Search This Blog

Pages

October 31, 2011

Dorongan Supaya Melakukan Sembahyang Malam Pada Bulan Ramadan, Iaitu Sembahyang Tarawih

Hadis Abu Hurairah r.a:
 Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Sesuatu Yang Dibaca Di Antara Takbiratul Ihram Dan Bacaan Al Fatihah

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
 Rasulullah s.a.w diam seketika selepas bertakbir semasa sembahyang sebelum membaca Surah Al-Fatihah, aku bertanya: Wahai Rasulullah! Engkau yang lebih aku sayangi daripada ayah dan ibuku aku melihat kamu diam di antara takbir dan bacaan Surah Al-Fatihah, apakah yang anda baca? Baginda menjawab dengan bersabda: Aku membaca doa:


 اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَايَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ 


yang bermaksud: Ya Allah! Jauhkanlah aku dari dosa-dosaku sebagaimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah! Bersihkan daku dari dosa-dosaku sebagaimana bersihnya baju putih daripada kotoran. Ya Allah! Sucikanlah aku dari dosa-dosaku dengan salji air dan angin.

Perkara Yang Diminta Perlindungan Ketika Sembahyang

Hadis Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w: 
 Nabi s.a.w sering berdoa ketika sembahyangnya dengan berkata:


 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ 


Yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada seksa kubur dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah Dajal. Aku juga memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati. Ya Allah! Aku memohon perlindungan kepada-Mu dari segala dosa dan hutang. Aisyah berkata lagi: Seseorang telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seseorang yang sudah terkena beban hutang, apabila dia berkata-kata dia akan berdusta dan apabila berjanji dia akan mengingkari. 

Larangan Meludah Di Dalam Masjid Samada Ketika Sembahyang Atau Diluar Sembahyang

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
 Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membuang hingus di dalam masjid adalah satu dosa dan kifaratnya ialah dengan menimbusnya.

Menahan Orang Yang Melintas Di Hadapan Orang Sembahyang

Hadis Abu Juhaim r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya orang yang melintasi di hadapan orang sembahyang itu tahu betapa besar dosanya nescaya lebih baik dia berhenti selama 40 dari melintas di hadapan orang sembahyang. Abu An-Nadri berkata: Aku tidak pasti adakah baginda mengatakan 40 hari, 40 bulan atau tahun. 

( Membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ Tahmid Dan Amin

Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Imam mengucapkan amin, kamu hendaklah mengucapkan amin kerana sesungguhnya sesiapa yang mengucapkannya sebagaimana yang diucapkan oleh para Malaikat, nescaya akan diampunkan oleh Allah s.w.t segala dosa yang telah lalu.

Membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ Tahmid Dan Amin )

Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila imam membaca 


سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ 


kamu hendaklah membaca


 اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ 


kerana sesungguhnya sesiapa yang membaca doa menyamai sebagaimana yang dibaca oleh para Malaikat, nescaya Allah s.w.t mengampunkan dosanya yang telah lalu. 

Dalil Yang Menunjukkan Air Kencing Adalah Najis Dan Wajib Membersihkan Diri Darinya

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w melalui dua buah kubur, baginda bersabda: Ingatlah, sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa, tetapi bukan kerana melakukan dosa besar. Seorangnya diseksa kerana dulunya dia suka membuat fitnah dan seorang lagi diseksa kerana tidak membersihkan dirinya dari air kencingnya. Kemudian baginda meminta pelepah kurma lalu dibelahnya menjadi dua. Setelah itu beliau menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua sambil bersabda: Semoga pelepah ini boleh meringankan seksanya, selagi ianya belum kering. 

Sifat Atau Cara cara Berwuduk dan Kesempurnaannya

Hadis Sayidina Othman bin Affan r.a: Diriwayatkan daripada Humran r.a katanya: Sayidina Othman bin Affan r.a telah meminta air untuk berwuduk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri, sama seperti membasuh kaki kanannya. Kemudian Sayidina Othman r.a berkata: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar baginda s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengambil wuduk seperti cara aku berwuduk kemudian dia mendirikan sembahyang dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan sembahyang, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Islam Menghapuskan Apa Yang Ada Sebelum Islam, Begitu Juga Hijrah Dan Haji

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Ramai di antara orang musyrik yang telah membunuh dan ramai pula yang telah berzina. Kemudian mereka menghadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata: Apa yang engkau katakan dan engkau seru itu sangat baik sekalipun engkau beritahu kami bahawa apa yang telah kami lakukan ada penebusnya. Lalu diturunkan ayat


 وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا 


Yang bermaksud: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah iaitu membunuhnya kecuali dengan cara yang dibenarkan oleh syarak dan tidak berzina. Sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut akan mendapat pembalasan dosanya. Diturunkan juga ayat


 يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ 


Yang bermaksud: Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri iaitu dengan perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.

