Search This Blog

Pages

November 1, 2011

Islam Menghapuskan Apa Yang Ada Sebelum Islam, Begitu Juga Hijrah Dan Haji

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
 Ramai di antara orang musyrik yang telah membunuh dan ramai pula yang telah berzina. Kemudian mereka menghadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata: Apa yang engkau katakan dan engkau seru itu sangat baik sekalipun engkau beritahu kami bahawa apa yang telah kami lakukan ada penebusnya. Lalu diturunkan ayat
 وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا 
Yang bermaksud: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah iaitu membunuhnya kecuali dengan cara yang dibenarkan oleh syarak dan tidak berzina. Sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut akan mendapat pembalasan dosanya. Diturunkan juga ayat
 يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ Yang bermaksud: Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri iaitu dengan perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. 

Beratnya Hukum Membunuh Diri. Sesungguhnya Sesiapa Yang Membunuh Dirinya Sendiri Dengan Sesuatu, Maka Dia Akan Diazab Di Dalam Neraka Dengan Benda Tersebut Dan Sesungguhnya Tidak Akan Masuk Syurga Melainkan Jiwa Yang Muslim Iaitu Berserah Diri Kepada Takdir Allah

Hadis Jundab r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w bersabda:
 Terdapat seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu dijangkiti bisul. Ketika bisul itu membuatnya sakit, dia mencabut panah dari bekasnya lalu membedah bisul tersebut menyebabkan darah tidak berhenti mengalir sehingga lelaki tersebut mati. Allah berfirman: Aku mengharamkan Syurga ke atasnya. 

Dosa dosa Besar dan Yang Paling Besar

Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah telah bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina

Keadaan Iman Seorang Yang Tidak Mengakui Ayahnya Sedangkan Dia Mengetahuinya

Hadis Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Kedua telingaku mendengar daripada Rasulullah s.a.w yang bersabda: Sesiapa mengaku ayah semasa Islam selain dari ayahnya, sedangkan dia tahu bahawa itu bukanlah ayahnya, maka diharamkan kepadanya memasuki Syurga.

Perintah Supaya Beriman Kepada Allah s.w.t Dan Rasul Nya s.a.w. Hukum hukum Agama Serta Seruan Kepadanya. Menuntut Ilmu, Memelihara Dan Menyampaikannya Kepada Orang Yang Tidak Sampai Seruan

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
 Rombongan Abdul Qais telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Kami berasal dari perkampungan Rabi'ah. Hubungan kami dan engkau terhalang oleh orang-orang kafir Bani Mudhar. Oleh itu kami tidak dapat datang menemuimu kecuali pada bulan haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Oleh yang demikian, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang mampu kami lakukan dan kami sampaikan kepada orang lain. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memerintahkan kamu empat perkara dan melarang kamu empat perkara. Iaitu beriman kepada Allah. Kemudian baginda menjelaskannya kepada mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: 
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ 
mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengeluarkan satu perlima dari harta rampasan perang. Manakala aku melarang kamu agar tidak membuat arak di dalam bekas yang diperbuat dari labu, bekas yang diperbuat dari campuran tanah, rambut dan darah, bekas yang diperbuat secara melubangkan batang pokok atau bekas yang dilumurkan dengan tar. 

(Nombor hadith Doa Nabi s.a.w Untuk Kaum Ghifar Dan Kaum Aslam

Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Ghifar Allah mengampuni mereka dan Kaum Aslam Allah memberikan keselamatan kepada mereka. Manakala Kaum Usayyat telah derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya.

Kasih Sayang Nabi s.a.w Terhadap Umatnya Dan Memperingatkan Mereka Dari Perkara perkara Yang Membahayakan

Hadis Abu Musa r.a: 
 Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku sebagai utusan Allah, adalah seperti seorang lelaki yang menemui kaumnya seraya berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah melihat dengan mata kepala kamu sendiri sekumpulan pasukan. Sesungguhnya aku adalah orang yang memberi peringatan. Carilah keselamatan, maka sebahagian dari kaumnya ada yang patuh, malam-malam mereka berangkat dengan tidak terburu-buru. Manakala sebahagian lagi mereka mendustakan, di mana sehingga pagi hari mereka masih berada di tempatnya. Pada pagi itu pula, pasukan tersebut menghancurkan mereka hingga tidak ada yang tinggal. Maka itu adalah perumpamaan orang-orang yang patuh kepadaku dan mengikuti misi yang aku bawa serta perumpamaan orang yang derhaka kepadaku dan mendustakan misi kebenaran yang aku bawa. 

Wajib Mentaati Pemimpin Dalam Perkara Yang Tidak Maksiat Dan Haram Mentaati Pemimpin Dalam Perkara Maksiat

Hadis Abu Hurairah r.a:
 Nabi s.a.w telah bersabda: 
Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhaka pemerintah maka dia telah derhaka kepada aku. 

Tegahan Daripada Banyak Meminta Perkara Yang Tidak Dihajati, Dan Tegahan Kerana Tidak Mahu Menunaikan Hak Yang Wajib Ditunainya Iaitu Tidak Mahu Memberi Barang Miliknya Kepada Orang Lain Tetapi Meminta Minta Barang Milik Orang Lain

Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, tidak mahu memberi miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.

Golongan Khawarij Dan Sifat sifat Mereka

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Ali yang menjadi utusan di Yaman, mengirimkan emas yang belum diproses kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda membahagikannya kepada empat atau beberapa orang iaitu Al-Aqra' bin Haabis, Uyainah bin Badr Al-Fazari, Alqamah bin Ulasah Al-Amiri, kemudian kepada seorang dari Bani Kilab iaitu Zaid Al-Khair At-Tha'ie, juga kepada seorang dari Bani Nabhan. Orang-orang Quraisy marah dan berkata: Engkau memberikannya kepada pemimpin-pemimpin Najd, tetapi meninggalkan kami iaitu tidak memberikannya kepada kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Aku lakukannya untuk memujuk hati mereka. Setelah itu datang seorang lelaki yang berjanggut tebal dan menonjol rahangnya. Manakala kedua matanya cengkung dan dahinya pula menonjol keluar. Kepalanya juga botak iaitu kesan cukur. Dia berkata: Takutilah Allah, wahai Muhammad! Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa lagi yang lebih taat kepada Allah kiranya aku menderhakai-Nya? Tidakkah Dia mempercayaiku atas penduduk bumi, sedangkan engkau tidak mempercayaiku? Lalu lelaki itu beredar. Seorang di antara orang ramai meminta izin untuk membunuh lelaki tersebut. Ada yang mengatakan bahawa lelaki tersebut adalah Khalid bin Al-Walid, tetapi Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di antara kaumku ini, ada orang-orang yang membaca Al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka iaitu tidak mengambil faedah dari apa yang mereka baca bahkan mereka hanya sekadar membacanya sahaja. Mereka mampu membunuh orang Islam dan membiarkan penyembah berhala hidup. Mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Jika sekiranya aku menemui mereka, pasti aku bunuh mereka seperti terbunuhnya kaum Aad. 

