Search This Blog

Pages

November 29, 2011

LI'AN IAITU SUAMI MENUDUH ISTERI BERZINA TANPA SAKSI

 Hadis Al-Mughirah bin Syukbah r.a katanya: 
Saad bin Ubadah telah berkata: Seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi, akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu daripadanya, malahan Allah lebih lagi cemburunya daripadaku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain daripada Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang mahu mendengar peringatan. Oleh sebab itulah, Allah mengutus para Rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang selalu memuji-Nya. Oleh sebab itu juga, Allah telah menjanjikan Syurga.

Dosa Orang Yang Enggan Mengeluarkan Zakat

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Setiap pemilik emas atau perak yang tidak mengeluarkan zakat akan dipakaikan dengan kepingan-kepingan api pada Hari Kiamat, lalu dia dibakar di bahagian rusuk, dahi dan belakangnya dengan kepingan tersebut dalam Neraka Jahanam. Setiap kali kepingan itu menjadi sejuk, ia akan dipanaskan kembali. Setiap hari menyamai lima puluh ribu tahun ukuran sekarang. Keadaan ini berterusan sehinggalah umat manusia diputuskan ke manakah akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan unta yang tidak dikeluarkan zakatnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Begitu juga pemilik unta yang enggan menunaikan zakatnya. Zakat unta ialah susunya ketika diperah. Pada hari Kiamat, pemilik unta-unta tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama untanya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurang walaupun seekor dari unta-untanya tersebut. Unta-unta peliharaannya akan memijak-mijak dan menggigit pemiliknya. Tatkala unta yang pertama selesai dari menyeksanya, maka unta yang lain pula datang kepadanya. Keadaan ini terjadi dalam satu hari yang mana ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah umat manusia selesai diputuskan ke mana akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lembu dan kambing? Rasulullah s.a.w bersabda: Demikianlah juga pemilik lembu dan kambing yang enggan menunaikan zakatnya. Pada Hari Kiamat pemilik lembu dan kambing tersebut akan dibiarkan di padang terbuka bersama lembu dan kambingnya sebanyak jumlah yang dimilikinya dan tidak berkurang walaupun seekor lembu dan kambingnya tersebut. Lembu-lembu dan kambing-kambing itu tidak ada yang bertanduk bengkok, tidak ada yang tidak bertanduk atau tidak ada yang bertanduk pecah. Semua lembu-lembu dan kambing tersebut menanduk orang itu iaitu pemiliknya yang enggan membayar zakatnya tadi dengan tanduknya dan memijak-mijak dengan tapak kakinya. Apabila lembu atau kambing yang pertama selesai dari menyeksanya, maka datang pula yang lain kepadanya. Keadaan ini terus-menerus terjadi dalam satu hari yang ukurannya sama dengan lima puluh ribu tahun, sehinggalah diselesaikan urusan umat manusia. Lalu dibentangkan jalan kepada umat manusia ke manakah mereka akan ditempatkan, samada ke Syurga atau ke Neraka. Ditanyakan lagi: Wahai Rasulullah! Kuda itu ada tiga jenis: Sebagai beban bagi seseorang, sebagai pendinding bagi seseorang dan juga sebagai ganjaran bagi seseorang. Adapun kuda yang menjadi beban bagi seseorang pemiliknya iaitu kuda yang diikat untuk tujuan pameran, bermegah-megah dan memusuhi pendukung Islam. Kuda itu merupakan beban iaitu dosa bagi pemiliknya. Kuda yang menjadi pendinding bagi seseorang pula ialah kuda yang diikat oleh pemiliknya untuk keperluan perjuangan di jalan Allah, kemudian pemilik itu tidak melupakan hak Allah yang terdapat pada punggung dan leher kuda tersebut. Kuda itu merupakan pendinding iaitu penghalang pemiliknya dari api Neraka. Sedangkan kuda yang menjadi ganjaran bagi pemiliknya ialah kuda yang diikat iaitu dipelihara untuk perjuangan di jalan Allah, untuk pendukung Islam, pada tanah yang subur atau taman. Apapun yang dimakan oleh kuda itu dari tanah subur atau taman tersebut, pasti dicatat untuk pemiliknya kebaikan iaitu ganjaran sebanyak yang telah dimakan olah kuda itu dan dicatatkan juga kebaikan untuk pemiliknya sebanyak kotoran dan air kencingnya. Bila tali kekang terputus dan kuda itu meliar iaitu memberontak, ia lari sekali atau dua kali, maka Allah juga akan mencatatkan untuk pemiliknya kebaikan sebanyak langkah-langkah dan kotoran-kotorannya. Jika pemilik kuda itu membawa kudanya pada sebatang sungai, kemudian kuda itu minum dari air sungai tersebut, padahal sebenarnya dia tidak berniat memberi minum kudanya itu, maka Allah mencatatkan untuknya kebaikan sebanyak yang telah diminum oleh kudanya. Baginda ditanya lagi: Wahai Rasulullah! Bagaimana pula dengan keldai? Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai keldai, tidak ada sesuatu pun iaitu Wahyu diturunkan kepadaku, kecuali ayat Al-Fazzah Al-Jami'ah: � Yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan kebaikan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan mendapat balasannya dan sesiapa yang melakukan kejahatan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya juga.