Haram Melabuhkan Kain Kerana Menunjuk nunjuk, Mengungkit ungkit Pemberian Dan Melariskan Dagangan Dengan Bersumpah. Allah Tidak Akan Berkata kata Kepada Tiga Golongan Manusia Pada Hari Kiamat, Tidak Membersihkan Mereka Dari Dosa Dan Mereka Akan Diazab Dengan Azab Seksa Yang Pedih

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Tidak Akan Berkata-kata Kepada Tiga Golongan Manusia pada Hari Kiamat, tidak membersihkan mereka dari dosa dan mereka akan diazab dengan azab seksa yang pedih. Mereka itu ialah seseorang yang mempunyai lebihan air di Padang Sahara tetapi dia enggan memberikan air tersebut kepada musafir yang memerlukan. Seseorang yang menjual barang dagangan selepas waktu Asar dan dia bersumpah dengan nama Allah iaitu sumpah bohong bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga sekian, sekian menyebabkan pembeli mempercayainya sedangkan dia membelinya bukan dengan harga tersebut. Seseorang yang berikrar setia kepada seorang pemimpin kerana tujuan keduniaan, sekiranya pemimpin berkenaan memenuhi permintaannya dia tetap setia dan jika tidak dia berpaling tadah. 

Dosa dosa Besar dan Yang Paling Besar

Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara dosa-dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. 

Bab Dosa dosa Besar dan Yang Paling Besar

Hadis Anas bin Malik r.a: Nabi s.a.w pernah menceritakan tentang dosa-dosa besar. Baginda bersabda: Menyekutukan Allah, mengherdik kedua-dua ibu-bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu.

Dosa dosa Besar dan Yang Paling Besar

Hadis Abu Bakrah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar? Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu. Semasa Rasulullah bersabda, baginda sedang bersandar lalu duduk. Baginda terus mengulangi sabdanya sehingga kami berkata: Semoga baginda berhenti dari menyebut Hadis tersebut.

Mensyirikkan Allah Merupakan Seburuk buruk Dosa Dan Keterangan Tentang Dosa dosa Yang Lain Selepasnya

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau menjadikan iaitu menganggap ada yang sebanding dengan Allah sedangkan Dialah yang menciptakanmu. Aku berkata: Sesungguhnya dosa demikian memang besar. Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Kemudian engkau membunuh anakmu kerana bimbang dia makan bersamamu iaitu makananmu. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Rasulullah s.a.w bersabda: Jika engkau berzina dengan isteri jiranmu.

Kelebihan Membaca Tahlil, Membaca Tasbih Dan Berdoa

Hadis Abu Hurairah r.a: 
 Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membaca: 


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ 
dalam sehari sebanyak seratus kali, nescaya dia mendapat pahala sebagaimana memerdekakan sepuluh orang hamba. Dia juga diampunkan seratus kejahatan, dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang. Tidak diganjarkan kepada orang lain lebih baik daripadanya kecuali orang tersebut melakukan amalan lebih banyak daripadanya. Manakala mereka yang berkata:


 سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ


 dalam sehari sebanyak seratus kali nescaya terhapuslah segala dosanya sekalipun dosanya itu banyak seperti buih di lautan.

Kelebihan Majlis majlis Zikir

Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit. Baginda bersabda: Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firman-Nya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu. Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari-Mu. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan. Allah berfirman: Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari Neraka-Mu, wahai Tuhan. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Neraka-Ku. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunan-Mu. Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan. 

Galakan Memberi Pertolongan Terhadap Perkara perkara Yang Bukan Haram

Hadis Abu Musa r.a katanya:
 Apabila datang seseorang yang berhajat kepada Rasulullah s.a.w, maka baginda akan menemui para sahabatnya yang biasa baginda ajak berkumpul dan berbincang lalu baginda bersabda: Tolonglah, nanti kamu akan diberikan pahala. Allah akan memenuhi apa yang Dia (Allah) suka daripada lisan (percakapan) Nabi-Nya. 

