Search This Blog

Pages

January 6, 2012

Menghukum Mengikut Perkara Zahir Dan Kepintaran Berhujah (Mengemukakan Alasan

 Hadis Ummu Salamah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu berkelahi di hadapanku. Boleh jadi sebahagian dari kamu lebih pandai mengemukakan alasannya dari yang lain, maka aku akan memutuskan mengikut apa yang telah aku dengari. Oleh sebab itu, sesiapa yang telah aku berikan sebahagian dari hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya. Kerana sesungguhnya apa yang aku berikan kepadanya itu, tidak lain hanyalah sepotong api Neraka.

Kelebihan Orang Yang Mahir Tentang Al Quran Dan Orang Yang Lemah Dalam Pembacaan Al Quran

  Hadis Aisyah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang yang pandai membaca Al-Quran itu akan bersama para Rasul yang mulia. Adapun orang yang lemah dan terlekat-lekat ketika membaca Al-Quran dan dia memang berkeinginan untuk membaca Al-Quran, maka dia berhak mendapat dua pahala.

Memberikan Kepada Orang Yang Ingin Dijinakkan Hatinya Kepada Islam Dan Menyabarkan Orang Yang Teguh Imannya

 Hadis Anas bin Malik r.a: 
Sesungguhnya orang ramai dari golongan Ansar telah bercakap-cakap mengenai Peperangan Hunain sewaktu Allah menganugerahkan harta-harta dari kabilah Hawazin kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy. Melihatkan keadaan itu, mereka pun berkata: Semoga Allah mengampuni Rasulullah. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada kaum Quraisy dan meninggalkan kami iaitu tidak memberi apa-apa kepada kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Anas bin Malik berkata: Kata-kata tersebut disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memerintahkan agar memanggil golongan Ansar. Baginda menempatkan mereka dalam sebuah khemah dari kulit. Setelah mereka semua berkumpul, Rasulullah s.a.w datang kemudian bertanya: Adakah percakapan yang sampai kepadaku datang dari kamu sekalian? Orang yang bijak di kalangan golongan Ansar menjawab: Orang-orang tua di antara kami tidak mengatakan apa-apa wahai Rasulullah. Pemuda-pemuda dari kalangan kami yang mengatakan: Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya. Baginda telah memberikan seratus ekor unta kepada orang Quraisy dan meninggalkan kami sedangkan pedang-pedang kami masih menitiskan darah-darah mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku memberikan kepada orang-orang yang baru saja meninggalkan kekufuran untuk memujuk hati mereka agar tetap dengan Islam. Tidakkah kamu sekalian redha jika mereka beredar dengan membawa harta, sedangkan kamu kembali ke tempat kamu bersama Rasulullah? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang iaitu Rasulullah pasti lebih baik timbangannya dari apa yang mereka bawa iaitu harta. Orang-orang Ansar itu berkata: Tentu sekali kami reda wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kamu sekalian akan menempuhi keadaan yang kamu semua tidak menyukainya. Oleh itu bersabarlah sehingga kamu bertemu Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya aku akan berada di sebuah telaga menunggu kamu sekalian pada Hari Kiamat. Mereka berkata: Kami akan bersabar.