Search This Blog

Pages

November 2, 2011

Harus Melakukan Umrah Pada Bulan bulan Haji

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
 Mereka iaitu orang-orang Jahiliah berpendapat, melakukan Umrah pada bulan Haji merupakan dosa yang paling besar di atas muka bumi ini. Mereka menjadikan bulan Muharam sebagai bulan Safar. Mereka berkata: Apabila kepenatan telah hilang, kesan tapak kaki sudah hilang dan bulan Safar telah berlalu, orang-orang yang berumrah pun bolehlah bertahallul. Pada pagi empat Zulhijah Nabi s.a.w dan para sahabatnya datang dalam keadaan berihram Haji lalu baginda memerintahkan mereka supaya bertukar kepada Ihram Umrah. Namun mereka keberatan dan berkata: Wahai Rasulullah! Apa yang telah dihalalkan? Baginda menjawab: Semua perkara telah dihalalkan.

Melakukan Tawaf Dan Saie Bagi Orang Yang Berihram Haji Setelah Tiba Di Kota Mekah

Hadis Ibnu Umar r.a katanya: 
 Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w tiba di Masjidilharam, baginda terus melakukan Tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat di belakang makam Ibrahim serta bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan yang baik untuk kamu.

Wajib Membayar Dam Bagi Orang Yang Mengerjakan Haji Tamattu'. Jika Tidak Dibayar, Mereka Diwajibkan Berpuasa Selama Tiga Hari Ketika Masih Berada Di Tanah Suci Dan Tujuh Hari Setelah Kembali Ke Tanah Air

Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
 Rasulullah s.a.w telah mengerjakan Haji Tamattu' pada tahun Haji Wida' secara mengerjakan Umrah dan Haji dengan satu Ihram. Kemudian baginda membayar Dam iaitu menyembelih binatang yang dibawa bersamanya dari Zul Hulaifah. Baginda memulakan dengan Ihram Umrah kemudian Ihram Haji. Para sahabat juga turut sama mengerjakan Haji secara Tamattu' dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka membayar Dam dan sebahagiannya tidak. Ketika Rasulullah s.a.w tiba di Mekah baginda telah bersabda: Sesiapa di antara kamu yang telah membayar Dam, mereka belum lagi dihalalkan apa yang telah diharamkan sehinggalah mereka selesai mengerjakan Haji. Bagi sesiapa yang belum membayar Dam hendaklah melakukan Tawaf di Baitullah, bersaie antara Safa dan Marwah serta bercukur ataupun menggunting rambut dan bertahallul. Kemudian hendaklah berihram Haji dan membayar Dam. Bagi sesiapa yang tidak mampu membayar Dam hendaklah berpuasa tiga hari ketika masih berada di Tanah Suci dan tujuh hari setelah kembali ke tanah air. Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf Qudum setibanya di Mekah, dimulai dengan mengucup Hajarulaswad kemudian berlari-lari anak sebanyak tiga pusingan dari tujuh pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Sebaik sahaja selesai melakukan Tawaf di Baitullah, baginda kemudiannya mendirikan sembahyang dua rakaat di makam Ibrahim. Selepas salam baginda menuju ke bukit Safa lalu bersaie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Baginda belum lagi menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan sehinggalah selesai Haji dan menyembelih Dam pada hari Nahr (10 Zulhijah) iaitu pada Hari Raya Korban. Kemudian baginda kembali ke Mekah untuk melakukan Tawaf Wida' di Kaabah, setelah mereka dihalalkan melakukan apa yang telah diharamkan sebelumnya. Orang yang membawa atau menyembelih Dam juga melakukan sebagaimana apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. 

Harus Bagi Orang Yang Berihram Atau Tidak Berihram, Membunuh Haiwan Tertentu Samada Di Tanah Halal Ataupun Di Tanah Haram

Hadis Abdullah bin Umar r.a: 
 Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak berdosa bagi orang yang membunuh lima jenis binatang walaupun di Tanah haram dan mereka pula dalam keadaan berihram. Binatang-binatang tersebut ialah tikus, kala jengking, burung gagak, burung helang dan anjing liar. 

Harus Bagi Orang Yang Berihram Atau Tidak Berihram, Membunuh Haiwan Tertentu Samada Di Tanah Halal Ataupun Di Tanah Haram

Hadis Saidatina Aisyah r.a, isteri Nabi s.a.w katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Ada empat jenis binatang jahat yang boleh dibunuh di tanah halal ataupun di Tanah haram, iaitu burung helang, burung gagak, tikus dan anjing liar. 

