Search This Blog

Pages

May 27, 2015

Adi ibnu Hatim, seorang Nasrani yang kagum dengan peribadi Rasulullah, lalu masuk Islam


http://unikversiti.blogspot.com/2015/05/adi-ibnu-hatim-seorang-nasrani-yang.html

Ray of truth - ray of light
Imam Ahmad, Imam Tirmidzi dan Imam Ibnu Jarir telah meriwayatkan dari berbagai jalur dari Adi ibnu Hatim r.a yang menceritakan bahawa ketika sampai kepadanya dakwah dari Rasulullah S.a.w, dia lari ke negeri Syam. Sejak zaman jahiliyyah dia telah masuk agama Nasrani, kemudian saudara perempuannya ditahan bersama sejumlah orang dari kaumnya. Kemudian Rasulullah S.a.w menganugerahkan kebebasan kepada saudara perempuan Adi ibnu Hatim dan memberinya hadiah. Saudara perempuan Adi ibnu Hatim kembali kepada saudara lelakinya dan menganjurkannya untuk masuk Islam dan menghadap kepada Rasulullah S.a.w.

Akhirnya Adi datang ke Madinah. Dia adalah pemimpin kaumnya, iaitu Kabilah Tayyi', dan ayahnya (iaitu Hatim at-Tai') terkenal dengan kedermawanannya. Maka orang-orang Madinah ramai membicarakan kedatangan Adi ibnu Hatim.

Adi masuk menemui Rasulullah S.a.w sedangkan pada leher Adi tergantung salib yang diperbuat dari perak. Ketika itu Rasulullah S.a.w sedang membacakan firman-Nya;

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَـٰنَهُمۡ أَرۡبَابً۬ا مِّن دُونِ ٱللَّهِ

"Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah. [at-Taubah : 31]

Adi melanjutkan kisahnya, bahawa dia menjawab, "Sesungguhnya mereka tidak menyembahnya." Rasulullah S.a.w bersabda;

"Tidak, sesungguhnya mereka mengharamkan perkara yang halal bagi para pengikutnya dan menghalalkan perkara yang haram bagi mereka, lalu mereka mengikutinya, yang demikian itulah ibadah mereka kepada orang-orang alim dan rahib-rahib mereka."

Kemudian Rasulullah S.a.w bersabda, "Wahai Adi, bagaimanakah pendapatmu. Apakah membahayakan mu bila dikatakan Allah Mahabesar? Apakah kamu mengetahui sesuatu yang lebih besar daripada Allah bila Allah menimpakan bahaya kepadamu? Apakah membahayakanmu bila dikatakan bahawa tiada Tuhan selain Allah? Apakah kamu mengetahui ada Tuhan selain Allah?"

Rasulullah S.a.w mengajaknya masuk Islam. Akhirnya Adi masuk Islam dan mengucapkan syahadah yang benar.

Adi melanjutkan kisahnya, setelah itu dia melihat wajah Rasulullah S.a.w bersinar ceria, lalu dia bersabda;

إِنَّ الْيَهُودَ مَغْضُوبٌ عَلَيْهِمْ، والنَّصَارَى ضالّونَ

"Sesungguhnya orang-orang Yahudi itu dimurkai dan orang-orang Nasrani itu orang-orang yang sesat."

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah at-Taubah, ayat 31]


Adi ibnu Hatim, anak lelaki Hatim yang terkenal sangat dermawan, adalah seorang Nasrani yang sangat disegani oleh kaumnya. Dia berhak mengambil seperempat barang pampasan perang yang berhasil dirampas oleh kaumnya (tradisi ynag berlaku di kalangan orang-orang Arab pada waktu itu). Setelah mendengar Rasulullah S.a.w dan dakwahnya, dia tidak menyukai dakwah Rasulullah S.a.w dan meninggalkan kaumnya, kemudian bergabung dengan orang-orang Nasrani Syam.