Cerita Mengenai Dajal Dan Dia Merupakan Makhluk Yang Paling Hina Di Sisi Allah

Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya:
 Tiada seorang pun yang bertanya kepada Nabi s.a.w tentang Dajal lebih banyak daripada apa yang aku tanya. Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah yang menyusahkan kamu. Dia tidak boleh memberi sebarang kemudaratan kepada kamu. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Mereka berkata, dia (Dajal) mempunyai makanan dan sungai. Nabi bersabda lagi: Dia merupakan makhluk yang paling hina kerana boleh menipu para mukmin dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Taubat Pembunuh Tetap Diterima Walaupun Telah Ramai Orang Yang Menjadi Mangsanya

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Nabi s.a.w bersabda: 
Seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, lalu dia mencari seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang pendeta, dia terus berjumpa pendeta tersebut kemudian berkata: Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima? Pendeta tersebut menjawab: Tidak. Mendengar jawapan itu, dia terus membunuh pendeta tersebut dan genaplah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang Ulama, dia terus berjumpa Ulama tersebut dan berkata: Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima? Ulama tersebut menjawab: Ya! Siapakah yang boleh menghalang kamu dari bertaubat? Pergilah ke Negeri si polan, kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah s.w.t bersama mereka dan jangan pulang ke Negerimu kerana Negerimu adalah Negeri yang sangat hina. Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan tiba-tiba dia mati, menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bertelingkah mengenainya. Malaikat Rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah s.w.t. Manakala Malaikat Azab pula berkata: Dia tidak pernah melakukan kebaikan. Lalu Malaikat yang lain datang dalam keadaan berupa manusia dan cuba menghakimi mereka sambil berkata: Ukurlah jarak di antara dua tempat. Mana yang lebih hampir, itulah tempatnya. Lantas mereka mengukurnya. Ternyata mereka dapati lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya dia diambil oleh Malaikat Rahmat. 

Terbunuhnya Kaab Bin Al Asyraf Dari Kalangan Yahudi Yang Melampau

Hadis Jabir r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabatnya: Siapakah yang bersedia untuk membunuh Kaab bin Al-Asyraf? Kerana dia telah menghina Allah dan Rasul-Nya. Maka Muhammad bin Maslamah menjawab: Wahai Rasulullah! Adakah kamu setuju jika aku membunuhnya? Baginda menjawab: Ya! Kemudian beliau (Muhammad bin Maslamah) berkata: Izinkanlah aku terlebih dahulu untuk memberitahu sesuatu kepada mu. Baginda pun menjawab: Katakanlah! Maka beliaupun mendekati baginda dan membincangkan sesuatu. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya Kaab pernah berhasrat mengeluarkan sedekah, akan tetapi dia menyusahkan kami. Setelah mendengar kata-kata baginda beliau begitu marah sekali. Lalu beliau berjanji akan membalas perbuatannya itu. Kebetulan pada masa itu beliau begitu akrab dengan Kaab. Satu hari beliau menemui Kaab dan berkata: Aku ingin kamu memberikan kepadaku suatu bentuk pinjaman. Lalu Kaab bertanya: Jadi apa yang akan kamu gadaikan kepadaku? Beliau menjawab: Apa yang kamu inginkan? Kaab menjawab: Aku ingin kamu gadaikan kepadaku perempuan-perempuan mu itu. Kemudian beliau menjawab: Kamu adalah bangsawan Arab, jadi adakah patut aku menggadaikan perempuan-perempuanku kepada kamu? Lalu Kaab berkata kepada beliau: Kalau begitu, kamu gadaikanlah anak-anakmu kepadaku. Maka beliau berkata: Aku tidak mungkin menggadaikannya kepadamu, sekiranya aku menggadaikannya kepadamu kami pula akan dicela kerana seolah-olah menggadai dua wasak (satu wasak bersamaan dengan enam puluh gantang) tamar sahaja. Oleh itu aku gadaikan senjataku kepadamu. Lalu Kaab berkata: Baiklah aku setuju. Lalu beliau berjanji kepada Kaab bahawa beliau akan datang menemuinya dengan ditemani oleh Al-Harith, Abu Abbas bin Jabir dan Abbad bin Bisyri. Setelah itu mereka berempat pergi menemui Kaab pada waktu malam, lalu Kaab turun menemui mereka. Mengikut kata Sufian, pada pendapat lain mengikut kata Amru bahawa isteri Kaab telah berkata kepada suaminya itu: Sesungguhnya aku seperti mendengar suara orang yang ingin menumpahkan darah. Setelah mendengar kata-kata isterinya itu, lalu Kaab berkata: Tidak! Mereka hanyalah Muhammad bin Maslamah bersama saudara susuannya dan ditemani Abu Nailah. Sebagai memuliakan tetamu, aku harus menemani mereka walaupun pada waktu malam begini. Ketika Kaab masih di rumahnya itulah Muhammad menggunakan kesempatan tersebut untuk mengatur rancangan seterusnya. Sejurus kemudian Kaab pun keluar, setelah dia ditanya oleh mereka: Aku seperti mencium bau harum pada dirimu. Kaab menjawab: Memang! Kerana isteriku seorang perempuan Arab yang suka bersolek. Setelah itu Muhammad bin Maslamah berkata kepada Kaab: Izinkan aku mencium bau harum pada dirimu. Kaab berkata: Silakan! Maka beliaupun menciumnya, kemudian beliau meminta untuk menciumnya sekali lagi dengan berkata: Kalau boleh aku ingin menciumnya sekali lagi. Lalu dia menghulurkan kepalanya kepada beliau, ketika itulah beliau mengarahkan kawan-kawannya agar membunuh Kaab, maka merekapun membunuhnya. 

Harus Menebang Dan Membakar Pokok pokok Milik Orang Kafir

Hadis Abdullah bin Umar r.a: 
 Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah membakar dan menebang pokok tamar milik Bani Nadhir yang berada di Buwairah. Di dalam Hadis Qutaibah dan Ibnu Rumh ada tambahan: Kemudian Allah s.w.t menurunkan ayat:
 مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِيْنَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِيْنَ 
Yang bermaksud: Apa saja yang kamu tebang dari pohon milik orang-orang kafir atau yang kamu biarkan ia tumbuh berdiri di atas pokoknya, maka semua itu adalah dengan izin Allah kerana Dia mahu memberikan kehinaan kepada orang-orang fasiq.

