Search This Blog

Pages

October 16, 2011

umrah

Hadis Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan daripada Ismail bin Abu Khalid katanya: Aku pernah bertanya kepada Abdullah bin Abu Aufa r.a yang pernah mengiringi Rasulullah s.a.w: Adakah Nabi s.a.w pernah masuk ke dalam Baitullah ketika mengerjakan umrah? Beliau menjawab: Tidak!. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2366,Bab Sunat Memasuki Kaabah Bagi Jemaah Haji Dan Bukan Jemaah Haji Serta Sunat Sembahyang Di Dalamnya Dan Berdoa Di Setiap Sudutnya)


 Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w pulang dari ketenteraan, peperangan kecil-kecilan, mengerjakan Haji atau dari mengerjakan umrah, baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali dan berdoa apabila baginda tiba di lembah-lembah atau lereng-lereng bukit dengan doa:لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ سَاجِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ صَدَقَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ Yang bermaksud: Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala puji. Dia Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Kami pulang, bertaubat, mengabdi, bersujud dan kami memuji kepada Tuhan kami. Allah telah menepati janji-Nya, menolong hambaNya dan mengalahkan dengan sendiri pasukan-pasukan yang bersekutu. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2394,Bab Doa Yang Dibaca Ketika Pulang Dari Musafir Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya) 


Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ibadat umrah hingga ibadat umrah berikutnya adalah kifarat dosa di antara keduanya. Manakala ibadah Haji yang Mabrur iaitu Haji yang diterima, tiada ganjarannya selain dari Syurga. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2403,Bab Kelebihan Ibadat Haji, Umrah Dan Hari Arafah) Hadis Al-Ala' bin Al-Hadrami r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Orang Muhajirin, hanya dibenarkan tinggal di Mekah, selama tiga hari setelah selesai mengerjakan Haji atau umrah. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2408,Bab Tempoh Paling Lama Tinggal Di Mekah Bagi Jemaah Haji Yang Telah Selesai Mengerjakan Ibadah Haji Dan Umrah Ialah Selama Tiga Hari)


 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengirim satu pasukan berkuda ke daerah Najd. Mereka pulang dengan membawa seorang tawanan lelaki dari Bani Hanifah bernama Sumamah bin Usal, pemimpin penduduk Yamamah. Lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Satu hari Rasulullah s.a.w keluar menemui tawanan tersebut. Baginda bertanya: Bagaimana keadaanmu, wahai Sumamah? Tawanan itu menjawab: Baik-baik saja wahai Muhammad. Jika kamu mahu membunuh aku maka bunuhlah, memang sepatutnya ke atasmu untuk melakukannya. Jika kamu memberikan suatu nikmat (tinggalkan dengan tidak membunuh aku) maka aku ucapkan jutaan terima kasih. Jika kamu meminta harta maka aku akan berikan berapa banyak yang kamu mahu. Rasulullah s.a.w lalu meninggalkan tawanan tersebut. Keesokkan harinya baginda menemui tawanan itu kembali, lalu baginda bertanya: Bagaimana keadaanmu wahai Sumamah? Tawanan itu menjawab: Aku tidak mahu berbicara denganmu. Jika kamu mahu memberikan satu nikmat maka berikan kepada orang yang mahu berterima kasih. Jika kamu mahu membunuh aku bunuhlah, aku adalah orang yang memang berhak untuk dibunuh. Jika kamu menghendaki harta maka mintalah berapa banyak yang kamu mahu maka aku akan berikan apa yang kamu mahu. Lalu Rasulullah s.a.w meninggalkannya. Esoknya, Rasulullah s.a.w bersabda: Bagaimana keadaanmu wahai Sumamah. Sumamah berkata: Jika kamu memberikan satu nikmat maka aku akan ucapkan terima kasih, sekiranya kamu mahu membunuh maka bunuhlah, sekiranya kamu mahukan harta, aku akan berikan kepada kamu berapa banyak yang kamu mahukan. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabat: Lepaskan Sumamah. Lalu Sumamah berangkat menuju ke kawasan kebun tamar. Setelah mandi lalu dia memasuki masjid dan mengucapkan kalimah: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba serta utusan-Nya. Wahai Muhammad! Di muka bumi ini tidak ada wajah yang paling aku benci daripada wajahmu sebelum ini. Tetapi sekarang wajahmulah yang paling aku suka di antara wajah-wajah yang pernah aku temui. Sebelum ini tidak ada agama yang paling aku benci daripada agamamu dan sekarang hanya agamamu lah yang paling aku sukai di antara agama-agama yang pernah aku temui. Dahulu negerimulah yang paling aku benci, tetapi sekarang negerimulah yang paling aku cintai di antara negeri-negeri yang pernah aku kenal. Sesungguhnya pasukan berkudamu selalu mengawasiku sedangkan aku ingin melakukan umrah. Bagaimana ini? Rasulullah s.a.w lalu menyampaikan berita gembira kepada Sumamah bahawa dia boleh melakukan umrah. Ketika sampai di Kota Mekah seorang bertanya kepadanya: Kamu sudah keluar dari agamamu? Sumamah menjawab: Tidak. Tetapi aku sudah memeluk Islam dan tunduk kepada Rasulullah s.a.w. Demi Allah, tidak akan ada sebiji gandum pun dari Yamamah yang akan sampai kepada kamu sebelum mendapat keizinan Rasulullah s.a.w. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3310,Bab Mengikat Orang Tawanan Dan Menahannya Serta Harus Berbuat Baik Kepadanya)

