Search This Blog

Pages

November 22, 2011

Sebahagian Dari Kelebihan Kaum kaum Ghifar, Aslam, Juhainah, Asyja', Muzainah, Tamim, Daus Dan Tayyi'

 Hadis Abu Bakrah r.a: 
Al-Aqra' bin Habis telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan beliau berkata: Sesungguhnya Surraq Al-Hajij yang memberi baiah kepada kamu adalah dari suku kaum Aslam, Ghifar dan Muzainah, kemudian termasuk juga Kaum Juhainah, cuma Muhammad yang masih ragu-ragu. Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu lihat kaum-kaum Aslam, Ghifar dan Muzainah, manakala Juhainah itu lebih baik daripada Bani Tamim, Amir, Asad dan Ghatafan, maka mereka merasa kecewa dan rugi? Beliau berkata: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat yang jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, bahawa mereka iaitu kaum-kaum Aslam, Ghifar dan Muzainah, adalah lebih baik daripada mereka iaitu Bani Tamin, Amir, Asad dan Ghatafan.

Larangan Duduk Di Tepi Jalan Umum Dan Hendaklah Menjaga Hak haknya

 Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: 
Nabi s.a.w bersabda: Hindarilah dari duduk di tepi-tepi jalan. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Kami tidak boleh menghindarinya kerana kami duduk berbincang-bincang di sana iaitu di tepi jalan. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu ingin duduk juga, maka berikanlah pada jalan itu haknya. Para sahabat bertanya: Apakah haknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Mencegah dari melihat sesuatu yang dilarang, menghindarkan perkara-perkara yang merugikan, menjawab salam serta membuat perkara yang baik dan mencegah perbuatan mungkar.

Terluka Kerana Binatang Atau Kerana Bahan Galian Atau Kerana Terjatuh Ke Dalam Perigi Maka Tidak Ada Tuntutan Ganti rugi)

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang yang terluka disebabkan binatang maka tidak ada tuntutan ganti-rugi dan orang yang tercedera atau mati kerana terjatuh ke dalam perigi juga tidak ada tuntutan ganti-ruginya juga orang yang terluka atau mati kerana bahan-bahan galian juga tidak ada tuntutan ganti-rugi. Manakala dikenakan zakat pada harta rikaz itu sebanyak satu perlima.

Mewasiatkan Dengan Satu Pertiga

 Hadis Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: 
Pada waktu Haji Wida' Rasulullah s.a.w menziarahiku ketika aku sedang sakit tenat. Waktu itu aku berkata: Wahai Rasulullah! Lihatlah keadaan aku yang berada dalam keadaan tenat ini sebagaimana yang kamu lihat, sedangkan aku ini seorang hartawan dan hanya seorang anak perempuan sajalah yang akan mewarisi harta saya. Adakah saya boleh mengeluarkan sedekah dua pertiga dari harta saya? Baginda menjawab: Tidak! Aku bertanya lagi: Bagaimana kalau sebahagiannya? Baginda menjawab: Tidak! Tetapi satu pertiga dan satu pertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta kepada orang lain. Tidakkah Kamu menafkahkan suatu nafkah dengan tujuan untuk mendapat keredaan Allah, sehinggalah kamu mendapat pahala daripada nafkahmu itu, sekalipun sesuap makanan yang kamu masukkan ke mulut isterimu. Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah saya akan dikekalkan (masih tetap hidup) sesudah sahabat-sahabat saya (meninggal dunia)? Baginda bersabda: Sesungguhnya kamu tidak akan dikekalkan lalu kamu melakukan sesuatu amalan dengan tujuan untuk mendapatkan keredaan Allah sehinggalah dengan amal itu darjatmu akan bertambah. Barangkali kamu akan dikekalkan sehingga umat Islam mendapat manfaat dari sesuatu kaum dan kaum yang lain iaitu orang-orang kafir menderita kerugian keranamu. Wahai Allah! Sempurnakanlah hijrah sahabat-sahabatku dan janganlah kamu kembalikan mereka ke belakang (kepada kekufuran) tetapi yang sial adalah Saad bin Khaulah. Beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w mengasihi orang yang telah diwafatkan di Mekah.

Memberitahu Kemampuan Hamba Sahaya

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w telah memperkatakan mengenai seorang hamba yang dimiliki oleh dua orang tuannya, lalu seorang di antara mereka hendak memerdekakan hamba tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia mesti membayar kerugian kepada kongsinya itu.

AL ITQU IAITU MEMERDEKAAN HAMBA

 Hadis Ibnu Umar r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mampu memerdekakan bahagiannya dalam hamba sahaya yang dikongsi, dia hendaklah membayar kerugian saham kongsinya dengan harga yang cukup supaya hamba itu dapat dimerdekakan dengan sepenuhnya. Jika dia tidak mampu untuk membayar harga sepenuhnya maka hamba itu hanya merdeka dari tuannya yang pertama iaitu separuh merdeka.

