Search This Blog

Pages

October 12, 2011

hadis korban 4

Hadis Abu Musa r.a katanya: Setelah peperangan Hunain tamat Nabi s.a.w mengutuskan Abu Amir mengetuai tentera ke Autas. Di pertengahan jalan mereka bertembung dengan Duraid bin Sim'mah. Beliau berjaya membunuh Duraid dan Allah memberi kemenangan kepada para sahabat. Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w telah mengutus aku dan Abu Amir, ketika itu lutut Abu Amir dipanah oleh lelaki dari Bani Jusyam dan beliau merasa sakit di tempat yang terkena panah itu. Aku menghampiri beliau dan berkata: Wahai bapa saudaraku! Siapakah yang memanahmu? Abu Amir memberi isyarat kepada Abu Musa dan berkata: Orang itulah iaitu Bani Jusyam, yang hendak membunuhku. Kamu lihat beliaulah orang yang memanahku. Abu Musa berkata: Aku pun menuju ke arahnya dan apabila beliau iaitu Bani Jusyam melihatku, beliau berpaling dan melarikan diri dariku, tetapi aku terus mengikutinya. Aku mendekati beliau dan berkata: Adakah kamu tidak merasa malu? Bukankah kamu orang arab dan kenapakah kamu tidak berhenti? Akhirnya kami pun bertembung, berkelahi dan saling pukul-memukul. Akhirnya aku berjaya membunuhnya dengan pedangku. Setelah itu aku kembali kepada Abu Amir. Aku berkata padanya: Allah telah membunuh kawanmu itu. Beliau iaitu Abu Amir berkata: Cabutlah anak panah ini. Aku pun mencabutnya dan terkeluar air (yang dimaksudkan ialah darah). Beliau iaitu Abu Amir berkata: Wahai anak saudaraku! Pergilah kamu menemui Rasulullah s.a.w dan sampaikan salamku kepada baginda dan beritahu kepada baginda, bahawa Abu Amir meminta supaya Rasulullah s.a.w memohon ampun untuk beliau. Abu Amir memujukku supaya memimpin tentera. Tidak berapa lama beliau pun terkorban. Setelah selesai dari peperangan, aku pun pulang dan menemui Rasulullah s.a.w. Ketika itu baginda s.a.w sedang tidur di atas katil dari jalinan pelepah tamar dan di atas katil tersebut terdapat sebidang tikar. Kesan jalinan pelepah tamar itu terdapat di belakang dan rusuk Rasulullah s.a.w. Aku pun menceritakan kepada baginda s.a.w tentang kami dan juga mengenai Abu Amir dan aku sampaikan pesan beliau (Abu Amir), iaitu supaya baginda s.a.w memohon ampun kepada Allah untuk beliau. Setelah itu Rasulullah s.a.w meminta air untuk berwuduk, setelah selesai berwuduk, baginda s.a.w mengangkat kedua tangannya dan berdoa: Ya Allah, ampunkanlah Abu Amir. Ketika itulah aku melihat kedua ketiak baginda s.a.w yang berwarna putih. Kemudian baginda meneruskan doanya: Ya Allah, tinggikanlah kedudukan beliau dari makhlukmu atau dari manusia di Hari Kiamat. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Pohonkanlah keampunan untukku. Maka Rasulullah s.a.w berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa Abdullah bin Qais dan masukkanlah beliau ke dalam sebuah tempat yang mulia pada Hari Kiamat. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4554,Bab Sebahagian Dari Kelebihan Abu Musa Al Asy'ariy Dan Abu Amir Al Asy'ariy)