umrah

Hadis Anas r.a katanya: Aku pernah mendengar Nabi s.a.w berniat Ihram Haji dengan umrah secara serentak. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2168,Bab Mengerjakan Ibadat Haji Dan Umrah Secara Ifrad Dan Qiran)


 Hadis Asma' r.a: Diriwayatkan daripada Abdullah bekas hamba Asma' puteri Sayidina Abu Bakar r.a katanya: Aku pernah mendengar daripada Asma' ketika melalui daerah Al-Hajun. Asma' berkata: Semoga Allah selalu melimpahkan selawat dan sejahtera kepada Rasul-Nya s.a.w. Kami pernah berhenti bersama baginda di sini. Ketika itu kami membawa beberapa buah beg yang berisikan sedikit bekalan dan sedikit barang-barang lain. Kemudian aku bersama dengan saudaraku Saidatina Aisyah r.a, Az-Zubair dan beberapa orang lagi berihram umrah. Setelah selesai melakukan Tawaf di Baitullah, kami pun bertahallul. Kemudian pada malamnya kami pun berihram Haji. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2175,Bab Orang Yang Telah Melakukan Tawaf Di Baitullah Dan Bersaie Kekal Di Dalam Ihram Tanpa Bertahallul)


 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w berihram umrah manakala para sahabat berihram Haji. Nabi s.a.w tidak bertahallul begitu juga dengan sahabat-sahabat yang membawa binatang korban sedangkan sahabat-sahabat yang lain bertahallul. Oleh kerana Talhah bin Ubaidullah adalah termasuk dari kalangan sahabat yang membawa binatang korban maka dia juga tidak bertahalul. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2177,Bab Hukum Berihram Umrah Dalam Bulan Haji Iaitu Haji Tamattu')


 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Mereka iaitu orang-orang Jahiliah berpendapat, melakukan umrah pada bulan Haji merupakan dosa yang paling besar di atas muka bumi ini. Mereka menjadikan bulan Muharam sebagai bulan Safar. Mereka berkata: Apabila kepenatan telah hilang, kesan tapak kaki sudah hilang dan bulan Safar telah berlalu, orang-orang yang berumrah pun bolehlah bertahallul. Pada pagi empat Zulhijah Nabi s.a.w dan para sahabatnya datang dalam keadaan berihram Haji lalu baginda memerintahkan mereka supaya bertukar kepada Ihram umrah. Namun mereka keberatan dan berkata: Wahai Rasulullah! Apa yang telah dihalalkan? Baginda menjawab: Semua perkara telah dihalalkan. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2178,Bab Harus Melakukan Umrah Pada Bulan bulan Haji)


