Dari Anas r.a., katanya: "Para sahabat Nabi SAW bertanya kepada beliau, "Jika Ahli Kitab memberi salam kepada kami, bagaimana kami menjawabnya?" Jawab beliau, "Ucapkan : Wa 'alaikum."
Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi SAW, beliau bersabda:
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan dipenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik dari dunia dan seisinya."
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Setelah Tuhan menciptakan makhlukNya, ditulisnya satu tulisan untuk diriNya dan diletakkanNya di sisiNya di atas 'Arasy, iaitu : "Sesungguhnya sayangKu melebihi marahKu."
Dari Shuhaib r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda : "Sungguh mengagumkan orang-orang mukmin kerana pekerjaannya semuanya baik. Yang demikian tidak akan terdapat pada yang lain kecuali hanya pada orang mukmin. Kerana apabila dia berhasil(sukses) dia bersyukur. Dan apabila dia ditimpa kesulitan dia sabar. Itulah (rahsia) kebaikannya."
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi SAW bersabda : "Apabila seorang isteri tidur memisah dari ranjang suaminya, maka si isteri itu dikutuk malaikat sampai pagi."
Dari Abu Dzar r.a., dari Nabi SAW sabdanya: "Jibril 'alaihissalam datang kepadaku, lalu dia menyampaikan berita gembira kepadaku: "Siapa saja dari umatku yang mati,sedangkan dia tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, dia masuk syurga." Tanyaku, "Sekalipun dia berzina dan mencuri?" Jawabnya, "Ya, sekalipun dia berzina dan mencuri."
Daripada Abi Sa'id al-Khudri r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya; jika tidak sanggup maka dengan lisannya; dan jika tidak sanggup juga maka dengan hatinya, itu adalah selemah-lemah iman."
Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak akan mengurangi kebajikan orang-orang mukmin. Dia diberi upah di dunia dan pahala di akhirat. Adapun orang kafir, dia diberi rezeki dengan kebajikan yang dikerjakannya di dunia. Setelah sampai di akhirat tidak ada lagi kebajikan yang akan diberi pahala baginya.