hadis korban 3

Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda pada hari Nahr (Hari Raya korban): Sesiapa yang telah menyembelih korbannya sebelum sembahyang, dia hendaklah mengulanginya. Seorang lelaki berdiri lalu berkata: Wahai Rasulullah, ini adalah hari yang memerlukan daging. Lalu dia menyebut keperluan para jirannya seolah-olah Rasulullah s.a.w mempercayainya. Lelaki tadi meneruskan: Aku mempunyai seekor anak kambing (berumur antara enam bulan hingga setahun) yang aku menyayanginya lebih daripada dua ekor kambing. Bolehkah aku menyembelihnya? Lalu Rasulullah s.a.w mengizinkannya. Beliau (Anas) berkata: Aku tidak tahu apakah kelonggaran itu juga adalah untuk orang lain ataupun tidak. Dia berkata lagi: Kemudian Rasulullah s.a.w menghampiri dua ekor kibas, lalu baginda menyembelih keduanya. Orang ramai pun membahagikannya ataupun dibahagikannya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3630,KITAB KORBAN) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 
Hadis Uqbah bin Amir r.a: Rasulullah s.a.w telah memberinya kambing-kambing untuk dibahagikan kepada para sahabat sebagai korban. Lalu yang tinggal hanya seekor anak kambing. Uqbah memberitahu Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda: Kamu sembelihlah ia wahai Qutaibah bersama yang lainnya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3633,Bab Umur Binatang Korban) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 
Hadis Ali bin Abu Talib r.a: Diriwayatkan daripada Abu Ubaid r.a katanya: Aku pernah mengikuti sembahyang Hari Raya bersama Ali bin Abu Talib. Beliau mendahulukan sembahyang sebelum khutbah dan beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menegah kami memakan daging korban kami selepas daripada tiga hari. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3639,Bab Menerangkan Tegahan Memakan Daging Korban Selepas Tiga Hari Pada Zaman Permulaan Islam Serta Menerangkan Pembatalan Tegahan Tersebut Dan Diharuskan Memakannya Pada Bila bila Masa Sahaja Yang Dikehendaki) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 
Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Seseorang dari kamu tidak boleh memakan daging korbannya selepas dari tiga hari. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3641,Bab Menerangkan Tegahan Memakan Daging Korban Selepas Tiga Hari Pada Zaman Permulaan Islam Serta Menerangkan Pembatalan Tegahan Tersebut Dan Diharuskan Memakannya Pada Bila bila Masa Sahaja Yang Dikehendaki) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
 Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Waqid r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang dari memakan daging korban selepas dari tiga hari. Abdullah bin Abu Bakar berkata: Aku memberitahu perkara tersebut kepada Amrah lalu dia berkata: Dia benar, aku pernah mendengar Aisyah r.a berkata: Beberapa orang wanita dari penduduk gurun berjalan perlahan-lahan menuju ke tempat penyembelihan korban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Simpanlah tiga hari. Setelah itu sedekahkanlah apa yang masih berbaki. Beberapa ketika selepas itu para sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Orang ramai menyimpan daging korban dan membawa sebahagian dari lemaknya. Rasulullah s.a.w bertanya: Kenapa begitu? Mereka menjawab: Dulu engkau melarang dari memakan daging korban selepas tiga hari. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Aku melarang kamu hanyalah kerana mengingat orang-orang yang berjalan perlahan-lahan (untuk menolong orang-orang yang tidak mampu). Sekarang kamu bolehlah makan, menyimpan dan menyedekahkannya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3643,Bab Menerangkan Tegahan Memakan Daging Korban Selepas Tiga Hari Pada Zaman Permulaan Islam Serta Menerangkan Pembatalan Tegahan Tersebut Dan Diharuskan Memakannya Pada Bila bila Masa Sahaja Yang Dikehendaki) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
