Search This Blog

Pages

December 2, 2011

Beratnya Hukuman Orang Yang Enggan Mengeluarkan Zakat

 Hadis Abu Zar r.a katanya: 
Aku menghampiri Nabi s.a.w yang sedang duduk di bawah bayangan Kaabah. Apabila melihat aku, baginda bersabda: Demi Tuhan Kaabah. Mereka tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi. Lalu aku menghampiri baginda dan duduk di sampingnya, aku tidak duduk lama di situ lalu aku bangkit sambil bertanya: Wahai Rasulullah! Demi ayah dan ibuku sebagai tebusanmu! Siapakah mereka itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Mereka adalah orang-orang yang paling banyak mempunyai harta kecuali orang yang berbuat begini, begini dan begini iaitu baginda memberi isyarat ke depan, ke belakang, ke kanan dan juga ke kiri. Orang yang ingin berbuat demikian adalah sangat sedikit bilangannya. Setiap pemilik unta, lembu atau kambing yang enggan mengeluarkan zakat. Pada Hari Kiamat, binatang-binatang tersebut akan datang dalam keadaan lebih besar dan lebih gemuk dari asalnya. Kesemuanya akan menanduk pemiliknya dengan tanduk-tanduk dan memijak dengan menggunakan kuku-kukunya. Setelah selesai binatang yang pertama akan diganti pula dengan yang lain dan yang pertama tadi datang kembali kepadanya, sehinggalah seluruh manusia ditentukan tempat masing-masing.

Dosa Orang Yang Enggan Mengeluarkan Zakat

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Setiap pemilik emas atau perak yang tidak mengeluarkan zakat akan dipakaikan dengan kepingan-kepingan api pada Hari Kiamat, lalu dia dibakar di bahagian rusuk, dahi dan belakangnya dengan kepingan tersebut dalam Neraka Jahanam. Setiap kali kepingan itu menjadi sejuk, ia akan dipanaskan kembali. Setiap hari menyamai lima puluh ribu tahun ukuran sekarang. Keadaan ini berterusan sehinggalah umat manusia diputuskan ke manakah akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan unta yang tidak dikeluarkan zakatnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Begitu juga pemilik unta yang enggan menunaikan zakatnya. Zakat unta ialah susunya ketika diperah. Pada hari Kiamat, pemilik unta-unta tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama untanya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurang walaupun seekor dari unta-untanya tersebut. Unta-unta peliharaannya akan memijak-mijak dan menggigit pemiliknya. Tatkala unta yang pertama selesai dari menyeksanya, maka unta yang lain pula datang kepadanya. Keadaan ini terjadi dalam satu hari yang mana ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah umat manusia selesai diputuskan ke mana akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lembu dan kambing? Rasulullah s.a.w bersabda: Demikianlah juga pemilik lembu dan kambing yang enggan menunaikan zakatnya. Pada Hari Kiamat pemilik lembu dan kambing tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama lembu dan kambingnya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurang walaupun seekor lembu dan kambingnya tersebut. lembu-lembu dan kambing-kambing itu tidak ada yang bertanduk bengkok, tidak ada yang tidak bertanduk atau tidak ada yang bertanduk pecah. Semua lembu-lembu dan kambing tersebut menanduk orang itu iaitu pemiliknya yang enggan membayar zakatnya tadi dengan tanduknya dan memijak-mijak dengan tapak kakinya. Apabila lembu atau kambing yang pertama selesai dari menyeksanya, maka datang pula yang lain kepadanya. Keadaan ini terus-menerus terjadi dalam satu hari yang ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah diselesaikan urusan umat manusia. Lalu dibentangkan jalan kepada umat manusia ke manakah mereka akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Ditanyakan lagi: Wahai Rasulullah! Kuda itu ada tiga jenis: Sebagai beban bagi seseorang, sebagai pendinding bagi seseorang dan juga sebagai ganjaran bagi seseorang. Adapun kuda yang menjadi beban bagi seseorang pemiliknya iaitu kuda yang diikat untuk tujuan pameran, bermegah-megah dan memusuhi pendukung Islam. Kuda itu merupakan beban iaitu dosa bagi pemiliknya. Kuda yang menjadi pendinding bagi seseorang pula ialah kuda yang diikat oleh pemiliknya untuk keperluan perjuangan di jalan Allah, kemudian pemilik itu tidak melupakan hak Allah yang terdapat pada punggung dan leher kuda tersebut. Kuda itu merupakan pendinding iaitu penghalang pemiliknya dari api Neraka. Sedangkan kuda yang menjadi ganjaran bagi pemiliknya ialah kuda yang diikat iaitu dipelihara untuk perjuangan di jalan Allah, untuk pendukung Islam, pada tanah yang subur atau taman. Apapun yang dimakan oleh kuda itu dari tanah subur atau taman tersebut, pasti dicatat untuk pemiliknya kebaikan iaitu ganjaran sebanyak yang telah dimakan olah kuda itu dan dicatatkan juga kebaikan untuk pemiliknya sebanyak kotoran dan air kencingnya. Bila tali kekang terputus dan kuda itu meliar iaitu memberontak, ia lari sekali atau dua kali, maka Allah juga akan mencatatkan untuk pemiliknya kebaikan sebanyak langkah-langkah dan kotoran-kotorannya. Jika pemilik kuda itu membawa kudanya pada sebatang sungai, kemudian kuda itu minum dari air sungai tersebut, padahal sebenarnya dia tidak berniat memberi minum kudanya itu, maka Allah mencatatkan untuknya kebaikan sebanyak yang telah diminum oleh kudanya. Baginda ditanya lagi: Wahai Rasulullah! Bagaimana pula dengan keldai? Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai keldai, tidak ada sesuatu pun iaitu Wahyu diturunkan kepadaku, kecuali ayat Al-Fazzah Al-Jami'ah: � Yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kebaikan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan mendapat balasannya dan sesiapa yang melakukan kejahatan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya juga.

