Search This Blog

Pages

November 20, 2011

KELEBIHAN PARA SAHABAT R.A

 Hadis Abu Said r.a: 
Ketika Rasulullah s.a.w berada di atas mimbar, baginda s.a.w bersabda: Terdapat seorang hamba, di mana Allah memberi pilihan kepadanya, samada beliau ingin memilih kemewahan dunia atau diberi sesuatu yang ada di sisi Allah. Ternyata beliau memilih apa yang ada di sisi Allah. Setelah itu Abu Bakar menangis dan berkata: Aku menebus kamu dengan bapa dan ibuku. Abu Said berkata: Rasulullahlah yang dipilihnya dan Abu Bakar sendiri yang memberitahu perkara itu kepadaku. Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar. Sekiranya aku ingin mengambil seorang kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku, akan tetapi beliau merupakan saudaraku di dalam Islam. Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela besar di antara dua buah rumah untuk Abu Bakar.

Kelebihan Nabi Isa a.s

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorang bayi yang dilahirkan melainkan telah disentuh oleh syaitan. Bayi itu menangis, menjerit kerana sentuhan syaitan tersebut kecuali Putera Mariam dan Mariam.

Kewibawaan Nabi s.a.w Dan Baginda Tidak Bertanya Tentang Perkara Perkara Yang Tidak Perlu Atau Perkara Perkara Yang Tidak Ada Kaitannya Dengan Syarak Atau Perkara Perkara Yang Tidak Realiti Dan Sebagainya

 Hadis Anas bin Malik r.a katanya: 
Satu berita tentang para sahabat sampai kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda bersabda: Telah diperlihatkan kepadaku Syurga dan Neraka. Aku belum pernah melihat sesuatu yang paling baik dan paling buruk seperti yang aku lihat pada hari ini. Jika kamu mengetahui perkara-perkara yang dapat aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Anas berkata lagi: Cuaca hari ini sangat panas. Kepanasannya menyengat para sahabat Rasulullah s.a.w sehingga mereka terpaksa menutup kepala. Jadi, semasa mereka berteriak tangis yang memilukan. Umar berdiri seraya berkata: Kami rela Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabi. Selanjutnya Anas berkata lagi: Ada seorang lelaki yang berdiri dan berkata: Siapakah bapaku? Beliau menjawab: Bapa engkau adalah si polan. Kemudian turun ayat: � Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu menanyakan (kepada nabimu) perkara-perkara yang mana jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu.

Tidak Meninggalkan Wasiat Bagi Orang Yang Tidak Memiliki Sesuatu Untuk Diwasiatkannya

 Hadis Ibnu Abbas r.a: 
Diriwayatkan daripada Said bin Jubair katanya: Ibnu Abbas bertanya: Hari ini hari Khamis! Apa yang telah berlaku pada hari Khamis! Kemudian dia menangis sehingga air matanya membasahi batu-batu kecil. Lalu aku bertanya: Wahai Ibnu Abbas! Kenapa dengan hari Khamis? Dia menjawab: Pada hari itu sakit Rasulullah s.a.w bertambah parah kemudian baginda bersabda: Kemarilah! Aku akan tuliskan untukmu suatu catatan yang membuatkan kamu tidak akan tersesat selepasku. Lalu para sahabat bertengkar, padahal tidak seharusnya mereka bertengkar di hadapan Nabi. Mereka bertanya: Kenapa dengan baginda? Adakah baginda bermimpi? Tanyalah kepada baginda. Nabi s.a.w bersabda: Biarkanlah aku. Apa yang aku alami sekarang ini lebih baik (dari pada mendengar pertengkaranmu). Aku mewasiatkan tiga perkara iaitu usirlah orang-orang Musyrikin dari Semenanjung Tanah Arab, berikanlah kepada para tetamu sesuatu yang sama dengan apa yang pernah aku berikan kepada mereka. Kemudian baginda diam tidak menyebut yang ketiga atau mungkin baginda menyebutnya tetapi aku terlupa.

