Search This Blog

Pages

October 30, 2011

Ketetapan Syurga Terhadap Orang Yang Mati Syahid

Hadis Al-Bara' r.a katanya: Seorang lelaki dari Bani Nabit dari golongan Ansar datang kepada Nabi s.a.w lalu mengucapkan: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya anda (baginda) adalah hamba dan utusan-Nya. Kemudian beliau ikut berperang sehinggalah beliau terbunuh. Nabi s.a.w bersabda: Amalan lelaki ini tidak seberapa, tetapi pahalanya sungguh besar dan banyak

Kelebihan Berjihad Dan Keluar Berjuang Di Jalan Allah

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah akan memberi jaminan kepada orang-orang yang keluar (berjuang) di jalan-Nya. Sesungguhnya orang yang keluar untuk berjihad hanya kerana iman dan ikhlas kepada Allah, maka Allahlah yang akan memberi jaminan untuk memasukkannya ke dalam Syurga atau akan mengembalikannya semula ke rumah, beliau juga keluar dengan mendapat pahala atau harta rampasan. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya. Pada setiap bahagian tubuh yang terluka di jalan Allah akan diperlihatkan oleh-Nya pada Hari Kiamat. Ketika beliau terluka warna darah dan baunya adalah seperti minyak kasturi. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya, jika peperangan itu memang tidak berat bagi kaum Muslimin, sudah tentu aku tidak akan meninggalkan pasukan yang turut berperang pada jalan Allah tetapi aku sendiri tidak mampu memberikan kenderaan kepada mereka dan keadaan mereka sendiri juga seperti diriku yang tidak mampu. Mereka sendiri sebenarnya masih merasa keberatan dan tidak dapat berangkat bersamaku. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya. Sesungguhnya aku lebih suka seandainya aku berperang di jalan Allah lalu terbunuh, lalu aku dihidupkan kemudian berperang lagi dan terbunuh, kemudian aku dihidupkan dan berperang lagi dan akhirnya terbunuh lagi. 

Pada Ubun Ubun Kuda Itu Terdapat Kebaikan Sehingga Ke Hari Kiamat

Hadis Urwah Al-Bariqi r.a katanya:
 Rasulullah s.a.w. bersabda: Pada ubun-ubun kuda itu terdapat kebaikan sehingga ke Hari Kiamat, iaitu pahala dan ghanimah (harta rampasan). 

Pemimpin Merupakan Perisai Turut Bersama Memerangi Orang Kafir Dan Zalim Serta Memberi Perlindungan Kepada Orang Orang Islam

Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang imam (pemimpin) itu merupakan pelindung. Dia bersama pengikutnya memerangi orang kafir dan orang zalim serta memberi perlindungan kepada orang-orang Islam. Sekiranya dia menyuruh supaya bertakwa kepada Allah dan berlaku adil maka dia akan mendapat pahala, akan tetapi sekiranya dia menyuruh selain dari yang demikian itu, pasti dia akan menerima akibatnya.

