Search This Blog

Pages

October 17, 2011

petunjuk

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: At-Tufail serta sahabatnya menemui Rasulullah s.a.w dan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kaum Daus telah kufur dan menentang, maka berdoalah kepada Allah supaya mereka susah. (Dikatakan): Celakalah Daus. Rasulullah s.a.w pun berdoa: Ya Allah, berikan petunjuk kepada kaum Daus dan bawalah aku kepada mereka. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4586,Bab Sebahagian Dari Kelebihan Kaum kaum Ghifar, Aslam, Juhainah, Asyja', Muzainah, Tamim, Daus Dan Tayyi')

petunjuk

Hadis Abu Ayub Al-Ansariy r.a: Seorang lelaki kampung yang dalam keadaan musafir telah menghadap Rasulullah s.a.w, lalu dia memegang tali unta baginda. Kemudian lelaki tersebut berkata: Wahai Muhammad! Ceritakanlah kepadaku perkara yang boleh mendekatkanku kepada Syurga dan menjauhkanku dari Neraka. Rasulullah s.a.w tidak segera menjawab, sebaliknya baginda memandang ke arah para sahabat sambil bersabda: Sesungguhnya dia adalah orang yang telah mendapat petunjuk. Kemudian baginda bertanya kepada lelaki tersebut: Apakah perkara yang engkau tanyakan tadi? Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat dan pulihkanlah hubungan kekeluargaan. Sekarang lepaskanlah unta ini. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #14,Bab Iman Penyebab Utama Masuk Syurga Dan Orang Yang Mematuhi Apa Yang Diperintahkan Akan Memasuki Syurga)


 Hadis Al-Musayyab bin Hazn r.a katanya: Rasulullah s.a.w menziarahi Abu Talib di saat-saat beliau tenat menghadapi sakaratul maut. Baginda dapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin Al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah s.a.w bersabda: Pak cik! Ucaplah Dua Kalimah Syahadat, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah s.w.t. Lalu Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mencelah: Wahai Abu Talib Sanggupkah kamu meninggalkan agama Abdul Muttalib? Rasulullah s.a.w tidak berputus asa malah tetap mengajarnya mengucap Dua Kalimah Syahadat serta berkali-kali mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib menjawab sebagai ucapan terakhir kepada mereka bahawa dia tetap bersama dengan agama Abdul Muttalib malah enggan mengucapkan Kalimah Syahadat. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku akan pohonkan keampunan dari Allah untukmu sehinggalah Allah menurunkan ayat مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ Yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun bagi orang-orang yang syirik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri. Telah nyata bagi mereka bahawa orang-orang syirik itu adalah ahli Neraka. Firman Allah bersempena dengan peristiwa Abu Talib إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ Yang bermaksud: Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayat iaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya iaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #35,Bab Dalil Untuk Memastikan Islam Seseorang Di Saat saat Hampir Mati. Tidak Disyariatkan Berulang kali Mengajar Supaya mengucapkan Dua Kalimah Syahadat Ketika Dalam Keadaan Tenat. Membatalkan Kata kata Dibolehkan Hanya Beristighfar Bagi Orang orang Yang Syirik Kepada Allah. Dalil Bahawa Orang Yang Mati Dalam Keadaan Syirik Kepada Allah Merupakan Penghuni Neraka. Mereka Tidak Akan Dikeluarkan Dengan Apa Jua Cara Sekalipun)