Wajib Berkabung Dalam Tempoh Idah Kerana Kematian, Dan Diharamkan Berkabung Selain Daripadanya Kecuali Hanya Tiga Hari

 Hadis Ummu Salamah r.a katanya: 
Seorang perempuan datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: Wahai Rasulullah! Puteriku baru saja kematian suaminya. Kedua matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis, jadi adakah aku dibolehkan mencelaknya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak! Sebanyak dua atau tiga kali. Lalu baginda bersabda: Dia harus berkabung selama empat bulan sepuluh hari dan kamu tidak perlu mengikut kebiasaan wanita jahiliah yang suka memanjangkan tempoh idah dan juga membuang kotoran binatang pada awal tahun.

Masalah Ila'. Menjauh Dan Memberikan Pilihan Kepada Isteri, Serta Firman Allah Taala: وَإِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ Yang bermaksud: Dan Jika Kamu Berdua Membantu Menyusahkan Nabi

 Hadis Umar bin Al-Khattab r.a: 
Ketika Nabi s.a.w menjauhi isteri-isteri baginda, aku masuk ke dalam masjid. Aku melihat orang ramai menghentak-hentakkan kaki ke tanah sambil berkata: Rasulullah s.a.w telah menceraikan isteri-isterinya. Itu terjadi sebelum isteri-isteri Nabi diperintah supaya memakai hijab. Umar berkata: Aku yakin ada kejadian penting pada hari itu. Aku terus menemui Aisyah r.a dan bertanya: Wahai puteri Abu Bakar! Apakah perbuatan yang telah kamu lakukan sehingga menyakiti Rasulullah s.a.w? Aisyah r.a menjawab: Apa urusanmu denganku, wahai putera Al-Khattab? Kamu nasihatilah sahaja puterimu sendiri. Aku segera menemui Hafsah r.a dan aku berkata kepadanya: Wahai Hafsah! Apakah perbuatan yang telah kamu lakukan sehingga menyakiti Rasulullah s.a.w? Demi Allah, aku tahu bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak menyukaimu. Seandainya tidak ada aku, pasti Rasulullah s.a.w telah menceraikan kamu. Mendengar ucapan itu lalu Hafsah menangis tersedu-sedu. Aku bertanyakan kepadanya: Di mana Rasulullah s.a.w berada? Dia menjawab: Di tempat pengasingannya. Aku terus menuju ke sana. Di situ aku bertemu dengan Rabah pelayan Rasulullah s.a.w yang sedang duduk berhampiran dengan pintu sambil melunjurkan kedua kakinya pada sekeping papan. Untuk menemui Rasulullah s.a.w mesti melalui tangga. Dari jauh aku memanggil Rabah: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah s.a.w. Rabah memandang ke arah kamar Rasulullah s.a.w lalu beralih pula memandang aku tanpa berkata apa-apa. Aku mendekatinya dan berkata: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah s.a.w. Sekali lagi Rabah hanya diam sambil matanya memandang ke arah kamar Rasulullah s.a.w kemudian beralih memandangku tanpa berkata apa-apa. Kemudian dengan suara yang agak kuat aku berkata kepadanya: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah. Katakan kepada Rasulullah, bahawa kedatanganku adalah untuk membicarakan tentang Hafsah. Demi Allah! Jika baginda memerintahkan aku supaya memukul tengkuknya akan aku laksanakan perintah baginda itu. Akhirnya Rabah memberikan isyarat kepadaku supaya menaiki tangga. Aku segera masuk menemui Rasulullah s.a.w aku melihat baginda sedang berbaring di atas sebidang tikar. Lalu aku duduk berhampiran dengan baginda. Aku lihat baginda menurunkan kain yang satu-satunya digunanya oleh baginda. Ketika itu aku melihat kesan tikar pada pinggang baginda. Kemudian aku layangkan pandanganku ke sekitar kamar. Tidak banyak barang yang ada di situ kecuali hanya segantang biji gandum terletak di sudut kamar, sebidang kulit iaitu belulang binatang yang belum sempurna disamak dan beberapa barang lain yang tidak berharga sehinggalah aku menitiskan air mata. Melihat keadaan itu Rasulullah bertanya: Kenapa kamu menangis, wahai putera Al-Khattab? Dengan suara tersedu-sedu aku menjawab: Wahai Nabi Allah! Bagaimana aku tidak menangis melihat keadaan kamu yang sangat menyedihkan ini dan tikar yang memberi kesan padamu? Jauh sekali dengan apa yang dinikmati oleh Kaisar dan Raja-raja di sana, sedangkan kamu wahai Rasulullah s.a.w hanya memiliki ini. