Search This Blog

Pages

January 15, 2012

Membaca Tasbih Pada Waktu Pagi Dan Ketika Ingin Tidur

 Hadis Sayidina Ali k.w:
Saidatina Fatimah r.a mengeluh sambil mengilas tangannya. Waktu itu beliau mendengar Nabi s.a.w mendapat seorang tawanan yang boleh dijadikan sebagai khadam. Saidatina Fatimah r.a pergi menemui Nabi s.a.w namun beliau tidak menemui baginda, cuma berjumpa Saidatina Aisyah r.a dan menceritakan maksud kedatangannya. Apabila Rasulullah s.a.w pulang, Saidatina Aisyah r.a terus menceritakan kepada baginda mengenai kedatangan Saidatina Fatimah r.a. Nabi s.a.w kemudiannya pergi menemui kami. Waktu itu kami sedang berada di tempat tidur, kami bangkit untuk menemui baginda lalu baginda bersabda: Tetaplah di tempat kamu. Baginda seterusnya duduk di antara kami sehinggalah aku reda dari memarahinya kemudian baginda bersabda: Inginkah kamu aku ajarkan sesuatu yang lebih baik dari permintaan kamu? Apabila kamu berada di tempat tidur masing-masing, kamu hendaklah membaca takbir اللَّهُ اَكْبَر sebanyak tiga puluh empat kali, tasbih سُبْحَانَ اللَّه sebanyak tiga puluh tiga kali dan tahmid الحَمْدُ لِلَّه sebanyak tiga puluh tiga kali. Semuanya itu adalah terlebih baik dari seorang khadam 

Kelebihan Majlis majlis Zikir

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit. Baginda bersabda: Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firman-Nya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu. Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari-Mu. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga-Ku? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan. Allah berfirman: Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari Neraka-Mu, wahai Tuhan. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Neraka-Ku. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunan-Mu. Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.

Larangan Membunuh Semut

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Dari Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih?.

Kelebihan Sembahyang Subuh Dan Asar Serta Menjaga Kedua duanya

 Hadis Jarir bin Abdullah r.a katanya: 
Ketika kami duduk di samping Rasulullah s.a.w, tiba-tiba baginda memandang kepada bulan purnama pada malam peperangan Badar, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kamu akan dapat melihat Tuhanmu sebagaimana kamu melihat bulan purnama ini, tiada halangan semasa kamu melihatNya iaitu akan dapat melihat Allah dengan jelas sekiranya kamu mampu, maka janganlah kamu lalai dari mendirikan sembahyang sebelum terbit Matahari dan sebelum terbenam Matahari, iaitu sembahyang Asar dan sembahyang Subuh. Kemudian Jarir membaca firman Allah وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوْبِهَا Yang bermaksud: Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit dan terbenam matahari.

Galakan Supaya Berzikir Selepas Sembahyang Serta Cara caranya

 Hadis Abu Hurairah r.a: 
Sesungguhnya orang-orang miskin dari golongan muhajirin telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Orang-orang kaya mendapat kedudukan yang tinggi dan nikmat-nikmat yang kekal. Rasulullah bertanya: Apa itu? Mereka menjawab: Mereka bersembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sementara kami tidak mampu memerdekakannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan sebagaimana yang kamu lakukan itu. Mereka menjawab: Tentu saja, wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu bertasbih سُبْحَانَ اللَّهُ bertakbir اللَّهُ أَكْبَرُ dan bertahmid الحَمْدُ لِلَّهِ setiap kali setelah selesai dari sembahyang sebanyak tiga puluh tiga kali.

Membaca Tasbih Bagi Lelaki Dan Menepuk Tangan Bagi Wanita Jika Mereka Mengalami Sesuatu Ketika Sembahyang

 Hadis Abu Hurairah r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membaca tasbih adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk wanita.

Jemaah Menampilkan Seseorang Untuk Mengimami Mereka Apabila Imam Yang Tetap Terlewat Datang Dan Mereka Tidak Bimbang Akan Berlaku Kecacatan Disebabkan Oleh Penampilan Tersebut


Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: 
Sewaktu Rasulullah s.a.w mengunjungi Bani Amru bin Auf untuk mendamaikan pertikaian di antara mereka, maka tiba waktu sembahyang. Seorang tukang azan datang kepada Abu Bakar lalu berkata: Inginkah kamu mengimami sembahyang bersama orang ramai? Aku akan mengiqamatkannya. Abu Bakar menjawab: Ya. Kemudian Abu Bakar mendirikan sembahyang. Sewaktu orang ramai sedang sembahyang, Rasulullah s.a.w datang. Baginda menyelinap masuk ke saf pertama. Setelah melihat keadaan itu, orang ramai menepuk tangan, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Apabila orang yang menepuk tangan bertambah ramai, beliau menoleh dan melihat Rasulullah s.a.w. Baginda mengisyaratkan kepada Abu Bakar agar tetap berada di tempatnya. Abu Bakar mengangkat kedua tangannya memuji Allah s.w.t sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w lalu Abu Bakar berundur ke belakang sehingga menyamai dengan saf pertama dan Nabi s.a.w pula maju ke hadapan lalu meneruskan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, baginda bersabda: Wahai Abu Bakar! Apakah yang mencegahmu untuk tetap berada di tempatmu ketika aku menyuruhmu? Abu Bakar menjawab: Tidak layak bagi anak Abu Quhafah sembahyang di hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda bersabda lagi: Mengapa kamu semua menepuk tangan? Sesiapa yang mengalami sesuatu ketika sembahyangnya maka hendaklah dia bertasbih kerana apabila seseorang bertasbih dia akan menoleh. Menepuk tangan hanyalah untuk wanita.