 Hadis Jabir r.a: Nabi s.a.w melarang daripada memakan daging korban selepas dari tiga hari. Kemudian selepas itu baginda bersabda pula: Makanlah kamu, berbekallah dan simpanlah. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3644,Bab Menerangkan Tegahan Memakan Daging Korban Selepas Tiga Hari Pada Zaman Permulaan Islam Serta Menerangkan Pembatalan Tegahan Tersebut Dan Diharuskan Memakannya Pada Bila bila Masa Sahaja Yang Dikehendaki) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
 Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu yang melakukan korban (sembelih) maka janganlah menyimpan sedikitpun di rumahnya selepas dari tiga hari. Pada tahun berikutnya, para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah kami harus melakukannya seperti pada tahun lepas? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak, pada tahun itu ramai dari kalangan kaum Muslimin hidup dalam keadaan susah. Jadi aku mahu daging korban itu dibahagikan kepada mereka. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3648,Bab Menerangkan Tegahan Memakan Daging Korban Selepas Tiga Hari Pada Zaman Permulaan Islam Serta Menerangkan Pembatalan Tegahan Tersebut Dan Diharuskan Memakannya Pada Bila bila Masa Sahaja Yang Dikehendaki) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 
Hadis Abu Said r.a: Ketika Rasulullah s.a.w berada di atas mimbar, baginda s.a.w bersabda: Terdapat seorang hamba, di mana Allah memberi pilihan kepadanya, samada beliau ingin memilih kemewahan dunia atau diberi sesuatu yang ada di sisi Allah. Ternyata beliau memilih apa yang ada di sisi Allah. Setelah itu Abu Bakar menangis dan berkata: Aku menebus kamu dengan bapa dan ibuku. Abu Said berkata: Rasulullahlah yang dipilihnya dan Abu Bakar sendiri yang memberitahu perkara itu kepadaku. Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar. Sekiranya aku ingin mengambil seorang kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku, akan tetapi beliau merupakan saudaraku di dalam Islam. Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela besar di antara dua buah rumah untuk Abu Bakar. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4390,KITAB KELEBIHAN PARA SAHABAT R.A) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Anas r.a katanya: Nabi s.a.w tidak pernah menemui seseorang wanita pun selain dari isteri-isterinya kecuali Ummu Sulaim. Ketika Nabi s.a.w ditanya, baginda s.a.w menjawab: Aku menghormatinya, lantaran saudaranya terkorban ketika bersamaku. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4493,Bab Sebahagian Dari Kelebihan Ummu Sulaim, Ummu Anas Bin Malik dan Bilal r.a) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
 Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika perang Uhud ayahku telah dibawa kepadaku dalam keadaan tertutup seluruh tubuhnya, beliau telah terkorban. Semasa aku ingin membuka pakaiannya, orang ramai melarangku. Aku mencuba sekali lagi tetapi mereka tetap melarangku. Akhirnya Rasulullah s.a.w membukanya atau baginda menyuruh orang membukanya. Tiba-tiba terdengar suara tangisan atau jeritan. Baginda s.a.w bertanya: Siapakah yang menangis? Para sahabat menjawab: Anak perempuan Amru atau saudara perempuan Amru. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengapa kamu menangis? Sesungguhnya Malaikat masih menutupi beliau dengan sayap-sayapnya sehinggalah beliau di bawa naik ke langit. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4517,Bab Sebahagian Dari Kelebihan Abdullah Bin Amru Bin Haram dan Ayah Jabir r.a)

