Search This Blog

Pages

June 9, 2011

Kelebihan Nabi Muhammad SAW

Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Aku diberikan enam 
kelebihan berbanding Nabi-nabi lain; 

Aku diberi kata-kata yang ringkas tetapi mengandungi erti yang banyak iaitu Al-Quran dan Hadis. 
Aku diberi pertolongan dengan cara dapat menakutkan musuh,
 dihalalkan bagiku harta rampasan perang dan 
dijadikan kepadaku bumi yang suci sebagai tempat sujud. 
Aku juga diutuskan kepada seluruh makhluk dan
 aku adalah sebagai penutup bagi seluruh para Nabi iaitu Nabi yang terakhir diutuskan.

(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #812,KITAB MASJID DAN TEMPAT TEMPAT SEMBAHYANG)

Fadilat puasa pada hari Asyura

Hadis Ibnu Abbas r.a:
Ibnu Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehari pada hari Asyura kerana mencari kelebihan iaitu 
fadilat yang tidak ada pada hari-hari yang lain selain dari hari ini. Aku juga tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan ini, iaitu bulan Ramadan.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1914,Bab Berpuasa Pada Hari Asyura)

Selawat kepada Nabi

Hadis Abu Humaid As-Saa'idiy r.a:
Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Baginda bersabda: Bacalah:



اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِوَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ 


إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَ




ا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ 

(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #615,Bab Selawat Kepada Nabi s.a.w Selepas Membaca Tasyahud)

Selawat kepada Nabi

Hadis Kaab bin Ujrah r.a:
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Laila r.a katanya: Kaab bin Ujrah pernah menemuiku dan berkata: Bolehkah aku berikan kepada kamu suatu hadiah? Tiba-tiba Rasulullah s.a.w sampai dan terus berjumpa kami. Lalu kami berkata: Kami telah mengetahui cara untuk mengucapkan salam kepadamu, tetapi bagaimana pula cara untuk kami ucapkan 
selawat? Baginda bersabda: Kamu bacalah:




اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ 


إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ 


كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
 
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #614,Bab Selawat Kepada Nabi s.a.w Selepas Membaca Tasyahud)

Dilarang memakai sutera

Hadis Ibnu Umar r.a: 
Umar bin Al-Khattab melihat pakaian bersulam dari sutera di pintu masjid, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimana kiranya engkau membeli benda ini, kemudian memakainya di hadapan orang ramai pada hari 
jumaat dan ketika ada tetamu atau perutusan datang kepadamu. Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang memakai ini hanyalah orang yang tidak mempunyai keuntungan memakainya di akhirat. Beberapa waktu kemudian, Rasulullah s.a.w mendapatkan beberapa kain sutera dan baginda memberikan sebahagian darinya kepada Umar. Umar bertanya: Wahai Rasulullah! Engkau memberikan aku pakaian ini, padahal engkau telah menyatakan mengenai sutera Utarid. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memberikan ini kepadamu bukan untuk dipakai. Lalu Umar memberikannya kepada saudaranya yang masih belum memeluk Islam di Mekah.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3851,Bab Pengharaman Menggunakan Bekas Air Dari Emas Dan Perak, Kepada Lelaki Dan Wanita Serta Diharamkan Cincin Emas Dan Sutera Untuk Lelaki, Tetapi Dibolehkan Kepada Wanita. Dibolehkan Juga Lelaki Memakai A'lam Iaitu Sutera Yang Dilekatkan Di Baju Selagi Tidak Melebihi Ukurannya Iaitu Empat Jari)

Boleh puasa sunat hari jumaat jika berpuasa sehari sebelum atau selepasnya

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa jika hanya pada hari 
jumaat sahaja melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1929,Bab Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja)

Rasulullah larang puasa sunat hari jumaat

Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Diriwayatkan daripada Muhammad bin Abbad r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah r.a ketika beliau sedang melakukan tawaf di Baitullah: Adakah Rasulullah s.a.w melarang dari berpuasa pada hari 
jumaat sahaja? Beliau menjawab: Ya, demi Tuhan Baitullah ini.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1928,Bab Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja)