Surat Dari Nabi s.a.w Kepada Raja Hiraqal Yang Menyeru Beliau Memeluk Islam

 Hadis Abu Sufian r.a katanya: 
Setelah aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dalam tempoh yang agak lama, pada waktu itu aku berada di Syam maka telah sampai sepucuk surat dari Rasulullah s.a.w yang ditujukan kepada Raja Hiraqal Pembesar Empayar Rom. Dahyat Al-Kalbi telah membawa surat tersebut dan menyampaikannya kepada pembesar Busra. Maka pembesar Busra telah membawa surat tersebut kepada Raja Hiraqal. Lalu Raja Hiraqal bertanya: Adakah di sini terdapat seorang lelaki dari kaum orang yang mendakwa sebagai Nabi ini? Orang-orang yang ditanya menjawab: Ya! Ada. Aku pun dipanggil bersama beberapa orang Quraisy yang lainnya, maka kami pun terus masuk menghadap Raja Hiraqal. Setelah dipersilakan duduk di hadapannya, Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaan: Adakah di antara kamu ini orang yang paling dekat nasab keturunan dengan seorang yang mengaku sebagai Nabi ini? Abu Sufian menjawab: Aku! Kemudian beliau menyuruh aku duduk lebih dekat di hadapannya. Sementara itu sahabat-sahabatku yang lain dipersilakan duduk di belakangku. Kemudian Raja Hiraqal mempersilakan juru bicaranya (penterjemahnya) dan berkata: Katakan kepada mereka yang berada di hadapanku ini, bahawa aku bertanya mengenai seorang lelaki yang telah mengaku sebagai nabi. Jika beliau berdusta kepadaku, bererti maka berdustalah beliau. Berkata Abu Sufian Demi Allah, sekiranya aku tidak bimbang pendustaanku akan diceritakan oleh sahabat-sahabatku di negeriku nanti, nescaya aku memilih berdusta. Melalui juru bicaranya Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaannya: Bagaimanakah nasab (keturunannya) di kalangan kamu? Aku menjawab: Di kalangan kami beliau mempunyai nasab (keturunan) yang cukup mulia. Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah terdapat di antara nenek moyangnya yang pernah menjadi raja? Aku menjawab: Tidak ada! Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah kamu pernah mencurigainya berdusta sebelum beliau mengatakan apa yang sudah dikatakannya? Aku menjawab: Tidak! Beliau (Raja Hiraqal) meneruskan pertanyaan: Siapakah yang menjadi pengikutnya? Adakah mereka terdiri dari kalangan orang yang mulia atau dari kalangan orang yang lemah? Aku menjawab: Para pengikutnya adalah terdiri dari kalangan orang yang lemah. Beliau terus bertanya: Adakah pengikutnya semakin berkurang atau bertambah? Aku menjawab: Tidak! Bahkan semakin bertambah. Beliau bertanya lagi: Adakah terdapat salah seorang dari pengikutnya yang keluar atau murtad dari agamanya kerana tidak suka kepadanya? Aku menjawab: Tidak pernah! Beliau bertanya lagi: Bagaimana dengan peperangan? Aku menjawab: Peperangan yang terjadi antara kami dengannya seimbang, adakalanya kami mendapat kemenangan dan adakalanya kami menerima kekalahan. Beliau bertanya: Adakah beliau pernah khianat? Aku menjawab: Tidak! Selama hidupku aku tidak pernah melihat beliau berbuat seperti itu. Beliau bertanya lagi: Adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya? Aku menjawab: Tidak pernah! Kemudian Raja Hiraqal memerintahkan juru bicaranya supaya menyatakan (isi hatinya) bahawa: Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai nasab (keturunannya), kamu menjawab sesungguhnya (Muhammad) adalah seorang yang mempunyai nasab (keturunan) yang baik dan memang begitulah keadaan para rasul apabila diutus di kalangan kaumnya. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah nenek moyangnya (Muhammad) ada yang pernah menjadi raja, kamu menjawab tidak ada sama sekali. Jadi itulah yang membuatkan aku kagum kerana dengan kedudukannya atau kebesarannya sekarang bukan merupakan warisan dari nenek moyangnya. Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai para pengikutnya, kamu menjawab bahawa para pengikutnya terdiri dari orang-orang yang lemah dan mereka itulah pengikut para rasul. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah kamu pernah menuduhnya berdusta tentang apa yang diucapkan, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah berdusta samada sesama manusia apalagi kepada Allah. Maka bagiku memang itulah sifat seorang rasul. Aku tanyakan kepadamu adakah salah seorang dari pengikutnya ada yang keluar dari agamanya (murtad), maka kamu menjawab tidak pernah ada dan begitulah keimanan beliau apabila terpancar di sudut hati dan berseri-seri. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah para pengikutnya berkurang atau bertambah, maka kamu menjawab pengikutnya semakin bertambah dan demikian itulah keimanan yang sempurna. Aku bertanya kepadamu adakah kamu pernah memeranginya, maka kamu menjawab pernah, di mana kadangkala kamu menang dan kadang-kala kamu tewas. Demikian itulah para rasul harus dicuba terlebih dahulu sebelum mereka menerima ganjaran yang baik. Aku bertanya kepadamu adakah beliau pernah khianat, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah khianat. Jadi begitulah sifat para rasul. Aku bertanya kepadamu adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya, kamu menjawab tidak pernah seorang pun sebelumnya yang mengucapkannya. Kalau begitu beliau (Muhammad) benar-benar orang yang sangat istimewa. Melalui juru bicaranya lagi, Raja Hiraqal bertanya kepadaku: Apakah yang telah diperintahkan oleh beliau (Muhammad)? Aku menjawab: Beliau memerintahkah kami supaya mendirikan sembahyang, membayar zakat, menghubungkan Silaturahim dan mencegah dari perkara-perkara yang diharamkan. Kemudian Raja Hiraqal berkata: Sekiranya apa yang kamu katakan ini benar, maka beliau (Muhammad) memang benar-benar seorang nabi. Aku tahu sesungguhnya beliau adalah seorang yang sungguh luar biasa dan aku sama sekali tidak menyangka bahawa seorang Nabi telah muncul dari kalangan kamu. Oleh itu, secara jujur aku katakan bahawa aku benar-benar ingin berjumpa dengannya. Seandainya aku berada di sisinya, nescaya aku akan membasuh kedua telapak kakinya dan akan meletakkan kekuasaannya di atas kedua telapak kakiku. Setelah itu raja Hiraqal meminta supaya diambil surat yang telah dikirimkan oleh Rasulullah s.a.w lalu membacanya: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Dari Muhammad utusan Allah ditujukan kepada Hiraqal pembesar Empayar Rom. Salam sejahtera buat mereka yang sentiasa mengikuti kebenaran. Sesungguhnya aku menyerumu untuk memeluk Islam. Masuklah Islam semoga kamu akan tenteram. Masuklah Islam nescaya Allah akan menganugerahkan kepadamu dua pahala sekaligus. Jika kamu menolak dari ajakan yang mulia ini, maka kamu akan menanggung dosa yang teramat besar.


 يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لَا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِ 


Yang bermaksud: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, iaitu kita tidak akan sembah melainkan Allah dan kita tidak akan menyekutukan-Nya dengan sesuatupun dan tidak pula sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling (tidak mahu menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri kepada Islam (Allah). Setelah selesai membaca surat tersebut terdengar suara teriakan yang nyaring. Kami diarahkan supaya keluar. Maka ketika itulah aku berkata kepada sahabat-sahabatku: Inilah bukti bagi Ibnu Abu Kabsyah yang selalu ditakuti kemunculannya oleh raja orang-orang Rom Bani Asfar. Raja Hiraqal berkata: Aku yakin bahawa seruan dan ajakan Rasulullah s.a.w pada suatu masa nanti pasti akan muncul sehingga Allah berkenan memasukkan aku ke dalam Islam.

Pahala Terhadap Hakim Apabila Berijtihad, Samada Ijtihadnya Itu Benar Ataupun Salah

Hadis Amru bin Al-As r.a: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang hakim memutuskan sesuatu perkara dengan berijtihad, kemudian ijtihadnya itu benar, maka dia akan mendapat dua pahala. Sekiranya hakim itu memutuskan sesuatu perkara dengan berijtihad, tetapi ijtihadnya itu tidak benar, maka dia akan memperoleh satu pahala. 

Hukuman Itu Merupakan Kifarat Terhadap Orang Yang Berkenaan

Hadis Ubadah bin As-Somit r.a katanya: Ketika aku bersama dengan Rasulullah s.a.w dalam satu majlis. Baginda bersabda: Seharusnya kamu membuat pengakuan kepadaku bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain juga kamu tidak akan melakukan zina, mencuri dan tidak akan membunuh orang yang telah diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak. Sesiapa di antara kamu yang mematuhinya maka akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Sesiapa yang terlanjur melakukannya maka dia akan mendapat hukuman yang merupakan kifarat baginya. Sesiapa yang terlanjur melakukannya tetapi Allah telah menutupinya, maka itu adalah urusan Allah. Jika Allah mahu memberi keampunan kepadanya sudah pasti Allah akan mengampuninya. Tetapi jika Allah mahu menyeksanya, maka sudah pasti Allah akan menyeksanya. 

Pahala Seorang Hamba Yang Setia Kepada Tuannya Dan Beribadat Kepada Allah Dengan Sebaik Baiknya

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Bagi seorang hamba yang setia akan mendapat dua pahala.

Pahala Seorang Hamba Yang Setia Kepada Tuannya Dan Beribadat Kepada Allah Dengan Sebaik Baiknya

Hadis Ibnu Umar r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang hamba yang setia kepada tuannya dan menjalankan ibadat kepada Allah dengan baik, maka baginya pahala dua kali ganda. 