hadis korban 2

Hadis Ibnu Abbas r.a: Nabi s.a.w pernah ditanya mengenai masalah sembelihan korban, bercukur, melontar, mendahulukan dan melewatkan. Baginda menjawab: Tidak mengapa. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2306,Bab Orang Yang Mencukur Rambut Sebelum Menyembelih Korban Dan Orang Yang Menyembelih Sebelum Melontar) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Kami pernah menyembelih binatang korban bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Hudaibiah dengan seekor unta kepada tujuh bahagian dan lembu juga kepada tujuh bahagian. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2322,Bab Berkongsi Binatang Korban. Setiap Ekor Lembu Dan Unta Dibahagi Tujuh Bahagian) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengirimkan binatang korban dari Madinah dan akulah yang memintal kalung-kalung binatang korbannya. Baginda tidak menjauhi apa pun yang sepatutnya dijauhi oleh orang yang sedang berihram. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2331,Bab Sunat Mengirimkan Daging Binatang Korban Ke Tanah Haram iaitu Mekah Bagi Orang Yang Tidak Ingin Pergi Sendiri. Sunat Mengalunginya Dan Menyembelih Binatang Yang Berkalung Serta Utusan Untuk Membawa Kiriman Hendaklah Bukan Orang Yang Berihram Supaya Tidak Ada Yang Diharamkan Ke Atasnya) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w pernah melihat seorang lelaki membawa seekor unta lalu baginda bersabda: Tunggangilah ia. Lelaki tadi menjawab: Wahai Rasulullah! Ia adalah seekor unta yang akan dikorbankan. Baginda bersabda: Naikilah! Kalau tidak rugilah kamu. Dalam sabda yang kedua atau ketiga. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2342,Bab Harus Menunggang Unta Yang Akan Dijadikan Korban Bagi Orang Yang Memerlukannya) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bertemu dengan seorang lelaki yang sedang membawa seekor unta kemudian baginda bersabda: Tunggangilah ia. Lelaki tadi menjawab: Ia adalah unta yang akan dikorbankan. Baginda bersabda: Tunggangilah ia! Baginda mengulangi sampai dua atau tiga kali. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2344,Bab Harus Menunggang Unta Yang Akan Dijadikan Korban Bagi Orang Yang Memerlukannya) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah disuruh oleh Abu Bakar As-Siddiq yang ketika itu beliau dilantik oleh Rasulullah s.a.w menjadi pemimpin menangani masalah Haji iaitu Amirul Haji sebelum berlakunya Haji Wida' dan untuk menyampaikan pengumuman kepada seluruh manusia pada Hari Nahr (Hari Raya korban): Bermula dari tahun ini orang-orang Musyrik tidak dibolehkan lagi melakukan kegiatan Haji dan Tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2401,Bab Tidak Boleh Bagi Orang Musyrik Mengerjakan Haji Di Baitullah Dan Tawaf Dalam Keadaan Telanjang Di Baitullah Dan Penjelasan Tentang Hari Haji Akbar) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Seorang wanita telah memukul madunya yang berada dalam keadaan hamil dengan menggunakan tongkat, sehinggalah dia meninggal dunia. Salah seorang daripadanya berasal dari kaum Lihyan. Maka Rasulullah s.a.w menjatuhkan hukuman diat wanita yang menjadi korban pembunuhan itu kepada asabahnya iaitu pewaris pembunuh tersebut. Manakala untuk janin yang berada dalam perutnya harus ditebus dengan seorang hamba samada lelaki ataupun perempuan. Kemudian salah seorang waris lelaki yang membunuh itu berkata: Apakah aku harus membayar diat anak yang belum dapat makan dan minum dan belum menjerit? Itu jelas merupakan kecelakaan yang tidak boleh ditanggung. Mendengar itu Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Apakah seperti itu sajak orang-orang Arab? Baginda bersabda lagi: Diwajibkan ke atas mereka itu membayar diat. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3186,Bab Diat Janin Dan Kewajipan Membayar Diat Kerana Pembunuhan Yang Tidak Sengaja Dan Pembunuhan Yang Hampir Sengaja Adalah Tanggungan Ke Atas Keluarga Orang Yang Melakukannya) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Ketika diturunkan ayat: إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينَا لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ sehingga ayat فَوْزًا عَظِيْمًا Yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata supaya Allah memberi keampunan kepadamu sehingga ayat yang bermaksud: Dan yang demikian itu adalah kemenangan yang besar di sisi Allah. Hal itu memang ada kaitannya dengan perjanjian Hudaibiah. Mereka memang merasa sedih dan terharu, kemudian mereka menyembelih binatang korban di Hudaibiah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya ada satu ayat yang diturunkan kepadaku, ayat tersebut amat aku sukai lebih daripada seluruh isi dunia. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3341,Bab Perjanjian Hudaibiah Di Tempat Yang Bernama Hudaibiah) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Jundab bin Sufian r.a katanya: Aku pernah menyaksikan sembelihan korban sewaktu bersama Rasulullah s.a.w sebelum mendirikan sembahyang dan apabila selesai sembahyang dengan memberi salam, baginda mendapati daging korban telah disembelih sebelum selesai mendirikan sembahyang. Baginda bersabda: Sesiapa yang telah menyembelih korbannya sebelum dia mendirikan sembahyang atau kami sembahyang, dia hendaklah menyembelih yang lain sebagai gantinya. Manakala sesiapa yang belum melakukan sembelihan, dia hendaklah menyembelih dengan menyebut nama Allah. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3621,Bab Waktu Korban) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx Hadis Al-Bara' r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah emak) Abu Burdah telah menyembelih korban sebelum sembahyang (Hari Raya). Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kambing itu hanya menjadi daging sahaja (tidak menjadi korban dan tidak ada pahalanya). Beliau berkata: Wahai Rasulullah, aku mempunyai anak kambing yang masih muda (berumur enam bulan hingga setahun). Rasulullah s.a.w bersabda: Sembelihlah ia, tetapi bagi selainmu tidak boleh (tidak sah). Baginda bersabda lagi: Sesiapa yang menyembelih korban sebelum sembahyang, dia menyembelih hanya untuk dirinya sendiri dan sesiapa menyembelih sesudah sembahyang, sempurnalah ibadat korbannya dan menepati sunnah kaum Muslimin. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3624,KITAB KORBAN)

