Search This Blog

Pages

November 3, 2011

Wanita Hendaklah Musafir Bersama Mahramnya Samada Untuk Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya

 Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat musafir, di mana perjalanannya melebihi dari tiga hari melainkan bersama ayah, anak lelaki, suami, saudara lelaki atau siapa sahaja mahramnya yang lain.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2390,Bab Wanita Hendaklah Musafir Bersama Mahramnya Samada Untuk Mengerjakan Ibadat Haji Atau Sebagainya)


Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada lagi yang dinamakan hijrah dari Mekah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu dipanggil oleh pemerintah untuk berperang, maka berangkatlah. Pada ketika yang lain, ketika pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan Kota Mekah sewaktu Dia menciptakan langit dan bumi. Pengharaman itu berterusan sehingga hari Kiamat kelak. Sebelumku, tiada siapa pun yang dibolehkan berperang di negeri ini. Aku sendiri pun tidak dibolehkan melakukan perkara yang sama kecuali satu ketika. Kota ini telah diharamkan oleh Allah hingga hari Kiamat nanti. Pokok-pokok tidak boleh ditebang, binatang buruan tidak boleh dibunuh iaitu diburu, barang yang ditemui di Kota ini tidak boleh diambil kecuali orang yang ingin mengumumkan, rumput-rumput tidak boleh dicabut atau dipotong. Al-Abbas r.a bertanya: Adakah rumput lalang terkecuali wahai Rasulullah kerana ia sangat berguna kepada manusia? Rasulullah s.a.w menjawab: Ya! Kecuali rumput lalang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2412,Bab Perkara perkara Yang Haram Dilakukan Ketika Berada Di Mekah, Memburu, Mencabut Rumput Dan Pokok, Mengambil Barang Yang Ditemui Di Sana, Kecuali Bagi Orang Yang Ingin Mengumumkannya)


Hadis Abu Syuraih Al-Adawi r.a: 
Sesungguhnya beliau pernah berkata kepada Amru bin Said, yang telah mengutus beberapa orang utusan ke Mekah: Izinkan aku wahai Amir! Untuk menceritakan kepada kamu satu ucapan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah. Aku mendengar sendiri sabda baginda dengan kedua telinga aku, dengan hati yang khusyuk dan dengan kedua pasang mata aku terus menatap baginda. Setelah memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Sesungguhnya Allahlah yang mengharamkan Mekah, bukan manusia yang mengharamkannya. Maka diharamkan bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat menumpahkan darah di Kota Mekah atau memotong pokok-pokok di dalamnya. Jika ada seseorang yang mempersoalkan keringanan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w dalam hal ini, katakan saja kepada mereka; sesungguhnya Allah memang mengizinkan kepada Rasul-Nya tetapi tidak mengizinkannya kepada kamu. Sebenarnya aku sendiri pun hanya diizinkan seketika sahaja di waktu siang hari kemudian kembali diharamkan. Pengharaman yang berlaku hari ini adalah sebagaimana sebelumnya. Jadi, hendaklah orang yang hadir iaitu menyaksikan, menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2413,Bab Perkara perkara Yang Haram Dilakukan Ketika Berada Di Mekah, Memburu, Mencabut Rumput Dan Pokok, Mengambil Barang Yang Ditemui Di Sana, Kecuali Bagi Orang Yang Ingin Mengumumkannya)


Hadis Abdullah bin Zaid bin Aasim r.a: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Nabi Ibrahim a.s telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Mekah dan mendoakan keberkatan terhadap penduduknya. Maka sesungguhnya aku pun memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah sebagaimana Nabi Ibrahim a.s telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Mekah. Dan sesungguhnya aku juga telah mendoakan keberkatan makanan di Kota Madinah, sebagaimana yang pernah didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s kepada penduduk Mekah.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2422,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Anas bin Malik r.a: 
Diriwayatkan daripada Aasim r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik r.a: Adakah benar Rasulullah s.a.w telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah? Anas r.a menjawab: Ya! Antara dua gunung ini. Kemudian Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepadaku dengan nada mengancam: Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat atau fidyah iaitu penebus dosa darinya pada hari Kiamat kelak.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2429,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Ali bin Abu Talib r.a: 
Diriwayatkan daripada Yazid bin Syarik bin Tariq r.a katanya: Sayidina Ali bin Abu Talib r.a telah berkhutbah kepada kami: Sesiapa yang menganggap bahawa di sisi kita ada sesuatu yang kita baca selain dari kitab Allah dan Sahifah ini iaitu Sahifah yang digantung pada sarung pedangnya, bererti dia telah berdusta. Dalam Sahifah ini terkandung masalah mengenai gigi, yang diberikan sebagai diat, juga beberapa masalah mengenai tindakan jenayah. Juga terdapat sabda Nabi s.a.w: Kota Madinah adalah tanah haram, sempadannya bermula dari gunung 'Aair hingga gunung Thaur. Sesiapa yang melakukan suatu dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia pada Hari Kiamat kelak. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya. Jaminan Muslimin itu adalah suatu yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Sesiapa yang mendakwa bahawa dia bukan keturunan ayahnya atau mendakwa pada selain dari tuannya, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Allah tidak akan menerima taubat dan fidyah darinya pada Hari Kiamat kelak. Hadis Abu Bakar r.a dan Zuhair r.a hanya terhenti pada lafaz: Yang diusahakan oleh orang yang paling rendah di kalangan mereka. Mereka berdua tidak menyebut lafaz selepasnya, iaitu lafaz tergantung pada sarung pedangnya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2433,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w telah bersabda: Kota Madinah adalah Tanah haram. Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Pada Hari Kiamat kelak, Allah tidak akan menerima taubat dan fidyahnya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2434,Bab Kelebihan Kota Madinah dan Doa Nabi s.a.w Agar Kota Itu Diberkati. Penjelasan Mengenai Kemuliaan Kota Itu Serta Binatang Buruan dan Pokok Pokok Yang Tumbuh Di Dalam Kota Itu, Serta Penjelasan Mengenai Batas batas Pengharamannya)


Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w pernah bersabda: Sembahyang satu waktu di masjidku adalah lebih utama daripada mendirikan sembahyang sebanyak seribu kali di masjid lain kecuali Masjidilharam.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2469,Bab Kelebihan Mendirikan Sembahyang Di Dalam Dua Buah Masjid Iaitu Masjid Di Mekah Dan Di Madinah Iaitu Masjid Nabi)


Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali menuju ke tiga buah masjid iaitu masjidku ini iaitu masjid Nabi, Masjidilharam di Mekah dan Masjidilaqsa.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2475,Bab Tidak Digalakkan Bersusah Payah Musafir Untuk Sembahyang Kecuali Menuju Ke Tiga Buah Masjid)


Hadis Abdullah r.a: 
Kami telah keluar berperang bersama Rasulullah s.a.w tanpa membawa isteri. Kami bertanya Rasulullah bolehkah kami mengembiri (kasi) kemaluan kami. Rasulullah segera menahan kami dari melakukannya. Baginda membenarkan kami mengahwini orang perempuan bermas-kahwinkan sehelai baju untuk tempoh waktu yang tertentu, kemudian Abdullah membaca firman Allah:


 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ 


Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman jangan sekali-kali kamu mengharamkan benda baik yang telah Allah halalkan untuk kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampau batas.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2493,Bab Masalah Kahwin Mut'ah Dan Penjelasan Bahawa Hal Itu Pernah Diharuskan Kemudian Dilarang, Kemudian Diharuskan Semula Dan Dilarang Kembali. Pengharamannya Ditetapkan Hingga Hari Kiamat)

No comments:

Post a Comment