Search This Blog

Pages

June 24, 2012

Beberapa Larangan Rasulullah S.A.W




Posted in Akidah Akhlak

Share
Dari al-Mughirah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda: “Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya.”
(Bukhari)
Huraian:
Dosa-dosa besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka.
Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam.
Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang datang menimpa tidak pernah berkesudahan. Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.
Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah, segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil dorongan hawa nafsu. Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa. Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi orang lain. Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga.
Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan. Oleh itu sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa berada di dalam keredhaan Ilahi.
 —

Fikirkan.....



DALIL DARI HIMPUNAN HADITH SHAHIH
Berkenaan IKHLAS
~ Dari Abu Firas rahmatullah ‘alaih (seorang dari Kabilah Aslam) telah berkata: seorang telah berseru dan bertanya: ya Rasulullah! Apa itu iman? Nabi SAW bersabda: Iman itu ialah ikhlas. (HR Baihaqi)

Berkenaan DOA
~ Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi. (HR Hakim)
~ Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tiada sesuatu yang lebih mulia disisi Allah selain daripada doa. (HR Tirmizi)

Berkenaan LIDAH
~ Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Seorang hamba tanpa berfikir panjang mengatakan satu perkara yang kerananya dia akan terhumban ke neraka Jahanam lebih jauh dari jarak bumi dan langit. (HR Muslim)
~ Dari Hasan r.a berkata telah sampai kepada kami satu hadith bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Moga-moga Allah merahmati seorang hamba yang baik lalu memperoleh keuntungan di dunia dan di akhirat, atau berdiam diri dan terselamat dari salah silap lidah.
(HR Baihaqi)
~ Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Keelokkan dan kesempurnaan seseorang ialah bahawa dia yang meninggalkan perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
(HR Tirmizi)
 —

RASULULLAH S.A.W. MENEGUR PERBUATAN 'MELEPAK'


Ramli Joned


Dari Abu Sai’d. Al-Khudri r.a, dari Rasulullah SAW sabdanya:”HINDARILAH DARIPADA DUDUK-DUDUK DI PINGGIR JALAN!” Jawab para sahabat,” Kami terpaksa duduk-duduk di situ membincangkan hal-hal yang perlu..” Sabda Rasulullah SAW, “Jika memang perlu kamu duduk-duduk di situ, berikan hak jalanan.” Mereka bertanya:”Apa haknya, ya Rasulullah?" Jawab baginda :”TUNDUKKAN PANDANGAN, JANGAN MENGGANGGU, JAWAB SALAM (ORANG YANG LALU), ANJURKAN BEBAIKAN, DAN CEGAH YANG MUNGKAR..”... (HR Muslim)...

1. MELEPAK memberi makna tentang suatu tabiat yang negatif di kalangan masyarakat, seperti di kalangan REMAJA DAN DEWASA, yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk, BERBUAL-BUAL KOSONG, MAKAN DAN MINUM, BERGELAK KETAWA, tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah... Pada peringkat awalnya kegiatan ini merupakan budaya yang dilakukan oleh kutu-kutu jalanan.... Namun sekarang gejala ini sudah merata kesegenap peringkat, dan SUDAH DIANGGAP BIASA.....

2. MELEPAK yang bertujuan untuk kebaikan, seperti untuk berbual tentang perkara yang bermanfaat, adalah dibenarkan dalam Islam, tetapi mestilah tidak sampai menghalang orang yang lalu-lalang, dan membuat sesuatu yang menyakitkan masyarakat sekeliling seperti membuat bising, mengata-ngata orang, mengusik dan sebagainya kerana yang sedemikian sudah terkeluar daripada adab-adab dalam bersosial dan bermasyarakat....

3. Setiap muslim seharusnya menjauhi perbuatan yang SIA-SIA dan melalaikan, kerana Islam amat membenci perkara yang menggambarkan sikap orang yang suka MEMBUANG MASA....

SEMUA NI'MAT ALLAH AKAN DITANYA DI AKHIRAT NANTI




Ramli Joned 
Di dalam Surah Al Isra' diperingatkan. Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya pada hari kiamat, kemanakah dipergunakannya”.... Baginda SAW bersabda: "Tentang nikmat2 Allah SWT yang akan ditanya pada hari kiamat termasuklah ketenteraman hati dan kesihatan tubuh.” Mujahid rah.a berkata : ”Tiap-tiap kelazatan duniawi dan kemewahaan hidup adalah termasuk nikmat dan semuanya akan ditanya.” Ali r.a. berkata : "Tentang nikmat2 yang akan disoal pada hari Kiamat termasuklah kesihatan (tubuh badan)..”....

Seorang bertanya kepada Ali r.a..: "Apakah yang dimaksudkan dengan ayat yang ertinya:” Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu (pada hari kiamat) tentang kenikmatan (yang kamu megah2kan di dunia itu).” Jawab beliau: "Bahawa apa2 yang ditanyai pada hari kiamat termasuklah ROTI, GANDUM, AIR ANGIN (dan semua jenis makanan serta minuman) dan RUMAH KEDIAMAN..” 

