Search This Blog

Pages

November 3, 2011

Larangan Keras (Haram) Melakukan Pertumpahan Darah, Mengkhianati Kehormatan Dan Harta Benda Orang Lain) Hadis Ubadah

Hadis Abu Bakrah r.a:
 Daripada Nabi s.a.w sesungguhnya baginda telah bersabda: Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban. Kemudian Baginda bertanya: Bulan apakah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain. Baginda bertanya: Bukankah ia bulan Zulhijah? Kami menjawab: Benar. Baginda bertanya lagi: Negeri apakah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda hanya diam sahaja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama yang lain. Baginda bersabda: Bukankah ia negeri Baldah? kami menjawab: Benar. Baginda bertanya: Hari apa kah itu? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Sejenak baginda diam saja. Sehingga kami menyangka bahawa baginda akan menyebutnya dengan nama lain. Baginda s.a.w bersabda lagi: Tidakkah itu hari An-Nahr? (hari perayaan) Kami menjawab: Benar, wahai Rasulullah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya darahmu, harta bendamu (Kata Muhammad Aku menyangka baginda bersabda pula) dan kehormatanmu adalah haram ke atas dirimu, seperti haramnya harimu yang sekarang ini, di negerimu ini dan di bulanmu ini. Kamu akan bertemu dengan tuhanmu. Dia akan bertanya kepadamu mengenai semua amalan kamu. Maka selepasku nanti janganlah kamu kembali kepada kekufuran atau kesesatan, di mana kamu akan berkelahi antara satu sama lain. Ingat, hendaklah orang yang hadir pada saat ini mesti menyampaikan kepada orang yang tidak ada pada waktu ini. Boleh jadi sebahagian dari mereka yang mendengar dari mulut orang kedua lebih dapat menjaga daripada orang yang mendengarnya secara langsung. Kemudian baginda bersabda: Ingat, bukankah aku telah menyampaikannya?. 

No comments:

Post a Comment