Search This Blog

Pages

February 18, 2010

Seperti Ayam Mematuk Padi!

Anas r.a bercerita katanya:” Nabi SAW pernah memendekkan solat beliau, tetapi beliau melakukannya dengan sempurna.”

(Bukhari)




Huraian
Ketika solat, selain melibatkan gerakan fizikal, ia juga melibatkan roh kita. Roh inilah yang sebenarnya diperlukan dalam solat kerana ketika itulah ia kembali menemui Tuhannya. Manakala fizikal kita hanyalah sebagai pengantara. Sedangkan rohlah yang menghayati bacaan tersebut. Justeru orang yang memahami tujuan solat yang sebenar tentunya mahukan solatnya itu berjalan dengan tenang, santai dan ada toma’ninah. Bukan solat seperti ribut atau laksana ayam mematuk padi sehingga roh selalu tertinggal ke belakang. Dengan perkataan lain, mulut kita secara spontan membaca bacaan, namun fikiran kita melayang entah ke mana. Tiba-tiba solat kita telah pun siap dan kita pun memberikan salam. Hakikatnya bersolat adalah masa untuk kita berdialog dengan Allah secara langsung. Kita sebenarnya diberi kesempatan untuk mengadu. Maka sewaktu solat adukanlah semua persoalan kita kepada Allah. Roh kita akan dapat merasakannya Contohnya hati kita terasa sebak dan air mata akan menitis dengan sendirinya. Namun jika kita bersolat secara cepat dan terkocoh-kocoh mungkin roh tidak sempat menikmati pertemuan dengan Allah ini. Kita akan merasakan bahawa solat itu satu bebanan yang menyusahkan sekali gus menjadikan kita bersolat secara terpaksa!

Setiap langkah pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya

Dari Ubai bin Kaab r.a katanya:”Ada seorang lelaki yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan bersolat jamaah. Kata orang kepadanya:”Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap atau di panas terik.” Dia menjawab:”Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan masjid kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku.” Sabda Rasulullah SAW :”Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi mu.”

(Muslim)

Imam Menghadap Makmum Setelah Selesai Solat

Musa bin Ismail menyampaikan kepada kami, daripada Jarir bin Hazam, daripada Abu Raja’, daripada Samurah bin Jundab katanya:’Apabila nabi s.a.w selesai menunaikan solat, baginda menghadap mukakanya kepada kami."


(Bukhari)

Saf yang bengkok akan menyebabkan hatimu berpecah-belah.

Dari Abu Mas’ud r.a katanya:”Rasulullah s.a.w menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata:”Luruskan barisanmu, jangan bengkok-bengkok kerana barisan yang bengkok, nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah-belah. Orang dewasa yang cerdik dan pandai hendaklah berdiri dekat di belakangku, kemudian yang pandai dan seterusnya.”

(Muslim)