Mewasiatkan Dengan Satu Pertiga

Hadis Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Pada waktu Haji Wida' Rasulullah s.a.w menziarahiku ketika aku sedang sakit tenat. Waktu itu aku berkata: Wahai Rasulullah! Lihatlah keadaan aku yang berada dalam keadaan tenat ini sebagaimana yang kamu lihat, sedangkan aku ini seorang hartawan dan hanya seorang anak perempuan sajalah yang akan mewarisi harta saya. Adakah saya boleh mengeluarkan sedekah dua pertiga dari harta saya? Baginda menjawab: Tidak! Aku bertanya lagi: Bagaimana kalau sebahagiannya? Baginda menjawab: Tidak! Tetapi satu pertiga dan satu pertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta kepada orang lain. Tidakkah Kamu menafkahkan suatu nafkah dengan tujuan untuk mendapat keredaan Allah, sehinggalah kamu mendapat pahala daripada nafkahmu itu, sekalipun sesuap makanan yang kamu masukkan ke mulut isterimu. Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah saya akan dikekalkan (masih tetap hidup) sesudah sahabat-sahabat saya (meninggal dunia)? Baginda bersabda: Sesungguhnya kamu tidak akan dikekalkan lalu kamu melakukan sesuatu amalan dengan tujuan untuk mendapatkan keredaan Allah sehinggalah dengan amal itu darjatmu akan bertambah. Barangkali kamu akan dikekalkan sehingga umat Islam mendapat manfaat dari sesuatu kaum dan kaum yang lain iaitu orang-orang kafir menderita kerugian keranamu. Wahai Allah! Sempurnakanlah hijrah sahabat-sahabatku dan janganlah kamu kembalikan mereka ke belakang (kepada kekufuran) tetapi yang sial adalah Saad bin Khaulah. Beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w mengasihi orang yang telah diwafatkan di Mekah. 

Perintah Supaya Membunuh Anjing Dan Penjelasan Tentang Pembatalan Perintah Tersebut. Pengharaman Memelihara Anjing Kecuali Untuk Berburu, Menjaga Tanaman Atau Ternakan Dan Lain lain

Hadis Sufian bin Abu Zuhair r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternakan, maka setiap hari pahala amalannya akan berkurang sebanyak satu qirat. 

Perintah Supaya Membunuh Anjing Dan Penjelasan Tentang Pembatalan Perintah Tersebut. Pengharaman Memelihara Anjing Kecuali Untuk Berburu, Menjaga Tanaman Atau Ternakan Dan Lain lain

Hadis Abu Hurairah r.a: Daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing selain dari untuk berburu atau menjaga ternakan dan ladang, maka setiap hari pahala amalannya akan berkurang sebanyak dua qirat. 

Perintah Supaya Membunuh Anjing Dan Penjelasan Tentang Pembatalan Perintah Tersebut. Pengharaman Memelihara Anjing Kecuali Untuk Berburu, Menjaga Tanaman Atau Ternakan Dan Lain lain

Hadis Ibnu Umar r.a katanya:
 Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing selain dari anjing untuk menjaga ternakan dan anjing untuk berburu, maka setiap hari pahala amalannya dikurangkan sebanyak dua qirat (kinayah iaitu ibarat bagi ganjaran pahala yang sangat besar). 

Penjelasan Mengenai Memberi Pilihan Kepada Isteri Bukanlah Bererti Perceraian Kecuali Disertai Dengan Niat

Hadis Aisyah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w disuruh untuk memberikan pilihan kepada isteri-isterinya, baginda mulai dengan aku. Baginda bersabda: Aku akan menyampaikan sesuatu kepadamu dan aku harap kamu tidak terburu-buru mengambil suatu keputusan sebelum kamu pertimbangkan dengan kedua orang tuamu. Kata Aisyah r.a aku sudah tahu bahawa kedua orang tuaku sama sekali tidak menghendaki berpisah dengan baginda apatah lagi menyuruhku. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia berfirman:


 يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا وَإِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ فإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا 


Yang bermaksud: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Jika kamu sekalian inginkan kehidupan dunia dan segala perhiasannya, maka marilah akan kuberikan kepadamu mut'ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik dan jika kamu sekalian inginkan keredaan Allah dan Rasul-Nya serta kesenangan di negeri Akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar. Aku berkata: Jadi tentang soal inikah aku disuruh untuk meminta pertimbangan daripada dua orang tuaku? Sesungguhnya aku menghendaki Allah dan Rasul-Nya serta kesenangan di negeri Akhirat. Ternyata isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang lain juga mengikuti apa yang aku lakukan itu.

Kelebihan Umrah Pada Bulan Ramadan

Hadis Ibnu Abbas r.a: Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada seorang wanita dari kaum Ansar tetapi aku terlupa nama wanita tersebut sebagaimana yang diberitahu oleh Ibnu Abbas. Baginda bersabda: Apakah yang menghalang kamu dari mengerjakan ibadat Haji bersamaku? Wanita itu menjawab: Sebenarnya tidak ada halangan bagi kami, cuma kami hanya mempunyai dua ekor unta. Suami dan anakku telah pergi mengerjakan Haji dengan seekor unta. Tinggallah kepada kami seekor unta untuk mengangkat air. Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan pergilah mengerjakan Umrah kerana mengerjakan Umrah pada bulan tersebut pahalanya sama dengan mengerjakan Haji. 

