Search This Blog

Pages

December 24, 2011

Cerita Bohong Dan Taubat Penuduh Tetap Diterima

 Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: 
Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan. Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Ketika aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani telah ditinggalkan oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam sehinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut. Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannya إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ketika dia mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain ucapannya إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak di tangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik. Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya aku rasakan ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di bina berhampiran dengan rumah kami. Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar As-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah! Aku berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar. Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan? Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong. Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku. Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku: Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku? Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya. Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku? Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian. Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul. Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah: Wahai kaum Muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku. Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun berkata: Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu. Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang soleh tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya! Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku. Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis. Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya. Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s: فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ Yang bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi Demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t. Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda. Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat Al-Quran menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ Yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku. Saidatina Aisyah berkata: Lalu Sayidina Abu Bakar orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia memfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat وَلَا يَأْتَلِ أُولُوا الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى sehingga ayat أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ Yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga sehinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu. Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah. Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka! 

Taubat Pembunuh Tetap Diterima Walaupun Telah Ramai Orang Yang Menjadi Mangsanya

 Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: 
Nabi s.a.w bersabda: Seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, lalu dia mencari seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang pendeta, dia terus berjumpa pendeta tersebut kemudian berkata: Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima? Pendeta tersebut menjawab: Tidak. Mendengar jawapan itu, dia terus membunuh pendeta tersebut dan genaplah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang Ulama, dia terus berjumpa Ulama tersebut dan berkata: Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima? Ulama tersebut menjawab: Ya! Siapakah yang boleh menghalang kamu dari bertaubat? Pergilah ke Negeri si polan, kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah s.w.t bersama mereka dan jangan pulang ke Negerimu kerana Negerimu adalah Negeri yang sangat hina. Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan tiba-tiba dia mati, menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bertelingkah mengenainya. Malaikat Rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah s.w.t. Manakala Malaikat Azab pula berkata: Dia tidak pernah melakukan kebaikan. Lalu Malaikat yang lain datang dalam keadaan berupa manusia dan cuba menghakimi mereka sambil berkata: Ukurlah jarak di antara dua tempat. Mana yang lebih hampir, itulah tempatnya. Lantas mereka mengukurnya. Ternyata mereka dapati lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya dia diambil oleh Malaikat Rahmat.

TAUBAT

 Hadis Anas bin Malik r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hamba-Nya iaitu salah seorang daripada kamu bertaubat kepada-Nya semasa dalam perjalanan di kawasan tandus (kering kontang). Semasa berhenti rehat unta berjalan perlahan-perlahan meninggalkannya sambil membawa bersama bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu puas mencarinya sehinggalah merasa putus asa lalu berbaring di bawah sepohon pokok. Asyik dalam keadaan tersebut tiba-tiba unta yang dicari-cari tadi muncul di sisinya. Dia terus memegang tali kekang unta tersebut. Oleh kerana terlalu gembira dia berkata dalam keadaan tersasul: Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhan-Mu.

Galakan Supaya Bertaubat Serta Bergembira Dengannya

 Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: 
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hamba-Nya yang beriman iaitu seorang lelaki yang berada di kawasan tandus. Bersamanya seekor unta yang membawa makanan dan minuman, lalu dia tidur. Sebaik sahaja dia bangkit unta tersebut telah hilang. Dia terus mencarinya sehinggalah terasa kehausan dan dahaga lalu berkata: Lebih baik aku kembali ke tempatku tadi. Aku akan tidur sehingga mati. Lantas dia tidur berbantalkan lengannya dengan harapan supaya mati. Namun begitu dia terjaga lagi dan didapati unta yang membawa bekalan makanan dan minuman ada di sisinya. Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hamba yang beriman ini dengan unta dan bekalannya.

