Search This Blog

Pages

December 25, 2011

Disunatkan Berlari lari Anak Ketika Tawaf Umrah Dan Tawaf Pertama Dalam Ibadat Haji

 Hadis Ibnu Abbas r.a: 
Diriwayatkan daripada Abu At-Tufail r.a katanya: Aku bertanya kepada Ibnu Abbas: Apakah pendapatmu mengenai berlari-lari anak ketika Tawaf di Baitullah sebanyak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Adakah ianya sunat? Sesungguhnya kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat. Ibnu Abbas r.a menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apakah maksud ucapanmu mereka benar dan juga bohong? Dia menjawab: Ketika Rasulullah s.a.w datang ke Mekah, orang-orang Musyrikin mengatakan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya tidak mampu untuk melakukan Tawaf di Baitullah kerana kurus. Mereka berhasad dengki terhadap baginda. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabatnya untuk berlari-lari anak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Aku bertanya lagi: Ceritakan kepadaku tentang Saie di antara Safa dan Marwah dengan menaiki kenderaan. Adakah ia sunat kerana kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat? Beliau menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apa pula maksud ucapanmu mereka benar dan mereka juga bohong itu? Beliau menjawab: Rasulullah s.a.w dikelilingi oleh orang ramai dan mereka berkata: Ini Muhammad! Ini Muhammad! Sehinggalah keluar wanita-wanita remaja dari rumah mereka. Tetapi Rasulullah s.a.w hanya diam saja. Setelah orang yang mengelilingi baginda semakin ramai baginda pun menaiki kenderaannya dan meneruskan Saie dengan lebih selesa.

Firman Allah وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى Yang bermaksud: Dan Sesungguhnya Muhammad Telah Melihatnya Lagi Pada Waktu Yang Lain Dan Adakah Nabi s.a.w Melihat Tuhannya Pada Malam Israk?

 Hadis Saidatina Aisyah r.a: 
Diriwayatkan daripada Masruq r.a katanya: Ketika aku duduk bersandar berhampiran dengan Aisyah, Aisyah berkata: Wahai Abu Aisyah iaitu Masruq! Ada tiga perkara, sesiapa yang memperkatakan salah satu daripadanya bererti dia telah melakukan pembohongan yang amat besar terhadap Allah s.w.t. Aku bertanya: Apakah tiga perkara itu? Aisyah menjawab: Pertama: Sesiapa yang mendakwa bahawa Muhammad s.a.w melihat Tuhannya bermakna besarlah pembohongannya terhadap Allah s.w.t. Aku yang duduk bersandar dari tadi mula duduk dengan baik lalu aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Dengarlah kata-kataku ini terlebih dahulu, bukankah Allah s.w.t telah berfirman وَلَقَدْ رَآهُ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ Yang bermaksud: Dan Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan kerana demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata. Firman Allah lagi وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى Yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah melihat malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal sekali lagi. Kemudian Aisyah berkata: Akulah orang yang pertama bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini dari kalangan umat ini. Baginda telah menjawab dengan bersabda: Aku tidak pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya kecuali dua kali sahaja iaitu semasa dia turun dari langit dalam keadaan yang terlalu besar sehingga memenuhi di antara lagit dan bumi. Kemudian Aisyah berkata lagi: Adakah kamu tidak pernah mendengar firman Allah لَا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ Yang bermaksud: Dia tidak dapat dilihat oleh penglihatan mata, sedangkan Dia dapat melihat dan mengetahui hakikat segala penglihatan mata dan Dialah Yang Maha Bersifat Lemah Lembut dalam melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. Atau adakah engkau tidak pernah mendengar firman Allah وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ Yang bermaksud: Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu dengan diberi ilham atau mimpi atau dari sebalik dinding dengan mendengar suara sahaja atau dengan mengutuskan utusan Malaikat lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi Keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana. Kemudian Aisyah berkata lagi: Sesiapa yang mendakwa bahawa Rasulullah s.a.w telah menyembunyikan sesuatu dari kitab Allah, maka ketahuilah sesungguhnya dia adalah pendustaan yang paling besar terhadap Allah, sebagaimana firman Allah يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُYang bermaksud: Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya dengan menyampaikan semuanya, maka bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya. Kemudian Aisyah berkata lagi: Sesiapa yang mendakwa bahawa baginda menceritakan perkara yang berlaku pada besok harinya, maka ketahuilah dia merupakan suatu pendustaan yang besar terhadap Allah, sebagaimana firman-Nya قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُYang bermaksud: Katakanlah lagi, tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.

Haram Melabuhkan Kain Kerana Menunjuk nunjuk, Mengungkit ungkit Pemberian Dan Melariskan Dagangan Dengan Bersumpah. Allah Tidak Akan Berkata kata Kepada Tiga Golongan Manusia Pada Hari Kiamat, Tidak Membersihkan Mereka Dari Dosa Dan Mereka Akan Diazab Dengan Azab Seksa Yang Pedih


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Tidak Akan Berkata-kata Kepada Tiga Golongan Manusia pada Hari Kiamat, tidak membersihkan mereka dari dosa dan mereka akan diazab dengan azab seksa yang pedih. Mereka itu ialah seseorang yang mempunyai lebihan air di Padang Sahara tetapi dia enggan memberikan air tersebut kepada musafir yang memerlukan. Seseorang yang menjual barang dagangan selepas waktu Asar dan dia bersumpah dengan nama Allah iaitu sumpah bohong bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga sekian, sekian menyebabkan pembeli mempercayainya sedangkan dia membelinya bukan dengan harga tersebut. Seseorang yang berikrar setia kepada seorang pemimpin kerana tujuan keduniaan, sekiranya pemimpin berkenaan memenuhi permintaannya dia tetap setia dan jika tidak dia berpaling tadah.


Tabiat Orang Munafik

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.

Tabiat Orang Munafik


Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas.