Search This Blog

Pages

March 26, 2010

Ciri-ciri kesempurnaan iman

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:” Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.”

Riwayat Ahmad

Kewajipan Berlaku Adil Terhadap Anak-anak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Tujuh Golongan Insan Contoh

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.”

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah

Keadilan

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya binasalah orang-orang yang sebelum kamu disebabkan orang-orang atasan apabila mencuri mereka membiarkannya , dan apabila orang lemah mencuri mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya.”

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Tiga Perkara Kebaikan Dan Keburukan

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”

Riwayat Abu Syeikh

Imam Mahadi Pembawa Rahmat

Rasulullah s.a.w telah menyebut satu bala bencana akan menimpa umat ini sehingga seseorang tak dapat tempat untuk berlindung daripada kezaliman; maka Allah Taala lahirkan seorang dari keturunanku dan ahli rumahku, serta Tuhan penuhkan bumi dengan kejujuran dan keadilan disebabkan pemerintahannya, sebagaimana bumi sebelum itu penuh dengan kezaliman dan kecurangan; penduduk langit dan bumi puas hati dengan pemerintahannya; langit pula tidak meninggalkan sedikit pun dari hujannya melainkan dicurahkannya dengan lebat, dan bumi juga tidak meninggalkan dari tumbuh-tumbuhannya melainkan dikeluarkan dengan sebanyak-banyaknya, sehingga orang yang hidup suka kalau orang-orang matinya hidup semula (supaya mereka dapat menikmati kemakmuran itu bersama); Mahadi itu akan hidup dalam keadaan yang tersebut selama tujuh atau lapan, atau pun sembilan tahun."

Abu Sa'id Al-Khudri r.a

Kedatangan Imam Mahadi

Rasulullah s.a.w bersabda: "Mahadi itu dari keturunanku, dahinya luas, hidungnya mancung; ia akan memenuhi bumi dengan kejujuran, dan keadilan, sebagaimana bumi sebelum itu penuh dengan kezaliman dan kecurangan; ia memerintah selama tujuh tahun."

Abu Sa'id Al-Khudri r.a

Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit

Dari Ummi Salamah katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya, kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)"; (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda s.a.w bersabda: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan - baik atau buruk", kemudian Baginda s.a.w berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya."

Ummi Salamah

Al-quran Al-karim

Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Awaslah! Sesungguhnya akn berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: " Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab: " (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus."

Ali r.a