Hadis tentang korban 1

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w bersama-sama kami, tiba-tiba baginda tersengguk-sengguk seperti mengantuk, kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Kami bertanya: Apakah yang melucukan kamu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Baru seketika aku diturunkan satu surah, lalu baginda membaca:بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ 
Yang bermaksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya. Kemudian baginda bertanya: Kamu tahukah, apa yang dimaksudkan dengan Al-Kausar? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Ia adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku, ianya mempunyai berbagai kebaikan. Ianya juga berbentuk sebuah kolam yang dikunjungi oleh umatku pada Hari Kiamat nanti iaitu untuk mengambil airnya. Disediakan bekas sebanyak bintang di langit. Kemudian salah seorang dari umatku ditarik dari kumpulan mereka. Lantas aku berkata: Wahai Tuhanku, dia adalah salah seorang umatku. Lalu Allah berfirman: Kamu tidak mengetahui apakah yang telah dilakukannya selepas kewafatanmu. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #607,Bab Dalil Bagi Orang Yang Berpendapat Bahawa Basmalah Merupakan Salah Satu Dari Permulaan Ayat Pada Setiap Awal Surah Kecuali Surah Baraah) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 


Hadis Rafi' bin Khadij r.a katanya: Kami telah mendirikan sembahyang Asar bersama Rasulullah s.a.w. Kemudian binatang korban disembelih lalu dibahagikan menjadi dua belas bahagian, seterusnya dimasak. Kami memakan daging yang segar, sebelum terbenamnya matahari. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #990,Bab Galakan Bersegera Mendirikan Sembahyang Asar) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