 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Semasa aku dibawa berjalan dalam peristiwa Israk, aku telah bertemu dengan Musa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, maka ternyata beliau seorang lelaki yang tinggi kurus dan berambut ikal, seolah-olah beliau seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Selain dari itu aku juga telah berjumpa dengan Nabi Isa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, ternyata beliau berwajah dan berperawakan sederhana, berkulit merah, seolah-olah baru keluar dari bilik mandi. Kemudian aku bertemu pula dengan Nabi Ibrahim a.s dan baginda menyatakan kepada kami bahawa bagindalah keturunannya yang paling mirip dengannya. Lalu dibawa kepadaku dua bekas, salah satunya berisi susu dan satu lagi berisi arak. Dikatakan kepadaku: Ambillah mana-mana satu yang engkau suka, lalu aku mengambil bekas yang berisi susu dan meminumnya. Kemudian dikatakan kepadaku: Engkau sememangnya telah diberi petunjuk dengan fitrah atau engkau menepati fitrah, seandainya engkau mengambil arak, nescaya sesatlah umatmu. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #245,Bab Israk Rasulullah s.a.w Ke Langit Dan Kewajipan Sembahyang)


 Hadis Imran bin Husain r.a katanya: Aku pernah bersama Nabi s.a.w dalam suatu perjalanan sehinggalah lewat malam. Setelah hampir waktu Subuh, kami berhenti lalu tertidur sehingga matahari terbit. Imran berkata lagi: Orang yang mula-mula terjaga dari kalangan kami ialah Abu Bakar, kami tidak mahu membangkitkan Rasulullah s.a.w dari tidurnya kecuali baginda sendiri yang bangkit. Kemudian Umar bangkit lalu berdiri di sisi Rasulullah s.a.w seraya bertakbir dengan suara yang lantang menyebabkan Rasulullah s.a.w tersedar. Ketika baginda bangkit, matahari telah terbit lantas baginda berkata: Berangkatlah! Lalu kami pun meneruskan perjalanan sehingga matahari tinggi, Rasulullah s.a.w turun dari tunggangan dan sembahyang Subuh bersama kami kecuali seorang lelaki yang memencilkan diri. Setelah selesai dari sembahyang Rasulullah s.a.w bertanya kepada lelaki tersebut: Wahai Si Polan! Apakah yang menegah engkau dari sembahyang bersama kami. Beliau menjawab: Wahai Nabi Allah! Saya dalam keadaan berjunub. Maka Rasulullah memerintahkannya supaya bertayamum, lalu lelaki tersebut bertayamum dengan tanah dan bersembahyang. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan aku bersama beberapa orang agar berjalan dengan cepat mendahului rombongan untuk mencari air kerana kami telah kehausan. Ketika kami berjalan kami telah berjumpa dengan seorang perempuan di atas unta dengan menjuntaikan kakinya dan duduk di antara dua buah qirbah iaitu bekas yang dibuat dari kulit untuk mengisi air. Lalu kami bertanya kepadanya: Di mana kami boleh mendapatkan air? Perempuan tersebut menjawab: Air susah dicari, air susah dicari, tidak ada air untuk kamu. Kami bertanya: Berapa jauhkah perkampungan kamu dengan tempat air? Perempuan itu menjawab: Perjalanan sehari semalam. Kami berkata: Pergilah engkau menemui Rasulullah s.a.w. Perempuan itu berkata: Apa itu Rasulullah? Oleh kerana susah untuk menjelaskan kepadanya maka kami berjalan bersama-samanya menghadap Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah bertanya kepadanya dan dia menjawab sebagaimana jawapan yang telah diberikan kepada kami tadi, perempuan tersebut menerangkan bahawa dia adalah ibu kepada dua orang anak yatim. Rasulullah memerintahkan supaya unta perempuan tersebut didudukkan kemudian Rasulullah s.a.w meludah ke dalam kedua-dua qirbah tersebut. Selepas itu baginda membangunkan unta perempuan tersebut dan kami semua meminumnya. Padahal kami semuanya berjumlah empat puluh orang yang semuanya dalam kehausan sehinggalah kami merasa segar. Kami mengisi segala bekas yang ada bersama kami, bahkan ada di kalangan kami yang mandi, cuma kami tidak memberi unta minum. Namun begitu kedua-dua qirbah itu masih penuh, bahkan airnya makin bertambah. Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kumpulkan segala sisa-sisa bekalan kami seperti roti dan kurma. Lalu kami mengumpulkan semua itu ke dalam bekas, diikat dan diserahkan kepada perempuan tersebut seraya baginda bersabda: Pulanglah dan bawakan makanan ini kepada anak-anak kamu. Ketahuilah bahawa aku tidak mengurangi sedikit pun dari air kamu. Ketika perempuan itu pulang ke rumahnya dia telah menceritakan peristiwa tersebut kepada keluarganya: Aku telah menemui seorang ahli sihir yang mahir atau seorang Nabi sebagaimana yang didakwa olehnya. Akhirnya Allah berkenan memberi petunjuk kepada beberapa keluarga dengan berkat jasa bakti perempuan tersebut. Mereka dan juga perempuan itu sama-sama memeluk agama Islam. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1100,Bab Menggantikan Sembahyang Yang Tertinggal Dan Galakan Supaya Bersegera Menggantikan Sembahyang Tersebut)


