Search This Blog

Pages

June 12, 2011

Kelebihan Sembahyang Subuh Dan Asar Serta Menjaga Kedua duanya)

Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Para Malaikat datang berduyun-duyun kepada kamu pada waktu malam dan siang. Mereka berhimpun semasa 
sembahyang Subuh dan sembahyang Asar. Kemudian naiklah orang yang bersama kamu. Lalu Tuhan bertanya kepada mereka walaupun Dia lebih mengetahui terhadap segala urusan mereka dengan pertanyaan: Bagaimanakah keadaan hamba-hambaKu ketika kamu meninggalkannya? Mereka menjawab: Kami meninggalkan mereka ketika mereka sedang bersembahyang dan ketika kami mendatangi mereka, mereka juga sedang bersembahyang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1001,Bab Kelebihan Sembahyang Subuh Dan Asar Serta Menjaga Kedua duanya)

Bacaan Ketika Sembahyang Isyak

Hadis Al-Bara' r.a: 
Daripada Nabi s.a.w bahawa dalam suatu perjalanan, ketika baginda mendirikan 
sembahyang Isyak, baginda membaca di dalam salah satu dari dua rakaatnya Surah At-Tin.
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #706,Bab Bacaan Ketika Sembahyang Isyak)

Bacaan Ketika Sembahyang Subuh

Hadis Abu Barzah r.a:
Rasulullah s.a.w membaca ayat-ayat Al-Quran semasa 
sembahyang Subuh sebanyak enam puluh hingga seratus ayat.
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #702,Bab Bacaan Ketika Sembahyang Subuh)

Meluruskan Saf Dan Merapikannya.

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan
sembahyang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #656,Bab Meluruskan Saf Dan Merapikannya. Kelebihan Saf Yang Pertama. Memenuhkan Saf Pertama. Berlumba lumba Mencapainya Serta Mengutamakan Orang orang Yang Mempunyai Kelayakan Dan Mendekatkan Mereka Kepada Imam)

Makmum Mengikuti Imam

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Nabi s.a.w pernah terjatuh dari kuda yang menyebabkan kecederaan di bahagian kanan tubuh baginda. Kami cepat-cepat mendapatkan baginda lalu membawa pulang. Sebaik sahaja tiba waktu 
sembahyang, baginda sembahyang bersama kami dalam keadaan duduk. Ini menyebabkan kami juga mengikuti baginda dengan bersembahyang dalam keadaan duduk. Setelah selesaisembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia sujud, sujudlah. Juga apabila dia bangun, bangunlah. Akhirnya apabila dia membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ bacalah رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah dalam keadaan duduk.
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #622,Bab Makmum Mengikuti Imam)

Membaca Tasyahud Di Dalam Sembahyang

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Semasa aku 
sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w kami membaca:السَّلَامُ عَلَى اللَّهِ السَّلَامُ عَلَى فُلَانٍ Kemudian pada suatu hari Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami: Sesungguhnya Allah s.w.t adalah Yang Selamat Sejahtera. Jadi, apabila salah seorang di antara kamu duduk ketika sembahyang, hendaklah dia membaca التَّحِيَّاتُ لِلِّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِيْنَ Apabila dia membacanya, nescaya keselamatan itu turut sama dikurniakan kepada semua hamba Allah yang soleh samada di langit ataupun di bumi. أَشْهَدُ أَنْ لَاإِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ kemudian bolehlah dia membaca doa yang dikehendaki.
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #609,Bab Membaca Tasyahud Di Dalam Sembahyang)

Dalil Bagi Orang Yang Berpendapat Tidak Boleh Menyaringkan Bacaan Basmalah Ketika Sembahyang

Hadis Anas r.a katanya:
Aku pernah 
sembahyang bersama Rasulullah s.a.w, Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab dan Othman bin Affan. Semasasembahyang aku tidak pernah pun mendengar salah seorang dari mereka membaca: بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #605,Bab Dalil Bagi Orang Yang Berpendapat Tidak Boleh Menyaringkan Bacaan Basmalah Ketika Sembahyang)