Kewibawaan Nabi s.a.w Dan Baginda Tidak Bertanya Tentang Perkara Perkara Yang Tidak Perlu Atau Perkara Perkara Yang Tidak Ada Kaitannya Dengan Syarak Atau Perkara Perkara Yang Tidak Realiti Dan Sebagainya


Hadis Abu Musa r.a katanya: 
Nabi s.a.w pernah ditanya tentang beberapa perkara yang tidak disukai oleh baginda. Oleh Kerana baginda didesak dengan berbagai pertanyaan, baginda menjadi marah dan bersabda kepada mereka: Bertanyalah kepadaku tentang apapun yang kamu inginkan. Seorang lelaki bertanya: Siapakah ayahku? Baginda bersabda: Ayahmu adalah Huzafah. Maka berdiri pula yang lain dan bertanya: Siapakah ayahku, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ayahmu adalah Salim Maula Syaibah. Setelah Umar melihat Rasulullah s.a.w sangat marah, beliau berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah.


Balasan Terhadap Peminum Arak Sekiranya Tidak Bertaubat Maka Dia Tidak Akan Dapat Meminumnya Pada Hari Akhirat

 Hadis Ibnu Umar r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia lalu meninggal dunia dalam keadaan dia masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka dia tidak akan dapat meminumnya di Akhirat kelak (di Syurga).

Keadaan Dua Orang Lelaki, Salah Seorang Darinya Membunuh Yang Seorang Lagi Namun Kedua duanya Di Masukkan Ke Syurga

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tersenyum (reda) terhadap dua orang lelaki, salah seorang darinya membunuh yang seorang lagi namun kedua-duanya dimasukkan ke dalam Syurga. Para sahabat bertanya: Bagaimana boleh terjadi begitu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Seseorang yang ikut berperang pada jalan Allah lalu beliau mati syahid, kemudian orang yang membunuh tadi telah bertaubat dan Allah telah menerima taubatnya. Setelah memeluk Islam beliau juga turut keluar berperang pada jalan Allah, kemudian beliau juga mati syahid.

Wajib Membayar Kifarat Iaitu Denda Bagi Orang Yang Mengharamkan Isterinya Tetapi Dia Tidak Berniat Untuk Menceraikannya

 Hadis Aisyah r.a: 
Sesungguhnya Nabi s.a.w berada di rumah Zainab binti Jahsyin, baginda meminum susu, maka aku dan Hafsah bersepakat, sesiapa di antara kami berdua yang akan ditemui oleh Nabi s.a.w nanti, dia mesti mengatakan kepada Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya aku mencium bau getah pokok urfuth dari kamu. Adakah kamu baru saja memakannya? Kemudian baginda menemui salah seorang dari kami, langsung saja pertanyaan tersebut diajukan kepada baginda. Tetapi baginda menjawab: Bahkan aku baru sahaja minum madu di rumah Zainab binti Jahsyin, aku bersumpah tidak mengulanginya lagi. Lalu Allah menurunkan firman-Nya: لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ sehingga ayat إِنْ تَتُوبَا Yang bermaksud: Mengapa kamu mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah kepada kamu. Hingga kepada firman-Nya yang bermaksud: Jika kamu berdua bertaubat, kepada Aisyah dan Hafsah. Adapun sebab turun firman Allah yang berbunyi:: وَإِذْ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلَي بَعْضِ أَزْوَاجِهِ حَدِيثًا Yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya iaitu Hafsah mengenai satu peristiwa ialah kerana sabda baginda: Bahkan aku minum madu.

Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w telah bersabda: Kota Madinah adalah Tanah Haram. Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Pada Hari Kiamat kelak, Allah tidak akan menerima taubat dan fidyahnya.

Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya

 Hadis Ali bin Abu Talib r.a: 
Diriwayatkan daripada Yazid bin Syarik bin Tariq r.a katanya: Sayidina Ali bin Abu Talib r.a telah berkhutbah kepada kami: Sesiapa yang menganggap bahawa di sisi kita ada sesuatu yang kita baca selain dari kitab Allah dan Sahifah ini iaitu Sahifah yang digantung pada sarung pedangnya, bererti dia telah berdusta. Dalam Sahifah ini terkandung masalah mengenai gigi, yang diberikan sebagai diat, juga beberapa masalah mengenai tindakan jenayah. Juga terdapat sabda Nabi s.a.w: Kota Madinah adalah tanah haram, sempadannya bermula dari gunung 'Aair hingga gunung Thaur. Sesiapa yang melakukan suatu dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia pada Hari Kiamat kelak. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya. Jaminan Muslimin itu adalah suatu yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Sesiapa yang mendakwa bahawa dia bukan keturunan ayahnya atau mendakwa pada selain dari tuannya, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya pada Hari Kiamat kelak. Hadis Abu Bakar r.a dan Zuhair r.a hanya terhenti pada lafaz: Yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Mereka berdua tidak menyebut lafaz selepasnya, iaitu lafaz tergantung pada sarung pedangnya.

Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya

 Hadis Anas bin Malik r.a: 
Diriwayatkan daripada Aasim r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik r.a: Adakah benar Rasulullah s.a.w telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah? Anas r.a menjawab: Ya! Antara dua gunung ini. Kemudian Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepadaku dengan nada mengancam: Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat atau fidyah iaitu penebus dosa darinya pada hari Kiamat kelak.

Doa Yang Dibaca Ketika Pulang Dari Musafir Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya

 Hadis Ibnu Umar r.a katanya: 
Ketika Rasulullah s.a.w pulang dari ketenteraan, peperangan kecil-kecilan, mengerjakan Haji atau dari mengerjakan Umrah, baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali dan berdoa apabila baginda tiba di lembah-lembah atau lereng-lereng bukit dengan doa:لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ سَاجِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ صَدَقَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ Yang bermaksud: Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala puji. Dia Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Kami pulang, bertaubat, mengabdi, bersujud dan kami memuji kepada Tuhan kami. Allah telah menepati janji-Nya, menolong hambaNya dan mengalahkan dengan sendiri pasukan-pasukan yang bersekutu.

Doa Yang Dibaca Ketika Pulang Dari Musafir Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya

 Hadis Anas bin Malik r.a katanya: 
Aku pernah pulang bersama Rasulullah s.a.w, Abu Talhah dan Sofiah yang membonceng di belakang unta baginda. Ketika kami berhampiran dengan jalan menuju ke Madinah, baginda berdoa: آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ Yang bermaksud: Kami pulang, bertaubat, mengabdikan diri serta memuji Tuhan. Baginda berterusan membaca doa tersebut sehinggalah tiba di Madinah.

Sekiranya Seorang Anak Adam Mempunyai Dua Lembah Harta, Tentu Dia Masih Menginginkan Yang Ketiga

 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya anak Adam memiliki satu lembah yang penuh dengan harta, pasti dia masih ingin memiliki yang sepertinya lagi. Sedangkan yang memenuhi diri anak Adam itu hanyalah tanah (kubur) dan Allah mengampunkan atau menerima taubat orang yang ingin bertaubat.

Sekiranya Seorang Anak Adam Mempunyai Dua Lembah Harta, Tentu Dia Masih Menginginkan Yang Ketiga

 Hadis Anas r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat.

Galakan Supaya Membaca Qunut Setiap Waktu Sembahyang Apabila Berlaku Musibah Terhadap Kaum Muslimin

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Setelah selesai membaca surah dalam sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bertakbir dan mengangkat kepalanya lalu berkata: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ Yang bermaksud: Semoga Allah mendengar orang yang memuji-Nya. Ya Allah! Tuhan kami, hanya bagiMu segala puji. Dalam keadaan masih berdiri baginda berdoa: اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ وَسَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ وَعَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ وَاجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ كَسِنِي يُوسُفَ اللَّهُمَّ الْعَنْ لِحْيَانَ وَرِعْلًا وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ عَصَتِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ Yang bermaksud: Ya Allah! Selamatkanlah Al-Walid bin Al-Walid, Salamah bin Hisyam dan Ayyasy bin Abu Rabi'ah serta orang-orang mukmin yang lemah. Ya Allah! Timpakanlah seksaMu ke atas Bani Mudhar Timpakan seksaan itu atas mereka sebagaimana yang pernah Yusuf menderita kesengsaraan. Ya Allah! Kutuklah Bani Lihyan, Bani Ri'lan, Bani Zakwan dan Bani Usaiyah. Mereka juga mendustai Allah dan Rasul-Nya. Kemudian aku dengar bahawa beliau meninggalkan perkara itu sewaktu turun firman Allah لَيْسَ لَكَ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ Yang bermaksud: Tidak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.