Search This Blog

Pages

November 28, 2011

Peristiwa Peperangan Hunain

 Hadis Al-Bara' r.a: 
Seorang lelaki berkata kepada Al-Bara': Wahai Abu Umarah! Adakah kamu melarikan diri ketika berlakunya peperangan Hunain? Al-Bara' menjawab: Tidak! Rasulullah s.a.w sama sekali tidak berpaling atau berundur. Namun pada saat itu muncul beberapa orang sahabatnya yang muda-muda dan begitu bersemangat. Di antara mereka ada yang membawa senjata yang banyak dan ada pula yang tidak membawa senjata sama sekali. Secara mendadak mereka terus memanah ke arah orang-orang Hawazin dan Bani Nadhir. Panahan mereka telah menepati sasaran. Maka begitulah mereka melindungi Rasulullah s.a.w yang berada di atas baghalnya (kudanya) yang berwarna putih. Sementara itu Abu Sufian bin Al-Harith bin Abdul Muttalib dengan setia membawa baginda. Selepas itu baginda memohon pertolongan dari Allah seraya mengucap: 


أَنَا النَّبِيُّ لَا كَذِبْ أَنَا ابْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبْ 


Yang bermaksud: Akulah Nabi yang tidak pernah berdusta, Aku adalah putera Abdul Muttalib. Kemudian baginda menyusun barisan tenteranya.