Wajib Membaca Al Fatihah Pada Setiap Rakaat Sembahyang

Hadis Abu Hurairah r.a:
Ketika Rasulullah s.a.w memasuki masjid, seorang lelaki juga memasukinya lalu mendirikan 
sembahyang. Setelah selesai, dia datang memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab salamnya lalu bersabda: sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyangyang kamu lakukan tadi tidak sah. Lelaki tersebut kembali mendirikan sembahyang sebagaimana yang telah dilakukannya kemudian kembali menemui Rasulullah s.a.w dengan memberi salam kepada baginda. Lantas baginda menjawab salam lalu bersabda:sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Perkara ini berlaku sebanyak tiga kali sehingga akhirnya lelaki tersebut berkata: Oleh kerana engkau dibangkitkan untuk menyatakan kebenaran, bagaimanakah sebenarnyasembahyang dilakukan? Ajarkanlah padaku. Lalu baginda bersabda: Apabila kamu ingin mendirikan sembahyang, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuklah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah berdiri. Setelah itu sujudlah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah untuk berada dalam keadaan duduk antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan sehingga selesai sembahyang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #602,Bab Wajib Membaca Al Fatihah Pada Setiap Rakaat Sembahyang. Sekiranya Tidak Dapat Membacanya Dengan Baik Serta Tidak Boleh Mempelajarinya, Hendaklah Dia Membaca Surah Lain Atau Ayat Lain Yang Mudah Baginya)

Wajib Membaca Al Fatihah Pada Setiap Rakaat Sembahyang

Wajib Membaca Al Fatihah Pada Setiap Rakaat Sembahyang

Sunat Mengangkat Dua Tangan Hingga Ke Paras Bahu Ketika Takbiratul Ihram

Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
Aku lihat Rasulullah s.a.w apabila memulakan 
sembahyang, baginda mengangkat kedua tangan hingga ke paras bahu. Begitu juga sebelum rukuk dan bangkit dari rukuk. Baginda tidak mengangkatnya di antara dua sujud.
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #586,Bab Sunat Mengangkat Dua Tangan Hingga Ke Paras Bahu Ketika Takbiratul Ihram, Sebelum Rukuk Dan Bangkit Dari Rukuk. Gerakan Ini Tidak Perlu Dilakukan Apabila Bangkit Dari Sujud)

Permulaan Azan

Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
Ketika orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkatakan tentang waktu 
sembahyang. Tiada seorang pun yang menyeru kepadanya. Semasa mereka berbincang tentang perkara tersebut, sebahagian daripada mereka berkata: Bunyikanlah loceng sebagaimana loceng orang Nasrani. Manakala sebahagian lagi berkata: Bunyikanlah trompet seperti trompet orang Yahudi. Kemudian Umar berkata: Mengapa kamu tidak menyuruh seseorang agar menyerukan sembahyang? Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal! Bangunlah dan serukan untuk sembahyang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #568,Bab Permulaan Azan)

Dalil Yang Menunjukkan Bahawa Sesiapa Yang Yakin Dirinya Telah Bersuci Kemudian Meragui Dirinya Berhadas, Dia Boleh Melakukan Sembahyang Dengan Wuduk Tersebut

Hadis Abdullah bin Zaid bin Aasim Al-Ansariy r.a katanya:
Seorang lelaki mengajukan pertanyaan kepada Nabi s.a.w bahawa dia seolah-olah mendapati sesuatu ketika di dalam sembahyangnya. Baginda bersabda: Dia tidak perlu membatalkan sembahyangnya sehinggalah dia terdengar suara atau tercium bau.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #540,Bab Dalil Yang Menunjukkan Bahawa Sesiapa Yang Yakin Dirinya Telah Bersuci Kemudian Meragui Dirinya Berhadas, Dia Boleh Melakukan Sembahyang Dengan Wuduk Tersebut)

Memansuhkan Hadis Yang Menyatakan Perlu Berwuduk Kerana Makan Makanan Yang Terkena Api