Di dalam hadis ada disebut bahwa apabila ayat yang tersebut diturunkan maka sebahagian dari para sahabat bertanya : "Kenikmatan yang manakah akan ditanya Ya, Rasulullah SAW ? Makanan yang kami perolehi itu pun, tidak mencukupi buat mengenyangkan perut..” Maka turunlah wahyu untuk menyatakan kepada mereka.: "Bahawa tidakkah kamu memakai kasut dan meminum air sejuk... Bukankah itu semua merupakan kenikmatan yang Allah berikan ?”...

Didalam sebuah hadis lagi disebutkan bahawa apabila ayat tersebut diturunkan maka sebahagian dari para sahabat bertanya .: ”Kenikmatan yang manakah yang akan ditanyai Ya Rasulullah SAW? Sedangkan yang kami perolehi sebagai makanan hanyalah sebuah tamar dan air sejuk... Pedang sentiasa tergantung di bahu (untuk berjihad) dan musuh (orang2 kafir) berhadapan dengan kami (yang kerana itu kedua2 jenis makanan itupun kami tidak dapat nikmati dalam keadaan tenang dan tenteram)’... Jawab Baginda SAW ;"Bahawa tidak lama lagi kamu akan mencapai kenikmatan yang tak terhitung banyaknya.”....

Di dalam sebuah hadis ada diterangkan bahawa julung2 pertanyaan yang akan ditanyakan pada hari kiamat ialah tentang KESIHATAN TUBUH... Allah SWT bertanya:"Kami menganugerahi kamu kesihatan tubuh (maka dimanakah kamu mempergunakannya dan apakah yang kamu perbuat untuk mendapatkan keredhaan Allah).".... 

Setelah menikmati makanan yang dihidangkan, Baginda SAW bersabda : “ Bahawa roti, daging dan beranika jenis rupa buah tamar ini semua adalah merupakan kenikmatan Allah SWT..” ... Kemudian mata Baginda SAW dicucuri airmata, sambil bersabda : “ Demi Tuhan yang memiliki nyawaku, ini semuanya kenikmatan Allah SWT yang akan ditanya pada hari kiamat (para sahabat memperolehi nikmat2 dalam keadaan di mana mereka sangat2 berkehendakkannya... Disebabkan itu mereka merasa kehairanan dan dukacita yang amat sangat kerana kenikmatan yang diperolehi dalam keadaan demikian itu pun akan disoal).”....

Pada satu ketika Umar r.a lalu dihadap seorang yang bisu, tuli lagi bersopak... Beliau bertanya kepada rakan2nya: “Adakah anda melihat kenikmatan2 Allah pada orang ini ?”.. Mereka menjawab:” Kami tidak apa-apa kenikmatan pun pada orang ini.” .. Beliau berkata:" Apakah dia tidak membuang air kecil dengan senang.”.. Rasulullah SAW bersabda: "Tiadalah seorang pun di antara kamu yang tidak menghadap Allh SWT pada hari kiamat, di mana tidak ada hijab (tirai) di antara Allah dengan makhlukNya... Amalan-amalan samada baik atau buruk akan bersama-samanya... Dan api neraka jahanam akan berada dihadapannya... Oleh sebab itu seboleh2nya PADAMKANLAH API NERAKA itu dengan memberikan sedekah, walaupun dengan separuh tamar..”...
 —

RASULULLAH S.A.W. MELARANG BANYAK KETAWA

Joned 
Ramli Joned


DALAM Islam apa saja yang dilakukan biarlah BERSEDERHANA... Sesuatu perbuatan itu jika dilakukan dengan terlampau, biasanya akan membawa padah buruk... 
Begitu juga dengan KETAWA... banyak ketawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri... LAMPU HATI tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati juga tidak berfungsi lagi... Nabi Muhammad SAW melarang umatnya daripada gelak-ketawa yang melampaui batas.... Ini kerana banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu.... Barang siapa ketawa tergelak-gelak, terbahak-bahak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu... 

KENAPA DILARANG ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan LUPA SUASANA AKHIRAT DAN ALAM BARZAKH yang bakal ditempuhi kelak... Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita.... Berbahagia di dunia bersifat sementara, tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had... Penderitaan di dunia hanya seketika, tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan... Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab serta menyedarkan diri kita mengenai bahaya yang akan ditempuh... Rasulullah SAW bersabda, bermaksud; *Barang siapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan api neraka.* Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka...

KITA TIDAK DILARANG menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu.. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW... Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat... Beberapa sahabat Baginda SAW pernah berkata "Ketawa segala Nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak." ....

Rasulullah SAW adalah sentiasa tersenyum dan suka menggembirakan orang lain.. Sebarang kegusaran dan kehibaan hati akan disembunyikan sedapat mungkin agar tidak diketahui sahabat... Abdullah bin Harits menyebut: "Aku tidak pernah melihat seseorang yang sentiasa tersenyum melebihi Rasulullah SAW"....

Ketawa pernah disifatkan sebagai *UBAT JIWA*... Tetapi sesuatu ubat akan berubah menjadi racun apabila diambil secara berlebihan... IMAM HASSAN AL BANNA, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, pernah berwasiat agar janganlah banyak ketawa, kerana HATI YANG SENTIASA BERHUBUNG DENGAN ALLAH, SENTIASA TENANG DAN TENTERAM.....

Berkatilah Umur Dengan 4 Perkara

Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia? lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”
Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.
Allah mengingatkan kita yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.
Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita? Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.
Penulis ialah Pelajar Tahun 3, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia
By: Tuan Zairah Tuan Mat