Doa minta hujan

Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya seorang lelaki masuk ke masjid pada hari 
jumaat dari satu pintu yang menuju ke arah Darul Qadha (rumah Umar bin Al-Khattab). Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang berdiri sambil berkhutbah. Orang itu menghadap Rasulullah s.a.w sambil berdiri, kemudian berkata: Wahai Rasulullah! Segala harta benda telah musnah dan jalan-jalan menjadi terputus (iaitu mereka tidak lagi dapat menggunakan unta kerana bimbang unta mereka mati malah boleh mengurangkan binatang ternakan mereka disebabkan cuaca pada ketika itu), oleh itu berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan menurunkan hujan kepada kita. Rasulullah s.a.w lalu mengangkat kedua tangan dan berdoa... Yang bermaksud: Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Kata Anas: Tidak, demi Allah! Kami tidak lihatpun di langit ada mega atau gumpalan awan. Di antara kami dengan gunung tidak ada satu pun rumah atau perkampungan (yang menghalangi pandangan kami untuk melihat tanda-tanda akan turunnya hujan). Tiba-tiba muncul mega bagaikan perisai di sebalik gunung. Ketika berada di tengah-tengah langit, mega itu mulai melebar kemudian menurunkan hujan. Tidak, demi Allah! Kami tidak melihat matahari sedikit pun. Pada hari jumaat berikutnya masuk pula seorang lelaki dari pintu yang sama, ketika itu Rasulullah s.a.w sedang berdiri sambil berkhutbah. Orang itu menghadap baginda sambil berdiri, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Banyak harta benda yang binasa dan jalan-jalan telah terputus. (Kali ini kerana terlampau banyak hujan). Oleh itu berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan menahan hujan dari kami. Rasulullah s.a.w pun mengangkat kedua tangan lantas baginda berdoa: ..... yang bermaksud: Wahai Tuhanku! Turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah musnahkan kami. Ya Allah! Engkau turunkanlah ia di atas gunung-gunung dan bukit-bukau, di lembah-lembah dan tempat tumbuhnya pokok-pokok. Hujan pun reda dan kami dapat keluar, berjalan di bawah sinar matahari.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1493,Bab Doa Ketika Sembahyang lstisqa' (Sembahyang Minta Hujan))

Solat tahiyatul masjid sebelum duduk

Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Ketika Nabi s.a.w sedang berkhutbah pada hari 
jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatulmasjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah s.a.w bersabda: Bangun dan sembahyanglah!.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1444,Bab Sembahyang Tahiyat Masjid Ketika lmam Sedang Berkhutbah)

Meninggalkan jumaat

Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Nabi s.a.w sedang berkhutbah dengan berdiri pada hari jumaat, tiba-tiba datang satu kafilah dari Syam, maka orang ramai berkejaran keluar menuju ke arah kafilah tersebut sehingga yang tinggal di dalam masjid hanya dua belas orang lelaki, maka turunlah ayat Yang bermaksud: Apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka meninggalkannya untuk menuju kepadanya dan meninggalkan kamu yang sedang berdiri berkhutbah.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1428,Bab Tentang Firman Allah s.w.t: ....)

Makan atau tidur setelah solat jumaat

Hadis Sahl r.a katanya:
Kami tidak pernah tidur atau makan pada waktu siang kecuali sesudah melakukan sembahyang 
jumaat.


