Search This Blog

Pages

April 8, 2010

Pemimpin Dan Rakyat



Daripada Auf bin Malik r.a bahawa rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Imam-imam kamu yang terbaik ialah yang kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu. Mereka berdoa untuk kamu dan kamu berdoa untuk mereka. Dan imam-imam kamu yang paling jahat ialah imam-imam yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah SAW ditanya : “ Ya Rasulullah! Bolehkah kami memecat dan memerangi mereka dengan pedang? Rasulullah SAW bersabda : “ Tidak, selama mereka mendirikan solat di antara kamu. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak menyukainya dari penguasa-penguasa kamu, maka hendaklah kamu membenci amalannya dan janganlah kamu menderhaka.”


(Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)



Golongan Yang Tidak Dipedulikan Allah Di Akhirat Kelak


Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.”
 
(al-Bukhari, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Ibnu Asakir)

Mereka Bukan Umatku!



Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang tidak mematuhi Imam dan memencilkan diri dari jamaah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan dan berperang kerana fanatik kesukuan (kebangsaan), dia bukanlah umatku. Dan sesiapa yang keluar dari umatku lalu menyerang umatku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak dan tanpa mengendahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku.”


(Muslim)




Makmum Tidak Menanggung Dosa Imam


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda:”Mereka solat menjadi imam solat bagimu. Maka jika mereka betul, dia dan kamu akan mendapat pahala. Tetapi jika ia salah, kamu tetap mendapat pahala sedangkan mereka berdosa.”
 
(al-Bukhari)


Pahala Solat Yang Paling Besar


Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a, beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang yang paling besar pahala solatnya ialah orang yang paling jauh (dari masjid). Dan sesudah itu ialah orang yang menunggu-nunggu waktu untuk solat sehingga ia solat dengan imam, lebih besar pahalanya daripada ia solat (sendiri) kemudian ia tidur.”
 
(al-Bukhari)

Pemimpin Adalah Perisai



Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya. Jika Imam memerintahkan supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya dan jika dia memerintahkan selain itu maka dia mendapat siksa.”


(Muslim)

Nilai Korban Dan Solat Jumaat Hadith :


Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:”Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.”
 
(Bukhari)


Solat Dalam Keadaan Tenang


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Apabila dibacakan iqamat sembahyang, janganlah kamu semua tergesa-gesa pergi untuk menunaikan sembahyang, tetapi hendaklah berjalan dengan baik dan tertib, hendaklah kamu semua bersifat tenang. Tunaikanlah sembahyang mengikut rakaat yang kamu sempat mengikuti imam dan apabila imam memberi salam, maka hendaklah kamu menyempurnakan mana-mana rakaat yang tertinggal.”
 
al-Bukhari & Muslim


Hakikat kebijaksanaan





Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.”


Riwayat at-Tirmidzi

Mementingkan Kemaslahatan Bersama Hadith :


Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata,”Sesungguhnya aku melambat-lambatkan dari sembahyang subuh disebabkan imam itu memanjangkan bacaannya ketika bersembahyang bersama kami.” (Abu Mas’ud berkata) aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w marah ketika memberikan nasihatnya lebih dari marahnya pada hari ini. Sabdanya, “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya antara kamu semua ada (melakukan sesuatu) menyebabkan orang lain lari, sesiapa antara kamu yang menjadi imam kepada orang ramai hendaklah ia memendekkan bacaannya kerana sesungguhnya makmum dibelakangnya terdiri daripada orang tua, kanak-kanak kecil dan orang yang hendak menguruskan keperluannya dengan segera”.
 
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Di Mana Imam Berdiri Dalam Solat Jenazah?


Samurah Ibnu Jundub r.a berkata : “Saya bersolat di belakang nabi SAW untuk jenazah seorang perempuan yang meninggal kerana nifasnya. Maka nabi berdiri bertentangan pinggang jenazah tersebut.”
 