Hamba Yang Dimiliki Itu Sebaik Baiknya Diberi Makanan Seperti Yang Dimakan Oleh Tuannya, Begitu Juga Dalam Masalah Pakaiannya. Juga Jangan Membebankannya Dengan Kerja Yang Tidak Termampu Dilakukanya

Hadis Abu Zar r.a katanya: Pernah terjadi kata-kata kasar antara aku dan saudaraku di mana ibunya bukan berbangsa Arab (hamba) aku telah menghinanya dari pihak ibunya. Maka dia mengadukan halku kepada Nabi s.a.w. Kemudian aku menemui Nabi s.a.w lalu baginda bersabda: Wahai Abu Zar! Sesungguhnya akhlakmu masih seperti orang-orang jahiliah. Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Bukankah seseorang yang mencaci orang lain itu sama dengan mencaci ayah dan ibunya sendiri. Baginda bersabda lagi: Wahai Abu Zar! Sesungguhnya akhlakmu itu masih seperti orang-orang jahiliah, mereka itu adalah saudara-saudaramu sendiri, mereka dijadikan oleh Allah berada di bawah kekuasaanmu. Maka berilah kepada mereka makanan seperti yang kamu makan. Berilah kepada mereka pakaian seperti yang kamu pakai dan janganlah kamu memaksa mereka melakukan kerja yang mereka tidak mampu melakukannya. Sekiranya terpaksa dilakukan maka hendaklah kamu turut membantunya.

Harus Mengutuk Syaitan Ketika Sembahyang Dan Memohon Perlindungan Kepada Allah Daripada Syaitan Serta Boleh Melakukan Gerakan Yang Sedikit Iaitu Angota Ringan Ketika Sembahyang

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
 Sesungguhnya Ifrit dari kalangan jin telah datang untuk menggodaku semalam agar aku lalai ketika sembahyang. Tetapi Allah telah melindungi aku daripadanya sehingga aku dapat menangkapnya iaitu menjerat lehernya. Aku mempunyai keinginan untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga ke waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Kemudian aku menyebutkan kata-kata saudaraku Nabi Sulaiman a.s:
 رَبِّ اغْفِرْلِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي 
Tuhanku! Ampunilah aku, berikanlah kepadaku suatu kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh seorang pun selepasku. Maka akhirnya Allah melepasnya secara menolak Ifrit tersebut dalam keadaan rugi, hina dan lemah. 

(Nombor hadith dalam Sa Kemurkaan Allah s.w.t Dan Larangan Melakukan Perbuatan Keji

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
 Rasulullah s.a.w bersabda:
 Tidak ada seorangpun yang lebih suka kepada pujian selain daripada Allah s.w.t, kerana itulah Dia memuji Zat-Nya sendiri. Begitu juga tidak ada seorangpun yang lebih marah daripada Allah s.w.t itulah sebabnya Dia mengharamkan perbuatan keji. 

LI'AN IAITU SUAMI MENUDUH ISTERI BERZINA TANPA SAKSI

Hadis dari Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan oleh Said bin Jubair r.a katanya: Aku pernah ditanya mengenai kes dua orang yang dili'an pada masa Mus'ab. Adakah keduanya harus dipisahkan? Oleh kerana tidak dapat menjawabnya, aku pergi ke kediaman Ibnu Umar di Mekah. Setelah sampai, aku meminta izin dari pelayan supaya membenarkan aku masuk menemui Ibnu Umar. Pelayan itu memberitahu kepadaku bahawa dia sedang tidur. Rupa-rupanya, Ibnu Umar mendengar suaraku lalu bertanya: Siapakah itu? Ibnu Jubairkah? Aku menjawab: Benar! Dia berkata: Masuklah! Demi Allah, pasti ada sesuatu hajat penting sehingga kamu datang menemui aku di waktu begini. Aku pun masuk dan mendapati dia berbaring di atas kain pelana dan bersandar pada sebuah bantal yang berisi sabut kurma. Aku memulakan kata-kata: Wahai Abu Abdul Rahman! Adakah harus dipisahkan suami isteri yang bersumpah li'an? Ibnu Umar menjawab: Maha Suci Allah. Memang begitulah dan sesungguhnya orang pertama yang pernah menanyakan hal itu adalah Si Polan bin Polan, dia bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apa pendapat kamu jika salah seorang daripada kami mendapati isterinya melakukan suatu perbuatan keji dan menjijikkan. Apa yang patut dilakukan? Jika suami itu membicarakannya, bermakna dia telah bertanggungjawab di atas suatu perkara yang sungguh besar. Begitu juga kiranya dia mendiamkan diri. Apabila ditanya begitu, Nabi s.a.w hanya diam saja dan tidak menjawabnya. Setelah beberapa ketika, Si Polan bin Polan itu datang lagi kepada Rasulullah dan berkata: Sebenarnya perkara yang saya ajukan kepada anda ini, berlaku ke atas diri saya. Maka Allah s.w.t menurunkan FirmanNya yang terdapat dalam surah An-Nur: �
 Yang bermaksud: Orang-orang yang menuduh isterinya berzina tanpa bersaksi. Maka mereka dituntut supaya bersumpah empat kali berturut-turut bahawa dia benar-benar mengetahui mengenainya. Baginda membacakan Firman Allah tersebut dengan lengkap serta menasihati dan mengingatkan bahawa sesungguhnya seksa dunia itu tidaklah setanding dengan seksaan di akhirat. Namun Si Polan bin Polan itu tetap berkeras: Tidak! Demi Allah yang mengutuskanmu, aku tidak berdusta mengenai isteriku. Akhirnya Rasulullah s.a.w memanggil isteri Polan bin Polan tersebut. Baginda juga menasihatkan wanita itu dan mengingatkan bahawa seksaan di dunia ini tidak seberapa berbanding dengan seksa di akhirat. Namun sebagaimana suaminya juga, wanita itu tetap dengan pendiriannya dan berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu! Sesungguhnya dialah yang berdusta. Rasulullah s.a.w memulai dengan pihak suami. Lalu dia pun bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang benar, sedangkan pada sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Kemudian baginda meneruskan pula sebelah pihak isteri. Dia juga berani bersumpah empat kali bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta dan sumpah yang kelima menyatakan, bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar. Kemudian setelah itu Rasulullah s.a.w memisahkan antara keduanya.

Kelebihan Ibadat Haji, Umrah Dan Hari Arafah

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
 Sesiapa yang berkunjung ke Baitullah dan tidak bercakap dengan percakapan yang keji serta tidak berbuat fasik, maka dia akan kembali seperti ketika dia dilahirkan oleh ibunya. 

Menjaga Lidah Bagi Orang Yang Berpuasa

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w bersabda: 
Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa. 

TAFSIR

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ketika diperintahkan kepada Bani Israel: Masuklah ke pintu gerbang kampung Nabi Musa atau pintu yang ke lapan di Baitulmuqaddis sambil sujud dan ucaplah Hittatun. Yang bermaksud: Bebaskanlah kami dari dosa, nescaya dosa-dosa kamu akan diampunkan. Tetapi mereka menukar iaitu tidak mengikut arahan tersebut. Mereka memasuki pintu secara perlahan-lahan dan mengucapkan Habbatun fi Sya'ratin. Yang bermaksud: Biji dalam rambut.

Seseorang Ditegah Membuka Rahsia (Keaiban) Diri Sendiri

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap umatku diampunkan dosanya kecuali yang menyatakan secara terang-terangan (telah melakukan dosa). Termasuk terang-terangan ialah seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, sehingga waktu pagi rahsianya ditutupi oleh Allah, (tetapi) waktu paginya dia berkata: Hai Si anu, semalam aku telah melakukan itu dan ini (dosa), sedangkan Allah menutup perbuatannya (dari pengetahuan manusia) sepanjang malam itu. Sepanjang malam itu Allah menutup rahsianya (perbuatan dosa), tetapi waktu pagi dia membuka apa yang telah ditutup oleh Allah. 