 Hadis Anas r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w menggabungkan dua bacaan talbiah sekaligus iaitu: لَبَّيْكَ عُمْرَةً وَحَجًّا لَبَّيْكَ عُمْرَةً وَحَجًّا Maksudnya: Tuhanku! Aku penuhi panggilan-Mu untuk mengerjakan ibadat umrah serta ibadat Haji. Tuhanku! Aku penuhi panggilan-Mu untuk memenuhi ibadat umrah dan ibadat Haji. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2194,Bab Niat Dan Bacaan Talbiah Nabi s.a.w Serta Waktu Menyembelih Binatang Korban) 


Hadis Anas r.a: Rasulullah s.a.w pernah mengerjakan ibadat umrah sebanyak empat kali. Semuanya dikerjakan pada bulan Zulkaedah kecuali ibadat umrah yang dikerjakan bersama ibadat Haji. Ibadat umrah tersebut ialah ibadat umrah secara berihram dari Hudaibiah atau ibadat umrah yang dikerjakan pada zaman peristiwa Hudaibiah pada bulan Zulkaedah, ibadat umrah tahun berikutnya yang dikerjakan pada bulan Zulkaedah, ibadat umrah secara berihram di daerah Ja'ranah sewaktu baginda membahagi harta rampasan perang di Hunain juga pada bulan Zulkaedah dan ibadat umrah yang dikerjakan bersama ibadat Haji. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2197,Bab Keterangan Tentang Jumlah Ibadat Umrah Dan Waktunya Yang Telah Dilakukan Oleh Nabi s.a.w) 


 Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Urwah bin Az-Zubair katanya: Aku dan Ibnu Umar pernah bersandar di bilik Saidatina Aisyah r.a. Kami mendengar dia sedang bersugi. Lalu aku bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman! Pernahkah Rasulullah s.a.w mengerjakan umrah pada bulan Rejab? Dia menjawab: Ya! Pernah. Kemudian aku bertanya kepada Saidatina Aisyah r.a: Wahai ibu orang-orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu Abdul Rahman? Dia berkata: Apakah yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi s.a.w pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab. Tambah beliau lagi: Semoga Allah mengampuni Abu Abdul Rahman. Demi usiaku, baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab kerana setiap kali Rasulullah s.a.w mengerjakan umrah, aku selalu mengikuti baginda. Urwah bin Az-Zubair berkata: Ketika itu Ibnu Umar hanya mendengar. Tidak berkata: Ya ataupun tidak. Beliau hanya diam. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2199,Bab Keterangan Tentang Jumlah Ibadat Umrah Dan Waktunya Yang Telah Dilakukan Oleh Nabi s.a.w)


 Hadis Ibnu Abbas r.a: Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada seorang wanita dari kaum Ansar tetapi aku terlupa nama wanita tersebut sebagaimana yang diberitahu oleh Ibnu Abbas. Baginda bersabda: Apakah yang menghalang kamu dari mengerjakan ibadat Haji bersamaku? Wanita itu menjawab: Sebenarnya tidak ada halangan bagi kami, cuma kami hanya mempunyai dua ekor unta. Suami dan anakku telah pergi mengerjakan Haji dengan seekor unta. Tinggallah kepada kami seekor unta untuk mengangkat air. Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan pergilah mengerjakan umrah kerana mengerjakan umrah pada bulan tersebut pahalanya sama dengan mengerjakan Haji. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2201,Bab Kelebihan Umrah Pada Bulan Ramadan) 


Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Urwah r.a katanya: Aku berkata kepada Saidatina Aisyah r.a: Aku fikir, jika seseorang tidak bersaie antara Safa dan Marwah tidak mengapa. Dia bertanya: Kenapa? Aku menjawab: Kerana Allah s.w.t telah berfirman: إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ Yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar-syiar Allah. Sehingga ke akhir ayat. Beliau berkata: Allah tidak menganggap sempurna Haji atau umrah seseorang yang tidak bersaie antara Safa dan Marwah. Kalaulah benar seperti katamu itu, pasti tidak dikira satu kesalahan jika tidak bersaie di antara kedua tempat tersebut. Tahukah kamu perkara itu? Sesungguhnya pada zaman jahiliah golongan Ansar memuji dua berhala yang berada di tepi laut yang bernama Isaf dan Naailah. Kemudian mereka datang lalu bersaie antara Safa dan Marwah seterusnya mereka mencukur rambut. Setelah kedatangan Islam, mereka enggan bersaie di kedua tempat tersebut sebagaimana kebiasaan mereka lakukan pada masa jahiliah. Lalu Allah s.w.t menurunkan firman-Nya: إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ Yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar-syiar Allah. Sehingga akhir ayat. Tambah beliau lagi: Bersaielah kamu di antara keduanya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2239,Bab Keterangan Tentang Bersaie Di Antara Safa Dan Marwah Merupakan Salah Satu Dari Rukun Rukun Haji Serta Tidak Sah Tanpa Melakukannya)