Memakai Wangian Dan Bersugi Pada Hari Jumaat

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa mandi pada hari Jumaat seperti mandi hadas besar, kemudian berangkat ke masjid, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor unta dan sesiapa berangkat pada kesempatan kedua, maka dia seolah-olah telah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa berangkat pada kesempatan ketiga, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing kibas. Sesiapa berangkat pada kesempatan keempat, seolah-olah telah menyembelih seekor ayam dan sesiapa berangkat pada kesempatan kelima, seolah-olah dia memberikan sedekah sebiji telur. Apabila imam iaitu khatib telah keluar, Malaikat-malaikat pun hadir mendengar zikir. Ertinya: mereka tidak lagi mencatatkan sesiapa yang datang ke masjid.

Orang Yang Paling Berhak Menjadi Imam Sembahyang

 Hadis Malik bin Al-Huwairis r.a katanya: 
Kami datang menemui Rasulullah s.a.w, pada waktu itu kami masih sama-sama muda dan usia kami tidak banyak perbezaanya. Kami tinggal bersama baginda selama dua puluh malam. Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemurah dan lembut sekali. Baginda menyangkakan bahawa aku sedang berselisih faham dengan keluargaku sehingga baginda bertanya kepadaku keadaan keluarga yang aku tinggalkan. Maka aku menceritakan kepada baginda mengenai keluargaku. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah kepada keluargamu dan tinggallah bersama mereka. Ajarlah mereka dan perintahkanlah mereka apabila tiba waktu sembahyang. Hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah orang yang paling tua dari kalangan kamu menjadi imam.

Dari setiap seribu orang, dikeluarkan sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang

 Hadis Abu Said r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Wahai Adam! Lalu baginda menyahut: Aku bersedia menerima perintahMu dan kebaikan ada di tanganMu. Allah berfirman: Keluarkan orang yang dikirimkan ke Neraka. Adam bertanya: Berapa orang yang dikirim ke Neraka itu? Allah berfirman: Dari setiap seribu orang, dikeluarkan sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang. Rasulullah s.a.w bersabda: Semua itu terjadi ketika kanak-kanak beruban, وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَي النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ Yang bermaksud: Wanita yang hamil akan gugur kandungan dan manusia berada di dalam keadaan mabuk, sedangkan sebenarnya mereka tidak mabuk tetapi seksa Allah yang amat dahsyat. Sabda Rasulullah s.a.w tersebut merungsingkan para sahabat. Maka mereka bertanya: Wahai Rasulullah. Siapakah di antara kami lelaki itu iaitu seorang di antara seribu? Rasulullah s.a.w bersabda: Bergembiralah kamu kerana di antara seribu itu ialah Yakjuj dan Makjuj, sedangkan dari kamu hanya seorang. Kemudian Baginda bersabda: Demi zat yang menguasai diriku, sesungguhnya aku mengharapkan kamu menjadi satu perempat dari Ahli Syurga. Maka kami iaitu para sahabat memuji Allah dan bertakbir. Baginda bersabda lagi: Demi zat yang menguasai diriku, sesungguhnya aku mengharapkan kamu akan menjadi satu pertiga dari ahli Syurga. Kami memuji Allah dan bertakbir. Kemudian baginda bersabda: Demi zat yang menguasai diriku, sesungguhnya aku mengharapkan kamu menjadi sebahagian dari Ahli Syurga. Perumpamaan kamu di tengah-tengah umat lain, bagaikan sehelai bulu putih pada lembu hitam atau seperti tanda di betis Keldai.

Umat Ini Merupakan Separuh Ahli Syurga

 Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada kami: Tidakkah kamu suka menjadi satu perempat ahli Syurga. Kata Abdullah: Kami pun bertakbir. Baginda bersabda lagi: Tidakkah kamu suka sekiranya menjadi satu pertiga ahli Syurga. Kata Abdullah: Kami pun bertakbir. Kemudian Baginda bersabda: Sesungguhnya aku berharap semoga kamu menjadi separuh dari ahli Syurga. Aku akan memberitahu perkara itu kepada kamu iaitu tentang keadaan orang-orang Islam yang berada di tengah-tengah orang Kafir, adalah seperti sehelai bulu putih pada lembu hitam atau seperti sehelai bulu hitam pada lembu putih.