Apabila Dua Orang Muslim Berhadapan Dan Kedua duanya Menghunus Pedang

Hadis Abi Bakrah r.a katanya: 
 Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila dua orang Muslim bertemu dan kedua-duanya menghunus pedang masing-masing, maka orang yang membunuh dan orang yang dibunuh kedua-duanya akan dimasukkan ke dalam Neraka. Menurutnya lagi, aku berkata atau baginda ditanya: Wahai Rasulullah kalau orang itu membunuh maka jelaslah dosanya, akan tetapi apakah kesalahan orang yang dibunuh. Baginda bersabda: Sesungguhnya beliau juga berniat untuk membunuh saudaranya. 

SIFAT ORANG MUNAFIK DAN HUKUM MEREKA

Hadis Ibnu Mas'ud r.a katanya: 
 Tiga orang lelaki telah berkumpul berhampiran Baitullah, dua orang daripadanya Quraisy dan seorang lagi banyak pengetahuan agama atau dua orang yang banyak pengetahuan agama dan seorang Quraisy yang sedikit pengetahuan agamanya serta perutnya buncit. Salah seorang di antara mereka berkata: Pada pendapat kamu adakah Allah mendengar kata-kata kita? Lelaki kedua berkata: Dia mendengar percakapan yang kuat dan tidak mendengar percakapan yang perlahan. Lelaki ketiga berkata: Sekiranya Dia mendengar percakapan yang kuat nescaya Dia juga mendengar percakapan yang perlahan. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat
 وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ 
Yang bermaksud: (Dan semasa kamu berselindung ketika melakukan dosa di dunia dahulu bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan dosa itu).

Cerita Bohong Dan Taubat Penuduh Tetap Diterima

Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan. Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Ketika aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani telah ditinggalkan oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam sehinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut. Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannya إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ 
ketika dia mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain ucapannya
\ إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ 
sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak di tangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik. Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya aku rasakan ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di bina berhampiran dengan rumah kami. Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar As-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah! Aku berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar. Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan? Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong. Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku. Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku: Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku? Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya. Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku? Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian. Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul. Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah: Wahai kaum Muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku. Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun berkata: Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu. Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang soleh tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya! Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku. Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis. Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya. Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s:


 فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ


 Yang bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi Demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t. Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda. Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat Al-Quran menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat


 إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ 


Yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku. Saidatina Aisyah berkata: Lalu Sayidina Abu Bakar orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia memfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat
 وَلَا يَأْتَلِ أُولُوا الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى sehingga ayat أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ 
Yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga sehinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu. Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah. Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka! 

Taubat Tetap Diterima Sekalipun Berulang Kali Melakukan Dosa Dan Taubat

Hadis Abu Hurairah r.a:
 Nabi s.a.w bersabda tentang apa yang baginda terima dari Allah s.w.t katanya: Seorang hamba Allah melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: Hamba-Ku telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh itu buatlah sesuka hatimu, Aku akan ampunkan dosamu. Hamba tersebut berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga atau keempat aku meminta keampunan, tetapi Allah s.w.t tetap berfirman: Buatlah sesuka hatimu, Aku tetap akan mengampunkan dosamu.

Kelebihan Membaca Tahlil, Membaca Tasbih Dan Berdoa

Hadis Abu Hurairah r.a: 
 Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membaca: 


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
 dalam sehari sebanyak seratus kali, nescaya dia mendapat pahala sebagaimana memerdekakan sepuluh orang hamba. Dia juga diampunkan seratus kejahatan, dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang. Tidak diganjarkan kepada orang lain lebih baik daripadanya kecuali orang tersebut melakukan amalan lebih banyak daripadanya. Manakala mereka yang berkata:


 سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ 


dalam sehari sebanyak seratus kali nescaya terhapuslah segala dosanya sekalipun dosanya itu banyak seperti buih di lautan.

Kelebihan Majlis majlis Zikir

Hadis Abu Hurairah r.a: 
 Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit. Baginda bersabda: Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firman-Nya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu. Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari-Mu. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan. Allah berfirman: Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari Neraka-Mu, wahai Tuhan. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Neraka-Ku. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunan-Mu. Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.

Sebahagian Dari Kelebihan Abu Musa Al Asy'ariy Dan Abu Amir Al Asy'ariy

Hadis Abu Musa r.a katanya:
 Setelah peperangan Hunain tamat Nabi s.a.w mengutuskan Abu Amir mengetuai tentera ke Autas. Di pertengahan jalan mereka bertembung dengan Duraid bin Sim'mah. Beliau berjaya membunuh Duraid dan Allah memberi kemenangan kepada para sahabat. Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w telah mengutus aku dan Abu Amir, ketika itu lutut Abu Amir dipanah oleh lelaki dari Bani Jusyam dan beliau merasa sakit di tempat yang terkena panah itu. Aku menghampiri beliau dan berkata: Wahai bapa saudaraku! Siapakah yang memanahmu? Abu Amir memberi isyarat kepada Abu Musa dan berkata: Orang itulah iaitu Bani Jusyam, yang hendak membunuhku. Kamu lihat beliaulah orang yang memanahku. Abu Musa berkata: Aku pun menuju ke arahnya dan apabila beliau iaitu Bani Jusyam melihatku, beliau berpaling dan melarikan diri dariku, tetapi aku terus mengikutinya. Aku mendekati beliau dan berkata: Adakah kamu tidak merasa malu? Bukankah kamu orang arab dan kenapakah kamu tidak berhenti? Akhirnya kami pun bertembung, berkelahi dan saling pukul-memukul. Akhirnya aku berjaya membunuhnya dengan pedangku. Setelah itu aku kembali kepada Abu Amir. Aku berkata padanya: Allah telah membunuh kawanmu itu. Beliau iaitu Abu Amir berkata: Cabutlah anak panah ini. Aku pun mencabutnya dan terkeluar air (yang dimaksudkan ialah darah). Beliau iaitu Abu Amir berkata: Wahai anak saudaraku! Pergilah kamu menemui Rasulullah s.a.w dan sampaikan salamku kepada baginda dan beritahu kepada baginda, bahawa Abu Amir meminta supaya Rasulullah s.a.w memohon ampun untuk beliau. Abu Amir memujukku supaya memimpin tentera. Tidak berapa lama beliau pun terkorban. Setelah selesai dari peperangan, aku pun pulang dan menemui Rasulullah s.a.w. Ketika itu baginda s.a.w sedang tidur di atas katil dari jalinan pelepah tamar dan di atas katil tersebut terdapat sebidang tikar. Kesan jalinan pelepah tamar itu terdapat di belakang dan rusuk Rasulullah s.a.w. Aku pun menceritakan kepada baginda s.a.w tentang kami dan juga mengenai Abu Amir dan aku sampaikan pesan beliau (Abu Amir), iaitu supaya baginda s.a.w memohon ampun kepada Allah untuk beliau. Setelah itu Rasulullah s.a.w meminta air untuk berwuduk, setelah selesai berwuduk, baginda s.a.w mengangkat kedua tangannya dan berdoa: Ya Allah, ampunkanlah Abu Amir. Ketika itulah aku melihat kedua ketiak baginda s.a.w yang berwarna putih. Kemudian baginda meneruskan doanya: Ya Allah, tinggikanlah kedudukan beliau dari makhlukmu atau dari manusia di Hari Kiamat. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Pohonkanlah keampunan untukku. Maka Rasulullah s.a.w berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa Abdullah bin Qais dan masukkanlah beliau ke dalam sebuah tempat yang mulia pada Hari Kiamat.

