Search This Blog

Pages

June 10, 2011

Iman Penyebab Utama Masuk Syurga Dan Orang Yang Mematuhi Apa Yang Diperintahkan Akan Memasuki Syurga

Hadis Abu Ayub Al-Ansariy r.a:
Seorang lelaki kampung yang dalam keadaan musafir telah menghadap Rasulullah s.a.w, lalu dia memegang tali unta baginda. Kemudian lelaki tersebut berkata: Wahai Muhammad! Ceritakanlah kepadaku perkara yang boleh mendekatkanku kepada Syurga dan menjauhkanku dari 
neraka. Rasulullah s.a.w tidak segera menjawab, sebaliknya baginda memandang ke arah para sahabat sambil bersabda: Sesungguhnya dia adalah orang yang telah mendapat petunjuk. Kemudian baginda bertanya kepada lelaki tersebut: Apakah perkara yang engkau tanyakan tadi? Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat dan pulihkanlah hubungan kekeluargaan. Sekarang lepaskanlah unta ini.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #14,Bab Iman Penyebab Utama Masuk Syurga Dan Orang Yang Mematuhi Apa Yang Diperintahkan Akan Memasuki Syurga)

Ancaman Terhadap Perbuatan Mendustakan Rasulullah s.a.w

Hadis Ali r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu cuba mendustakan aku kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan ke dalam api 
neraka.
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2,Bab Ancaman Terhadap Perbuatan Mendustakan Rasulullah s.a.w)

Israk Rasulullah s.a.w Ke Langit Dan Kewajipan Sembahyang

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah. Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan. Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t ...... Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya. Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan sembahyang lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Sembahyang lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu sembahyang dari baginda. Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu sembahyang dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu sembahyang fardu sama dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya.


(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #234,Bab Israk Rasulullah s.a.w Ke Langit Dan Kewajipan Sembahyang)

Pahala Yang Diperolehi Oleh Orang Mukmin Yang Ditimpa Sakit Atau Kesedihan dan Selainnya Walaupun Sekadar Tercucuk Duri

Hadis Aisyah r.a katanya:
Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap orang Islam yang tercucuk duri atau lebih dari itu, dia akan dicatatkan satu 
darjat untuknya disebabkan musibah yang menimpanya itu dan dihapuskan daripadanya satu kesalahan disebabkan musibah tersebut.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4664,Bab Pahala Yang Diperolehi Oleh Orang Mukmin Yang Ditimpa Sakit Atau Kesedihan dan Selainnya Walaupun Sekadar Tercucuk Duri)

Kelebihan Mendirikan Sembahyang Secara Berjemaah Dan Peringatan Supaya Jangan Ketinggalan Dari Mendirikannya

Hadis Ibnu Umar r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sembahyang berjemaah itu lebih baik dari mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh 
darjat iaitu ganjaran.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1038,Bab Kelebihan Mendirikan Sembahyang Secara Berjemaah Dan Peringatan Supaya Jangan Ketinggalan Dari Mendirikannya)

Ahli Syurga Yang Paling Rendah Kedudukannya Di Dalam Syurga

Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Diriwayatkan daripada Abu Az-Zubair r.a katanya: Bahawa beliau pernah mendengar Jabir bin Abdullah r.a ditanya tentang kebangkitan di akhirat. Maka beliau berkata: Kita dibangkitkan pada Hari Kiamat begini dan begini. Lihatlah! Ertinya: Kedatangan manusia itu mengikut 
darjat masing-masing. Lalu dipanggil umat-umat dengan berhalanya dan apa yang mereka sembah suatu ketika dahulu, secara berturutan. Setelah itu, Tuhan datang kepada kita lalu berfirman: Siapakah yang kamu tunggu? Maka mereka pun menjawab: Kami menunggu Tuhan kami. Allah berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka akan berkata: Sehingga kami melihatMu dulu. Terserlah pada mereka Tuhan tertawa. Lalu Dia membawa mereka dan mereka pun mengikuti-Nya. Setiap seorang di antara mereka samada munafik atau mukmin akan diberi nur iaitu cahaya. Kemudian mereka mengikuti cahaya tersebut melalui jambatan Neraka Jahanam, terdapat besi-besi pengait dan berduri yang boleh meragut sesiapa saja yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian nur iaitu cahaya orang-orang munafik padam, sedangkan orang-orang mukmin selamat. Selamatlah rombongan pertama yang terpancar pada wajah mereka bagaikan bulan purnama seramai tujuh puluh ribu orang tanpa dihisab. Kemudian orang-orang berikutnya seperti terangnya bintang-bintang di langit, demikianlah seterusnya. Kemudian syafaat diizinkan. Mereka pun meminta syafaat, sehingga mereka dapat mengeluarkan dari Neraka sesiapa yang melafazkan: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ dan di hatinya terdapat kebaikan seberat biji gandum. Mereka akan ditempatkan di halaman Syurga lalu Ahli Syurga akan memercikkan mereka dengan air sehinggalah daging mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu tumbuhan selepas banjir dan hilanglah hangusnya. Kemudian dia iaitu orang terakhir meminta, sehingga diberikan kepadanya dunia dengan sepuluh kali ganda.
(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #278,Bab Ahli Syurga Yang Paling Rendah Kedudukannya Di Dalam Syurga)

Roh Harum Dan Roh Busuk

Hadith:

DARI Abu Hurairah r.a katanya: "Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit."

Kata Hammad : "Kerana baunya harum seperti kasturi."

Kata penduduk langit: "Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ˜alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam."

Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla.

Kemudian Allah berfirman: "Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat."

Kata Abu Hurairah selanjutnya: "Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya “ kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,"Roh jahat datang dari bumi."

Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman.

Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya: "Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50).

Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat.

Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini.

Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

mStar Online : Roh Harum Dan Roh Busuk

Kelebihan majlis zikir

Hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai
kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit. Baginda bersabda: Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firman-Nya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu. Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari-Mu. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan. Allah berfirman: Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari Neraka-Mu, wahai Tuhan. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Neraka-Ku. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunan-Mu. Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.


(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4854,Bab Kelebihan Majlis majlis Zikir)

Kelebihan mati syahid

Hadis Anas bin Malik r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Setiap jiwa yang mati akan beroleh kebajikan di sisi Allah. Dia (jiwa tersebut) amat menyenangi seandainya beliau dapat kembali semula ke dunia, sekalipun beliau tidak mendapat apa-apa bahagian terhadap dunia dan isinya kecuali sebagai orang yang mati syahid. Sesungguhnya beliau berharap dapat kembali semula ke dunia lalu terbunuh, lantaran mengingatkan 
kelebihan mati syahid yang beliau lihat.


(
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3488,Bab Kelebihan Mati Syahid Di Jalan Allah)