Harus Menunggang Unta Yang Akan Dijadikan Korban Bagi Orang Yang Memerlukannya

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Rasulullah s.a.w pernah melihat seorang lelaki membawa seekor unta lalu baginda bersabda: Tunggangilah ia. Lelaki tadi menjawab: Wahai Rasulullah! Ia adalah seekor unta yang akan dikorbankan. Baginda bersabda: Naikilah! Kalau tidak rugilah kamu. Dalam sabda yang kedua atau ketiga.

Golongan Khawarij Dan Sifat sifat Mereka

 Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: 
Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w di Ja'ranah setelah kembali dari Peperangan Hunain. Pada pakaian Bilal terdapat perak dan Rasulullah s.a.w mengambil darinya untuk dibahagikan kepada orang ramai. Lelaki yang datang itu berkata: Wahai Muhammad! Kamu hendaklah berlaku adil. Rasulullah s.a.w bersabda: Celakalah kamu! Siapa lagi yang lebih berlaku adil? Jika aku tidak adil. Pasti kamu yang rugi, jika aku tidak berlaku adil. Umar bin Al-Khattab r.a berkata: Biarkan aku membunuh si munafik ini, wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Aku berlindung dengan Allah dari kata-kata manusia bahawa aku membunuh sahabatku sendiri. Sesungguhnya orang ini dan teman-temannya membaca Al-Quran tetapi tidak melampaui kerongkong mereka iaitu tidak mengambil faedah dari apa yang mereka baca bahkan mereka hanya sekadar membacanya sahaja. Mereka menyudahi bacaan Al-Quran sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan.

Tentang Orang Yang Berbelanja Dan Orang Yang Enggan Berbelanja

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hari ketika umat manusia memasuki waktu pagi, pasti ada dua Malaikat turun. Satu di antara keduanya akan mengucapkan: Ya Allah, kurniakanlah ganti kepada orang yang berbelanja iaitu menggunakan harta untuk beribadat, untuk kepentingan keluarga, tetamu, bersedekah dan sebagainya. Sedangkan Malaikat yang satu lagi akan mengucapkan: Ya Allah, berikanlah kerosakan iaitu kerugian kepada orang yang tidak mahu berbelanja.

Beratnya Hukuman Orang Yang Enggan Mengeluarkan Zakat

 Hadis Abu Zar r.a katanya: 
Aku menghampiri Nabi s.a.w yang sedang duduk di bawah bayangan Kaabah. Apabila melihat aku, baginda bersabda: Demi Tuhan Kaabah. Mereka tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi. Lalu aku menghampiri baginda dan duduk di sampingnya, aku tidak duduk lama di situ lalu aku bangkit sambil bertanya: Wahai Rasulullah! Demi ayah dan ibuku sebagai tebusanmu! Siapakah mereka itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Mereka adalah orang-orang yang paling banyak mempunyai harta kecuali orang yang berbuat begini, begini dan begini iaitu baginda memberi isyarat ke depan, ke belakang, ke kanan dan juga ke kiri. Orang yang ingin berbuat demikian adalah sangat sedikit bilangannya. Setiap pemilik unta, lembu atau kambing yang enggan mengeluarkan zakat. Pada Hari Kiamat, binatang-binatang tersebut akan datang dalam keadaan lebih besar dan lebih gemuk dari asalnya. Kesemuanya akan menanduk pemiliknya dengan tanduk-tanduk dan memijak dengan menggunakan kuku-kukunya. Setelah selesai binatang yang pertama akan diganti pula dengan yang lain dan yang pertama tadi datang kembali kepadanya, sehinggalah seluruh manusia ditentukan tempat masing-masing.

Harus Mengutuk Syaitan Ketika Sembahyang Dan Memohon Perlindungan Kepada Allah Daripada Syaitan Serta Boleh Melakukan Gerakan Yang Sedikit Iaitu Angota Ringan Ketika Sembahyang

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Ifrit dari kalangan jin telah datang untuk menggodaku semalam agar aku lalai ketika sembahyang. Tetapi Allah telah melindungi aku daripadanya sehingga aku dapat menangkapnya iaitu menjerat lehernya. Aku mempunyai keinginan untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga ke waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Kemudian aku menyebutkan kata-kata saudaraku Nabi Sulaiman a.s:
 رَبِّ اغْفِرْلِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي 
Tuhanku! Ampunilah aku, berikanlah kepadaku suatu kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh seorang pun selepasku. Maka akhirnya Allah melepasnya secara menolak Ifrit tersebut dalam keadaan rugi, hina dan lemah.

Diwajibkan Mandi Bagi Perempuan Apabila Keluar Mani

 Hadis Ummu Salamah r.a katanya: 
Ketika Ummu Sulaim mengunjungi Nabi s.a.w, dia berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Allah tidak malu terhadap kebenaran. Apakah orang perempuan wajib mandi apabila dia bermimpi? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya, apabila dia melihat mani. Ummu Salamah mencelah: Adakah orang perempuan juga bermimpi? Baginda bersabda: rugilah kamu! Kalau tidak bagaimana dia akan memastikan bahawa mani keluar.