 Hadis Anas r.a katanya: Golongan Ansar enggan bersaie di antara Safa dan Marwah sehinggalah turun ayat: إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا Yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar-syiar Allah. Maka sesiapa yang mengerjakan Haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, hendaklah bersaie di antara keduanya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2243,Bab Keterangan Tentang Bersaie Di Antara Safa Dan Marwah Merupakan Salah Satu Dari Rukun Rukun Haji Serta Tidak Sah Tanpa Melakukannya)

umrah

Hadis Ya'la bin Umaiyyah r.a katanya:
 Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berada di Ja'ranah dengan memakai jubah yang disapu minyak wangi atau dikatakan terdapat kesan kuning minyak wangi. Lalu dia bertanya: Apakah yang engkau ingin perintahkan kepadaku berhubung dengan ibadat umrah? Pertanyaan itu tidak diperhatikan kerana waktu itu kebetulan baginda sedang menerima wahyu dan ditabiri dengan kain. Ya'la berkata: Betapa gembiranya aku kerana dapat menyaksikan Rasulullah s.a.w sedang menerima wahyu. Umar berkata: Jadi kamu suka dapat menyaksikan Rasulullah s.a.w sedang menerima wahyu?. Ketika itu Umar mengangkat hujung kain yang menutupi Rasulullah s.a.w, ternyata Rasulullah s.a.w seperti orang yang sedang tidur berdengkur. Seketika kemudian baginda terjaga lalu bertanya: Di mana orang yang bertanya tentang umrah tadi? Bersihkan dirimu dari kesan kuning minyak wangi yang kamu pakai itu dan bukalah jubahmu. Lakukanlah umrah kamu sebagaimana kamu mengerjakan fardu Haji. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2017,KITAB HAJI)


 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w telah menetapkan miqat bagi penduduk Madinah di Zul Hulaifah, bagi penduduk Syam di Juhfah, bagi penduduk Najd di Qarnul Manazil dan bagi penduduk Yaman di Yalamlam. Miqat-miqat tersebut adalah untuk penduduk negeri itu serta bagi mereka yang melaluinya untuk mengerjakan Haji dan umrah. Adapun selain dari mereka yang tersebut, miqatnya adalah mengikut arah kedatangan mereka, sehingga penduduk Mekah pun miqatnya memadai dari Mekah. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2022,Bab Miqat Haji Dan Umrah) 


 Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Kami pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Haji Wida', kami berniat umrah. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membawa haiwan sembelihan, sebaiknya dia berihram Haji dan umrah serta janganlah dia bertahallul terlebih dahulu supaya dia dapat bertahallul dari keduanya serentak. Sebaik saja tiba di Mekah aku datang haid sebelum Tawaf di Baitullah iaitu Kaabah dan sebelum Saie antara Safa dan Marwah. Kemudian aku mengadu kepada Rasulullah s.a.w mengenai keadaan tersebut. Baginda bersabda: Lepaskanlah jalinan rambutmu dan sikatlah, lakukanlah Ihram Haji dan tinggalkanlah Ihram umrah. Lalu aku mengerjakannya. Selesai sahaja aku mengerjakan Haji, Rasulullah s.a.w menyuruh aku dan Abdul Rahman bin Abu Bakar pergi ke Tan'im, lalu aku berihram umrah. Baginda bersabda: Inilah tempat umrahmu. Kemudian bagi orang yang berihram umrah harus Tawaf di Baitullah iaitu Kaabah, bersaie antara Safa dan Marwah lalu bertahallul. Kemudian mereka melakukan Tawaf lagi untuk ibadat Hajinya setelah kembali dari Mina. Bagi orang yang menghimpunkan Haji dan umrah memadailah hanya dengan sekali Tawaf. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2108,Bab Keterangan Cara cara Berihram, Harus Berhaji Ifrad, Tamattu' Dan Qiran Serta Harus Menyusuli Haji Selepas Umrah. Bilakah Waktu Tahalul Untuk Orang Yang Melakukan Haji Qiran)