Hadis Ibnu Abbas r.a:
Rasulullah s.a.w pernah makan paha kambing, kemudian mendirikan sembahyang dan tidak berwuduk.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #531,Bab Memansuhkan Hadis Yang Menyatakan Perlu Berwuduk Kerana Makan Makanan Yang Terkena Api)

Nabi berwudhuk sebelum tidur

Hadis Aisyah r.a:
Apabila Rasulullah s.a.w ingin tidur, sedangkan baginda masih dalam keadaan berjunub, baginda berwuduk sebagaimana yang dilakukan ketika ingin mendirikan sembahyang sebelum tidur.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #460,Bab Diharuskan Tidur Bagi Orang Yang Berhadas Serta Disunatkan Juga Berwuduk Dan Mencuci Kemaluannya Jika Ingin Makan, Minum, Tidur Atau Bersetubuh)

Kekotoran Darah Dan Cara Membasuhnya

Hadis Asma' r.a katanya:
Seorang perempuan datang berjumpa Nabi s.a.w kemudian berkata: Pakaian salah seorang dari kalangan kami terkena darah haid. Apa yang harus dilakukannya? Baginda bersabda: Kikiskan darah itu terlebih dahulu, gosokkannya dengan air, kemudian bersihkannya. Setelah itu bolehlah menggunanya untuk mendirikan sembahyang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #438,Bab Kekotoran Darah Dan Cara Membasuhnya)

Hukum Air Mani

Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Alqamah r.a katanya: Bahawa suatu pagi seorang sahabat mencuci pakaiannya. Lalu Saidatina Aisyah r.a berkata: Sepatutnya kamu membasuh sebahagiannya sahaja. Sekiranya kamu melihat kekotorannya, basuhlah tempat kotor tersebut. Sebaliknya jika tidak kelihatan, memadailah dengan kamu memercikkan air disekitarnya sahaja. Sesungguhnya aku pernah mengikis air mani yang terdapat pada pakaian Rasulullah s.a.w seterusnya baginda menggunakan pakaian tersebut untuk mendirikan sembahyang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #434,Bab Hukum Air Mani)

Gosoklah gigi sebelum solat

Hadis Huzaifah r.a katanya:
Apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang tahajud, baginda menggosok gigi dengan sugi.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #374,Bab Bersugi)

Bersugi

Hadis Abu Hurairah r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Sekiranya arahan aku tidak akan menyusahkan orang mukmin pada Hadis Zuhair ke atas umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka bersugi iaitu mencuci gigi setiap kali hendak mendirikansembahyang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #370,Bab Bersugi)

Sifat Atau Cara cara Berwuduk dan Kesempurnaannya

Hadis Sayidina Othman bin Affan r.a:
Diriwayatkan daripada Humran r.a katanya: Sayidina Othman bin Affan r.a telah meminta air untuk berwuduk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri, sama seperti membasuh kaki kanannya. Kemudian Sayidina Othman r.a berkata: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar baginda s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengambil wuduk seperti cara aku berwuduk kemudian dia mendirikan 
sembahyang dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan sembahyang, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #331,Bab Sifat Atau Cara cara Berwuduk dan Kesempurnaannya)

Wajib Bersuci Untuk Mendirikan Sembahyang

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tidak akan diterima sembahyang seseorang yang berhadas sehinggalah dia berwuduk.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #330,Bab Wajib Bersuci Untuk Mendirikan Sembahyang)

