Search This Blog

Pages

March 22, 2011

Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?

Kenapa dunia Islam menjadi sasaran pemusnahan?
Ertinya:
Daripada Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy isteri Rasulullah صلى الله عليه وسلم, beliau berkata,
“(Pada suatu hari) Rasulullah صلى الله عليه وسلم masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab daripada kejahatan (mala petaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini.”
Baginda menemukan hujung ibu jari dengan hujung jari yang di sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan.
Saya (Zainab binti Jahsy) bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Ya, jikalau kejahatan terlalu banyak.”
Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Keterangan:
Hadith di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat tersebut. Ia tidak menimpa hanya ke atas orang jahat sahaja, bahkan orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan. Walau bagaimanapun pada hari kiamat kelak semua makhluk akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah mereka dilakukan semasa hidup di dunia.
Oleh kerana itu, segala macam kemungkaran dan kefasikan hendaklah segera dibasmi dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan. Tindakan ini adalah perlu agar tidak terjadi mala petaka yang bukan sahaja bakal menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, malahan juga semua orang yang berada di tempat itu.
Dalam hadith di atas, walaupun khusus disebutkan bangsa Arab, tetapi ianya adalah meliputi keseluruhan bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita صلى الله عليه وسلم sendiri adalah daripada kalangan mereka. Selain daripada itu, kebanyakan penganut agama Islam pada zaman permulaan penyebarannya adalah terdiri daripada bangsa Arab dan hanya sedikit daripada bangsa yang lain. Begitu juga halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju mundurnya umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Bahasa rasmi agama Islam juga adalah Bahasa Arab.
Ya’juj dan Ma’juj pula adalah dua bangsa daripada keturunan Nabi Adam عليه السلام yang dahulunya banyak membuat kerosakan di muka bumi ini. Batas daerah kediaman mereka telah ditutup oleh Iskandar Zulkarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga. Oleh yang demikian mereka tidak dapat keluar sehinggalah hampir tiba hari kiamat. Pada masa itu, dinding yang kuat tadi akan hancur lalu keluarlah kedua-dua bangsa tersebut dari kediaman mereka lantas membuat kerosakan di muka bumi ini kembali. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat sekali tiba saatnya…… ArabMykrk.com