Search This Blog

Pages

December 30, 2011

Saf





Dari Anas bin Malik ra, Rasulullah saw, bersabda, "Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian daripada kesempurnaan solat". (HR Bukhari & Muslim)


Daripada Abu Masud, katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata, luruskan barisanmu (saf), jangan bengkok atau akan berpecah belah hati kamu." (HR Muslim)


Nabi saw. bersabda,"Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf) dan janganlah kamu biarkan celah-celah yang kosong itu untuk syaitan. Sesiapa menghubungkan saf maka Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya dan sesiapa memutuskan saf maka Allah akan memutuskan dia daripada rahmat dan pertolonganNya". (HR Abu Daud)


Daripada Nu’man bin Bashir berkata: “Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya(buku lali) dengan mata kaki(buku lali) saudaranya.” (HR Abu Daud).


Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda: "Pada waktu solat setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki (buku lali) saudaranya". (HR Bukhari).


Nabi saw. bersabda,"Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf". (HR Abu Daud).


Nabi saw. bersabda "Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup ruang kosong dalam saf". (HR Thabrani).


Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw. bersabda, "Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah di hadapan dan seburuk-buruk ialah di belakang, sebaik-baik saf bagi wanita ialah di belakang dan seburuk-buruk ialah di hadapan." (HR Muslim)


Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw. bersabda, "Seandainya kamu tahu kelebihan yang terdapat di saf pertama niscaya kamu akan membuat undian untuk mendapatkannya". (HR Bukhari & Muslim)


Nabi saw. bersabda,“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya mengucapkan selawat (selawat Allah: rahmat dan selawat malaikat: istighfar) terhadap makmum-makmum di saf pertama”. (HR Abu Daud dan Nasa’i)

Kelebihan Solat Jumaat

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:”Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.” (HR Bukhari)


Keterangan Hadis:


1. Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu.


2. Hari Jumaat juga dinamakan ‘Yaumul-mazid’ iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ‘waktu mustajab’.


3. Mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain.


4. Malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.