Search This Blog

Pages

October 14, 2011

Antara Kelebihan Abu Zar r.a

Hadis Abu Zar r.a katanya:
 Kami keluar dari kaum kami Ghifar. Mereka telah menghalalkan bulan haram. Aku keluar bersama saudaraku Unais serta ibuku. Kami berhenti di rumah bapa saudara kami. Beliau menghormati dan berbuat baik kepada kami, tetapi kaumnya dengki kepada kami dan mereka menghasutnya. Kaumnya berkata: Sekiranya kamu meninggalkan keluargamu, maka Unais akan menentang mereka. Bapa saudaraku datang dan menceritakan apa yang telah dikatakan kepadanya. Aku berkata: Segala kebaikan kamu dahulu telah kamu rosakkannya sendiri dan kami tidak akan menemui kamu lagi. Kami terus menuju ke tempat unta dan melihat bapa saudara kami menangis sambil menutup wajahnya dan kemudian kami berangkat sehingga sampai ke Mekah. Setelah itu Unais mendahului kami dan beliau pergi menemui pendeta. Selepas itu Unais datang menemui kami lagi dengan unta kami dan seekor unta lain seperti untanya. Beliau berkata: Wahai saudaraku, aku telah sembahyang selama tiga tahun sebelum aku menemui Rasulullah s.a.w. Aku bertanya: Kamu sembahyang untuk siapa? Beliau menjawab: Untuk Allah. Aku bertanya lagi: Ke arah manakah kamu menghadap? Beliau menjawab: Aku menghadap ke arah Tuhanku, pernah aku sembahyang Isyak sehingga berakhirnya malam, aku terdampar seolah-olah aku tersembunyi, sehinggalah matahari memancar ke arahku. Unais berkata: Aku ada urusan di Mekah, oleh itu biarkan aku pergi. Maka berangkatlah Unais sehinggalah beliau sampai di Mekah. Setelah aku menunggunya agak lama, beliau kembali lagi kepadaku. Aku bertanya: Apakah yang kamu lakukan di sana? Beliau menjawab: Di Mekah aku berjumpa dengan seorang lelaki seagama denganmu yang mengaku bahawa beliau diutuskan oleh Allah. Aku bertanya: Apakah pandangan orang ramai tentangnya? Beliau menjawab: Mereka mengatakan bahawa lelaki itu adalah penyair, nujum dan ada juga yang mengatakan bahawa beliau seorang ahli sihir. Manakala saudaraku Unais merupakan seorang penyair. Unais berkata: Sesungguhnya aku pernah mendengar kata-kata nujum. Aku dapati beliau tidak seperti yang mereka tuduh dan aku belum pernah mendengar syair seperti itu. Demi Allah, beliau seorang yang benar dan merekalah yang dusta. Maka aku berkata padanya: Tolong bawa aku ke sana, aku ingin melihatnya. Setibanya aku di Mekah, aku menemui lelaki yang paling lemah di kalangan mereka dan aku bertanya padanya: Di manakah orang yang kamu katakan kepadanya sebagai Saabi' iaitu yang keluar dari agama dan memeluk agama lain? Lelaki itu terus memberi isyarat padaku, dan berkata Saabi'. Setelah itu beliau dan penduduk di situ membaling aku dengan tanah dan tulang sehinggakan aku jatuh dan pengsan. Beberapa ketika kemudian aku sedar kembali dan aku dapati tubuhku berlumuran darah, lalu aku diberi air Zamzam, dengan air itulah aku minum dan membasuh lukaku. Aku tinggal di situ selama sebulan, selama itu tiada makanan untuk aku selain dari air Zamzam, tetapi aku tidak merasa lapar malahan tubuhku bertambah sihat. Pada suatu malam purnama, aku dapati penduduk di lembah itu semuanya tidur. Tidak ada seorang pun dari penduduk Mekah yang tawaf di Kaabah. Tiba-tiba