Surat Dari Nabi s.a.w Kepada Raja Hiraqal Yang Menyeru Beliau Memeluk Islam

 Hadis Abu Sufian r.a katanya: 
Setelah aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dalam tempoh yang agak lama, pada waktu itu aku berada di Syam maka telah sampai sepucuk surat dari Rasulullah s.a.w yang ditujukan kepada Raja Hiraqal Pembesar Empayar Rom. Dahyat Al-Kalbi telah membawa surat tersebut dan menyampaikannya kepada pembesar Busra. Maka pembesar Busra telah membawa surat tersebut kepada Raja Hiraqal. Lalu Raja Hiraqal bertanya: Adakah di sini terdapat seorang lelaki dari kaum orang yang mendakwa sebagai Nabi ini? Orang-orang yang ditanya menjawab: Ya! Ada. Aku pun dipanggil bersama beberapa orang Quraisy yang lainnya, maka kami pun terus masuk menghadap Raja Hiraqal. Setelah dipersilakan duduk di hadapannya, Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaan: Adakah di antara kamu ini orang yang paling dekat nasab keturunan dengan seorang yang mengaku sebagai Nabi ini? Abu Sufian menjawab: Aku! Kemudian beliau menyuruh aku duduk lebih dekat di hadapannya. Sementara itu sahabat-sahabatku yang lain dipersilakan duduk di belakangku. Kemudian Raja Hiraqal mempersilakan juru bicaranya (penterjemahnya) dan berkata: Katakan kepada mereka yang berada di hadapanku ini, bahawa aku bertanya mengenai seorang lelaki yang telah mengaku sebagai nabi. Jika beliau berdusta kepadaku, bererti maka berdustalah beliau. Berkata Abu Sufian Demi Allah, sekiranya aku tidak bimbang pendustaanku akan diceritakan oleh sahabat-sahabatku di negeriku nanti, nescaya aku memilih berdusta. Melalui juru bicaranya Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaannya: Bagaimanakah nasab (keturunannya) di kalangan kamu? Aku menjawab: Di kalangan kami beliau mempunyai nasab (keturunan) yang cukup mulia. Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah terdapat di antara nenek moyangnya yang pernah menjadi raja? Aku menjawab: Tidak ada! Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah kamu pernah mencurigainya berdusta sebelum beliau mengatakan apa yang sudah dikatakannya? Aku menjawab: Tidak! Beliau (Raja Hiraqal) meneruskan pertanyaan: Siapakah yang menjadi pengikutnya? Adakah mereka terdiri dari kalangan orang yang mulia atau dari kalangan orang yang lemah? Aku menjawab: Para pengikutnya adalah terdiri dari kalangan orang yang lemah. Beliau terus bertanya: Adakah pengikutnya semakin berkurang atau bertambah? Aku menjawab: Tidak! Bahkan semakin bertambah. Beliau bertanya lagi: Adakah terdapat salah seorang dari pengikutnya yang keluar atau murtad dari agamanya kerana tidak suka kepadanya? Aku menjawab: Tidak pernah! Beliau bertanya lagi: Bagaimana dengan peperangan? Aku menjawab: Peperangan yang terjadi antara kami dengannya seimbang, adakalanya kami mendapat kemenangan dan adakalanya kami menerima kekalahan. Beliau bertanya: Adakah beliau pernah khianat? Aku menjawab: Tidak! Selama hidupku aku tidak pernah melihat beliau berbuat seperti itu. Beliau bertanya lagi: Adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya? Aku menjawab: Tidak pernah! Kemudian Raja Hiraqal memerintahkan juru bicaranya supaya menyatakan (isi hatinya) bahawa: Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai nasab (keturunannya), kamu menjawab sesungguhnya (Muhammad) adalah seorang yang mempunyai nasab (keturunan) yang baik dan memang begitulah keadaan para rasul apabila diutus di kalangan kaumnya. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah nenek moyangnya (Muhammad) ada yang pernah menjadi raja, kamu menjawab tidak ada sama sekali. Jadi itulah yang membuatkan aku kagum kerana dengan kedudukannya atau kebesarannya sekarang bukan merupakan warisan dari nenek moyangnya. Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai para pengikutnya, kamu menjawab bahawa para pengikutnya terdiri dari orang-orang yang lemah dan mereka itulah pengikut para rasul. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah kamu pernah menuduhnya berdusta tentang apa yang diucapkan, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah berdusta samada sesama manusia apalagi kepada Allah. Maka bagiku memang itulah sifat seorang rasul. Aku tanyakan kepadamu adakah salah seorang dari pengikutnya ada yang keluar dari agamanya (murtad), maka kamu menjawab tidak pernah ada dan begitulah keimanan beliau apabila terpancar di sudut hati dan berseri-seri. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah para pengikutnya berkurang atau bertambah, maka kamu menjawab pengikutnya semakin bertambah dan demikian itulah keimanan yang sempurna. Aku bertanya kepadamu adakah kamu pernah memeranginya, maka kamu menjawab pernah, di mana kadangkala kamu menang dan kadang-kala kamu tewas. Demikian itulah para rasul harus dicuba terlebih dahulu sebelum mereka menerima ganjaran yang baik. Aku bertanya kepadamu adakah beliau pernah khianat, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah khianat. Jadi begitulah sifat para rasul. Aku bertanya kepadamu adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya, kamu menjawab tidak pernah seorang pun sebelumnya yang mengucapkannya. Kalau begitu beliau (Muhammad) benar-benar orang yang sangat istimewa. Melalui juru bicaranya lagi, Raja Hiraqal bertanya kepadaku: Apakah yang telah diperintahkan oleh beliau (Muhammad)? Aku menjawab: Beliau memerintahkah kami supaya mendirikan sembahyang, membayar zakat, menghubungkan Silaturahim dan mencegah dari perkara-perkara yang diharamkan. Kemudian Raja Hiraqal berkata: Sekiranya apa yang kamu katakan ini benar, maka beliau (Muhammad) memang benar-benar seorang nabi. Aku tahu sesungguhnya beliau adalah seorang yang sungguh luar biasa dan aku sama sekali tidak menyangka bahawa seorang Nabi telah muncul dari kalangan kamu. Oleh itu, secara jujur aku katakan bahawa aku benar-benar ingin berjumpa dengannya. Seandainya aku berada di sisinya, nescaya aku akan membasuh kedua telapak kakinya dan akan meletakkan kekuasaannya di atas kedua telapak kakiku. Setelah itu raja Hiraqal meminta supaya diambil surat yang telah dikirimkan oleh Rasulullah s.a.w lalu membacanya: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Dari Muhammad utusan Allah ditujukan kepada Hiraqal pembesar Empayar Rom. Salam sejahtera buat mereka yang sentiasa mengikuti kebenaran. Sesungguhnya aku menyerumu untuk memeluk Islam. Masuklah Islam semoga kamu akan tenteram. Masuklah Islam nescaya Allah akan menganugerahkan kepadamu dua pahala sekaligus. Jika kamu menolak dari ajakan yang mulia ini, maka kamu akan menanggung dosa yang teramat besar. يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لَا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِ Yang bermaksud: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, iaitu kita tidak akan sembah melainkan Allah dan kita tidak akan menyekutukan-Nya dengan sesuatupun dan tidak pula sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling (tidak mahu menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri kepada Islam (Allah). Setelah selesai membaca surat tersebut terdengar suara teriakan yang nyaring. Kami diarahkan supaya keluar. Maka ketika itulah aku berkata kepada sahabat-sahabatku: Inilah bukti bagi Ibnu Abu Kabsyah yang selalu ditakuti kemunculannya oleh raja orang-orang Rom Bani Asfar. Raja Hiraqal berkata: Aku yakin bahawa seruan dan ajakan Rasulullah s.a.w pada suatu masa nanti pasti akan muncul sehingga Allah berkenan memasukkan aku ke dalam Islam.