Kewibawaan Nabi s.a.w Dan Baginda Tidak Bertanya Tentang Perkara Perkara Yang Tidak Perlu Atau Perkara Perkara Yang Tidak Ada Kaitannya Dengan Syarak Atau Perkara Perkara Yang Tidak Realiti Dan Sebagainya

Hadis Saad bin Abu Waqqas r.a katanya:
 Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya sebesar-besar dosa orang Islam terhadap orang Islam lain ialah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan kepada orang-orang Islam, kemudian diharamkan ke atas mereka disebabkan pertanyaannya.

Pengetahuan dan Ketakwaan Nabi s.a.w Kepada Allah Taala

Hadis Aisyah r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w pernah membuat sesuatu pekerjaan namun baginda kemudiannya memberikan keringanan. Ketika perkara itu didengar oleh sebahagian daripada sahabat-sahabat baginda, mereka seolah-olah tidak suka dengan tindakan baginda itu dan mengatakan ianya tidak berdosa. Reaksi mereka itu sampai kepada baginda. Baginda seterusnya berdiri dan berpidato: Apa dipedulikan orang-orang itu? Mereka mendengar berita tentang diriku yang memberikan kemurahan terhadap sesuatu. Mereka tidak menyukainya dan mengatakan ianya tidak berdosa. Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling tahu dan paling bertakwa kepada Allah daripada mereka. 

Sikap Nabi s.a.w Yang Menjauhi Patung patung Berhala. Baginda Memilih Yang Paling Mudah Dari Sesuatu Yang Di Haruskan Dan Baginda Akan Membalasnya Jika Kehormatan Allah Dipermainkan

Hadis Aisyah isteri Nabi r.a katanya: 
 Setiap kali apabila Rasulullah s.a.w disuruh memilih di antara dua perkara, maka baginda akan mengambil yang paling ringan di antara keduanya selama mana ianya tidak berdosa. Jika yang paling ringan itu berdosa, maka baginda menjauhinya pula. Rasulullah s.a.w tidak pernah membalas kerana untuk diri sendiri melainkan jika kehormatan Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung dipermainkan.

Kelebihan Orang Yang Memberi Minum Dan Makan Kepada Ternakan Yang Dimuliakan

Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan. 

Larangan Pemalsuan Dalam Berpakaian Dan Sebagainya Serta Berpura pura Puas Terhadap Apa Yang Tidak Diterima

Hadis Asma' r.a katanya:
 Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Aku mempunyai permasalahan, maka adakah aku berdosa apabila aku berpura-pura cukup dengan harta suamiku dengan apa yang tidak beliau berikan kepadaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berpura-pura puas dengan apa yang tidak diberikan kepadanya, samalah seperti orang yang memakai pakaian palsu.

MINUMAN

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: 
 Aku sedang memberi minum kepada para tetamu di rumah Abu Talhah pada hari pengharaman arak. Mereka hanya meminum arak yang diperbuat dari buah kurma. Tiba-tiba terdengar satu seruan yang memberitahu. Keluar dan lihatlah! Akupun keluar, ternyata ada satu suara yang mengumumkan: Sesungguhnya arak telahpun diharamkan. Arak mengalir di jalan-jalan Madinah Abu Talhah berkata kepadaku: Keluarlah dan curahkanlah arak itu, Lalu aku mencurahkannya. Tiba-tiba ada orang berkata: Si anu telah terbunuh, si anu telah terbunuh, sedangkan perutnya dipenuhi dengan arak. Perawi Hadis berkata, aku tidak tahu apakah itu juga termasuk dari Hadis Anas. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat:


 لَيْسَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جُنَاحٌ فِيمَا طَعِمُوا إِذَا مَا اتَّقَوْا وَآمَنُوا وَعُمِلُوا الصَّالِحَاتِ 


Yang bermaksud: Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan melakukan amalan soleh kerana makanan yang telah mereka makan dahulu apabila mereka telah bertakwa serta beriman dan melakukan amalan soleh.