Pahala Bagi Orang Yang Berbuka Sewaktu Musafir Apabila Dia Diminta Supaya Melakukan Suatu Pekerjaan

Hadis Anas r.a katanya: Kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan. Di antara kami ada yang tetap berpuasa dan ada pula yang berbuka. Kami berhenti di suatu tempat ketika hari sedang panas terik. Di kalangan kami, orang yang paling banyak mendapat naungan ialah orang yang berpakaian lengkap. Sementara orang yang tidak berpakaian lengkap, melindungi kepala mereka dari panas cahaya matahari dengan meletakkan tangan di atas kepala. Ketika itu orang yang berpuasa berada dalam keadaan sangat letih tidak seperti orang yang berbuka, keadaan mereka tetap segar. Kemudian mereka mendirikan peneduh dan memberi minum binatang tunggangan mereka. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Jelaslah orang yang berbuka hari ini, pergi dengan membawa bersama pahalanya. 

Dorongan Supaya Membunuh Orang orang Khawarij

Hadis Ali r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Pada akhir zaman akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akalnya. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka adalah manusia yang terbaik. Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya, membunuh mereka ada pahalanya di sisi Allah pada Hari Kiamat.

Ganjaran Penyimpan Amanah Atau Bendahari Yang Amanah Dan Sedekah Yang Dikeluarkan Oleh Seorang Wanita Dari Harta Kepunyaan Suaminya Tanpa Melakukan Kerosakan Samada Dengan Keizinan Yang Nyata Ataupun Mengikut Adat Kebiasaan

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seorang wanita tidak boleh berpuasa ketika suaminya ada bersama kecuali dengan izin suaminya. Dia juga tidak boleh mengizinkan orang lain masuk ke rumahnya ketika suaminya ada bersama kecuali mendapat keizinan suaminya dan apapun yang dia belanjakan dari hasil kerja suaminya tanpa perintah atau izin suaminya itu, maka separuh dari pahalanya adalah untuk suaminya.

Ganjaran Penyimpan Amanah Atau Bendahari Yang Amanah Dan Sedekah Yang Dikeluarkan Oleh Seorang Wanita Dari Harta Kepunyaan Suaminya Tanpa Melakukan Kerosakan Samada Dengan Keizinan Yang Nyata Ataupun Mengikut Adat Kebiasaan

Hadis Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang isteri membelanjakan dari makanan yang terdapat di rumahnya tanpa melakukan kerosakan, maka dia akan mendapat ganjaran dari apa yang telah dibelanjakannya dan suaminya juga beroleh pahala dari apa yang telah diusahakan. Begitu juga Bendahari yang amanah, mendapat pahala samalah seperti mereka tanpa mengurangi sedikitpun pahala dari suami isteri tersebut. 

Kelebihan Memberi Pinjam Unta

Hadis Abu Hurairah r.a: Daripada Nabi s.a.w, katanya: Baginda telah melarang dan membuat beberapa tegahan. Baginda bersabda: Sesiapa yang memberi pinjam unta iaitu untuk diambil susu dan dimanfaatkannya bagi tempoh masa tertentu, maka unta itu memasuki waktu pagi dengan membawa pahala sedekah dan memasuki waktu petang dengan membawa pahala sedekah, iaitu hasil susunya pada pagi dan petang. 

Kelebihan Memberi Pinjam Unta

Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Ingatlah! Seseorang yang memberi pinjam unta kepada seorang penghuni rumah dan unta tersebut mampu mengeluarkan susunya pada pagi dan petang. Sesungguhnya pahala pinjaman unta itu adalah terlalu besar. 

Sampainya Pahala Sedekah Untuk Orang Mati

Hadis Aisyah r.a: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Benar!. 

Kelebihan Menafkah Serta Bersedekah Kepada Kaum Kerabat, Isteri, Anak anak dan Kedua Orang Tua Walaupun Mereka Orang orang Musyrik Iaitu Bukan Islam

Hadis Abu Mas'ud Al-Badri r.a: 
 Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang muslim itu apabila memberikan nafkah kepada keluarganya dan dia mengharapkan pahala darinya, maka nafkahnya itu dikira sebagai sedekah.