aku terlihat dua orang wanita yang dikenali dengan Isaf dan Nailah sambil melakukan tawaf, lalu aku menghampiri keduanya dan menggoda mereka dengan kata-kata yang kesat. Mereka kelihatan marah, ketika hendak meninggalkan tempat tersebut, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar pun tiba. Rasulullah s.a.w pun bertanya: Apa yang terjadi pada kamu? Mereka menjawab: Seorang yang beragama Saabi' berada di sekitar Kaabah itu. Rasulullah s.a.w bertanya: Apa yang beliau katakan pada kamu? Mereka menjawab: Beliau mengucapkan kata-kata kesat kepada kami. Selepas itu Rasulullah s.a.w dan sahabatnya iaitu Abu Bakar mengucup Hajarulaswad dan mereka melakukan tawaf di Kaabah kemudian mereka sembahyang. Setelah baginda selesai sembahyang, aku pun menemui baginda. Abu Zar berkata: Aku mengucapkan salam kepada baginda dan baginda menjawab salamku. Setelah itu baginda s.a.w bertanya: Siapa kamu? Aku jawab: Aku dari kaum Ghifar, Semasa baginda mengusap tangan baginda s.a.w ke mukanya. Aku berkata sendirian, sebaiknya aku tidak mengaku bahawa aku dari kaum Ghifar. Aku cuba untuk menghampiri baginda dan memegang tangannya tapi dihalangi oleh sahabatnya iaitu Abu Bakar, sambil mengangkat kepalanya. Baginda bertanya: Semenjak bilakah kamu berada di sini? Aku menjawab: Semenjak sebulan yang lalu. Baginda bertanya: Siapakah yang memberikan makan kepada kamu? Aku menjawab: Tidak ada makanan bagiku melainkan air Zamzam, tetapi aku menjadi sihat dan perutku kelihatan buncit. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya air Zamzam itu penuh keberkatan dan memberikan kekuatan seperti makanan. Abu Bakar berkata: Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk memberinya makan pada malam ini. Setelah itu aku, Rasulullah dan Abu Bakar meninggalkan tempat tersebut. Abu Bakar membuka pintu rumah, kemudian membawa segenggam anggur kering dari Taif untukku dan itulah makanan pertama semenjak aku di situ. Kemudian aku menemui Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda kepadaku: Aku tahu ada sebuah daerah yang banyak menghasilkan kurma, iaitu Yathrib. Bolehkah kamu menyampaikan berita kepada kaum kamu mengenai diriku? Mudah-mudahan Allah menolong mereka dan memberi ganjaran padamu. Setelah itu aku pergi menemui Unais. Beliau bertanya padaku: Apakah yang kamu lakukan di sana? Aku menjawab: Aku telah memeluk Islam dan aku telah membenarkannya, setelah itu Unais juga memeluk Islam. Kami kemudiannya menemui ibu kami dan mengajaknya memeluk Islam dan beliau akhirnya memeluk Islam. Begitu juga dengan kaum Ghifar, di mana sebahagian daripada mereka telah memeluk Islam. Mereka diketuai oleh Aima' bin Rahadah Al-Ghifari. Manakala sebahagian yang lain berkata: Sekiranya Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, kami akan memeluk Islam. Setelah baginda s.a.w sampai di Madinah, mereka pun memeluk Islam. Setelah itu datang Kabilah Aslam dan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah saudara-saudara kami, maka kami juga mesti memeluk Islam bersama mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Ghifar, Allah mengampuni mereka dan kepada Kaum Aslam Allah memberikan keselamatan kepada mereka..