Mengetahui Bentuk Penglihatan

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a:
Bahawa kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w telah bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kami dapat melihat Tuhan kami nanti pada Hari Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Adakah kamu merasa sukar untuk melihat matahari pada siang hari yang cerah, yang tidak ada awan? Adakah kamu merasa sukar untuk melihat bulan pada malam purnama yang cerah tanpa ada awan? Kaum Muslimin menjawab: Tidak, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak akan mengalami kesukaran dalam melihat Allah Taala pada Hari Kiamat sebagaimana kamu tidak mengalami kesukaran untuk melihat salah satu dari matahari dan bulan. Apabila berlaku Hari Kiamat, para penyeru iaitu para Malaikat mengumumkan: Setiap umat hendaklah mengikuti apa yang mereka sembah sewaktu di dunia. Maka tidak akan kekal seorangpun dari mereka yang menyembah selain dari Allah, iaitu berhala-berhala. Mereka akan dihumban ke dalam Neraka sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya iaitu semasa di dunia menyembah Allah, orang-orang yang baik, orang-orang jahat dan saki-baki Ahli Kitab. Maka orang-orang Yahudi. dipanggil dan ditanya Kepada mereka: Apakah yang kamu sembah sewaktu di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Uzair Ibnullah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta. Allah tidak pernah menjadikan walau seorangpun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apa yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus, wahai Tuhanku! Berilah kami minum. Lalu diisyaratkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka pun diiringi beramai-ramai ke Neraka, Neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam Neraka. Kemudian dipanggil pula orang-orang Nasrani lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu sembah semasa di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Al-Masih anak Allah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta! Allah tidak pernah menjadikan walau seorang pun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apakah yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus wahai Tuhanku, berilah kami minum. Lalu ditunjukkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka diiringi ke Neraka Jahanam. Neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam Neraka, sehinggalah yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya menyembah Allah Taala, orang-orang baik dan orang-orang jahat. Maka Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam datang kepada mereka dalam bentuk yang lebih rendah daripada bentuk yang mereka ketahui lalu berfirman: Apakah yang kamu tunggu? Setiap umat akan mengikuti apa yang dahulunya mereka sembah. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Di dunia, kami memisahkan diri dari orang-orang yang menyusahkan kami iaitu untuk membantu penghidupan di dunia dan kami tidak mahu berkawan dengan mereka iaitu kerana mereka menyimpang dari jalan yang digariskan oleh agama. Allah berfirman lagi kepada mereka: Akulah Tuhan kamu! Mereka berkata: Kami mohon perlindungan daripada Allah kepada kamu, kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun untuk kali kedua atau ketiga sehingga sebahagian mereka hampir-hampir berubah iaitu kembali kepada kebenaran. Maka Allah berfirman: Apakah di antara kamu dan Allah terdapat tanda-tanda yang membuatkan kamu dapat mengenali-Nya? Mereka menjawab: Ya! Lalu disingkapkan keadaan yang menakutkan itu dan setiap orang yang hendak bersujud kepada Allah dengan keinginan mereka sendiri sudah pasti akan mendapat keizinan Allah sedangkan orang yang akan bersujud kerana takut atau untuk memperlihatkannya, maka Allah akan menyatukan belakangnya sehingga tidak boleh bersujud. Setiap kali hendak bersujud, dia hanya dapat membongkokkan pada tengkuknya. Kemudian apabila mereka mengangkat kepala, Allah telah pun berupa sebagaimana gambaran yang mereka lihat pertama kali tadi. Maka Allah pun berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka menyahut: Engkau Tuhan Kami! Kemudian dibentangkan sebuah jambatan di atas Neraka Jahanam dan yang dibenarkan ketika itu hanyalah syafaat dari Rasul-rasul di mana mereka mengucapkan: Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah. Kemudian ada yang bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah jambatan itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Ianya merupakan lumpur yang licin. Padanya juga terdapat besi berkait dan besi berduri. Di Najd terdapat tumbuhan berduri yang disebut Saadan. Maka seperti itulah besi-besi berkait tersebut. Kepantasan orang-orang mukmin melintasi jambatan tersebut ada seperti kerlipan mata, seperti kilat, seperti angin, seperti burung dan seperti kuda atau unta yang berlari kencang. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan: Selamat dan tidak mengalami apa-apa rintangan, selamat tetapi terpaksa menempuh banyak rintangan dan terkoyak serta yang terus terjerumus ke dalam Neraka Jahanam. Pada saat orang-orang mukmin telah bebas dari azab Neraka, maka demi zat yang menguasai diriku iaitu diri Rasulullah nescaya tidak ada orang yang begitu mengambil berat dalam mencari kebenaran, melebihi orang-orang mukmin yang mencari kebenaran daripada Allah demi kepentingan saudara-saudara mereka yang masih berada di Neraka. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya dulu mereka berpuasa bersama kami, mendirikan sembahyang dan mengerjakan Haji. Lalu Allah berfirman kepada mereka: Keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal kerana wajah-wajah mereka diharamkan ke atas api Neraka. Maka ramai yang dapat dikeluarkan dari Neraka. Ada yang sudah terbakar hingga separuh betis dan lututnya. Orang-orang mukmin itu berkata: Wahai Tuhan kami, tidakkah ada lagi yang tertinggal di dalam Neraka setelah Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, siapa saja yang kamu temukan di hatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat satu dinar, maka keluarkanlah. Jadi mereka dapat mengeluarkan ramai manusia. Lalu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Kami tidak tahu apakah masih ada di Neraka seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan dihatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat setengah dinar, maka keluarkanlah. Mereka dapat mengeluarkan ramai lagi manusia. Setelah itu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu, apakah di sana masih ada seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan di dalam hatinya terdapat kebaikan meskipun hanya seberat zarah, maka keluarkanlah. Bertambah ramai lagi yang dapat dikeluarkan. Kemudian mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu adakah di sana masih ada pemilik kebaikan. Sesungguhnya Abu Said Al-Khudriy berkata: Jika kamu tidak mempercayaiku mengenai Hadis ini, maka bacalah firman Allah ayat 40 surah An-Nisa' إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya serta memberikan dari sisiNya pahala yang besar. Allah s.w.t berfirman: Para Malaikat telah meminta syafaat, para nabi telah meminta syafaat dan orang-orang mukmin juga telah meminta syafaat. Yang tinggal hanyalah Zat Yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang. Lalu Allah merangkum dari Neraka dan mengeluarkan sekumpulan orang yang sama sekali tidak pernah melakukan kebaikan. Mereka telah menyedari. Kemudian mereka dilempar ke sebuah sungai di pintu Syurga, yang disebut Sungai Kehidupan. Seterusnya mereka keluar seperti tumbuhan kecil yang keluar selepas dari banjir. Bukankah kamu sering melihat tumbuhan kecil di celah-celah batu atau pohon, bahagian yang terkena sinaran matahari akan berwarna sedikit kekuningan dan hijau, sedangkan yang berada di bawah tempat teduh akan menjadi putih? Para sahabat mencelah: Seolah-olah engkau pernah menggembala di gurun. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Lalu mereka keluar bagaikan mutiara. Di leher mereka ada kalong, sehingga para ahli Syurga dapat mengenali mereka: Mereka adalah orang-orang yang dibebaskan oleh Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga, tanpa amalan yang mereka kerjakan dan juga tanpa kebaikan yang mereka lakukan. Kemudian Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Syurga, apa-apa yang kamu lihat, ianya adalah untuk kamu. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Engkau telah berikan kepada kami pemberian yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun di antara orang-orang di seluruh alam. Allah berfirman: Di sisiKu ada pemberian untuk kamu yang lebih baik daripada pemberian ini. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, apa lagi yang lebih baik daripada pemberian ini? Allah berfirman: RedhaKu, lalu Aku tidak memurkai kamu selepas ini buat selama-lamanya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #269,Bab Mengetahui Bentuk Penglihatan)