Surat Dari Nabi s.a.w Kepada Raja Hiraqal Yang Menyeru Beliau Memeluk Islam

Hadis Abu Sufian r.a katanya: 
 Setelah aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dalam tempoh yang agak lama, pada waktu itu aku berada di Syam maka telah sampai sepucuk surat dari Rasulullah s.a.w yang ditujukan kepada Raja Hiraqal Pembesar Empayar Rom. Dahyat Al-Kalbi telah membawa surat tersebut dan menyampaikannya kepada pembesar Busra. Maka pembesar Busra telah membawa surat tersebut kepada Raja Hiraqal. Lalu Raja Hiraqal bertanya: Adakah di sini terdapat seorang lelaki dari kaum orang yang mendakwa sebagai Nabi ini? Orang-orang yang ditanya menjawab: Ya! Ada. Aku pun dipanggil bersama beberapa orang Quraisy yang lainnya, maka kami pun terus masuk menghadap Raja Hiraqal. Setelah dipersilakan duduk di hadapannya, Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaan: Adakah di antara kamu ini orang yang paling dekat nasab keturunan dengan seorang yang mengaku sebagai Nabi ini? Abu Sufian menjawab: Aku! Kemudian beliau menyuruh aku duduk lebih dekat di hadapannya. Sementara itu sahabat-sahabatku yang lain dipersilakan duduk di belakangku. Kemudian Raja Hiraqal mempersilakan juru bicaranya (penterjemahnya) dan berkata: Katakan kepada mereka yang berada di hadapanku ini, bahawa aku bertanya mengenai seorang lelaki yang telah mengaku sebagai nabi. Jika beliau berdusta kepadaku, bererti maka berdustalah beliau. Berkata Abu Sufian Demi Allah, sekiranya aku tidak bimbang pendustaanku akan diceritakan oleh sahabat-sahabatku di negeriku nanti, nescaya aku memilih berdusta. Melalui juru bicaranya Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaannya: Bagaimanakah nasab (keturunannya) di kalangan kamu? Aku menjawab: Di kalangan kami beliau mempunyai nasab (keturunan) yang cukup mulia. Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah terdapat di antara nenek moyangnya yang pernah menjadi raja? Aku menjawab: Tidak ada! Beliau (Raja Hiraqal) bertanya lagi: Adakah kamu pernah mencurigainya berdusta sebelum beliau mengatakan apa yang sudah dikatakannya? Aku menjawab: Tidak! Beliau (Raja Hiraqal) meneruskan pertanyaan: Siapakah yang menjadi pengikutnya? Adakah mereka terdiri dari kalangan orang yang mulia atau dari kalangan orang yang lemah? Aku menjawab: Para pengikutnya adalah terdiri dari kalangan orang yang lemah. Beliau terus bertanya: Adakah pengikutnya semakin berkurang atau bertambah? Aku menjawab: Tidak! Bahkan semakin bertambah. Beliau bertanya lagi: Adakah terdapat salah seorang dari pengikutnya yang keluar atau murtad dari agamanya kerana tidak suka kepadanya? Aku menjawab: Tidak pernah! Beliau bertanya lagi: Bagaimana dengan peperangan? Aku menjawab: Peperangan yang terjadi antara kami dengannya seimbang, adakalanya kami mendapat kemenangan dan adakalanya kami menerima kekalahan. Beliau bertanya: Adakah beliau pernah khianat? Aku menjawab: Tidak! Selama hidupku aku tidak pernah melihat beliau berbuat seperti itu. Beliau bertanya lagi: Adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya? Aku menjawab: Tidak pernah! Kemudian Raja Hiraqal memerintahkan juru bicaranya supaya menyatakan (isi hatinya) bahawa: Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai nasab (keturunannya), kamu menjawab sesungguhnya (Muhammad) adalah seorang yang mempunyai nasab (keturunan) yang baik dan memang begitulah keadaan para rasul apabila diutus di kalangan kaumnya. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah nenek moyangnya (Muhammad) ada yang pernah menjadi raja, kamu menjawab tidak ada sama sekali. Jadi itulah yang membuatkan aku kagum kerana dengan kedudukannya atau kebesarannya sekarang bukan merupakan warisan dari nenek moyangnya. Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai para pengikutnya, kamu menjawab bahawa para pengikutnya terdiri dari orang-orang yang lemah dan mereka itulah pengikut para rasul. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah kamu pernah menuduhnya berdusta tentang apa yang diucapkan, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah berdusta samada sesama manusia apalagi kepada Allah. Maka bagiku memang itulah sifat seorang rasul. Aku tanyakan kepadamu adakah salah seorang dari pengikutnya ada yang keluar dari agamanya (murtad), maka kamu menjawab tidak pernah ada dan begitulah keimanan beliau apabila terpancar di sudut hati dan berseri-seri. Ketika aku tanyakan kepadamu adakah para pengikutnya berkurang atau bertambah, maka kamu menjawab pengikutnya semakin bertambah dan demikian itulah keimanan yang sempurna. Aku bertanya kepadamu adakah kamu pernah memeranginya, maka kamu menjawab pernah, di mana kadangkala kamu menang dan kadang-kala kamu tewas. Demikian itulah para rasul harus dicuba terlebih dahulu sebelum mereka menerima ganjaran yang baik. Aku bertanya kepadamu adakah beliau pernah khianat, maka kamu menjawab bahawa beliau tidak pernah khianat. Jadi begitulah sifat para rasul. Aku bertanya kepadamu adakah ucapan ini pernah diucapkan oleh seseorang sebelumnya, kamu menjawab tidak pernah seorang pun sebelumnya yang mengucapkannya. Kalau begitu beliau (Muhammad) benar-benar orang yang sangat istimewa. Melalui juru bicaranya lagi, Raja Hiraqal bertanya kepadaku: Apakah yang telah diperintahkan oleh beliau (Muhammad)? Aku menjawab: Beliau memerintahkah kami supaya mendirikan sembahyang, membayar zakat, menghubungkan Silaturahim dan mencegah dari perkara-perkara yang diharamkan. Kemudian Raja Hiraqal berkata: Sekiranya apa yang kamu katakan ini benar, maka beliau (Muhammad) memang benar-benar seorang nabi. Aku tahu sesungguhnya beliau adalah seorang yang sungguh luar biasa dan aku sama sekali tidak menyangka bahawa seorang Nabi telah muncul dari kalangan kamu. Oleh itu, secara jujur aku katakan bahawa aku benar-benar ingin berjumpa dengannya. Seandainya aku berada di sisinya, nescaya aku akan membasuh kedua telapak kakinya dan akan meletakkan kekuasaannya di atas kedua telapak kakiku. Setelah itu raja Hiraqal meminta supaya diambil surat yang telah dikirimkan oleh Rasulullah s.a.w lalu membacanya: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Dari Muhammad utusan Allah ditujukan kepada Hiraqal pembesar Empayar Rom. Salam sejahtera buat mereka yang sentiasa mengikuti kebenaran. Sesungguhnya aku menyerumu untuk memeluk Islam. Masuklah Islam semoga kamu akan tenteram. Masuklah Islam nescaya Allah akan menganugerahkan kepadamu dua pahala sekaligus. Jika kamu menolak dari ajakan yang mulia ini, maka kamu akan menanggung dosa yang teramat besar. يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لَا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِ Yang bermaksud: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, iaitu kita tidak akan sembah melainkan Allah dan kita tidak akan menyekutukan-Nya dengan sesuatupun dan tidak pula sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling (tidak mahu menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri kepada Islam (Allah). Setelah selesai membaca surat tersebut terdengar suara teriakan yang nyaring. Kami diarahkan supaya keluar. Maka ketika itulah aku berkata kepada sahabat-sahabatku: Inilah bukti bagi Ibnu Abu Kabsyah yang selalu ditakuti kemunculannya oleh raja orang-orang Rom Bani Asfar. Raja Hiraqal berkata: Aku yakin bahawa seruan dan ajakan Rasulullah s.a.w pada suatu masa nanti pasti akan muncul sehingga Allah berkenan memasukkan aku ke dalam Islam.

Kisah Hindun

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
 Hindun binti Utbah isteri Abu Sufian datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Abu Sufian adalah seorang yang bakhil, dia tidak memberikan nafkah yang cukup untuk aku dan anak-anakku, kecuali harta yang telah aku ambil tanpa pengetahuannya. Apakah dalam hal ini aku akan menanggung dosa? Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Ambillah hartanya itu dengan cara yang baik, iaitu sekadar mencukupi untuk dirimu dan anak-anakmu. 

Dosa Terhadap Orang Yang Pertama Melakukan Pembunuhan

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap kali ada pembunuhan secara zalim, maka putera Nabi Adam yang pertama itu akan mendapat bahagian darahnya, (mendapat dosa) kerana dialah orang yang pertama melakukan pembunuhan.