Tidak Boleh Bagi Orang Musyrik Mengerjakan Haji Di Baitullah Dan Tawaf Dalam Keadaan Telanjang Di Baitullah Dan Penjelasan Tentang Hari Haji Akbar

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
 Aku pernah disuruh oleh Abu Bakar As-Siddiq yang ketika itu beliau dilantik oleh Rasulullah s.a.w menjadi pemimpin menangani masalah Haji iaitu Amirul Haji sebelum berlakunya Haji Wida' dan untuk menyampaikan pengumuman kepada seluruh manusia pada Hari Nahr (Hari Raya Korban): Bermula dari tahun ini orang-orang Musyrik tidak dibolehkan lagi melakukan kegiatan Haji dan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang. 

Sunat Memasuki Kaabah Bagi Jemaah Haji Dan Bukan Jemaah Haji Serta Sunat Sembahyang Di Dalamnya Dan Berdoa Di Setiap Sudutnya

Hadis Usamah bin Zaid r.a: 
 Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku pernah bertanya kepada Ata': Adakah kamu pernah mendengar Ibnu Abbas r.a berkata: Kamu hanya diperintahkan untuk melakukan tawaf, bukan diperintah untuk memasuki ke dalamnya. Ata' berkata: Beliau tidak melarang dari memasukinya. Tapi aku mendengar beliau berkata: Usamah bin Zaid r.a pernah menceritakan padaku: Nabi s.a.w ketika masuk Baitullah baginda berdoa di setiap sudutnya dan baginda tidak mendirikan sembahyang sehinggalah keluar. Setelah keluar, baginda sembahyang dua rakaat di hadapan Baitullah. Baginda bersabda: Ini adalah kiblat. Kemudian aku bertanya kepada Usamah: Pada setiap penjuru atau pada satu sudut sahaja? Beliau menjawab: Pada setiap sudut Baitullah adalah kiblat

Wajib Melakukan Tawaf Wida' Kecuali Bagi Wanita Yang Datang Haid

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Dulu manusia pernah beredar ke setiap arah selepas melakukan ibadat Haji lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah sekali-kali kamu berlalu pergi sehingga mengakhirinya di Baitullah iaitu melakukan tawaf Wida' terlebih dahulu.

Diharuskan Tawaf Dengan Menunggang Unta Dan Sebagainya Serta Mengucup Hajarulaswad Dengan Isyarat Menggunakan Tongkat Yang Berkepala Bengkok Atau Seumpamanya Bagi Orang Yang Menunggang Binatang

Hadis Ummu Salamah r.a katanya:
 Aku telah mengadu persoalan yang aku hadapi kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Lakukanlah tawaf di belakang mereka secara menunggang binatang. Lalu aku melakukan tawaf manakala Rasulullah s.a.w sembahyang di tepi Kaabah sambil membaca surah At-Tur. 

Diharuskan Tawaf Dengan Menunggang Unta Dan Sebagainya Serta Mengucup Hajarulaswad Dengan Isyarat Menggunakan Tongkat Yang Berkepala Bengkok Atau Seumpamanya Bagi Orang Yang Menunggang Binatang

Hadis Ibnu Abbas r.a:
 Rasulullah s.a.w telah melakukan tawaf dengan menunggang unta semasa Haji Wida'. Baginda juga mengucup rukun dengan isyarat menggunakan tongkat yang berkepala bengkok.

Disunatkan Berlari lari Anak Ketika Tawaf Umrah Dan Tawaf Pertama Dalam Ibadat Haji

Hadis Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan daripada Abu At-Tufail r.a katanya: Aku bertanya kepada Ibnu Abbas: Apakah pendapatmu mengenai berlari-lari anak ketika tawaf di Baitullah sebanyak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Adakah ianya sunat? Sesungguhnya kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat. Ibnu Abbas r.a menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apakah maksud ucapanmu mereka benar dan juga bohong? Dia menjawab: Ketika Rasulullah s.a.w datang ke Mekah, orang-orang Musyrikin mengatakan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya tidak mampu untuk melakukan tawaf di Baitullah kerana kurus. Mereka berhasad dengki terhadap baginda. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabatnya untuk berlari-lari anak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Aku bertanya lagi: Ceritakan kepadaku tentang Saie di antara Safa dan Marwah dengan menaiki kenderaan. Adakah ia sunat kerana kaum kamu mendakwa bahawa ia adalah sunat? Beliau menjawab: Mereka benar dan juga bohong. Aku bertanya lagi: Apa pula maksud ucapanmu mereka benar dan mereka juga bohong itu? Beliau menjawab: Rasulullah s.a.w dikelilingi oleh orang ramai dan mereka berkata: Ini Muhammad! Ini Muhammad! Sehinggalah keluar wanita-wanita remaja dari rumah mereka. Tetapi Rasulullah s.a.w hanya diam saja. Setelah orang yang mengelilingi baginda semakin ramai baginda pun menaiki kenderaannya dan meneruskan Saie dengan lebih selesa.