Israk Mikraj Nabi Muhammad saw

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku benar-benar pasti diriku berada di dalam Hijir, pada ketika itu orang-orang Quraisy sibuk bertanya tentang perjalananku dalam peristiwa Israk itu. Mereka bertanya aku berbagai perkara mengenai Baitulmuqaddis yang kurang jelas pada ingatanku. Aku amat dukacita kerana aku belum pernah mengalaminya sebelum ini. Lalu Allah memperlihatkan kepadaku dari jauh sehingga aku mampu melihatnya. Walau bagaimana sekalipun bentuk pertanyaan yang diajukan kepadaku, aku tetap dapat menceritakan kepada mereka dengan jelas. Aku benar-benar pasti bahawa diriku berada dalam sekumpulan para nabi, aku melihat Nabi Musa a.s sedang berdiri mendirikan 
sembahyang, sememangnya dia seorang lelaki berbadan tinggi, kurus serta berambut kerinting, seolah-olah seorang lelaki dari Kaum Syanu'ah. Aku juga melihat Nabi Isa bin Mariam a.s yang sedang berdiri mendirikansembahyang, manakala orang yang paling mirip dengannya ialah Urwah bin Mas'ud As-Saqafi. Selain dari itu aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang. Manakala Orang yang amat menyerupainya adalah sahabat kamu semua, maksudnya: Diri baginda sendiri. Ketika masuk waktu sembahyang, aku mengimami mereka, setelah selesai dari sembahyang ada suara memanggilku: Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga Neraka, ucapkanlah salam kepadanya! Lalu aku menoleh kepadanya, ternyata dia lebih dahulu mengucapkan salam kepadaku.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #251,Bab Keterangan Tentang Al Masih Bin Mariam Dan Al Masih Dajal)

Orang beriman akan diuji

Hadis Huzaifah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda ketika kami bersamanya: Kumpulkan untukku beberapa orang sahabat yang boleh menyatakan Islam. Kata Huzaifah: Kami menjawab: Wahai Rasulullah! Adakah engkau bimbangkan kami, sedangkan kami berjumlah antara enam hingga tujuh ratus orang. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak dapat menyangka bahawa suatu hari nanti kamu akan diuji. Huzaifah berkata: Ujilah kami walaupun sehingga sahabat-sahabat kami terpaksa mendirikan sembahyang secara sembunyi.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #213,Bab Merahsiakan Iman Bagi Penakut)

Islam Bermula Dalam Keadaan Asing dan Akan Kembali Juga Dalam Keadaan Asing dan Ia Hanya Akan Didapati Di Masjid masjid

Hadis Huzaifah r.a:
Sayidina Umar r.a pernah bertanya aku ketika aku bersamanya. Katanya: Siapakah di antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah s.a.w meriwayatkan tentang fitnah? Para sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya. Sayidina Umar bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab: Ya, benar. Sayidina Umar berkata: Fitnah tersebut boleh dihapuskan oleh sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, siapakah di antara kamu yang pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda tentang fitnah yang bergelombang sebagaimana lautan bergelombang? Huzaifah berkata: Para sahabat terdiam. Kemudian Huzaifah berkata: Aku, wahai Umar! Sayidina Umar berkata: Engkau. Lantas Sayidina Umar memuji dengan berkata ayahmu adalah milik Allah. Huzaifah berkata: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #207,Bab Islam Bermula Dalam Keadaan Asing dan Akan Kembali Juga Dalam Keadaan Asing dan Ia Hanya Akan Didapati Di Masjid masjid)

Amalan paling utama solat pada waktunya, bakti pada orang tua dan jihad dijalan Allah

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan baginda.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #120,Bab Beriman Kepada Allah Taala Merupakan Amalan Yang Paling Utama)

Menyeru Kepada Dua Kalimah Syahadat Dan Syariat syariat Islam

Hadis Muaz r.a katanya:
Aku diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Engkau akan mendapati golongan Ahli Kitab, oleh itu dakwahlah mereka supaya mengucap Dua Kalimah Syahadat. Jika mereka menerima Dua Kalimah Syahadat tersebut, ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sekiranya mereka tetap mentaati perintah tersebut, ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka agar mengeluarkan zakat. Jika mereka tetap mentaatinya, beritahulah mereka supaya berhati-hati terhadap harta mereka yang sangat disayangi dan takutlah doa orang yang teraniaya kerana doa mereka adalah mustajab.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #27,Bab Menyeru Kepada Dua Kalimah Syahadat Dan Syariat syariat Islam)

Rukun rukun Islam Dan Tuntutannya Yang Agung

Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Islam ditegakkan di atas lima perkara iaitu mengesakan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan Haji.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #19,Bab Rukun rukun Islam Dan Tuntutannya Yang Agung)