Pencerobohan Dan Orang Yang Murtad

Hadis Anas bin Malik r.a: Sesungguhnya beberapa orang dari daerah Urainah datang ke Madinah untuk menemui Rasulullah s.a.w mereka telah menghidap sakit perut yang agak serius. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Sekiranya kamu mahu, keluarlah dan carilah unta sedekah, maka kamu minumlah susu dan air kencingnya. Lalu mereka meminumnya, dan ternyata mereka menjadi sihat. Kemudian mereka pergi kepada sekumpulan penggembala lalu mereka membunuh penggembala yang tidak berdosa itu dan mereka telah menjadi murtad (keluar dari Islam.) Mereka juga telah melarikan unta milik Rasulullah s.a.w, kemudian peristiwa itu diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memerintahkan kepada para sahabat agar menangkap mereka. Setelah ditangkap lalu mereka dihadapkan kepada baginda s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun memotong tangan dan kaki serta mencungkil mata mereka. Kemudian baginda membiarkan mereka berada di Al-Harrah (sebuah daerah di Madinah yang terkenal penuh dengan batu hitam) sehingga mereka meninggal dunia. 

Larangan Sentiasa Bersumpah Dalam Hal hal Yang Boleh Menyakitkan Orang Lain Walaupun Perkara Yang Tidak Diharamkan

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Demi Allah! Salah seorang di antara kamu yang biasa bersumpah di hadapan isterinya (keluarganya) maka dia akan lebih berdosa di sisi Allah daripada dia membayar denda (kifarat) yang telah diwajibkan oleh Allah kerana melanggar sumpahnya.

Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya

Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Kota Madinah adalah Tanah Haram. Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Pada Hari Kiamat kelak, Allah tidak akan menerima taubat dan fidyahnya.

Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya

Hadis Ali bin Abu Talib r.a:
 Diriwayatkan daripada Yazid bin Syarik bin Tariq r.a katanya: Sayidina Ali bin Abu Talib r.a telah berkhutbah kepada kami: Sesiapa yang menganggap bahawa di sisi kita ada sesuatu yang kita baca selain dari kitab Allah dan Sahifah ini iaitu Sahifah yang digantung pada sarung pedangnya, bererti dia telah berdusta. Dalam Sahifah ini terkandung masalah mengenai gigi, yang diberikan sebagai diat, juga beberapa masalah mengenai tindakan jenayah. Juga terdapat sabda Nabi s.a.w: Kota Madinah adalah tanah haram, sempadannya bermula dari gunung 'Aair hingga gunung Thaur. Sesiapa yang melakukan suatu dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia pada Hari Kiamat kelak. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya. Jaminan Muslimin itu adalah suatu yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Sesiapa yang mendakwa bahawa dia bukan keturunan ayahnya atau mendakwa pada selain dari tuannya, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya pada Hari Kiamat kelak. Hadis Abu Bakar r.a dan Zuhair r.a hanya terhenti pada lafaz: Yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Mereka berdua tidak menyebut lafaz selepasnya, iaitu lafaz tergantung pada sarung pedangnya. 

Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya

Hadis Anas bin Malik r.a:
 Diriwayatkan daripada Aasim r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik r.a: Adakah benar Rasulullah s.a.w telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah? Anas r.a menjawab: Ya! Antara dua gunung ini. Kemudian Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepadaku dengan nada mengancam: Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat atau fidyah iaitu penebus dosa darinya pada hari Kiamat kelak.

Kelebihan Ibadat Haji, Umrah Dan Hari Arafah

Hadis Abu Hurairah r.a: 
 Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ibadat Umrah hingga ibadat Umrah berikutnya adalah kifarat dosa di antara keduanya. Manakala ibadah Haji yang Mabrur iaitu Haji yang diterima, tiada ganjarannya selain dari Syurga.

Harus Melakukan Umrah Pada Bulan bulan Haji

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Mereka iaitu orang-orang Jahiliah berpendapat, melakukan Umrah pada bulan Haji merupakan dosa yang paling besar di atas muka bumi ini. Mereka menjadikan bulan Muharam sebagai bulan Safar. Mereka berkata: Apabila kepenatan telah hilang, kesan tapak kaki sudah hilang dan bulan Safar telah berlalu, orang-orang yang berumrah pun bolehlah bertahallul. Pada pagi empat Zulhijah Nabi s.a.w dan para sahabatnya datang dalam keadaan berihram Haji lalu baginda memerintahkan mereka supaya bertukar kepada Ihram Umrah. Namun mereka keberatan dan berkata: Wahai Rasulullah! Apa yang telah dihalalkan? Baginda menjawab: Semua perkara telah dihalalkan. 

Harus Bagi Orang Yang Berihram Atau Tidak Berihram, Membunuh Haiwan Tertentu Samada Di Tanah Halal Ataupun Di Tanah Haram

Hadis Abdullah bin Umar r.a: 
 Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak berdosa bagi orang yang membunuh lima jenis binatang walaupun di Tanah Haram dan mereka pula dalam keadaan berihram. Binatang-binatang tersebut ialah tikus, kala jengking, burung gagak, burung helang dan anjing liar. 

Hukum Bercumbu Tidak Haram Selagi Tidak Membangkitkan Nafsunya

Hadis Umar bin Abu Salamah r.a: 
 Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Bolehkah orang yang sedang berpuasa mencium isterinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tanyakan kepada wanita ini sambil menunjuk ke arah Ummu Salamah yang kemudian memberitahu kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w pernah melakukannya. Lalu Umar bin Abu Salamah berkata: Wahai Rasulullah! Bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu dan yang akan datang? Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah aku adalah orang yang paling bertakwa dan paling merasa takut kepada Allah daripada kamu.