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai putera Al-Khattab! Mahukah kamu sekiranya akhirat menjadi bahagian kita dan dunia menjadi bahagian mereka? Aku menjawab: Sudah tentu aku mahu. Setelah melihat wajah Rasulullah s.a.w sudah mulai kelihatan berseri-seri tidak seperti waktu pertama kali aku masuk, aku memberanikan diri untuk bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah yang memberatkan kamu tentang wanita-wanita iaitu isteri-isteri? Jika kamu ceraikan isteri-isteri kamu sekalipun maka Allah serta seluruh Malaikat-Nya, Jibril, Mikail, aku, Abu Bakar dan seluruh orang mukmin akan tetap bersama kamu. Aku berharap mudah-mudahan perkataanku itu dibenarkan oleh Allah. Kemudian turunlah ayat takhyir yang menyuruh untuk memilih: عَسَي رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنّ وَإِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَوْلَاهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمَلَائِكةُ بَعْدَ ذَلِكَ ظَهِيْرٌ Yang bermaksud: Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu. Jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah pelindungnya dan begitu pula Jibril dan orang-orang mukmin yang baik serta selain dari itu Malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Pada saat itu Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah memang bersepakat untuk mempengaruhi isteri Nabi s.a.w yang lain. Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! Adakah kamu akan menceraikan mereka? Baginda menjawab: Tidak! Kemudian aku jelaskan kepada baginda, bahawa sewaktu aku sedang berada di masjid, aku melihat orang ramai masih lagi menghentakkan kaki ke tanah sambil berkata: Rasulullah s.a.w telah menceraikan isteri-isterinya. Kemudian aku berkata kepada baginda: Adakah perlu aku memberitahu mereka bahawa sebenarnya kamu tidak menceraikan isteri-isteri kamu? Baginda bersabda: Baiklah, jika kamu mahu. Lalu aku berbicara dengan baginda tentang berbagai perkara, akhirnya aku lihat baginda benar-benar reda dari kemarahannya. Bahkan baginda sudah mampu tersenyum dan tertawa. Kemudian kami sama-sama turun dari kamar melalui tangga. Aku berhati-hati semasa menuruni tangga itu, tidak seperti Rasulullah yang kelihatan seperti berjalan di atas tanah dan tangannya tidak berpegang pada apa-apapun. Sebaik saja sampai di bawah. Aku berkata kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungghnya kamu berada di dalam kamar itu selama dua puluh sembilan hari. Baginda bersabda: Sesungguhnya satu bulan itu memang ada dua puluh sembilan hari. Aku terus menuju ke masjid dan berdiri di pintunya dan dengan suara yang kuat aku melaungkan: Rasulullah s.a.w tidak menceraikan isteri-isteri baginda. Kemudian turunlah ayat: وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ ألْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَي الرَّسُولِ وإِلَي أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ Yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, lalu mereka menyiarkannya dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul serta pemimpin di kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya akan dapat mengetahuinya dari mereka iaitu Rasul dan Ulul Amri. Aku adalah termasuk orang-orang yang ingin mengetahui. Maka Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung menurunkan ayat takhyir.