 Hadis Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1468,KITAB SEMBAHYANG DUA HARI RAYA) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu, iaitu Hari Raya korban (Aidiladha) dan hari berbuka dari bulan Ramadan (Aidilfitri). (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1922,Bab Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Hadis Kaab bin Ujrah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menemuiku pada tahun peristiwa Hudaibiah. Ketika itu aku sedang menyalakan api. Al-Qawaririy berkata: Di bawah bekas memasak milikku. Abu Ar-Rabie' pula berkata: Di bawah periukku dan kutu terdapat di wajahku. Baginda bertanya kepadaku: Adakah kutu di kepalamu itu menyakitkanmu? Aku jawab: Ya! Baginda bersabda: Cukurlah dan berpuasalah tiga hari, berilah makan enam orang miskin atau korbankanlah seekor kambing. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2080,Bab Harus Bagi Orang Yang Berihram Mencukur Rambut Jika Ada Penyakit Di Atas Kepalanya Atau Sakit Dan Diwajibkan Membayar Fidyah Serta Penjelasan Kadarnya) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengerjakan Haji Tamattu' pada tahun Haji Wida' secara mengerjakan Umrah dan Haji dengan satu Ihram. Kemudian baginda membayar Dam iaitu menyembelih binatang yang dibawa bersamanya dari Zul Hulaifah. Baginda memulakan dengan Ihram Umrah kemudian Ihram Haji. Para sahabat juga turut sama mengerjakan Haji secara Tamattu' dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka membayar Dam dan sebahagiannya tidak. Ketika Rasulullah s.a.w tiba di Mekah baginda telah bersabda: Sesiapa di antara kamu yang telah membayar Dam, mereka belum lagi dihalalkan apa yang telah diharamkan sehinggalah mereka selesai mengerjakan Haji. Bagi sesiapa yang belum membayar Dam hendaklah melakukan Tawaf di Baitullah, bersaie antara Safa dan Marwah serta bercukur ataupun menggunting rambut dan bertahallul. Kemudian hendaklah berihram Haji dan membayar Dam. Bagi sesiapa yang tidak mampu membayar Dam hendaklah berpuasa tiga hari ketika masih berada di Tanah Suci dan tujuh hari setelah kembali ke tanah air. Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf Qudum setibanya di Mekah, dimulai dengan mengucup Hajarulaswad kemudian berlari-lari anak sebanyak tiga pusingan dari tujuh pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Sebaik sahaja selesai melakukan Tawaf di Baitullah, baginda kemudiannya mendirikan sembahyang dua rakaat di makam Ibrahim. Selepas salam baginda menuju ke bukit Safa lalu bersaie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Baginda belum lagi menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan sehinggalah selesai Haji dan menyembelih Dam pada hari Nahr (10 Zulhijah) iaitu pada Hari Raya korban. Kemudian baginda kembali ke Mekah untuk melakukan Tawaf Wida' di Kaabah, setelah mereka dihalalkan melakukan apa yang telah diharamkan sebelumnya. Orang yang membawa atau menyembelih Dam juga melakukan sebagaimana apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2159,Bab Wajib Membayar Dam Bagi Orang Yang Mengerjakan Haji Tamattu'. Jika Tidak Dibayar, Mereka Diwajibkan Berpuasa Selama Tiga Hari Ketika Masih Berada Di Tanah Suci Dan Tujuh Hari Setelah Kembali Ke Tanah Air) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w berihram Umrah manakala para sahabat berihram Haji. Nabi s.a.w tidak bertahallul begitu juga dengan sahabat-sahabat yang membawa binatang korban sedangkan sahabat-sahabat yang lain bertahallul. Oleh kerana Talhah bin Ubaidullah adalah termasuk dari kalangan sahabat yang membawa binatang korban maka dia juga tidak bertahalul. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2177,Bab Hukum Berihram Umrah Dalam Bulan Haji Iaitu Haji Tamattu') xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 


Hadis Anas r.a: Setelah Sayidina Ali k.w kembali dari Yaman, Nabi s.a.w bertanya kepadanya: Bagaimana kamu berniat Haji dan bertalbiah? Sayidina Ali k.w menjawab: Aku berniat Haji dan bertalbiah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda: Kalaulah aku tidak membawa binatang korban tentu aku telah bertahalul. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2193,Bab Niat Dan Bacaan Talbiah Nabi s.a.w Serta Waktu Menyembelih Binatang Korban) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 


Hadis Anas bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w tiba di Mina lalu menuju ke Jamrah dan melontar. Kemudian baginda kembali ke kediamannya di Mina lantas menyembelih korban. Baginda bersabda kepada tukang cukur: Cukurlah! Sambil menunjukkan bahagian sebelah kanan kepala baginda, kemudian sebelah kiri. Setelah itu rambut baginda diberikan kepada para sahabat. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2298,Bab Penjelasan Bahawa Perkara Yang Disunatkan Pada Hari Raya Korban Ialah Melontar Terlebih Dahulu, Kemudian Menyembelih Korban Dan Disudahi Dengan Bercukur. Semasa Bercukur Hendaklah Dimulai Dari Sebelah Kanan Kepala Orang Yang Dicukur) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 


Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah berdiri di Mina untuk menjawab pertanyaan orang ramai ketika mengerjakan Haji Wida'. Seorang lelaki datang lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah bercukur secara tak sengaja sedangkan aku belum menyembelih korban. Baginda bersabda: Sembelihlah korban, itu tidak mengapa. Kemudian datang seorang lelaki lain lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah menyembelih korban secara tidak sengaja sedangkan aku belum melontar. Baginda bersabda: Melontarlah, itu tidak mengapa. Abdullah bin Amru bin Al-As berkata: Setiap kali Rasulullah s.a.w ditanya tentang sesuatu yang telah terlanjur dilakukan (tidak sengaja), baginda hanya bersabda: Lakukanlah! Itu tidak mengapa. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2301,Bab Orang Yang Mencukur Rambut Sebelum Menyembelih Korban Dan Orang Yang Menyembelih Sebelum Melontar)