LI'AN IAITU SUAMI MENUDUH ISTERI BERZINA TANPA SAKSI

 Hadis dari Ibnu Umar r.a: 
Diriwayatkan oleh Said bin Jubair r.a katanya: Aku pernah ditanya mengenai kes dua orang yang dili'an pada masa Mus'ab. Adakah keduanya harus dipisahkan? Oleh kerana tidak dapat menjawabnya, aku pergi ke kediaman Ibnu Umar di Mekah. Setelah sampai, aku meminta izin dari pelayan supaya membenarkan aku masuk menemui Ibnu Umar. Pelayan itu memberitahu kepadaku bahawa dia sedang tidur. Rupa-rupanya, Ibnu Umar mendengar suaraku lalu bertanya: Siapakah itu? Ibnu Jubairkah? Aku menjawab: Benar! Dia berkata: Masuklah! Demi Allah, pasti ada sesuatu hajat penting sehingga kamu datang menemui aku di waktu begini. Aku pun masuk dan mendapati dia berbaring di atas kain pelana dan bersandar pada sebuah bantal yang berisi sabut kurma. Aku memulakan kata-kata: Wahai Abu Abdul Rahman! Adakah harus dipisahkan suami isteri yang bersumpah li'an? Ibnu Umar menjawab: Maha Suci Allah. Memang begitulah dan sesungguhnya orang pertama yang pernah menanyakan hal itu adalah Si Polan bin Polan, dia bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apa pendapat kamu jika salah seorang daripada kami mendapati isterinya melakukan suatu perbuatan keji dan menjijikkan. Apa yang patut dilakukan? Jika suami itu membicarakannya, bermakna dia telah bertanggungjawab di atas suatu perkara yang sungguh besar. Begitu juga kiranya dia mendiamkan diri. Apabila ditanya begitu, Nabi s.a.w hanya diam saja dan tidak menjawabnya. Setelah beberapa ketika, Si Polan bin Polan itu datang lagi kepada Rasulullah dan berkata: Sebenarnya perkara yang saya ajukan kepada anda ini, berlaku ke atas diri saya. Maka Allah s.w.t menurunkan FirmanNya yang terdapat dalam surah An-Nur: � Yang bermaksud: Orang-orang yang menuduh isterinya berzina tanpa bersaksi. Maka mereka dituntut supaya bersumpah empat kali berturut-turut bahawa dia benar-benar mengetahui mengenainya. Baginda membacakan Firman Allah tersebut dengan lengkap serta menasihati dan mengingatkan bahawa sesungguhnya seksa dunia itu tidaklah setanding dengan seksaan di akhirat. Namun Si Polan bin Polan itu tetap berkeras: Tidak! Demi Allah yang mengutuskanmu, aku tidak berdusta mengenai isteriku. Akhirnya Rasulullah s.a.w memanggil isteri Polan bin Polan tersebut. Baginda juga menasihatkan wanita itu dan mengingatkan bahawa seksaan di dunia ini tidak seberapa berbanding dengan seksa di akhirat. Namun sebagaimana suaminya juga, wanita itu tetap dengan pendiriannya dan berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu! Sesungguhnya dialah yang berdusta. Rasulullah s.a.w memulai dengan pihak suami. Lalu dia pun bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang benar, sedangkan pada sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Kemudian baginda meneruskan pula sebelah pihak isteri. Dia juga berani bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta dan sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar. Kemudian setelah itu Rasulullah s.a.w memisahkan antara keduanya.

Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya

 Ali bin Abu Talib r.a:
Diriwayatkan daripada Yazid bin Syarik bin Tariq r.a katanya: Sayidina Ali bin Abu Talib r.a telah berkhutbah kepada kami: Sesiapa yang menganggap bahawa di sisi kita ada sesuatu yang kita baca selain dari kitab Allah dan Sahifah ini iaitu Sahifah yang digantung pada sarung pedangnya, bererti dia telah berdusta. Dalam Sahifah ini terkandung masalah mengenai gigi, yang diberikan sebagai diat, juga beberapa masalah mengenai tindakan jenayah. Juga terdapat sabda Nabi s.a.w: Kota Madinah adalah tanah haram, sempadannya bermula dari gunung 'Aair hingga gunung Thaur. Sesiapa yang melakukan suatu dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia pada Hari Kiamat kelak. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya. Jaminan Muslimin itu adalah suatu yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Sesiapa yang mendakwa bahawa dia bukan keturunan ayahnya atau mendakwa pada selain dari tuannya, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya pada Hari Kiamat kelak. Hadis Abu Bakar r.a dan Zuhair r.a hanya terhenti pada lafaz: Yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Mereka berdua tidak menyebut lafaz selepasnya, iaitu lafaz tergantung pada sarung pedangnya.

Galakan Supaya Membaca Qunut Setiap Waktu Sembahyang Apabila Berlaku Musibah Terhadap Kaum Muslimin

 Hadis Anas bin Malik r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w telah mendoakan kecelakaan kepada orang-orang yang telah membunuh para sahabat di Telaga Ma'unah selama tiga puluh pagi. Baginda juga mendoakan supaya ditimpa kecelakaan kepada Bani Ri'lin, Bani Zakwan, Bani Lihyan dan Bani Usaiyah serta orang yang mendustai Allah dan RasulNya.

Galakan Supaya Membaca Qunut Setiap Waktu Sembahyang Apabila Berlaku Musibah Terhadap Kaum Muslimin

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Setelah selesai membaca surah dalam sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bertakbir dan mengangkat kepalanya lalu berkata: 


سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ 


Yang bermaksud: Semoga Allah mendengar orang yang memuji-Nya. Ya Allah! Tuhan kami, hanya bagiMu segala puji. Dalam keadaan masih berdiri baginda berdoa:


 اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ وَسَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ وَعَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ وَاجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ كَسِنِي يُوسُفَ اللَّهُمَّ الْعَنْ لِحْيَانَ وَرِعْلًا وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ عَصَتِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ 


Yang bermaksud: Ya Allah! Selamatkanlah Al-Walid bin Al-Walid, Salamah bin Hisyam dan Ayyasy bin Abu Rabi'ah serta orang-orang mukmin yang lemah. Ya Allah! Timpakanlah seksaMu ke atas Bani Mudhar Timpakan seksaan itu atas mereka sebagaimana yang pernah Yusuf menderita kesengsaraan. Ya Allah! Kutuklah Bani Lihyan, Bani Ri'lan, Bani Zakwan dan Bani Usaiyah. Mereka juga mendustai Allah dan Rasul-Nya. Kemudian aku dengar bahawa beliau meninggalkan perkara itu sewaktu turun firman Allah


 لَيْسَ لَكَ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ 


Yang bermaksud: Tidak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.