 Hadis Abdul Rahman bin Abu Bakar r.a: Rasulullah s.a.w memerintahkannya supaya mengiringi Saidatina Aisyah r.a pergi ke Tan'im untuk mengerjakan umrah. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2126,Bab Keterangan Cara cara Berihram, Harus Berhaji Ifrad, Tamattu' Dan Qiran Serta Harus Menyusuli Haji Selepas Umrah. Bilakah Waktu Tahalul Untuk Orang Yang Melakukan Haji Qiran)


 Hadis Jabir r.a katanya: Aku pernah bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk berihram Haji Ifrad, sedangkan Saidatina Aisyah r.a berihram umrah. Sebaik sahaja tiba di Daerah Sarif, Saidatina Aisyah datang haid. Setelah kami tiba di Mekah, kami melakukan Tawaf di Kaabah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh orang yang tidak membawa haiwan sembelihan supaya bertahallul. Jabir berkata: Kami bertanya: Apakah yang dihalalkan? Rasulullah s.a.w menjawab: Semuanya sudah dihalalkan. Lalu kami tidur bersama-sama isteri kami, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berjahit. Setelah sempat bermalam di Arafah selama empat hari, kami berihram kembali pada hari Tarwiah iaitu hari kelapan Zulhijah. Selepas itu Rasulullah s.a.w menemui Saidatina Aisyah r.a yang kebetulan sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapakah dengan dirimu ini? Saidatina Aisyah menjawab: Aku haid sedangkan mereka semua sudah bertahalul. Aku belum lagi bertahallul dan Tawaf di Baitullah. Mereka sedang mengerjakan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda: Ini adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah terhadap setiap anak perempuan Adam. Mandi dan kerjakanlah Haji. Lalu Saidatina Aisyah melakukannya dan berwuquf. Setelah suci dari haid, dia melakukan Tawaf di Baitullah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya: Bukankah kamu telah bertahallul dari Haji dan umrahmu sekaligus? Lalu Saidatina Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah s.a.w aku dapati diriku belum melakukan Tawaf di Baitullah sehinggalah aku selesai melakukan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdul Rahman: Wahai Abdul Rahman! Temankanlah dia untuk mengerjakan umrah secara berihram di Tan'im. Lantas mereka pergi pada malam Hasbah iaitu malam jemaah Haji keluar dari Mekah selepas hari Tasyrik. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2127,Bab Keterangan Cara cara Berihram, Harus Berhaji Ifrad, Tamattu' Dan Qiran Serta Harus Menyusuli Haji Selepas Umrah. Bilakah Waktu Tahalul Untuk Orang Yang Melakukan Haji Qiran)


 Hadis Imran bin Husain r.a: Diriwayatkan daripada Mutrif katanya: Imran bin Husain berkata kepadaku: Pada hari ini aku akan menceritakan sebuah Hadis kepadamu dan semoga Allah akan memberi manfaat kepadamu selepas ini. Ketahuilah Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan beberapa orang ahli keluarganya supaya melakukan umrah dalam masa sepuluh hari. Tidak ada ayat yang turun sebagai menasakh iaitu mengganti hukum tentang perkara itu (harus mengerjakan Haji secara Tamattu'). Baginda tidak pernah menegahnya sehingga baginda wafat. Setelah itu masing-masing menggunakan ijtihad sendiri iaitu ulama. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2153,Bab Harus Mengerjakan Haji Tamattu') 


Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengerjakan Haji Tamattu' pada tahun Haji Wida' secara mengerjakan umrah dan Haji dengan satu Ihram. Kemudian baginda membayar Dam iaitu menyembelih binatang yang dibawa bersamanya dari Zul Hulaifah. Baginda memulakan dengan Ihram umrah kemudian Ihram Haji. Para sahabat juga turut sama mengerjakan Haji secara Tamattu' dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka membayar Dam dan sebahagiannya tidak. Ketika Rasulullah s.a.w tiba di Mekah baginda telah bersabda: Sesiapa di antara kamu yang telah membayar Dam, mereka belum lagi dihalalkan apa yang telah diharamkan sehinggalah mereka selesai mengerjakan Haji. Bagi sesiapa yang belum membayar Dam hendaklah melakukan Tawaf di Baitullah, bersaie antara Safa dan Marwah serta bercukur ataupun menggunting rambut dan bertahallul. Kemudian hendaklah berihram Haji dan membayar Dam. Bagi sesiapa yang tidak mampu membayar Dam hendaklah berpuasa tiga hari ketika masih berada di Tanah Suci dan tujuh hari setelah kembali ke tanah air. Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf Qudum setibanya di Mekah, dimulai dengan mengucup Hajarulaswad kemudian berlari-lari anak sebanyak tiga pusingan dari tujuh pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Sebaik sahaja selesai melakukan Tawaf di Baitullah, baginda kemudiannya mendirikan sembahyang dua rakaat di makam Ibrahim. Selepas salam baginda menuju ke bukit Safa lalu bersaie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Baginda belum lagi menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan sehinggalah selesai Haji dan menyembelih Dam pada hari Nahr (10 Zulhijah) iaitu pada Hari Raya Korban. Kemudian baginda kembali ke Mekah untuk melakukan Tawaf Wida' di Kaabah, setelah mereka dihalalkan melakukan apa yang telah diharamkan sebelumnya. Orang yang membawa atau menyembelih Dam juga melakukan sebagaimana apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2159,Bab Wajib Membayar Dam Bagi Orang Yang Mengerjakan Haji Tamattu'. Jika Tidak Dibayar, Mereka Diwajibkan Berpuasa Selama Tiga Hari Ketika Masih Berada Di Tanah Suci Dan Tujuh Hari Setelah Kembali Ke Tanah Air) 


Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w: Rasulullah s.a.w mengerjakan Haji Tamattu' dengan berihram Haji dan umrah secara serentak. Para sahabat juga melakukan sebagaimana yang baginda lakukan. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2160,Bab Wajib Membayar Dam Bagi Orang Yang Mengerjakan Haji Tamattu'. Jika Tidak Dibayar, Mereka Diwajibkan Berpuasa Selama Tiga Hari Ketika Masih Berada Di Tanah Suci Dan Tujuh Hari Setelah Kembali Ke Tanah Air) 


 Hadis Saidatina Hafsah isteri Nabi s.a.w katanya: Wahai Rasulullah s.a.w! Mengapakah mereka telah bertahallul sedangkan engkau belum bertahallul dari umrah? Baginda menjawab: Aku telah terlanjur menjalin rambutku dan aku telah meletak tanda pada binatang bahawa aku akan jadikannya sebagai Dam. Jadi aku tidak akan bertahallul melainkan setelah menyembelihnya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2161,Bab Keterangan Tentang Orang Yang Mengerjakan Haji Qiran, Tidak Boleh Bertahallul Melainkan Pada Waktu Tahalul Haji Ifrad)


 Hadis Abdullah bin Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nafi' r.a katanya: Abdullah bin Umar r.a pernah keluar sewaktu berlaku fitnah (musibah) untuk mengerjakan umrah. Dia berkata: Jika aku terhalang dari sampai ke Baitullah, aku akan melakukan seperti yang pernah aku lakukan bersama Rasulullah s.a.w. Lalu dia berihram umrah dan berjalan hingga sampai ke Baida', dia berpaling kepada teman-temannya dan berkata: Aku bersaksi bahawa aku telah berniat Haji bersama umrah secara serentak. Kemudian dia meneruskan perjalanan. Setelah tiba di Baitullah dia terus melakukan Tawaf sebanyak tujuh pusingan dan bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, tidak lebih dari itu. Apabila merasakannya telah selesai, dia menyembelih Dam. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2164,Bab Keterangan Tentang Harus Bertahalul Kerana Ada Alasan Dan Harus Melakukan Haji Qiran)