Search This Blog

Pages

August 11, 2011

Sembahyang Sunat Antara Azan Dan Iqamat

Hadis Abdullah bin Mughaffal Al-Muzani r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Di antara Azan dan Iqamat terdapat sembahyang. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga baginda menambah kepada mereka yang ingin.

Digalakkan Sembahyang Dua Rakaat Sebelum Sembahyang Maghrib

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Kami berada di Madinah. Ketika tukang azan mula mengumandangkan azan untuk sembahyang Maghrib, ramai orang yang tergesa-gesa untuk mendirikan sembahyang dua rakaat. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang agak asing masuk ke dalam masjid dan terus mendirikan sembahyangMaghrib kerana menyangka orang ramai telah pun sembahyang, disebabkan ramainya bilangan orang yang sedang sembahyang (sunat).

Boleh qada sembahyang sunat jika tertinggal

Hadis Saidatina Aisyah r.a:
Diriwayatkan daripada Abu Salamah katanya: Aku pernah bertanya Saidatina Aisyah r.a mengenai dua rakaat sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sesudah Asar. Aisyah r.a menjawab: Itu sebenarnya adalah dua rakaat sebelum Asar yang tidak sempat baginda lakukan kerana sibuk oleh suatu urusan ataupun kerana terlupa, lalu baginda lakukannya setelah sembahyang Asar. Kemudian hal itu baginda tetapkannya kerana memang itulah kebiasaan baginda s.a.w.

Waktu yang dilarang sembahyang

Hadis Ibnu Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila matahari telah mula kelihatan, maka tangguhkan sembahyang hingga ia bersinar terang. Begitu juga apabila matahari sudah mulai terbenam, maka tangguhkan dulu sembahyang sehinggalah ia benar-benar terbenam.

Waktu yang dilarang sembahyang

Hadis Ibnu Umar r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu menuntut untuk mendirikan sembahyang ketika matahari terbit dan juga ketika matahari terbenam.

Rasulullah s.a.w telah menegah daripada sembahyang selepas Subuh dan Asar

Hadis Umar bin Al-Khattab r.a:
Rasulullah s.a.w telah menegah daripada sembahyang selepas Subuh sehinggalah terbit matahari dan juga selepas Asar sehinggalah terbenam matahari.