malaikat menariknya".
 
Abdullah bin Mas'ud r.a

Kewajipan Menunaikan Zakat Emas Dan Perak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tidak ada seorang pun yang mempuyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap kali ia sejuk, dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba-Nya.”
 
Riwayat Muslim


Menjauhi makanan yang haram

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.”

Jangan Kedekut Memberi Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.”
 
Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi


Mengekalkan Akhlak Yang Baik

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.”
 
Riwayat at-Tarmizi


Golongan Yang Tidak Dipandang allah s.w.t

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong”.
 
Riwayat Muslim

Menjauhi sifat-sifat tercela

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Bukankah aku telah memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakannya untuk kebaikan”.
 
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Keharusan Menziarahi Orang Kafir Yang Sakit


Anas r.a berkata:”Seorang anak Yahudi yang berkhidmat dengan nabi s.a.w telah jatuh sakit, maka baginda s.a.w telah datang melawatnya. Baginda duduk di sisi kepala serta berkata kepada anak itu:”Terimalah Islam (iaitu masuklah kamu ke dalam agama Islam)”. Anak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya itu berkata kepadanya:”Patuhlah kepada seruan Abu al-Qasim ini.“ (mendengar bapanya berkata demikian) dia terus menerima agama Islam (dengan mengucapkan dua kalimah syadahadah). Selepas itu nabi s.a.w keluar dari tempat itu lantas bersyukur kepada Allah dengan ucapan:”Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dari api neraka.”
 
(Bukhari)

Status Orang Mati Bunuh Diri

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam selama-lamanya.”
 
Riwayat Abu Hurairah

Kecelakaan zina


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:” Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya. ”
 
Riwayat al-Bazzar


Matinya Tiap-tiap Yang Bernyawa Apakala Berakhir Umur Dunia Kemudian Semuanya Dihidupkan Semula