Mengetahui Dua Rakaat Sembahyang Sunat Yang Biasa Dilakukan Oleh Nabi s.a.w Setelah Asar

Hadis dari Ummu Salamah r.a: Diriwayatkan daripada Kuraib r.a katanya: Sesungguhnya Abdullah bin Abbas, Abdul Rahman bin Azhar dan Miswar bin Makhramah, menyuruhku untuk menemui Aisyah isteri Nabi s.a.w. Mereka berkata: Sampaikan salam kami semua kepadanya. Juga tanyakan kepadanya mengenai sembahyang dua rakaat selepas sembahyang Asar. Katakan juga kepadanya, bahawa kami telah mendengar khabar yang dia juga melakukan dua rakaat sesudah Asar. Sedangkan setahu kami, Rasulullah s.a.w melarang kami melakukannya. Kata Ibnu Abbas: Waktu itu aku yang sedang bersama Umar bin Al-Khattab segera meninggalkan tempat tersebut. Kemudian Kuraib bercerita: Tanpa membuang masa aku terus menemui Aisyah dan menyampaikan apa yang mereka katakan padaku. Aisyah menjawab: Tanyalah Ummu Salamah. Aku terus pulang menemui orang-orang yang menyuruhku tadi dan aku beritahu tentang jawapan Aisyah. Setelah itu mereka menyuruhku berjumpa Ummu Salamah supaya bertanyakan soalan sebagaimana yang dikemukakan kepada Aisyah. Ummu Salamah menjawab: Dia memang pernah mendengar Rasulullah s.a.w melarangnya. Namun begitu dia juga pernah melihat baginda melakukannya. Dimana setelah baginda selesai mendirikan sembahyang Asar, baginda masuk ke dalam rumah. Pada waktu itu Ummu Salamah bersama seorang wanita Bani haram dan seorang wanita golongan Ansar. Baginda terus mendirikan sembahyang dua rakaat tersebut. Ummu Salamah kemudiannya menyuruh seorang hamba perempuan supaya berdiri di samping baginda dan bertanya tentang sembahyang dua rakaat yang baginda lakukan kerana baginda pernah melarangnya. Sebelum itu Ummu Salamah telah berpesan kepada hamba perempuan tersebut agar menggunakan isyarat tangan. Hamba perempuan itu pun melaksanakan suruhan Ummu Salamah dan ternyata Nabi s.a.w memberikan isyarat tangan supaya menjauhkan diri dari baginda. Apabila jariah itu mulai beredar, baginda lalu bersabda: Wahai puteri Abu Umayyah! Kamu tentu akan bertanyakan mengenai dua rakaat selepas Asar yang baru aku lakukan. Ketahuilah, wahai Puteri Abu Umayyah! Sebenarnya tadi beberapa orang dari suku Abdul Qais datang kepadaku membuat urusan pengislaman kaumnya, sehingga membuatkan aku terlambat melakukan dua rakaat selepas sembahyang Zuhur. Manakala yang sebentar tadi itu adalah dua rakaat yang belum sempat aku lakukannya.

Harus Mendirikan Sembahyang Sunat Secara Berjemaah Dan Mendirikannya Di Atas Tikar, Di Atas Sejadah Kecil, Di Atas Pakaian Dan Lain Lain Lagi Dari Benda Benda Yang Suci

Hadis Anas r.a katanya: 
 Pada suatu hari Nabi s.a.w datang menemuiku. Pada waktu itu aku sedang bersama dengan ibuku dan Ummu haram emak saudaraku. Baginda bersabda: Berdirilah! Aku akan mendirikan sembahyang bersama kamu semua. Sedangkan pada waktu itu bukanlah waktu sembahyang. Baginda mendirikan sembahyang bersama kami lalu seorang lelaki bertanya kepada Thabit: Di mana Anas berada pada waktu itu? Thabit menjawab: Anas berada di sebelah kanan Rasulullah. Kemudian baginda berdoa untuk kami seisi keluarga supaya kami beroleh segala kebaikan dunia dan akhirat. Ibuku berkata: Wahai Rasulullah! Tolong doakan khadammu itu kepada Allah. Baginda pun mendoakan segala kebajikan untukku. Pada akhir doa tersebut baginda berdoa yang bermaksud:
 اللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ وَبَارِكْ لَهُ فِيهِ 
Ya Allah! Perbanyakkanlah hartanya dan perbanyakkanlah anak-anaknya serta berikanlah keberkatan kepadanya.

