Search This Blog

Pages

February 6, 2010

Cara Solat Malam

Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Seorang lelaki bertanya kepada nabi s.a.w ketika baginda sedang di atas mimbar:”Bagaimanakah caranya solat malam?” Nabi menjawab:”Solat malam dua-dua rakaat dan bila khuatir subuh datang, maka solatlah satu rakaat, bererti kamu telah witir untuk setiap rakaat yang kamu lakukan. Ibnu Umar mengatakan:”Buatlah solatmu yang akhir di waktu malam ganjil (witir) rakaatnya kerana nabi s.a.w menyuruh begitu.”
 
(al-Bukhari)

Tersangat Panas Atau Dingin

Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Apabila udara sangat panas, maka solatlah bila udara sudah agak dingin. Kerana udara yang sangat panas itu bertiup dari neraka jahanam. Dan mengadulah neraka kepada Tuhannya :”Sebahagianku memakan sebahagian yang lain.” Maka Allah mengizinkannya berhembus dua kali, sekali di musim dingin dan sekali di musim panas. Maka itulah yang kamu rasakan, bersangatan panas di musim kemarau dan bersangatan dingin di musim dingin.”
 
(al-Bukhari)
 

Gangguan Solat

Diceritakan oleh Ibnu Umar r.a bahawa nabi s.a.w pernah bersabda ketika perang di Khaibar:”Sesiapa yang memakan buah ini, iaitu bawang, maka janganlah dia mendekati masjid kita ini.”
 
(al-Bukhari)

Tafsiran Mimpi

Dari Samurah r.a diceritakannya daripada Nabi s.a.w perihal mimpi. Sabda Nabi s.a.w:” Sesiapa yang bermimpi seolah-olah kepalanya dipukul orang dengan batu, ertinya orang itu mempelajari al-Quran tetapi tidak diamalkannya dan solat wajib ditinggalkannya.”
 
(Bukhari)

Sunat Melambatkan Waktu Bersahur

Daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: “Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda: “Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh)”. Baginda pun menjawab: “sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat”.
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Membangkitkan Kebahagiaan Dan Keserian Rumah

Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia.”
 
(al-Bukhari)

 

Banyak Cara Untuk Bersedekah

Dari Abu Dzar r.a katanya:”Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:”Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab Rasulullah SAW:”Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.” Mereka bertanya:”Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah SAW “ Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.”

 
(al-Bukhari)


 
 

Allah memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara

Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda:”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “
 
(Bukhari)

Beribadah Mengikut Kemampuan

Dari Anas r.a katanya: Pada suatu ketika Rasulullah SAW masuk ke masjid. Lalu dilihatnya ada sebuah tali terbentang di antara dua batang tiang, maka baginda bertanya:”Tali apakah ini?” Jawab para sahabat, “Tali yang dibentangkan Zainab untuk dia solat. Bila dia malas atau letih, dia berpegang pada tali tersebut.” Sabda baginda SAW:”Bukalah tali itu. Solatlah sesuai dengan kemampuanmu masing-masing; apabila kamu malas atau letih, maka kamu boleh solat sambil duduk.”
 
(al-Bukhari)

Solat musafir

Dari Anas bin Malik r.a katanya:”Biasanya nabi Muhammad s.a.w (dalam masa musafir) apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, baginda menangguhkan sembahyang zohor hingga waktu Asar, kemudian baginda turun (dari kenderaan) lalu baginda menjamakkan keduanya (Zohor dan Asar) (dengan jamak ta’khir); kalaupun baginda berangkat sebelum gelincir matahari, baginda sembahyang Zohor kemudian baginda berangkat (meneruskan perjalanannya). “
 

Pergerakan Di Dalam Solat

Dari Mu’aiqib r.a katanya, nabi s.a.w pernah berkata tentang menyapu tempat sujud ketika solat untuk meratakan atau membersihkannya. Sabda baginda:”Jika memang diperlukan, boleh dilakukan sekali sahaja.”
 
(Muslim)

Sedekah Yang Ditolak

Dari Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)”