(al-Bukhari dan Muslim )

Imam Mahadi Pembawa Rahmat

Rasulullah s.a.w telah menyebut satu bala bencana akan menimpa umat ini sehingga seseorang tak dapat tempat untuk berlindung daripada kezaliman; maka Allah Taala lahirkan seorang dari keturunanku dan ahli rumahku, serta Tuhan penuhkan bumi dengan kejujuran dan keadilan disebabkan pemerintahannya, sebagaimana bumi sebelum itu penuh dengan kezaliman dan kecurangan; penduduk langit dan bumi puas hati dengan pemerintahannya; langit pula tidak meninggalkan sedikit pun dari hujannya melainkan dicurahkannya dengan lebat, dan bumi juga tidak meninggalkan dari tumbuh-tumbuhannya melainkan dikeluarkan dengan sebanyak-banyaknya, sehingga orang yang hidup suka kalau orang-orang matinya hidup semula (supaya mereka dapat menikmati kemakmuran itu bersama); Mahadi itu akan hidup dalam keadaan yang tersebut selama tujuh atau lapan, atau pun sembilan tahun."
 
Abu Sa'id Al-Khudri r.a


Kedatangan Imam Mahadi


Rasulullah s.a.w bersabda: "Mahadi itu dari keturunanku, dahinya luas, hidungnya mancung; ia akan memenuhi bumi dengan kejujuran, dan keadilan, sebagaimana bumi sebelum itu penuh dengan kezaliman dan kecurangan; ia memerintah selama tujuh tahun."
 
Abu Sa'id Al-Khudri r.a

Kelebihan Berselawat


Nabi s.a.w bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah."
 
Abu Hurairah r.a

Wajib Beriman Kepada Nabi Muhammad S.a.w dan Agama Islam


Rasulullah s.a.w bersabda: " Aku dikurniakan beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan perkara-perkara itu kepada seseorang pun dari Nabi-nabi yang terdahulu daripadaku….; dan biasanya seseorang Nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja, sedang aku diutuskan kepada umat manusia seluruhnya." Dan pada satu riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah ( Baginda s.a.w bersabda ): "…..sedang aku diutuskan kepada sekalian makhluk."
 
Jabir bin Abdullah r.a

Dunia Dan Wanita


Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Sesungguhnya dunia itu manis. Dan sesungguhnya Allah telah menguasakannya kepada kamu sekelian. Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan (di dunia itu). Kerana itu takutilah dunia dan takutilah wanita), kerana sesungguhnya sumber bencana Bani Israel adalah wanita.”
 
(Muslim)

Tiada Kompromi Dalam Maksiat


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya kecacatan pertama yang berlaku pada Bani Israil ialah apabila seorang lelaki melihat lelaki lain melakukan maksiat, dia akan berkata:”Wahai si fulan! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan kerja maksiat yang engkau sedang lakukan itu kerana ia tidak harus bagi engkau untuk melakukannya. Kemudian pada keesokan harinya lelaki yang menegah itu melihat lelaki yang melakukan maksiat itu masih melakukan maksiat yang sama, tetapi dia tidak mencegahnya kerana barangkali pelaku maksiat itu merupakan orang yang memberinya makan dan minum atau rakan baiknya. Apabila Bani Israel melakukan perbuatan seperti itu, maka Allah telah memperlagakan sesama hati mereka dan kemudian Allah melaknat mereka melalui lidah para anbiya’-Nya.”
 
Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi


Pemimpin Silih Berganti

P

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Kaum Bani Israel biasanya dipimpin oleh para nabi. Setiap kali meninggalnya seorang nabi akan diganti pula oleh seorang nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tiada nabi sesudahku. Ada beberapa orang pemerintah sebagai penggantiku dan banyaklah bilangan mereka itu,” Baginda bersabda,“ Lakukanlah baiah yang pertama, dan hendaklah patuh kepada pemerintahan mereka. Kamu juga hendaklah memerangi mereka yang menentang mereka, dan mohonlah kepada Allah apa-apa yang menjadi hak bagimu, Allah akan bertanya kepada khalifah-khalifah itu mengenai cara mereka mentadbir pemerintahan mereka”.


Riwayat Al-Bukhari dan Muslim