MASJID DAN TEMPAT TEMPAT SEMBAHYANG

Hadis Abu Zar r.a katanya: 
 Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Masjid manakah yang pertama diasaskan atas muka bumi ini? Rasulullah menjawab: Masjidilharam. Aku bertanya lagi: Setelah itu, masjid mana pula? Baginda menjawab: Masjidilaqsa. Seterusnya aku bertanya: Berapa lamakah beza waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Empat puluh tahun. Walau pun begitu, di mana saja kamu berada apabila tiba waktu sembahyang, dirikanlah sembahyang kerana di situ juga merupakan masjid. 

Sucinya Kulit Bangkai Yang Disamak

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
 Hamba milik Maimunah r.a pernah disedekahkan dengan seekor kambing, kemudian kambing tersebut mati. Tidak berapa lama kemudian Rasulullah s.a.w melalui tempat tersebut lalu bersabda: Mengapa kamu tidak mengambil kulit bangkai tersebut dan menyamaknya agar kamu boleh memanfaatkannya? Mereka berkata: Ianya sudah menjadi bangkai. Baginda bersabda: Sesungguhnya ia diharamkan hanyalah memakannya.

Mengetahui Bentuk Penglihatan

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: 
 Bahawa kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w telah bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kami dapat melihat Tuhan kami nanti pada Hari Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Adakah kamu merasa sukar untuk melihat matahari pada siang hari yang cerah, yang tidak ada awan? Adakah kamu merasa sukar untuk melihat bulan pada malam purnama yang cerah tanpa ada awan? Kaum Muslimin menjawab: Tidak, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak akan mengalami kesukaran dalam melihat Allah Taala pada Hari Kiamat sebagaimana kamu tidak mengalami kesukaran untuk melihat salah satu dari matahari dan bulan. Apabila berlaku Hari Kiamat, para penyeru iaitu para Malaikat mengumumkan: Setiap umat hendaklah mengikuti apa yang mereka sembah sewaktu di dunia. Maka tidak akan kekal seorangpun dari mereka yang menyembah selain dari Allah, iaitu berhala-berhala. Mereka akan dihumban ke dalam Neraka sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya iaitu semasa di dunia menyembah Allah, orang-orang yang baik, orang-orang jahat dan saki-baki Ahli Kitab. Maka orang-orang Yahudi. dipanggil dan ditanya Kepada mereka: Apakah yang kamu sembah sewaktu di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Uzair Ibnullah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta. Allah tidak pernah menjadikan walau seorangpun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apa yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus, wahai Tuhanku! Berilah kami minum. Lalu diisyaratkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka pun diiringi beramai-ramai ke Neraka, Neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam Neraka. Kemudian dipanggil pula orang-orang Nasrani lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu sembah semasa di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Al-Masih anak Allah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta! Allah tidak pernah menjadikan walau seorang pun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apakah yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus wahai Tuhanku, berilah kami minum. Lalu ditunjukkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka diiringi ke Neraka Jahanam. Neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam Neraka, sehinggalah yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya menyembah Allah Taala, orang-orang baik dan orang-orang jahat. Maka Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam datang kepada mereka dalam bentuk yang lebih rendah daripada bentuk yang mereka ketahui lalu berfirman: Apakah yang kamu tunggu? Setiap umat akan mengikuti apa yang dahulunya mereka sembah. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Di dunia, kami memisahkan diri dari orang-orang yang menyusahkan kami iaitu untuk membantu penghidupan di dunia dan kami tidak mahu berkawan dengan mereka iaitu kerana mereka menyimpang dari jalan yang digariskan oleh agama. Allah berfirman lagi kepada mereka: Akulah Tuhan kamu! Mereka berkata: Kami mohon perlindungan daripada Allah kepada kamu, kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun untuk kali kedua atau ketiga sehingga sebahagian mereka hampir-hampir berubah iaitu kembali kepada kebenaran. Maka Allah berfirman: Apakah di antara kamu dan Allah terdapat tanda-tanda yang membuatkan kamu dapat mengenali-Nya? Mereka menjawab: Ya! Lalu disingkapkan keadaan yang menakutkan itu dan setiap orang yang hendak bersujud kepada Allah dengan keinginan mereka sendiri sudah pasti akan mendapat keizinan Allah sedangkan orang yang akan bersujud kerana takut atau untuk memperlihatkannya, maka Allah akan menyatukan belakangnya sehingga tidak boleh bersujud. Setiap kali hendak bersujud, dia hanya dapat membongkokkan pada tengkuknya. Kemudian apabila mereka mengangkat kepala, Allah telah