(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1422,Bab Sembahyang Jumaat Ketika Matahari Mula Gelincir)

Saat makbul doa

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w memperkatakan mengenai hari 
jumaat. Lalu baginda bersabda: Pada hari jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1406,Bab Tentang Saat Yang Terdapat Pada Hari Jumaat)

Kelebihan datang awal kemasjid pada hari jumaat

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa mandi pada hari 
jumaat seperti mandi hadas besar, kemudian berangkat ke masjid, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor unta dan sesiapa berangkat pada kesempatan kedua, maka dia seolah-olah telah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa berangkat pada kesempatan ketiga, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing kibas. Sesiapa berangkat pada kesempatan keempat, seolah-olah telah menyembelih seekor ayam dan sesiapa berangkat pada kesempatan kelima, seolah-olah dia memberikan sedekah sebiji telur. Apabila imam iaitu khatib telah keluar, Malaikat-malaikat pun hadir mendengar zikir. Ertinya: mereka tidak lagi mencatatkan sesiapa yang datang ke masjid.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1403,Bab Memakai Wangian Dan Bersugi Pada Hari Jumaat)

Maut disembelih

Hadis Abu Said r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Pada Hari Kiamat kelak maut didatangkan seperti kibas belang (Abu Kuraib menambah di dalam riwayatnya: Lalu dihentikan antara Syurga dan Neraka. Mereka sepakat pada baki Hadis). Kemudian diseru: Wahai penghuni Syurga! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu berkata: Ya! Ini adalah maut. Kemudian diseru pula: Wahai ahli Neraka! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu menjawab: Ya! Itu adalah maut. Kemudian diperintahkan supaya maut disembelih dan menyeru: Wahai ahli Syurga! Kamu tetap kekal dan tidak akan mati. Wahai ahli Neraka! Kamu juga tetap kekal dan tidak akan mati. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca ayat




وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الْأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ


Yang bermaksud: Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, iaitu ketika segala perkara telah diputuskan dan mereka dalam kelalaian serta tidak beriman. Kemudian baginda menunjuk ke arah dunia dengan tangan.

(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #5087,Bab Neraka Akan Dimasuki Oleh Orang orang Yang Zalim Manakala Syurga Akan Dimasuki Oleh Orang Orang Yang Lemah)

Jangan bercakap ketika imam baca khutbah

Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila engkau berkata kepada temanmu, diamlah! pada hari Jumaat. Padahal imam sedang berkhutbah, maka kamu benar-benar telah melakukan satu perkara yang sia-sia iaitu 
lalai.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1404,Bab Diam Atau Tidak Bersuara Sewaktu Mendengar Khutbah Jumaat)

Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit dan terbenam matahari.

Hadis Jarir bin Abdullah r.a katanya:
Ketika kami duduk di samping Rasulullah s.a.w, tiba-tiba baginda memandang kepada bulan purnama pada malam peperangan Badar, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kamu akan dapat melihat Tuhanmu sebagaimana kamu melihat bulan purnama ini, tiada halangan semasa kamu melihatNya iaitu akan dapat melihat Allah dengan jelas sekiranya kamu mampu, maka janganlah kamu 
lalai dari mendirikan sembahyang sebelum terbit Matahari dan sebelum terbenam Matahari, iaitu sembahyang Asar dan sembahyang Subuh. Kemudian Jarir membaca firman Allah



 وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوْبِهَا 


Yang bermaksud: Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit dan terbenam matahari.

(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1002,Bab Kelebihan Sembahyang Subuh Dan Asar Serta Menjaga Kedua duanya)

Sesungguhnya Ifrit dari kalangan jin telah datang untuk menggodaku semalam agar aku lalai ketika sembahyang

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Ifrit dari kalangan jin telah datang untuk menggodaku semalam agar aku 
lalai ketika sembahyang. Tetapi Allah telah melindungi aku daripadanya sehingga aku dapat menangkapnya iaitu menjerat lehernya. Aku mempunyai keinginan untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga ke waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Kemudian aku menyebutkan kata-kata saudaraku Nabi Sulaiman a.s: رَبِّ اغْفِرْلِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي Tuhanku! Ampunilah aku, berikanlah kepadaku suatu kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh seorang pun selepasku. Maka akhirnya Allah melepasnya secara menolak Ifrit tersebut dalam keadaan rugi, hina dan lemah.

(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #842,Bab Harus Mengutuk Syaitan Ketika Sembahyang Dan Memohon Perlindungan Kepada Allah Daripada Syaitan Serta Boleh Melakukan Gerakan Yang Sedikit Iaitu Angota Ringan Ketika Sembahyang)