Search This Blog

Pages

June 28, 2010

Biar Sedikit Tetapi Halal


Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w berdiri lalu baginda berpidato kepada orang ramai. Sabda baginda:”Demi Allah! Tidak ada yang aku khuatirkan terhadap kamu sekelian melainkan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada kamu sebagai perhiasan dunia.” Lalu seorang lelaki bertanya:”ya Rasulullah! Adakah mungkin sesuatu yang baik mendatangkan bencana? “ Mendengar pertanyaan itu, Rasulullah s.a.w diam seketika, kemudian baginda bertanya kembali:”Apakah yang kamu tanyakan?”Orang itu mengulangi pertanyaannya:”Adakah mungkin sesuatu yang baik mendatangkan bencana?” Jawab Rasulullah s.a.w Sesungguhnya sesuatu yang baik itu memang mendatangkan kebaikan. Tetapi apa yang kelihatan baik belum tentu selamanya baik. Rumput yang tumbuh di musim hujan, tiba-tiba dapat membunuh binatang ternak atau membinasakannya. Melainkan bagi yang memakannya hanya sampai kenyang, sesudah itu ia berhenti, lalu menghadap ke arah matahari, berak atau kencing, sesudah itu barulah dia makan kembali. Sesiapa yang mendapat harta dengan jalan halal, dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi sesiapa yang memperolehinya dengan jalan yang tidak halal, maka contohnya seperti orang yang makan yang tidak pernah merasa kenyang.”
 
(Muslim)


Balasan Meninggalkan Solat Asar

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:”Orang yang luput solat Asarnya samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya.”
 
(al-Bukhari)

Beberapa alternatif sedekah


Dari Abu Dzar r.a katanya, beberapa orang sahabat nabi s.a.w pernah berkata kepada beliau,:”Kaum hartawan dapat memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab nabi s.a.w:”Bukankah Allah telah menjadikan berbagai-bagai cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahyi mungkar adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu juga terdapat juga unsur sedekah.” Mereka bertany”(kalau begitu) dapat kami pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat (seks) kami?” jawab rasulullah s.a.w,:”Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentu kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu lakukan dengan yang halal, kamu mendapat pahala.”
 
(Muslim)

Harta Yang Berkat

Dari Hakim bin Hizam r.a katanya, dia meminta sedekah kepada Nabi s.a.w lalu diberi oleh baginda. Kemudian dimintanya lagi lalu diberi pula oleh baginda. Kemudian baginda bersabda,:”Harta itu lazat dan manis. Maka siapa yang menerimanya dengan hati yang bersih (tidak rakus atau serakah), dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi sesiapa yang menerimanya dengan nafsu serakah dia tidak akan mendapat berkat dengan harta itu; dia seperti orang makan yang tidak pernah merasa kenyang. Dan tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”
 
(Muslim)