Keterangan Cara cara Berihram, Harus Berhaji Ifrad, Tamattu' Dan Qiran Serta Harus Menyusuli Haji Selepas Umrah. Bilakah Waktu Tahalul Untuk Orang Yang Melakukan Haji Qiran

 Hadis Jabir r.a katanya: 
Aku pernah bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk berihram Haji Ifrad, sedangkan Saidatina Aisyah r.a berihram Umrah. Sebaik sahaja tiba di Daerah Sarif, Saidatina Aisyah datang haid. Setelah kami tiba di Mekah, kami melakukan Tawaf di Kaabah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh orang yang tidak membawa haiwan sembelihan supaya bertahallul. Jabir berkata: Kami bertanya: Apakah yang dihalalkan? Rasulullah s.a.w menjawab: Semuanya sudah dihalalkan. Lalu kami tidur bersama-sama isteri kami, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berjahit. Setelah sempat bermalam di Arafah selama empat hari, kami berihram kembali pada hari Tarwiah iaitu hari kelapan Zulhijah. Selepas itu Rasulullah s.a.w menemui Saidatina Aisyah r.a yang kebetulan sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapakah dengan dirimu ini? Saidatina Aisyah menjawab: Aku haid sedangkan mereka semua sudah bertahalul. Aku belum lagi bertahallul dan Tawaf di Baitullah. Mereka sedang mengerjakan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda: Ini adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah terhadap setiap anak perempuan Adam. Mandi dan kerjakanlah Haji. Lalu Saidatina Aisyah melakukannya dan berwuquf. Setelah suci dari haid, dia melakukan Tawaf di Baitullah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya: Bukankah kamu telah bertahallul dari Haji dan Umrahmu sekaligus? Lalu Saidatina Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah s.a.w aku dapati diriku belum melakukan Tawaf di Baitullah sehinggalah aku selesai melakukan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdul Rahman: Wahai Abdul Rahman! Temankanlah dia untuk mengerjakan Umrah secara berihram di Tan'im. Lantas mereka pergi pada malam Hasbah iaitu malam jemaah Haji keluar dari Mekah selepas hari Tasyrik.

Sesiapa Yang Makan Pada Waktu Siang Hari Asyura, Hendaklah Dia Berpuasa Pada Baki Harinya

 Hadis Ar-Rubaiyyi' binti Muawwiz bin Afra' r.a katanya: 
Pada hari Asyura, Rasulullah s.a.w telah mengirimkan surat ke perkampungan-perkampungan Ansar di sekitar Madinah yang berbunyi: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat dari bulu biri-biri. Jika ada di antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan tersebut sehingga tiba waktu berbuka.

KITAB JENAZAH


Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya: 
Saad bin Ubadah r.a telah mengalami sakit tenat dan diadukan mengenai keadaannya, lalu baginda s.a.w pergi menziarahinya bersama Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas dan Abdullah bin Mas'ud r.a. Ketika baginda masuk menemuinya, didapati dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah dia telah meninggal dunia? Orang ramai yang hadir di situ menjawab: Belum lagi, wahai Rasulullah. Kemudiannya Rasulullah s.a.w mulai menangis. Ketika orang ramai melihat tangisan Rasulullah s.a.w mereka pun ikut menangis. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tidakkah kamu mendengar bahawa Allah tidak menyeksa hanyalah kerana air mata dan Allah tidak juga menyeksa disebabkan hati yang dukacita tetapi Dia menyeksa adalah kerana ini (baginda menunjuk ke lidah baginda) ataupun Dia mengasihi.

Sembahyang Kusuf Iaitu Gerhana

Hadis Aisyah r.a katanya: Matahari telah gerhana pada masa Rasulullah s.a.w lalu baginda berdiri melakukan sembahyang dan berdiri dalam waktu yang panjang. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk itu. Selepas itu baginda mengangkat kepala lalu berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah lama sebagaimana berdiri yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk pula sekali lagi dalam masa yang panjang, tetapi tidaklah sepanjang rukuk yang pertama. Setelah itu baginda sujud. Kemudian baginda bangkit dan berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk cukup lama tetapi kurang dari yang pertama tadi. Seterusnya baginda mengangkat kepala lalu berdiri lama tetapi kurang tempohnya dari berdiri yang pertama. Kemudian rukuk pula cukup lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Setelah itu baginda sujud dan selepas selesai sembahyang baginda pun beredar dan matahari mulai kelihatan. Baginda mula berkhutbah di hadapan kaum Muslimin. Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya. Kemudiannya baginda bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan itu termasuk tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana disebabkan hidup atau matinya seseorang. Oleh itu seandainya kamu melihat kedua-duanya gerhana, maka bertakbir dan berdoalah kepada Allah, dirikanlah sembahyang dan bersedekahlah wahai umat Muhammad! Tidak seorang pun yang paling prihatin selain daripada Allah apabila hambanya samada lelaki ataupun perempuan melakukan zina. Wahai umat Muhammad! Demi Allah seandainya kamu tahu apa yang telah aku ketahui, tentu kamu lebih banyak menangis dan kurang ketawa. lngatlah, bukankah aku telah menyampaikan?.