 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Kita adalah orang-orang yang terakhir dan kita jugalah orang-orang yang mendahului umat manusia pada Hari Kiamat. Setiap umat dikurniakan Kitab sebelum kita. Kemudian kita pula diberi kitab sesudah mereka. Oleh itu, inilah hari yang ditentukan oleh Allah untuk kita. Allah memberi petunjuk kepada kita pada hari tersebut. Umat-umat lain akan mengikuti kita pada hari itu, kaum Yahudi esok dan kaum Nasrani lusa. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1412,Bab Hidayat Petunjuk Umat Ini Pada Hari Jumaat)


 Hadis Asma' r.a: Diriwayatkan daripada Fatimah sesungguhnya Asma' telah berkata: Matahari gerhana pada masa Rasulullah s.a.w. Aku datang menemui Aisyah yang ketika itu sedang bersembahyang. Aku bertanya: Kenapa orang ramai mendirikan sembahyang? Aisyah memberi isyarat dengan kepalanya ke arah langit. Aku bertanya lagi: Tanda kebesaran Allah? Dia menjawab: Benar! Rasulullah s.a.w berdiri cukup lama sekali, hingga aku terasa hampir pengsan. Lalu aku mencapai qirbah (satu bekas air) yang ada di sampingku dan aku menuangnya ke kepalaku atau ke wajahku. Apabila Rasulullah s.a.w selesai, matahari telahpun muncul kembali. Kemudian Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kaum Muslimin. Baginda memuji Allah dan menyanjungi-Nya. Lalu bersabda: Apa sahaja yang belum pernah aku lihat, pasti benar-benar aku dapat melihatnya di maqamku ini, biarpun ke Syurga dan Neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku, bahawa kamu akan menerima cubaan di dalam kubur yang hampir-hampir menyerupai fitnah Al-Masih Ad-Dajal. Aku tidak tahu apakah ia sebenarnya. Asma' lalu berkata: Kamu akan didatangi seseorang dan ditanyakan apakah yang kamu tahu mengenai lelaki ini? Adapun orang yang beriman atau orang yang yakin akan menjawab: Aku tidak tahu siapakah dia. Asma' berkata: Katakanlah dia itu Muhammad. Dialah utusan Allah yang membawa bukti-bukti dan petunjuk kepada kami. Lalu kami penuhi dan taati (sebanyak tiga kali). Kemudian dikatakan kepadanya: Benar! Kami memang tahu bahawa engkau beriman kepadanya. Tidurlah baik-baik! Sedangkan orang yang munafik atau ragu-ragu akan menjawab: Aku tidak tahu. Asma' berkata: Aku tidak tahu, cuma aku mendengar orang ramai berkata sesuatu, maka aku turut mengatakannya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1509,Bab Perkara Yang Diperlihatkan Kepada Nabi s.a.w Ketika Sembahyang: Gerhana, Mengenai Syurga dan Neraka) 


 Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar sekumpulan demi sekumpulan pada waktu malam, kemudian salah seorang dari kalangan pejuang bertanya kepada Amir bin Al-Akwa' yang terkenal sebagai seorang penyair: Bolehkah kamu memperdengarkan kepada kami alunan syairmu? Lalu Amir memenuhi permintaan itu dengan mengalunkan beberapa rangkap syairnya: اللَّهُمَّ لَوْلَا أَنْتَ مَا اهْتَدَيْنَا وَلَا تَصَدَّقْنَا وَلَا صَلَّيْنَا فَاغْفِرْ فِدَاءً لَكَ مَا اقْتَفَيْنَا وَثَبِّتِ الْأَقْدَامَ إِنْ لَاقَيْنَا وَأَلْقِيَنْ سَكِينَةً عَلَيْنَا إِنَّا إِذَا صِيحَ بِنَا أَتَيْنَا وَبِالصِّيَاحِ عَوَّلُوا عَلَيْنَا Yang bermaksud: Ya Allah! Sekiranya Engkau tiada nescaya kami tidak akan mendapat petunjuk. Tidak mungkin kami akan bersedekah dan bersembahyang. Sebagai balasan untuk Engkau, maafkanlah apa yang telah kami usahakan. Mantapkanlah langkah kami ketika bertemu musuh. Dan kurniakanlah kepada kami suatu ketenangan. Bila semboyan berkumandang kami segera maju. Oleh itu bantulah kami dalam peperangan. Setelah mendengar alunan syair tersebut, Rasulullah s.a.w terus bertanya: Siapakah orang yang mengalunkan syair tadi? Lalu para sahabat sama-sama menjawab: Amir! Baginda pun menjawab: Mudah-mudahan Allah merahmatinya. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Dia akan mati syahid bila engkau memberi kesempatan kepadanya. Lalu kami semua menyerbu Khaibar dan mengepung penduduknya sehingga kami benar-benar kehausan. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Allah akan menundukkan Khaibar di tangan kamu semua. Pada waktu petangnya ketika Khaibar telah berjaya ditakluki, mereka telah menyalakan api yang besar, lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah tujuan mereka menyalakan api ini? Para sahabat menjawab: Untuk membakar daging. Baginda bertanya lagi: Daging apa? Lalu para sahabat menjawab: Daging keldai-keldai peliharaan. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Buang dan pecahkannya (tempat atau bekas yang digunakan). Kemudian seorang sahabat bertanya: Bagaimana kalau bekas tersebut dibersihkan? Maka baginda pun menjawab: Atau begitu pun boleh juga. Ketika tentera Muslimin telah berbaris dan bersedia untuk bertempur, Amir menghunus pedangnya tetapi tidak menepati sasaran, lalu dipegangnya betis seorang Yahudi untuk dibunuh, tetapi hujung pedangnya terbalik dan mencederakan lututnya (Amir) sendiri dan beliau telah gugur syahid. Mengikut riwayat, semasa perjalanan pulang Salamah berkata: Dia (saudara Amir bin Al-Akwa') memegang tanganku erat-erat, dia amat sedih dengan kehilangan saudaranya. Semasa Rasulullah s.a.w melihatku, baginda hanya terdiam sahaja, kemudian baginda bertanya: Apa hal? Aku menjawab: Ambillah ayah dan ibuku sebagai balasan sekiranya kata-kataku ini salah, orang ramai menganggap Amir telah melakukan perbuatan yang sia-sia. Lalu baginda bertanya: Siapa yang berkata begitu? Akupun menjawab: Polan, Polan dan Usaid bin Hudair Al-Ansariy. Lalu baginda menjawab: Kata-kata orang tersebut adalah tidak benar, sesungguhnya dia mendapat dua ganjaran (sambil mengisyaratkannya dengan dua jari) iaitu sebagai seorang yang mentaati Allah dan juga sebagai seorang pejuang. Jarang sekali orang Arab yang bertempur mendapat ganjaran sepertinya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3363,Bab Peperangan Khaibar)