Kelebihan Golongan Yang Beriman Dan Keunggulan Penduduk Yaman


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Penduduk Yaman datang, mereka lebih lembut hatinya. Iman ada pada orang Yaman. Fekah juga ada pada orang Yaman. Kemudian hikmat juga ada pada orang Yaman.



SIFAT ORANG MUNAFIK DAN HUKUM MEREKA

 Hadis Ibnu Abbas r.a: 
Diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman bin Auf katanya: Bahawa Marwan berkata kepada penjaga pintunya: Wahai Rafi'! Pergilah kepada Ibnu Abbas dan katakanlah: Sekiranya setiap orang di antara kita diseksa kerana bergembira terhadap apa yang diperolehi dan suka dipuji terhadap apa yang tidak dilakukan, nescaya kita semua turut akan diseksa. Ibnu Abbas berkata: Kenapakah kamu ni? Ayat ini diturunkan kepada Ahli Kitab. Kemudian Ibnu Abbas membaca ayat �Yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan kitab iaitu: Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya, ini satu ayat. Kemudian Ibnu Abbas membaca ayat �Yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, terselamat dari seksa. Seterusnya Ibnu Abbas berkata: Nabi s.a.w bertanya kepada mereka, tetapi mereka menyembunyikannya malah memberikan jawapan lain. Kemudian mereka keluar dengan perasaan telah memberitahu apa yang ditanyakan kepada mereka. Mereka berharap mendapat pujian terhadap jawapan tersebut serta bergembira dengan tipu helah mereka.

Harus Menipu Dalam Peperangan

 Hadis Jabir r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Peperangan itu adalah tipu daya.

Orang Yang Ditipu Dalam Jual Beli

 Hadis Ibnu Umar r.a: 
Ada seorang lelaki memberitahu Rasulullah s.a.w bahawa dia ditipu dalam jual belinya. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang akan berjual beli dengan kamu katakan kepadanya: Tiada penipuan! Semenjak itu, apabila berjual beli, beliau akan berkata: Tiada penipuan!.

Haram Menjual Kepada Seseorang Barang Yang Telah Dijual Kepada Orang Lain, Penawaran Terhadap Barang Yang Sedang Di Tawar Oleh Orang Lain, Jual Beli Najsyi Iaitu Pembeli Pura Pura Membayar Harga Barang Lebih Mahal Dari Harga Biasa Supaya Pembeli Lain Tertipu Dan Tasriah Iaitu Membiarkan Binatang Ternakan Beberapa Hari Tanpa Diperah Susunya Supaya Orang Menyangka Binatang Itu Mempunyai Susu Yang Banyak


Hadis Ibnu Umar r.a: 
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang dari jual beli secara najsyi iaitu berpura-pura membayar dengan harga yang lebih mahal supaya pembeli lain tertipu.

Meninggikan Bacaan Di dalam Sembahyang Subuh Dan Membaca Al Quran Kepada Jin


Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w belum pernah membaca Al-Quran dan mengajar agama kepada jin dan belum pernah pula melihat mereka. Kisahnya, baginda berangkat bersama dengan rombongan para sahabat menuju ke pasar Ukaz Pada ketika itu, tipu muslihat antara syaitan dan berita dari langit dihalangi dan mereka dilempari dengan panah api. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka, lalu berkata: Antara kami dan berita dari langit ditipu daya dan kami dilempari dengan panah api. Kaum mereka berpendapat: Keadaan itu adalah kerana ada sesuatu yang luar biasa berlaku. Pergilah ke bumi di sebelah timur dan barat. Telitilah apa yang menghalangi antara kita dan berita dari langit. Mereka pun pergi ke bumi di sebelah timur dan barat. Sekumpulan jin dari mereka menuju ke arah Tihamah iaitu mengikuti Nabi s.a.w. Baginda berada di bawah pokok tamar dalam perjalanan ke pasar Ukaz. Pada saat itu, baginda sedang sembahyang Subuh bersama para sahabat. Ketika mereka mendengar Al-Quran, mereka memerhatikannya, lalu berkata: Inilah yang menghalangi antara kita dengan berita dari langit. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka lalu berkata: Wahai kaumku. إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَنْ نُشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا Yang bermaksud: Sesungguhnya aku telah mendengar bacaan yang mengkagumkan, yang boleh menunjukkan kita kepada kebenaran, maka aku beriman kepadanya dan tidak akan menyekutukan Tuhanku dengan siapa pun. Maka Allah s.w.t menurunkan kepada nabiNya Muhammad s.a.w ayat قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ Yang bermaksud: Katakanlah, telah diwahyukan kepadaku, bahawasanya sekumpulan jin telah mendengar bacaan Al-Quran.