Search This Blog

Pages

April 14, 2010

Pemimpin Dan Rakyat


Daripada Auf bin Malik r.a bahawa rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Imam-imam kamu yang terbaik ialah yang kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu. Mereka berdoa untuk kamu dan kamu berdoa untuk mereka. Dan imam-imam kamu yang paling jahat ialah imam-imam yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah SAW ditanya : “ Ya Rasulullah! Bolehkah kami memecat dan memerangi mereka dengan pedang? Rasulullah SAW bersabda : “ Tidak, selama mereka mendirikan solat di antara kamu. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak menyukainya dari penguasa-penguasa kamu, maka hendaklah kamu membenci amalannya dan janganlah kamu menderhaka.”
 
(Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Golongan Yang Tidak Dipedulikan Allah Di Akhirat Kelak


Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.”
 
(al-Bukhari, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Ibnu Asakir)


Menjaga Nama Baik



Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil."


(Muslim).

Disiplin Dalam Solat


Dari Abu Hurairah r.a., katanya:”Bersabda Muhammad s.a.w.:” Tiadakah takut orang yang mendahului imam mengangkatkan kepala sebelum imam, bahwa Allah akan mengubah kepalanya menjadi keldai?”
 
(Muslim)

Imam Menghadap Makmum Setelah Selesai Solat


Musa bin Ismail menyampaikan kepada kami, daripada Jarir bin Hazam, daripada Abu Raja’, daripada Samurah bin Jundab katanya:’Apabila nabi s.a.w selesai menunaikan solat, baginda menghadap mukakanya kepada kami."
 
(Bukhari)

Saat-saat Doa Paling Mustajab


Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah s.a.w membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:”Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.”
 
(Muslim)

Mereka Bukan Umatku!


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang tidak mematuhi Imam dan memencilkan diri dari jamaah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan dan berperang kerana fanatik kesukuan (kebangsaan), dia bukanlah umatku. Dan sesiapa yang keluar dari umatku lalu menyerang umatku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak dan tanpa mengendahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku.”
 
(Muslim)

Makmum Tidak Menanggung Dosa Imam

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda:”Mereka solat menjadi imam solat bagimu. Maka jika mereka betul, dia dan kamu akan mendapat pahala. Tetapi jika ia salah, kamu tetap mendapat pahala sedangkan mereka berdosa.”
 
(al-Bukhari)

Pahala Solat Yang Paling Besar


Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a, beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang yang paling besar pahala solatnya ialah orang yang paling jauh (dari masjid). Dan sesudah itu ialah orang yang menunggu-nunggu waktu untuk solat sehingga ia solat dengan imam, lebih besar pahalanya daripada ia solat (sendiri) kemudian ia tidur.”
 
(al-Bukhari)

Pemimpin Adalah Perisai


Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya. Jika Imam memerintahkan supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya dan jika dia memerintahkan selain itu maka dia mendapat siksa.”
 

Nilai Korban Dan Solat Jumaat


Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:”Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.”
 
(Bukhari)

Solat Dalam Keadaan Tenang


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Apabila dibacakan iqamat sembahyang, janganlah kamu semua tergesa-gesa pergi untuk menunaikan sembahyang, tetapi hendaklah berjalan dengan baik dan tertib, hendaklah kamu semua bersifat tenang. Tunaikanlah sembahyang mengikut rakaat yang kamu sempat mengikuti imam dan apabila imam memberi salam, maka hendaklah kamu menyempurnakan mana-mana rakaat yang tertinggal.”
 
al-Bukhari & Muslim

Hakikat kebijaksanaan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.”
 
Riwayat at-Tirmidzi

Mementingkan Kemaslahatan Bersama


Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata,”Sesungguhnya aku melambat-lambatkan dari sembahyang subuh disebabkan imam itu memanjangkan bacaannya ketika bersembahyang bersama kami.” (Abu Mas’ud berkata) aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w marah ketika memberikan nasihatnya lebih dari marahnya pada hari ini. Sabdanya, “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya antara kamu semua ada (melakukan sesuatu) menyebabkan orang lain lari, sesiapa antara kamu yang menjadi imam kepada orang ramai hendaklah ia memendekkan bacaannya kerana sesungguhnya makmum dibelakangnya terdiri daripada orang tua, kanak-kanak kecil dan orang yang hendak menguruskan keperluannya dengan segera”.
 
Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Imam Mahadi Pembawa Rahmat



Rasulullah s.a.w telah menyebut satu bala bencana akan menimpa umat ini sehingga seseorang tak dapat tempat untuk berlindung daripada kezaliman; maka Allah Taala lahirkan seorang dari keturunanku dan ahli rumahku, serta Tuhan penuhkan bumi dengan kejujuran dan keadilan disebabkan pemerintahannya, sebagaimana bumi sebelum itu penuh dengan kezaliman dan kecurangan; penduduk langit dan bumi puas hati dengan pemerintahannya; langit pula tidak meninggalkan sedikit pun dari hujannya melainkan dicurahkannya dengan lebat, dan bumi juga tidak meninggalkan dari tumbuh-tumbuhannya melainkan dikeluarkan dengan sebanyak-banyaknya, sehingga orang yang hidup suka kalau orang-orang matinya hidup semula (supaya mereka dapat menikmati kemakmuran itu bersama); Mahadi itu akan hidup dalam keadaan yang tersebut selama tujuh atau lapan, atau pun sembilan tahun."
 
Abu Sa'id Al-Khudri r.a