pun berupa sebagaimana gambaran yang mereka lihat pertama kali tadi. Maka Allah pun berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka menyahut: Engkau Tuhan Kami! Kemudian dibentangkan sebuah jambatan di atas Neraka Jahanam dan yang dibenarkan ketika itu hanyalah syafaat dari Rasul-rasul di mana mereka mengucapkan: Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah. Kemudian ada yang bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah jambatan itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Ianya merupakan lumpur yang licin. Padanya juga terdapat besi berkait dan besi berduri. Di Najd terdapat tumbuhan berduri yang disebut Saadan. Maka seperti itulah besi-besi berkait tersebut. Kepantasan orang-orang mukmin melintasi jambatan tersebut ada seperti kerlipan mata, seperti kilat, seperti angin, seperti burung dan seperti kuda atau unta yang berlari kencang. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan: Selamat dan tidak mengalami apa-apa rintangan, selamat tetapi terpaksa menempuh banyak rintangan dan terkoyak serta yang terus terjerumus ke dalam Neraka Jahanam. Pada saat orang-orang mukmin telah bebas dari azab Neraka, maka demi zat yang menguasai diriku iaitu diri Rasulullah nescaya tidak ada orang yang begitu mengambil berat dalam mencari kebenaran, melebihi orang-orang mukmin yang mencari kebenaran daripada Allah demi kepentingan saudara-saudara mereka yang masih berada di Neraka. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya dulu mereka berpuasa bersama kami, mendirikan sembahyang dan mengerjakan Haji. Lalu Allah berfirman kepada mereka: Keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal kerana wajah-wajah mereka diharamkan ke atas api Neraka. Maka ramai yang dapat dikeluarkan dari Neraka. Ada yang sudah terbakar hingga separuh betis dan lututnya. Orang-orang mukmin itu berkata: Wahai Tuhan kami, tidakkah ada lagi yang tertinggal di dalam Neraka setelah Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, siapa saja yang kamu temukan di hatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat satu dinar, maka keluarkanlah. Jadi mereka dapat mengeluarkan ramai manusia. Lalu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Kami tidak tahu apakah masih ada di Neraka seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan dihatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat setengah dinar, maka keluarkanlah. Mereka dapat mengeluarkan ramai lagi manusia. Setelah itu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu, apakah di sana masih ada seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan. Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan di dalam hatinya terdapat kebaikan meskipun hanya seberat zarah, maka keluarkanlah. Bertambah ramai lagi yang dapat dikeluarkan. Kemudian mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu adakah di sana masih ada pemilik kebaikan. Sesungguhnya Abu Said Al-Khudriy berkata: Jika kamu tidak mempercayaiku mengenai Hadis ini, maka bacalah firman Allah ayat 40 surah An-Nisa' 


إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا 


Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya serta memberikan dari sisiNya pahala yang besar. Allah s.w.t berfirman: Para Malaikat telah meminta syafaat, para nabi telah meminta syafaat dan orang-orang mukmin juga telah meminta syafaat. Yang tinggal hanyalah Zat Yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang. Lalu Allah merangkum dari Neraka dan mengeluarkan sekumpulan orang yang sama sekali tidak pernah melakukan kebaikan. Mereka telah menyedari. Kemudian mereka dilempar ke sebuah sungai di pintu Syurga, yang disebut Sungai Kehidupan. Seterusnya mereka keluar seperti tumbuhan kecil yang keluar selepas dari banjir. Bukankah kamu sering melihat tumbuhan kecil di celah-celah batu atau pohon, bahagian yang terkena sinaran matahari akan berwarna sedikit kekuningan dan hijau, sedangkan yang berada di bawah tempat teduh akan menjadi putih? Para sahabat mencelah: Seolah-olah engkau pernah menggembala di gurun. Rasulullah s.a.w terus bersabda: Lalu mereka keluar bagaikan mutiara. Di leher mereka ada kalong, sehingga para ahli Syurga dapat mengenali mereka: Mereka adalah orang-orang yang dibebaskan oleh Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga, tanpa amalan yang mereka kerjakan dan juga tanpa kebaikan yang mereka lakukan. Kemudian Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Syurga, apa-apa yang kamu lihat, ianya adalah untuk kamu. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Engkau telah berikan kepada kami pemberian yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun di antara orang-orang di seluruh alam. Allah berfirman: Di sisiKu ada pemberian untuk kamu yang lebih baik daripada pemberian ini. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, apa lagi yang lebih baik daripada pemberian ini? Allah berfirman: RedhaKu, lalu Aku tidak memurkai kamu selepas ini buat selama-lamanya. 