Israk Rasulullah s.a.w Ke Langit Dan Kewajipan Sembahyang


Hadis Malik bin Sokso'ah r.a katanya: 
Nabi s.a.w bersabda: Ketika aku berada di tepi Baitullah dalam keadaan separuh tidur, tiba-tiba aku mendengar percakapan salah seorang dari tiga lelaki iaitu yang berada di tengah-tengah. Lalu mereka menghampiri aku dan membawa aku ke suatu tempat. Kemudian mereka membawa sebuah bekas daripada emas yang berisi air Zamzam. Setelah itu dadaku dibedah sehinggalah ke sini dan ke sini. Qatadah berkata, aku telah bertanya kepada orang yang bersamaku: Apakah yang baginda maksudkan? Beliau menjawab: Hingga ke bawah perut baginda. Baginda terus bersabda lagi: Hatiku telah dikeluarkan dan dibersihkan dengan air Zamzam, kemudian mereka meletakkannya kembali di tempat asal. Setelah itu diisi pula dengan iman dan hikmat, lalu dibawa pula kepadaku seekor binatang tunggangan berwarna putih yang dikenali sebagai Buraq, ia lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal. Ia mengatur langkahnya sejauh mata memandang, sementara itu aku dibawa di atas belakangnya. Kemudian kami pun memulakan perjalanan hingga sampai ke langit dunia, setelah itu Jibril a.s meminta agar dibukakan pintunya, lalu ditanya: Siapa? Jawabnya: Jibril. Kemudian ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Lalu Jibril menjawab: Muhammad s.a.w. Lalu ditanya lagi: Adakah dia orang yang telah diutuskan? Jawabnya: Ya. Sejurus kemudian malaikat yang menjaga pintu tersebut membuka pintu sambil berkata: Selamat datang, sesungguhnya tetamu utama telah tiba. Lalu kami mengunjungi Nabi Adam a.s. Hadis ini menceritakan kisah yang berlaku pada ketika itu. Seterusnya diceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w bertemu dengan Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s di langit kedua, manakala di langit ketiga pula baginda berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s. Seterusnya di langit keempat bertemu pula dengan Nabi Idris a.s. Setelah sampai di langit kelima baginda bertemu pula dengan Nabi Harun a.s. Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di langit keenam, lalu aku menemui Nabi Musa a.s dan memberi salam kepadanya. Beliau segera menjawab: Selamat datang wahai saudara dan nabiku yang soleh. Semasa aku meningalkannya, beliau terus menangis. Lalu beliau ditanya: Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab: Wahai Tuhanku! Engkau telah mengutus pemuda ini kemudian dari ku, tetapi umatnya paling ramai memasuki Syurga berbanding dengan umatku. Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di langit ketujuh, lalu aku mengunjungi Nabi Ibrahim a.s. Hadis ini menjelaskan bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa baginda melihat empat batang sungai yang keluar dari pangkalnya iaitu dua batang sungai yang jelas kelihatan dan dua batang sungai yang samar-samar. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Wahai Jibril! Sungai-sungai apakah ini? Jibril menjawab: Dua batang sungai yang samar-samar itu merupakan sungai Syurga, manakala yang jelas kelihatan adalah sungai Nil dan Furat. Seterusnya aku dibawa naik ke Baitulmakmur, lalu aku bertanya: Wahai Jibril, apakah ini? Lalu Jibril menjawab: Ini adalah Baitulmakmur, setiap hari tujuh puluh ribu Malaikat akan memasukinya. Setelah mereka keluar, mereka tidak akan memasukinya lagi kerana itu merupakan kali yang terakhir mereka memasukinya. Kemudian dibawa pula kepadaku dua bekas yang satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu. Keduanya dihulurkan kepadaku lalu aku memilih susu. Maka dikatakan kepadaku: Kamu membuat pilihan yang tepat! Allah menghendakimu dan umatmu dalam keadaan fitrah iaitu kebaikan dan kelebihan. Kemudian difardukan pula kepadaku sembahyang lima puluh waktu setiap hari kemudian diceritakan kisah seterusnya hingga ke akhir Hadis.