Dosa Orang Yang Enggan Mengeluarkan Zakat

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
 Rasulullah s.a.w telah bersabda: Setiap pemilik emas atau perak yang tidak mengeluarkan zakat akan dipakaikan dengan kepingan-kepingan api pada Hari Kiamat, lalu dia dibakar di bahagian rusuk, dahi dan belakangnya dengan kepingan tersebut dalam Neraka Jahanam. Setiap kali kepingan itu menjadi sejuk, ia akan dipanaskan kembali. Setiap hari menyamai lima puluh ribu tahun ukuran sekarang. Keadaan ini berterusan sehinggalah umat manusia diputuskan ke manakah akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan unta yang tidak dikeluarkan zakatnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Begitu juga pemilik unta yang enggan menunaikan zakatnya. Zakat unta ialah susunya ketika diperah. Pada hari Kiamat, pemilik unta-unta tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama untanya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurang walaupun seekor dari unta-untanya tersebut. Unta-unta peliharaannya akan memijak-mijak dan menggigit pemiliknya. Tatkala unta yang pertama selesai dari menyeksanya, maka unta yang lain pula datang kepadanya. Keadaan ini terjadi dalam satu hari yang mana ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah umat manusia selesai diputuskan ke mana akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lembu dan kambing? Rasulullah s.a.w bersabda: Demikianlah juga pemilik lembu dan kambing yang enggan menunaikan zakatnya. Pada Hari Kiamat pemilik lembu dan kambing tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama lembu dan kambingnya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurang walaupun seekor lembu dan kambingnya tersebut. Lembu-lembu dan kambing-kambing itu tidak ada yang bertanduk bengkok, tidak ada yang tidak bertanduk atau tidak ada yang bertanduk pecah. Semua lembu-lembu dan kambing tersebut menanduk orang itu iaitu pemiliknya yang enggan membayar zakatnya tadi dengan tanduknya dan memijak-mijak dengan tapak kakinya. Apabila lembu atau kambing yang pertama selesai dari menyeksanya, maka datang pula yang lain kepadanya. Keadaan ini terus-menerus terjadi dalam satu hari yang ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah diselesaikan urusan umat manusia. Lalu dibentangkan jalan kepada umat manusia ke manakah mereka akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Ditanyakan lagi: Wahai Rasulullah! Kuda itu ada tiga jenis: Sebagai beban bagi seseorang, sebagai pendinding bagi seseorang dan juga sebagai ganjaran bagi seseorang. Adapun kuda yang menjadi beban bagi seseorang pemiliknya iaitu kuda yang diikat untuk tujuan pameran, bermegah-megah dan memusuhi pendukung Islam. Kuda itu merupakan beban iaitu dosa bagi pemiliknya. Kuda yang menjadi pendinding bagi seseorang pula ialah kuda yang diikat oleh pemiliknya untuk keperluan perjuangan di jalan Allah, kemudian pemilik itu tidak melupakan hak Allah yang terdapat pada punggung dan leher kuda tersebut. Kuda itu merupakan pendinding iaitu penghalang pemiliknya dari api Neraka. Sedangkan kuda yang menjadi ganjaran bagi pemiliknya ialah kuda yang diikat iaitu dipelihara untuk perjuangan di jalan Allah, untuk pendukung Islam, pada tanah yang subur atau taman. Apapun yang dimakan oleh kuda itu dari tanah subur atau taman tersebut, pasti dicatat untuk pemiliknya kebaikan iaitu ganjaran sebanyak yang telah dimakan olah kuda itu dan dicatatkan juga kebaikan untuk pemiliknya sebanyak kotoran dan air kencingnya. Bila tali kekang terputus dan kuda itu meliar iaitu memberontak, ia lari sekali atau dua kali, maka Allah juga akan mencatatkan untuk pemiliknya kebaikan sebanyak langkah-langkah dan kotoran-kotorannya. Jika pemilik kuda itu membawa kudanya pada sebatang sungai, kemudian kuda itu minum dari air sungai tersebut, padahal sebenarnya dia tidak berniat memberi minum kudanya itu, maka Allah mencatatkan untuknya kebaikan sebanyak yang telah diminum oleh kudanya. Baginda ditanya lagi: Wahai Rasulullah! Bagaimana pula dengan keldai? Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai keldai, tidak ada sesuatu pun iaitu Wahyu diturunkan kepadaku, kecuali ayat Al-Fazzah Al-Jami'ah: �
 Yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kebaikan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan mendapat balasannya dan sesiapa yang melakukan kejahatan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya juga.

Mayat Terseksa Kerana Ratapan Ahli Keluarganya)

Hadis Ibnu Umar r.a: 
 Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Mulaikah r.a katanya: Aku sedang berada di sisi Ibnu Umar, sementara itu kami menunggu jenazah Ummi Aban binti Othman. Di sampingnya juga ada Amru bin Othman. Kemudian datanglah Ibnu Abbas yang dipimpin oleh seseorang. Ibnu Abbas ditunjukkan ke tempat Ibnu Umar oleh pembawanya tadi. Dia datang dan duduk di sebelahku dan aku berada di tengah-tengah antara kedua-duanya. Tiba-tiba terdengar suara dari rumah. Lalu Ibnu Umar berkata seolah-olah menghalang Amru untuk berdiri: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya mayat itu akan terseksa kerana tangisan ahli keluarganya. Dia berkata lagi: Suruhlah Abdullah menghantar seorang utusan. Ibnu Abbas pula bercerita: Kami beriringan dengan Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab, sehinggalah kami sampai di Baida', tiba-tiba didapati seseorang berteduh di bawah sebatang pokok. Amirul Mukminin berkata kepadaku: Pergilah lihat siapakah orang itu! Akupun pergi dan aku dapati orang itu adalah Suhaib. Aku kembali kepada Umar dan berkata: Engkau menyuruhku untuk mengetahui siapakah orang itu. Ternyata dia adalah Suhaib. Umar berkata: Suruhlah dia mengikut kita! Aku berkata: Walaupun dia bersama keluarganya? Umar berkata lagi: Walaupun dia bersama keluarganya dan boleh jadi Ayyub berkata: Suruhlah dia mengikut kita! Apabila kami tiba, tidak lama kemudiannya Amirul Mukminin terkena musibah. Lalu Suhaib datang sambil meratap: Wahai saudaraku! Wahai temanku! Umar r.a berkata: Tidakkah kamu tahu atau tidakkah kamu pernah dengar (Ayyub berkata ataupun seseorang berkata: Tidakkah kamu tahu atau tidakkah kamu pernah dengar) bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya mayat akan terseksa disebabkan oleh sebahagian dari tangisan ahli keluarganya. Ibnu Umar berkata: Abdullah telah menghantar seorang utusan (perempuan) manakala Umar pula bercakap-cakap dengan orang ramai. Kemudian aku (Ibnu Abbas) bangun dan pergi berjumpa Aisyah. Aku ceritakan kepadanya apa yang dikatakan oleh Ibnu Umar. Lalu dia berkata: Tidak, demi Allah! Rasulullah s.a.w sama sekali tidak pernah berkata: Sesungguhnya mayat akan terseksa disebabkan tangisan seseorang tetapi baginda bersabda: Sesungguhnya orang kafir ditambah seksaannya oleh Allah disebabkan tangisan ahli keluarganya. Sesungguhnya, Allah adalah �
 Yang bermaksud: Allah adalah Zat yang menjadikan tawa dan tangis serta seseorang yang berdosa tidak akan memikul beban dosa orang lain. 

Berdoa Ketika Sembahyang Malam

Hadis Ibnu Abbas r.a:
 Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang, baginda akan berdoa:


 اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيَّامُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَقَوْلُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَأَخَّرْتُ وَأَسْرَرْتُ وَأَعْلَنْتُ أَنْتَ إِلَهِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ 


Yang bermaksud: Segala puji bagiMu. Engkau adalah cahaya langit dan bumi. Segala puji bagiMu. Engkaulah yang mengatur segala urusan makhluk di langit dan di bumi. Segala puji hanyalah bagiMu. Engkau adalah Tuhan di langit dan bumi serta semua yang terkandung di antara keduanya. Engkau adalah benar. JanjiMu adalah benar. FirmanMu adalah benar. Peristiwa perjumpaan denganMu (Hari Akhirat) adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Hari Kiamat adalah benar. Ya Allah! Hanya kepadaMu aku berserah. KepadaMu jugalah aku beriman. KepadaMu jugalah aku bertawakkal. KepangkuanMu jugalah aku kembali. KepadaMu jugalah aku mengadu. KepadaMu jugalah aku mengambil keputusan. Maka ampunilah daku, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, yang aku lakukan secara diam-diam ataupun terang-terangan. Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau.