Search This Blog

Pages

June 2, 2010

Amanah Kunci Keamanan


Dari Huzaifah, katanya: “Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua buah hadis; salah satu dari padanya telah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis yang pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, Kemudian turun Al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah SAW. Hadis yang kedua, tentang pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu, dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: “Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong dari keimanan, Kata Huzaifah:” Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telah ku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya.” Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)” 
 
(Muslim)

Bumi Tempat Sujud


Dari Abu Dzar r.a bertanya:”Ya Rasulullah! Masjid manakah yang mula-mula dibangun kan di muka bumi ini?” Jawab Rasulullah s.a.w :’Masjidil Haram!” Aku bertanya lagi:”Sesudah itu masjid apa?” Jawab baginda:”Masjidil Aqsa!” Aku bertanya lagi:”Berapa lamakah jarak antara kedua masjid itu dibangunkan?” Jawab baginda:”Empat puluh tahun.. Dan di mana sahaja kamu berada jika waktu solat telah tiba, maka solatlah (segera) kerana bumi ini adalah masjid (tempat sujud).”
 
(Muslim)

Raja Segala Langit Dan Bumi

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak di hari kiamat Allah Tabaraka wa Taala akan menggenggam bumi dan menggulung langit dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Dia berfirman:”Akulah Raja! (penguasa) Manakah dia raja-raja di bumi?”
 
(Muslim)

Azan Dua Kali


Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. mempunyai dua orang juru azan, iaitu Bilal dan Ummu Maktum, baginda bersabda: “Sesungguhnya Bilal bertugas untuk mengazankan sembahyang di waktu malam sebelum terbit fajar, oleh itu makan dan minumlah kamu semua (bersahur) sehinggalah Ummu Maktum azan yang menandakan masuknya waktu Subuh. Ibnu Umar r.a. berkata: “ Tidak ada jarak di antara kedua juru azan itu, melainkan jika Bilal telah selesai azan lalu disambung oleh Ummu Maktum pula, dalam jarak yang tidak terlalu lama”
 
(al-Bukhari dan Muslim)


Sekitar Hukum Berkenaan Arak

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.”
 
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ukuran Iman Yang Sempurna


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak kan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakanyang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya.”
 
Riwayat Bukhari dan Muslim

Panduan Bagi Orang-orang Yang Ditimpa Bencana


Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a bahawa keduanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Ia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan", dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: "Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat".
 
Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a

Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal

Dari Al-Bara' bin 'Azib r.a katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi s.a.w, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah s.a.w pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah itu Baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa kain kapan bersama mereka dari kain-kain kapan syurga, dan Hanut (Pachai iaitu serbuk campuran dari benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikapankan) dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakulmaut a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Wahai jiwa yang baik! Keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: Orang yang hendak mati dihadiri - saat naza'nya - oleh Malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang salih, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu keluar - mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi." Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu' (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh. Setelah itu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): "Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam 'illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Hai jiwa yang jahat! Keluarlah (dan pada satu riwayat disebutkan: Maka apabila orang itu orang jahat, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu," (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca (ayat 40 Surah al-A'raf ertinya): "…..Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…..". (Kemudian Baginda s.a.w bersabda): "Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpalah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ…….."
 
Al-Bara' bin 'Azib r.a