Disunatkan Berlari lari Anak Ketika Tawaf Umrah Dan Tawaf Pertama Dalam Ibadat Haji

Hadis Ibnu Umar r.a:
 Apabila Rasulullah s.a.w melakukan tawaf di Baitullah, pertama sekali baginda berlari-lari anak sebanyak tiga pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Baginda bersaie secara berlari-lari anak di lembah (di antara dua lampu hijau) di antara Safa dan Marwah. 

Orang Yang Telah Melakukan Tawaf Di Baitullah Dan Bersaie Kekal Di Dalam Ihram Tanpa Bertahallul

Hadis Asma' r.a: Diriwayatkan daripada Abdullah bekas hamba Asma' puteri Sayidina Abu Bakar r.a katanya: Aku pernah mendengar daripada Asma' ketika melalui daerah Al-Hajun. Asma' berkata: Semoga Allah selalu melimpahkan selawat dan sejahtera kepada Rasul-Nya s.a.w. Kami pernah berhenti bersama baginda di sini. Ketika itu kami membawa beberapa buah beg yang berisikan sedikit bekalan dan sedikit barang-barang lain. Kemudian aku bersama dengan saudaraku Saidatina Aisyah r.a, Az-Zubair dan beberapa orang lagi berihram Umrah. Setelah selesai melakukan tawaf di Baitullah, kami pun bertahallul. Kemudian pada malamnya kami pun berihram Haji. 

Orang Yang Telah Melakukan Tawaf Di Baitullah Dan Bersaie Kekal Di Dalam Ihram Tanpa Bertahallul

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: 
 Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w apabila tiba di Mekah ialah berwuduk kemudian melakukan tawaf di Baitullah. 

Melakukan Tawaf Dan Saie Bagi Orang Yang Berihram Haji Setelah Tiba Di Kota Mekah

Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w tiba di Masjidilharam, baginda terus melakukan tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat di belakang makam Ibrahim serta bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan yang baik untuk kamu.

Keterangan Tentang Harus Bertahalul Kerana Ada Alasan Dan Harus Melakukan Haji Qiran

Hadis Abdullah bin Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nafi' r.a katanya: Abdullah bin Umar r.a pernah keluar sewaktu berlaku fitnah (musibah) untuk mengerjakan Umrah. Dia berkata: Jika aku terhalang dari sampai ke Baitullah, aku akan melakukan seperti yang pernah aku lakukan bersama Rasulullah s.a.w. Lalu dia berihram Umrah dan berjalan hingga sampai ke Baida', dia berpaling kepada teman-temannya dan berkata: Aku bersaksi bahawa aku telah berniat Haji bersama Umrah secara serentak. Kemudian dia meneruskan perjalanan. Setelah tiba di Baitullah dia terus melakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan dan bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, tidak lebih dari itu. Apabila merasakannya telah selesai, dia menyembelih Dam.

Wajib Membayar Dam Bagi Orang Yang Mengerjakan Haji Tamattu'. Jika Tidak Dibayar, Mereka Diwajibkan Berpuasa Selama Tiga Hari Ketika Masih Berada Di Tanah Suci Dan Tujuh Hari Setelah Kembali Ke Tanah Air

Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah mengerjakan Haji Tamattu' pada tahun Haji Wida' secara mengerjakan Umrah dan Haji dengan satu Ihram. Kemudian baginda membayar Dam iaitu menyembelih binatang yang dibawa bersamanya dari Zul Hulaifah. Baginda memulakan dengan Ihram Umrah kemudian Ihram Haji. Para sahabat juga turut sama mengerjakan Haji secara Tamattu' dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka membayar Dam dan sebahagiannya tidak. Ketika Rasulullah s.a.w tiba di Mekah baginda telah bersabda: Sesiapa di antara kamu yang telah membayar Dam, mereka belum lagi dihalalkan apa yang telah diharamkan sehinggalah mereka selesai mengerjakan Haji. Bagi sesiapa yang belum membayar Dam hendaklah melakukan tawaf di Baitullah, bersaie antara Safa dan Marwah serta bercukur ataupun menggunting rambut dan bertahallul. Kemudian hendaklah berihram Haji dan membayar Dam. Bagi sesiapa yang tidak mampu membayar Dam hendaklah berpuasa tiga hari ketika masih berada di Tanah Suci dan tujuh hari setelah kembali ke tanah air. Rasulullah s.a.w melakukan tawaf Qudum setibanya di Mekah, dimulai dengan mengucup Hajarulaswad kemudian berlari-lari anak sebanyak tiga pusingan dari tujuh pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Sebaik sahaja selesai melakukan tawaf di Baitullah, baginda kemudiannya mendirikan sembahyang dua rakaat di makam Ibrahim. Selepas salam baginda menuju ke bukit Safa lalu bersaie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Baginda belum lagi menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan sehinggalah selesai Haji dan menyembelih Dam pada hari Nahr (10 Zulhijah) iaitu pada Hari Raya Korban. Kemudian baginda kembali ke Mekah untuk melakukan tawaf Wida' di Kaabah, setelah mereka dihalalkan melakukan apa yang telah diharamkan sebelumnya. Orang yang membawa atau menyembelih Dam juga melakukan sebagaimana apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Pembatalan Hukum Bertahallul Dari Ihram Dan Perintah Supaya Menyempurnakannya