Adi menuturkan kisahnya; "Kemudian aku lebih membenci keberadaanku di sana berbanding kebencianku kepada Rasulullah S.a.w, lalu aku putuskan lebih baik aku pergi menemuinya, kalau dia seorang raja atau pendusta nescaya aku dapat mengetahuinya dan jika dia seorang yang benar (Nabi) maka aku mesti mengikutinya.

Kemudian aku berangkat hingga aku berada di hadapan Rasulullah S.a.w di Madinah. Aku menemui beliau ketika beliau berada di masjidnya lalu aku ucapkan salam kepadanya. Beliau bertanya; "Siapa anda?" , aku jawab; "Adi ibnu Hatim!"

Rasulullah S.a.w kemudian berdiri dan membawaku ke rumahnya. Demi Allah, ketika beliau membawaku ke rumah tiba-tiba ada seorang perempuan tua dan lemah yang mencegahnya kemudian beliau pun berhenti lama sekali kepada wanita yang mengajukan keperluannya kepada beliau itu. Menyaksikan hal ini aku berkata di dalam hati; "Demi Allah, ini bukan gaya seorang raja."

Setelah itu, Rasulullah S.a.w berjalan lagi membawaku. Ketika membawaku masuk ke dalam rumahnya, beliau mengambil sebuah bantal dari kulit yang sangat sederhana kemudian menghulurkan kepadaku seraya berkata; "Duduklah di atasnya!" Aku jawab; "Anda sajalah yang duduk di atas bantal itu," sedangkan beliau sendiri duduk di atas tanah. Di dalam hati aku berkata; "Demi Allah, ini bukan perilaku seorang raja."

Kemudian beliau berkata; "Wahai Adi ibnu Hatim, apakah engkau mengetahui Ilah selain Allah?" Aku jawab; "Tidak." Beliau bertanya lagi; "Tidakkah engkau seorang yang beragama?" Aku jawab; "Ya, benar demikian." Beliau bertanya lagi; "Tidakkah engkau memungut seperempat dari barang rampasan yang diperolehi kaummu?" Aku jawab; "Ya, benar demikian." Beliau kemudian berkomentar; "Sesungguhnya hal itu tidak dihalalkan oleh agamamu." Aku jawab; "Demi Allah, memang dilarang."

Selanjutnya beliau berkata; "Wahai Adi ibnu Hatim, barangkali engkau masih enggan memeluk agama ini (Islam) kerana melihat kemiskinan di kalangan pemeluknya. Demi Allah sebentar lagi harta kekayaan akan berlimpah ruah kepada mereka (kaum Muslimin) sehingga tidak ada orang lagi yang mahu mengambilnya. Barangkali engkau masih enggan memeluk agama ini (Islam) kerana banyaknya musuh mereka dan sedikitnya jumlah mereka, demi Allah sebentar lagi engkau akan mendengar seorang wanita yang pergi dari Qadisiyah menunggang unta ke rumah ini tanpa rasa takut. Barangkali engkau masih enggan memeluk agama ini, kerana kerajaan dan kekuatan masih berada di tangan orang-orang selain mereka, demi Allah sebentar lagi engkau akan mendengar tentang istana-istana putih dari Babilonia jatuh ke tangan mereka (kaum Muslimin). 

Adi berkata; "Kemudian aku pun masuk Islam."

Adi berkata; "Kemudian aku telah menyaksikan dua kali hal yang disebutkan Rasulullah S.a.w di atas; wanita (yang pergi dari Qadisiyah ke Madinah sendirian tanpa rasa takut, sebagaimana diramalkan Nabi S.a.w) dan aku sendiri ikut dalam pasukan pertama penyerbuan harta kekayaan Kisra. Aku bersumpah kepada Allah, hal ketiga yang dijanjikan Nabi S.a.w akan terbukti."

[Dr Sa'id Ramadhan Al-Buthiy - Sirah Nabawiyyah. Berita masuk Islamnya Adi ibnu Hatim]