Pahala Yang Diperolehi Oleh Orang Mukmin Yang Ditimpa Sakit Atau Kesedihan dan Selainnya Walaupun Sekadar Tercucuk Duri

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
 Aku menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda dalam keadaan tidak sihat. Aku menggosok baginda dengan tanganku. Aku katakan kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau benar-benar tidak sihat. Rasulullah s.a.w bersabda: Memanglah, apa yang aku alami sekarang ini adalah sama seperti yang di alami oleh dua orang di antara kamu. Aku berkata: Kalau begitu engkau beroleh dua pahala sekaligus. Rasulullah s.a.w bersabda: Benar. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Setiap orang muslim yang ditimpa musibah atau sakit dan sebagainya, maka Allah akan mengampunkan kesalahan-kesalahan dari sakitnya, sebagaimana daun yang gugur dari pokoknya. 

Sebahagian Dari Kelebihan Bilal r.a

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
 Selepas sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal: Wahai Bilal ceritakan padaku tentang amalan (besar pahalanya) kamu yang kamu lakukan setelah berada dalam Islam, kerana semalam aku mendengar suara hentakan seliparmu di dalam Syurga. Bilal berkata: Aku tidak pernah melakukan suatu amalan (besar pahalanya) pun dalam Islam, tetapi selagi Allah mentakdirkan aku mendirikan sembahyang, maka aku akan berwuduk dengan sempurna samada malam ataupun siang hari. 

Mimpi Nabi s.a.w

Hadis Abu Musa r.a: Nabi s.a.w bersabda: Aku pernah bermimpi seolah-olah berhijrah dari Kota Mekah menuju ke suatu daerah yang banyak terdapat pokok kurma. Aku yakin itu adalah daerah Yamamah atau daerah Hajar, namun ternyata ianya adalah daerah Madinah yang dahulu dipanggil Yathrib. Dalam mimpiku ini, aku seolah-olah menghayunkan sebilah pedang tiba-tiba matanya menjadi tumpul. Maka ternyata mimpi itu adalah musibah bagi orang-orang mukmin pada perang Uhud. Kemudian aku hayunkan sekali lagi dan pedang itu kembali elok seperti biasa. Maka ternyata itu adalah kemenangan yang diberikan oleh Allah dan bersatunya orang-orang mukmin. Dalam mimpi itu aku juga melihat seekor sapi (lembu betina), Allah adalah Zat yang baik. Maka ternyata itu adalah (isyarat) sekumpulan orang-orang mukmin pada perang Uhud. Namun kebaikan Allah datangnya setelah perang Uhud dan balasan pahala yang diberikan oleh Allah setelah perang Uhud adalah kemenangan pada peperangan Badar. 

Kelebihan Orang Yang Memberi Minum Dan Makan Kepada Ternakan Yang Dimuliakan

Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di jalanan dan beliau amat kehausan, tiba-tiba beliau terjumpa sebuah telaga. Beliau segera turun ke dalam telaga tersebut untuk meminum airnya. Kemudian apabila beliau keluar dari telaga tersebut, beliau melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata di dalam hatinya: Anjing ini mesti kehausan seperti aku. Oleh itu, beliau turun semula ke dalam telaga dan memasukkan air ke dalam kasutnya yang diperbuat dari kulit iaitu khuf dan menggunakan mulutnya untuk menggigit kasut tersebut supaya dapat membawa naik kasut yang berisikan air itu untuk diberikan kepada anjing tersebut. Melihat hal itu, Allah berterima kasih kepadanya, dan mengampuninya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya perbuatan kita terhadap binatang seperti anjing tersebut boleh mendapatkan pahala? Rasulullah s.a.w menjawab: Setiap yang mempunyai roh (bernyawa) ada pahalanya. 

KORBAN

Hadis Al-Bara' r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah emak) Abu Burdah telah menyembelih korban sebelum sembahyang (Hari Raya). Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kambing itu hanya menjadi daging sahaja (tidak menjadi korban dan tidak ada pahalanya). Beliau berkata: Wahai Rasulullah, aku mempunyai anak kambing yang masih muda (berumur enam bulan hingga setahun). Rasulullah s.a.w bersabda: Sembelihlah ia, tetapi bagi selainmu tidak boleh (tidak sah). Baginda bersabda lagi: Sesiapa yang menyembelih korban sebelum sembahyang, dia menyembelih hanya untuk dirinya sendiri dan sesiapa menyembelih sesudah sembahyang, sempurnalah ibadat korbannya dan menepati sunnah kaum Muslimin.