Hadis Abu Musa r.a katanya: Aku pernah menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berehat di Batha'. Baginda bertanya kepadaku: Bukankah kamu sedang mengerjakan ibadat Haji? Aku menjawab: Benar! Baginda bertanya: Bagaimana kamu berniat Ihram dan bertalbiah? Aku menjawab: Aku penuhi panggilan Allah dengan bertalbiah dan berihram sebagaimana Nabi s.a.w berihram dan bertalbiah. Baginda bersabda: Kalau demikian kamu telah melakukan yang terbaik. Sekarang lakukanlah tawaf di Baitullah, Saie antara Safa dan Marwah serta bertahalullah. Kemudian aku pun tawaf di Baitullah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Setelah itu aku pergi menemui seorang wanita dari Bani Qais untuk membantu mencarikan kutu di kepalaku. Kemudian aku berihram Haji. Aku memang pernah memberi fatwa kepada orang ramai tentang hal ini sehinggalah pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab. Suatu hari ada seorang lelaki datang menemuiku dan berkata: Wahai Abu Musa atau wahai Abdullah bin Qais, untuk sementara tahanlah dahulu setengah fatwamu itu. Engkau tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab tentang masalah Haji. Lalu aku duduk memberitahu kepada mereka yang pernah aku berikan fatwa supaya jangan tergesa-gesa mengamalkan fatwaku kerana Amirul Mukminin akan memberikan fatwanya kepada kamu. Ikutilah fatwanya. Kemudian Sayidina Umar r.a datang lalu aku memberitahunya mengenai masalah itu. Beliau berkata: Jika kita berpegang teguh pada Kitab Allah, Kitab Allah menyuruh kita menyempurnakannya tetapi jika kira berpegang teguh pada sunnah Rasulullah s.a.w, sesungguhnya Rasulullah s.a.w sendiri tidak melakukan tahalul sehinggalah binatang sembelihan telah berada di tempat penyembelihannya.

Keterangan Cara cara Berihram, Harus Berhaji Ifrad, Tamattu' Dan Qiran Serta Harus Menyusuli Haji Selepas Umrah. Bilakah Waktu Tahalul Untuk Orang Yang Melakukan Haji Qiran

Hadis Jabir r.a katanya: Aku pernah bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk berihram Haji Ifrad, sedangkan Saidatina Aisyah r.a berihram Umrah. Sebaik sahaja tiba di Daerah Sarif, Saidatina Aisyah datang haid. Setelah kami tiba di Mekah, kami melakukan tawaf di Kaabah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh orang yang tidak membawa haiwan sembelihan supaya bertahallul. Jabir berkata: Kami bertanya: Apakah yang dihalalkan? Rasulullah s.a.w menjawab: Semuanya sudah dihalalkan. Lalu kami tidur bersama-sama isteri kami, memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berjahit. Setelah sempat bermalam di Arafah selama empat hari, kami berihram kembali pada hari Tarwiah iaitu hari kelapan Zulhijah. Selepas itu Rasulullah s.a.w menemui Saidatina Aisyah r.a yang kebetulan sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapakah dengan dirimu ini? Saidatina Aisyah menjawab: Aku haid sedangkan mereka semua sudah bertahalul. Aku belum lagi bertahallul dan tawaf di Baitullah. Mereka sedang mengerjakan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda: Ini adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah terhadap setiap anak perempuan Adam. Mandi dan kerjakanlah Haji. Lalu Saidatina Aisyah melakukannya dan berwuquf. Setelah suci dari haid, dia melakukan tawaf di Baitullah serta bersaie di antara Safa dan Marwah. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya: Bukankah kamu telah bertahallul dari Haji dan Umrahmu sekaligus? Lalu Saidatina Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah s.a.w aku dapati diriku belum melakukan tawaf di Baitullah sehinggalah aku selesai melakukan Haji. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdul Rahman: Wahai Abdul Rahman! Temankanlah dia untuk mengerjakan Umrah secara berihram di Tan'im. Lantas mereka pergi pada malam Hasbah iaitu malam jemaah Haji keluar dari Mekah selepas hari Tasyrik.