Dari setiap seribu orang sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang

Dari Abu Said Al Khudri ra., ia berkata : Nabi saw bersabda : "Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman pada hari Qiamat : "Wahai Adam". Adam lalu menjawab : "Ya", wahai Tuhan kami", dan Adam dipanggil dengan suara : "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk mengeluarkan utusan dari keturunanmu ke neraka". Ia menjawab: "Wahai Tuhanku, berapa utusan ke neraka itu ?" Dia berfirman : "Dari setiap seribu Aku kira sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang, ketika itu orang yang hamil melahirkan kandungannya dan anak menjadi beruban, kamu melihat orang-orang itu mabuk, namun (sebenarnya) mereka tidak mabuk tetapi seksa Allah itu amat hebat, dimana hal itu menyempitkan manusia sehingga wajah-wajah mereka berubah. Nabi saw bersabda : "Dari Ya'juj dan Ma'juj sembilan ratus sembilan puluh sembilan dan dari kamu seorang, kemudian kamu di kalangan manusia seperti rambut hitam dilambung lembu putih atau seperti rambut putih di lambung lembu hitam. Dan sungguh aku berharap kamu menjadi seperempat penghuni syurga". Maka kami bertakbir. Kemudian "sepertiga" penghuni syurga, maka kami bertakbir, kemudian "Separuh" penghuni syurga", maka kami bertakbir". Abu Usamah berkata dari Al A'masy, kamu lihat manusia itu mabuk, namun mereka tidaklah mabuk". Beliau bersabda : "Dari setiap seribu orang sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang". (Hadits diriwayatkan oleh Bukhari).

Perkara Yang Diminta Perlindungan Ketika Sembahyang

 Hadis Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w: 
Nabi s.a.w sering berdoa ketika sembahyangnya dengan berkata:


 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ 


Yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada seksa kubur dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah Dajal. Aku juga memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati. Ya Allah! Aku memohon perlindungan kepada-Mu dari segala dosa dan hutang. Aisyah berkata lagi: Seseorang telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seseorang yang sudah terkena beban hutang, apabila dia berkata-kata dia akan berdusta dan apabila berjanji dia akan mengingkari.

Perbincangan Tentang Firman Allah: وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ

 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
Tatakala turunnya ayat 214 surah Asy-Syura


 وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ 


Yang bermaksud: Berilah peringatan berbentuk ancaman kepada kaum kerabatmu yang terdekat iaitu kaum kerabatmu yang benar-benar ikhlas. Rasulullah s.a.w keluar dan menaiki Bukit Sofa lalu berteriak seolah-olah memanggil: Ya Sobahah. Orang ramai tertanya-tanya siapakah yang berteriak. Mereka menjawab: Muhammad. Maka mereka pun mula berkumpul ke arah baginda. Baginda pun bersabda: Wahai Bani Anu! Bani Anu! Bani Anu! Wahai Bani Abdul Manaf! Wahai Bani Abdul Muttalib! Maka mereka semua pun menghampiri baginda. Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah pendapat kamu sekiranya aku khabarkan kepada kamu bahawa sepasukan tentera berkuda akan keluar melalui kaki bukit ini untuk menyerang kamu. Adakah kamu akan mempercayaiku? Mereka menjawab: Kami tidak pernah mendapati kamu berdusta. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Sesungguhnya aku membawa berita ancaman kepadamu tentang azab yang pedih. Ibnu Abbas berkata: Abu Lahab mencelah: Celaka kamu. Adakah kamu minta kami berkumpul hanya untuk mendengar perkara ini iaitu memberitahu berita ancaman azab. Lantas Abu Lahab bangun dan beredar. Maka turunlah surah: � dan sesungguhnya Abu Lahab telah dicela dan dicelakakan oleh Allah.