 Hadis Al-Bara' r.a katanya: Semasa berlaku peperangan Ahzab Rasulullah s.a.w turut sama mengangkut pasir atau tanah bersama-sama kami. Kemudian kami melihat perut baginda telah berlumuran debu dan baginda berkata: وَاللَّهِ لَوْلَا أَنْتَ مَا اهْتَدَيْنَا وَلَا تَصَدَّقْنَا وَلَا صَلَّيْنَا فَأَنْزِلَنْ سَكِينَةً عَلَيْنَا إِنَّ الْأُلَى قَدْ أَبَوْا عَلَيْنَا Yang bermaksud: Ya Allah! Sekiranya Engkau tiada nescaya kami tidak akan mendapat petunjuk. Tidak mungkin kami akan bersedekah dan bersembahyang. Turunkanlah kepada kami suatu ketenangan. Sesungguhnya dari kalangan mereka masih ada yang enggan bersama kami. Mengikut setengah riwayat baginda menyebut: إِنَّ الْمَلَا قَدْ أَبَوْا عَلَيْنَا إِذَا أَرَادُوا فِتْنَةً أَبَيْنَا Yang bermaksud: Sesungguhnya satu kaum enggan bersama kami. Apabila mereka ingin menimbulkan fitnah mereka enggan bersama kami. Baginda mengungkapkan kata-katanya dengan suara yang lantang. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3365,Bab Peperangan Ahzab Atau Khandaq) 


 Hadis Abu Musa r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Perumpamaan Allah Azza Wa Jalla mengutusku menyampaikan petunjuk dan ilmu adalah seperti titisan hujan yang telah membasahi bumi. Manakala bumi tersebut sebahagian tanahnya ada yang subur sehingga dapat menyerap air serta menumbuhkan rumput dan sebahagian lagi berupa tanah-tanah keras yang dapat menahan air, lalu Allah memberi manfaat kepada manusia sehingga mereka dapat meneguk air, memberi minum dan menggembala ternaknya di tempat itu. Ada juga titisan air hujan tersebut jatuh di tanah yang lain, iaitu tanah gersang yang sama sekali tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput rampai. Manakala itu semua adalah perumpamaan orang yang bijak pandai tentang agama Allah dan memanfaatkannya setelah aku diutus oleh Allah. Maka baginda tahu dan mahu mengajar apa yang diketahuinya dan juga perumpamaan orang yang keras kepala yang tidak mahu menerima petunjuk Allah yang kerana-Nya aku diutuskan. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4232,Bab Menerangkan Contoh contoh Nabi s.a.w Menyampaikan Petunjuk dan Ilmu)


 Hadis Sahl bin Saad r.a: Rasulullah s.a.w bersabda ketika peperangan Khaibar: Aku akan berikan bendera ini kepada seorang lelaki, dengan tangannyalah Allah akan memberi kemenangan, yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dan dicintai Allah dan Rasul--Nya. Semalaman orang ramai berbicara siapakah yang akan diberi bendera oleh Rasulullah s.a.w. Keesokan harinya mereka pergi mendapatkan Rasulullah s.a.w dan berharap supaya Rasulullah s.a.w memberi bendera itu kepada mereka. Rasulullah s.a.w bertanya: Di manakah Ali? Mereka menjawab: Beliau, wahai Rasulullah, tetapi matanya sakit. Kemudian mereka pergi mendapatkan Ali dan membawanya kepada Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w meludah ke dalam matanya serta berdoa untuknya. Setelah itu mata Ali terus sembuh seperti sebelumnya, lalu Rasulullah s.a.w memberikan bendera itu kepadanya. Ali berkata: Wahai Rasulullah! Aku akan memerangi mereka sehinggalah mereka seperti kita. Rasulullah s.a.w bersabda: Lakukan dengan berhati-hati sehingga kamu sampai ke wilayah mereka, kemudian serulah mereka pada agama Islam dan beritahu mereka tentang kewajipan mereka terhadap hak Allah. Demi Allah, sekiranya seseorang lelaki diberi petunjuk oleh Allah kerana kamu, adalah lebih baik bagimu daripada memiliki beberapa ekor keldai. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4423,Bab Sebahagian Dari Kelebihan Ali Bin Abu Talib r.a)