Keterangan Cara cara Berihram, Harus Berhaji Ifrad, Tamattu' Dan Qiran Serta Harus Menyusuli Haji Selepas Umrah. Bilakah Waktu Tahalul Untuk Orang Yang Melakukan Haji Qiran

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Kami pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Haji Wida', kami berniat Umrah. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membawa haiwan sembelihan, sebaiknya dia berihram Haji dan Umrah serta janganlah dia bertahallul terlebih dahulu supaya dia dapat bertahallul dari keduanya serentak. Sebaik saja tiba di Mekah aku datang haid sebelum tawaf di Baitullah iaitu Kaabah dan sebelum Saie antara Safa dan Marwah. Kemudian aku mengadu kepada Rasulullah s.a.w mengenai keadaan tersebut. Baginda bersabda: Lepaskanlah jalinan rambutmu dan sikatlah, lakukanlah Ihram Haji dan tinggalkanlah Ihram Umrah. Lalu aku mengerjakannya. Selesai sahaja aku mengerjakan Haji, Rasulullah s.a.w menyuruh aku dan Abdul Rahman bin Abu Bakar pergi ke Tan'im, lalu aku berihram Umrah. Baginda bersabda: Inilah tempat Umrahmu. Kemudian bagi orang yang berihram Umrah harus tawaf di Baitullah iaitu Kaabah, bersaie antara Safa dan Marwah lalu bertahallul. Kemudian mereka melakukan tawaf lagi untuk ibadat Hajinya setelah kembali dari Mina. Bagi orang yang menghimpunkan Haji dan Umrah memadailah hanya dengan sekali tawaf.

Menyapu Wangi wangian Ketika Memakai Ihram Bagi Orang Yang Ingin Berihram

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Aku pernah memakai wangi-wangian pada tubuh Rasulullah s.a.w ketika baginda ingin memakai Ihram untuk berihram dan ketika bertahallul sebelum baginda tawaf di Baitullah.

Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja

Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan daripada Muhammad bin Abbad r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah r.a ketika beliau sedang melakukan tawaf di Baitullah: Adakah Rasulullah s.a.w melarang dari berpuasa pada hari Jumaat sahaja? Beliau menjawab: Ya, demi Tuhan Baitullah ini.

Keterangan Tentang Al Masih Bin Mariam Dan Al Masih Dajal

Hadis Abdullah bin Umar r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Pada suatu malam aku bermimpi berhampiran Kaabah, aku melihat seorang lelaki berkulit sawa matang, sebagaimana engkau pernah melihat seorang lelaki tampan berkulit sawa matang, dia berambut ikal sebagaimana engkau pernah melihat seorang lelaki tampan berambut ikal. Dia menyikat rambutnya yang masih basah. Dia bersandar kepada dua orang atau kepada bahu dua orang sambil melakukan tawaf di Baitullah. Lalu aku bertanya: Siapakah lelaki ini? Ada yang menjawab: Dia adalah Al-Masih bin Mariam. Kemudian aku melihat pula seorang lelaki berambut kerinting, mata kanannya buta seperti buah anggur yang masak ranum iaitu matanya terkeluar. Lalu aku bertanya: Siapa pula lelaki ini? Ada yang menjawab: Dia adalah Al-Masih Dajal.