Mengetahui Bentuk Penglihatan

Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya orang ramai telah bertanya Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kami dapat melihat Tuhan kami pada Hari Kiamat? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Adakah memudaratkan iaitu berbahaya jikalau kamu melihat bulan pada malam purnama? Mereka pun menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Baginda bertanya lagi kepada mereka: Adakah berbahaya jikalau kamu melihat matahari yang tidak dilindungi awan? Mereka menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Kemudian baginda bersabda: Begitulah juga kamu akan melihat-Nya, Allah s.w.t akan menghimpunkan seluruh manusia pada Hari Kiamat dan berkata kepada mereka bermaksud: Sesiapa yang menyembah sesuatu benda, maka ikutilah benda tersebut. Bagi orang yang menyembah matahari, mereka akan mengikut matahari tersebut. Bagi orang yang menyembah bulan maka mereka akan mengikuti bulan tersebut. Manakala orang yang menyembah taghut, maka mereka akan mengikuti taghutnya itu. Jadi tinggal lagi umat ini iaitu umat yang percaya kepada Allah termasuklah orang-orang munafik yang tetap dengan kemunafikan mereka. Lalu Allah mendatangi mereka dengan bukan gambaran-Nya yang sebenarnya di mana gambaran tersebut mereka kenal dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhanmu. Mereka berkata: Kami berlindung dengan Allah daripada engkau iaitu gambaran tersebut, beginilah pendirian kami sehingga Tuhan kami benar-benar datang kepada kami kerana kami mengenali-Nya. Lalu Allah mendatangi mereka dengan gambaran-Nya yang sebenarnya sebagaimana yang mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhan kamu. Mereka pun menjawab: Engkaulah Tuhanku. Mereka pun mengikut-Nya. Kemudian Allah merentangkan kepada mereka suatu titian yang merentangi Neraka. Maka aku bersama umatku adalah orang pertama yang menyeberanginya. pada hari itu tiada seorangpun yang dapat berbicara kecuali para Rasul. Para Rasul berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah, selamatkanlah. Di dalam Neraka terdapat sejenis besi berkait seperti duri Saadan iaitu nama tumbuhan yang berduri besar, adakah kamu pernah melihat duri Saadan? Mereka pun menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya ia seperti duri Saadan yang tidak diketahui sebesar manakah bentuknya kecuali Allah. Ianya menggait manusia bersama amalan mereka. Tinggallah orang-orang mukmin bersama amalannya yang berjaya melintasi Neraka. Setelah Allah menetapkan hukuman di antara para hamba dan hendak mengeluarkan mereka dengan rahmatNya maka Dia akan memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan mereka dari Neraka tersebut. Manakala Orang yang tidak menyekutukan-Nya dan Dia menghendakinya maka mereka dikeluarkan dari sana dengan rahmat-Nya, begitu juga bagi orang yang berkata
 لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ 
sesungguhnya para Malaikat mengenali mereka semasa dalam Neraka melalui kesan sujud. Api Neraka akan memakan seluruh anggota anak Adam kecuali kesan sujud. Allah telah mengharamkan api Neraka dari memakan kesan tersebut. Kemudian mereka dikeluarkan dari Neraka dalam keadaan hangus, lalu disiram dengan air kehidupan, maka pulihlah mereka sebagaimana tumbuhnya benih dalam kawasan banjir iaitu lumpur. Setelah Allah selesai dari mengadili hamba-Nya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke Neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari Neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dari-Mu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari Neraka. Apabila dia berpaling menghadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagungan-Mu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga. Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhluk-Mu yang paling malang. Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka. 

Balasan Neraka Kepada Pemerintah Yang Menipu Rakyatnya

Hadis Ma'qil bin Yasar r.a: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang ditaklifkan oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya Syurga.