Kelebihan Merahsiakan Sedekah

Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid iaitu sangat mencintainya dan selalu mendirikan sembahyang berjemaah, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia berkata: Aku takut kepada Allah!, seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya

Mengenai Orang Yang Berehat Dan Yang Direhatkan Darinya

 Hadis Abu Qatadah bin Rib'ie r.a: 
Satu usungan jenazah melintasi Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: Yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah erti yang berehat dan yang direhatkan adalah daripadanya itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang beriman itu berehat dari kepenatan dunia. Sedangkan hamba yang buruk kelakuannya, dapat merehatkan para hamba, negara, pokok-pokok dan haiwan iaitu semua merasa tenteram dari kejahatannya.

Perkara Yang Diminta Perlindungan Ketika Sembahyang

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila seseorang dari kamu berada dalam keadaan tasyahud, dia hendaklah memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara dengan berdoa:


 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ 


Yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari seksaan Neraka Jahanam, dari seksa Kubur, dari fitnah semasa hidup dan selepas mati serta dari kejahatan fitnah Dajal.

Wahyu Mula Diturunkan Kepada Rasulullah s.a.w

Hadis Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w menceritakan tentang masa terputusnya wahyu. Baginda bersabda: Ketika aku berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar suara dari langit. Aku mendongakkan kepalaku, ternyata Malaikat yang pernah mendatangiku di gua Hira' sedang duduk di atas kerusi terapung-apung di antara langit dan bumi. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku mula gementar kerana ketakutanku kepadanya. Lalu aku pulang dan berkata: Selimutkanlah aku! Selimutkanlah aku! Setelah aku diselimutkan, ketika itulah Allah s.w.t menurunkan ayat يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْYang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan, amaran kepada umat manusia dan ingatlah serta ucapkanlah kebesaran Tuhanmu. Pakaianmu hendaklah engkau bersihkan dan segala kejahatan, hendaklah engkau jauhi iaitu penyembahan berhala. Setelah itu wahyu diturunkan berterusan.

Apabila Seseorang Berniat Ingin Melakukan Kebaikan, Ia Akan Dicatat. Apabila Dia Berniat Ingin Melakukan Kejahatan, Ia Belum Lagi Dicatat

 Hadis Ibnu Abbas r.a: 
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w tentang hadis Qudsi yang baginda riwayat daripada Allah s.w.t di mana Allah telah berfirman: Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan. Kemudian baginda menerangkan hal itu: Sesiapa berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi tidak lagi melakukannya, maka Allah mencatatkan niat itu sebagai kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika seseorang itu berniat ingin melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, maka Allah mencatatkan di sisi-Nya sepuluh kebaikan hingga sampai tujuh ratus kali ganda seterusnya hingga kepada gandaan yang sebanyak-banyaknya. Jika seseorang berniat ingin melakukan kejahatan tetapi tidak melakukannya, maka Allah mencatatkannya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika dia berniat untuk melakukan kejahatan lalu melakukannya maka Allah mencatatnya sebagai satu amalan kejahatan sahaja.

Apabila Seseorang Berniat Ingin Melakukan Kebaikan, Ia Akan Dicatat. Apabila Dia Berniat Ingin Melakukan Kejahatan, Ia Belum Lagi Dicatat


Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda.


Adakah Amalan Pada Zaman Jahiliah Akan Dikenakan Hukuman?

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Adakah kami akan dihukum kerana perbuatan yang telah kami lakukan semasa Jahiliah Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu yang berbuat baik pada zaman Islam, maka dia tidak akan dikenakan hukuman kerana perbuatannya pada zaman Jahiliah. Tetapi sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dia akan dihukum kerana perbuatannya pada zaman Jahiliah dan pada zaman Islam. 

Beriman Kepada Allah Taala Merupakan Amalan Yang Paling Utama

 Hadis Abu Zar r.a katanya: 
Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w:
 Wahai Rasulullah! Apakah amalan yang paling utama? 
Rasulullah s.a.w bersabda: Beriman kepada Allah dan berjuang pada jalan-Nya.
 Aku bertanya: Hamba yang bagaimanakah paling utama? 
Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang paling baik menurut pemiliknya dan paling banyak harganya. Aku bertanya lagi: Bagaimana Jika aku tidak bekerja?
 Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau boleh membantu orang yang bekerja atau bekerja untuk orang yang tidak memiliki pekerjaan.
 Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku tidak mampu melakukan sebahagian dari amalan? 
Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah memberhentikan kejahatanmu terhadap orang lain kerana, hal itu merupakan sedekah darimu kepada dirimu.