Rasulullah s.a.w menyebut perihal Dajal serta menyatakan: "…..Sebenarnya Dajjal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah); ……Sebenarnya ia akan keluar di satu tempat di antara negeri Syam dengan negeri Iraq, serta ia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang ia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan - mewah makmur, dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya - susah meleset; dan dengan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang - mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur;juga menjadikan orang muda yang kuat gagah dibelah dua badannya, sepotong dicampakkan jauh dari satu lagi, kemudian diserunya, lalu kedua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya; demikian juga mana-mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam Syurganya yang dirasai oleh orang itu sebagai Neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai Syurga; dan lain-lain lagi)." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Wahai sekalian hamba Allah, setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!" Kami bertanya: "Ya Rasulullah! Berapa lama ia bermaharajalela di bumi?" Baginda s.a.w menjawab: "Empat puluh hari - hari yang pertama: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang kedua: Panjangnya seperti sebulan, dan hari yang ketiga: Seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: Seperti hari-hari kamu yang biasa." Kami bertanya lagi: "Ya Rasulullah! Jika demikian, hari yang panjangnya seperti setahun iu misalnya cukupkah kami mengerjakan padanya sembahyang untuk sehari?" Baginda s.a.w menjawab: "Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan;"….Baginda s.a.w menerangkan lagi: "Semasa Dajal itu bermaharajalela, Allah hantar turun Nabi Isa anak Mariam lalu ia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik…..maka Nabi Isa pun mengejar Dajjal sehingga dapat menawannya di pintu kariah yang bernama: "Lud", lalu membunuhnya. Setelah itu datanglah suatu kaum yang Allah selamatkan dari bencana Dajjal itu menghadap Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa hapuskan kesan kedukaan dan kesedihan dari air muka mereka dengan menyatakan: Bahawa Dajjal telah pun dibunuh, serta mengembirakan mereka denga darjat-darjat kedudukan mereka dalam Syurga;" Nabi s.a.w menerangkan lagi: "Bahawa semasa Nabi Isa sedang menerangkan perkara-perkara yang menggembirakan mereka, Allah wahyukan kepada Nabi Isa dengan firmannya: "Bahawa Aku telah mengeluarkan sekumpulan hamba-hambaKu (Ya'juj wa Ma'juj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapa pun memerangi mereka; oleh itu maka bawalah hamba-hambaKu yang bersama-samamu berlindung di bukit Tursina; setelah itu Allah keluarkan Ya'juj wa Ma'juj dan mereka pun meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi….; Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya pun terkepung lama di bukit itu sehingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka dari seutas dinar kepada seseorang kamu sekarang; lalu Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu kepada Allah supaya membinasakan musuh mereka, maka Allah s.w.t hantarkan ulat-ulat menyerang batang leher Ya'juj wa Ma'juj itu,mereka pun mati bergelimpangan dengan serentak seperti matinya satu jiwa. Kemudian Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya turun dari bukit itu, lalu mereka dapati tidak ada barang sejengkal pun di bumi melainkan penuh dengan bau hapak dan busuk disebabkan bangkai Ya'juj wa Ma'juj itu; maka Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu lagi kepada Allah lalu Allah Taala hantarkan kumpulan burung yang batang lehernya seperti batang leher unta, maka kumpulan burung itu pun mengangkut serta mencampakkan bangkai-bangkai itu ke tempat yang dikehendaki Allah. Kemudian Allah Taala turunkan hujan lebat yang sebarang bangunan tidak dapat menahan airnya daripada meliputi serta mencuci muka bumi sehingga menjadi bersih dan rata seperti cermin. Kemudian Tuhan berfirman kepada bumi: Tumbuhkanlah tanamanmu serta keluarkanlah buahmu, dan kembalikanlah segala nikmatmu"; maka pada masa itu sebilangan orang boleh kenyang dengan memakan sebiji buah delima, dan boleh berteduh dengan kulitnya; dan pada masa itu juga diberkatkan Tuhan pada susu sehingga susu seekor unta perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu kaum yang besar jumlahnya, dan susu seekor lembu perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu qabilah; dan susu seekor kambing perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu suku kaum." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Semasa manusia sedang menikmati kemakmuran dan kemewahan yang tersebut tiba-tiba Allah menghantar sejenis angin yang baik….lalu mengambil nyawa tiap-tiap orang yang baik - mukmin dan muslim, dan tinggallah sahaja orang-orang jahat dengan keadaan bercakaran sesama sendiri dan berhubung jenis seperti haiwan, maka pada zaman mereka inilah berlakunya hari kiamat." (Dan pada satu riwayat yang lain: "Kemudian Allah menghantar sejenis angin yang sejuk nyaman, yang datangnya dari arah negeri Syam, maka pada saat itu tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang terdapat dalam hatinya seberat zarah kebaikan atau iman melainkan diambil nyawanya oleh angin itu." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Maka tinggallah sahaja orang-orang jahat yang cepat bergerak melakukan maksiat dan kedurhakaan secepat burung terbang, dan yang menceroboh serta menzalimi satu sama lain seperti binatang buas; mereka tidak suka dan tidak mengenal perkara yang baik, dan tidak benci serta tidak melarang daripada melakukan perkara yang buruk. Pada saat itu syaitan menyamar diri kepada mereka serta bertanya: "Tidak malukah kamu meninggalkan jalan mendampingkan diri kepada Allah? Tidak mahukah kamu menurut ajakanku? Maka mereka pun bertanya: Jika demikian apa yang engkau suruh kami lakukan? Syaitan pun menyuruh mereka menyembah berhala untuk mendampingkan diri mereka dengan Tuhan (konon), mereka menerima ajakan Syaitan itu lalu menyembah berhala, sedang rezeki mereka mencurah-curah dan penghidupan mereka baik dan mewah; kemudian ditiup sangkakala, yang pertama, yang mematikan segala yang bernyawa….")


al-Nawwas bin Sam'an r.a