Search This Blog

Pages

December 13, 2011

setiap perkara yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat

 Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda:


“Aku wasiatkan kepada kalian agar bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat sekalipun (yang memimpin kalian) adalah seorang budak Habasyi. Maka barangsiapa yang hidup dari kalian (di masa) itu dia akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ Ar Rasyidin yang telah mendapatkan petunj...uk setelahku. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham kalian. Dan berhati-hatilah kalian dari perkara-perkara yang baru (dalam masalah agama), karena setiap perkara yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.” Dalam riwayat lain ada tambahan: “Dan setiap kesesatan tempatnya dineraka.”


[Sunan Abi dawud (5/13), At Tirmidzi dengan Syarah Tuhfatul Ahwadzi (7/438), Ibnu Majah (1/15) dalam Al Muqaddimah, Ahmad (4/126-127), dan Al Hakim dalam Kitabul ‘Ilmi (1/95-97). Dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam kitab Silsilah Ash Shahihah (2/647)]

Cerita Bohong Dan Taubat Penuduh Tetap Diterima

  Hadis Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: 
Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan. Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Ketika aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani telah ditinggalkan oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam sehinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut. Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannya إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ketika dia mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain ucapannya إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak di tangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik. Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya aku rasakan ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di bina berhampiran dengan rumah kami. Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar As-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah! Aku berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar. Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan? Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong. Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku. Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku: Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku? Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya. Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku? Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian. Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul. Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah: Wahai kaum Muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku. Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun berkata: Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu. Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang soleh tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya! Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku. Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis. Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya. Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s: فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ Yang bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi Demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t. Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda. Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat Al-Quran menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ Yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku. Saidatina Aisyah berkata: Lalu Sayidina Abu Bakar orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia memfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat وَلَا يَأْتَلِ أُولُوا الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى sehingga ayat أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ Yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga sehinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu. Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah. Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka! 

Sebahagian Dari Kelebihan Jaafar bin Abu Talib Dan Asma' Binti Umais Serta Tentera Lautnya

 Hadis Abu Musa r.a katanya: 
Telah sampai kepada kami berita keberangkatan Rasulullah s.a.w dan pada ketika itu kami berada di Yaman. Aku dan dua orang saudaraku iaitu Abu Burdah dan Abu Ruhmi bersama dengan orang-orang Muhajirin berangkat menemui Rasulullah s.a.w dan aku merupakan saudara yang terkecil. Abi Musa berkata samada beberapa orang, lima puluh tiga atau lima puluh dua orang dari kaumku menaiki kapal laut. Kami menghalakan kapal kami ke arah pasukan An-Najasyi di Habsyah. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Jaafar bin Abu Talib berserta sahabatnya. Jaafar berkata: Rasulullah s.a.w mengutus dan memerintahkan supaya kami tinggal di sini, maka kamu tinggallah bersama-sama kami. Abu Musa berkata: Kami tinggal bersama beliau sehinggalah kami pulang bersama-sama. Kami menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berjaya membuka Khaibar. Baginda telah membahagikan harta rampasan kepada kami atau dikatakan juga Rasulullah s.a.w memberikan kepada kami sebahagiannya dan Rasulullah s.a.w tidak memberikan harta rampasan tersebut kepada sesiapa pun kecuali kepada tentera yang menyertai pembukaan Khaibar dan kepada pasukan kami yang bersama dengan Jaafar serta sahabat-sahabatnya. Mereka telah membahaginya sesama mereka. Abu Musa berkata: Orang ramai berkata kepada kami iaitu pasukan laut: Kami berhijrah lebih dahulu daripada kamu. Abu Musa berkata: Asma' binti Umais iaitu salah seorang yang menyertai kami menemui Hafsah isteri Nabi s.a.w. Beliau juga telah berhijrah ke Najasyi. Ketika Umar masuk untuk menemui Hafsah, Asma' ada bersamanya. Setelah melihat Asma', Umar berkata: Siapakah ini? Beliau menjawab: Asma' binti Umais. Umar berkata: Adakah ini orang Habsyah yang menyertai angkatan laut? Asma' menjawab: Benar. Umar berkata: Kami lebih dahulu berhijrah daripada kamu, maka kami lebih berhak ke atas Rasulullah s.a.w. Asma' menjawab dengan marah: Wahai Umar! Sesungguhnya kamu berbohong. Aku tahu kamu bersama Rasulullah s.a.w, memberikan makan kepada orang kelaparan dan mengajar orang-orang bodoh, manakala kami yang berada jauh di Habsyah juga adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehinggalah aku memberitahu apa yang kamu katakan kepada Rasulullah s.a.w. Kami juga diseksa dan ditakuti. Aku akan ceritakan kepada Rasulullah s.a.w akan semua itu dan meminta pendapat baginda. Demi Allah, aku tidak akan berdusta, tidak menyeleweng dan tidak menambahi tentang perkara itu. Setelah Rasulullah s.a.w datang, Asma' pun berkata: Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya Umar telah berkata begini dan begini. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada yang lebih berhak terhadapku selain daripada kamu. Umar dan sahabat-sahabatnya hanyalah berhijrah satu kali sedangkan pasukan laut berhijrah sebanyak dua kali. Asma' berkata: Aku melihat Abu Musa dan pasukan laut datang untuk bertanya kepadaku mengenai Hadis tersebut. Tidak ada sesuatu yang lebih gembira dan agong di dunia ini melainkan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada mereka. Abu Burdah berkata: Asma' telah berkata: Aku telah bertemu dengan Abu Musa, beliau meminta semula Hadis ini dariku.

Diharamkan Mengumpat

  Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: 
Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: Perhatikan! Aku akan terangkan kepada kamu apakah dia Al-Adhhu? Ianya adalah umpatan yang biasa diucapkan di kalangan orang ramai. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda: Seseorang yang biasa berlaku jujur, maka beliau akan dicatat sebagai orang yang jujur. Sebaliknya orang yang biasa berbohong (berdusta) maka beliau akan dicatat sebagai pembohong.

Kelebihan Khaidir

 Hadis Ubai bin Kaab r.a: 
Diriwayatkan daripada Said bin Jubair r.a katanya: Aku pernah berkata kepada Ibnu Abbas: Sesungguhnya Naufal Al-Bikali menganggap bahawa Nabi Musa a.s seorang Nabi Bani Israel adalah bukan Nabi Musa a.s yang menjadi sahabat Khaidir Ibnu Abbas berkata: bohong musuh Allah. Aku pernah mendengar Ubai bin Kaab berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Musa a.s pernah berpidato di tengah-tengah Bani Israel lalu Nabi Musa a.s ditanya: Siapakah manusia yang lebih tahu? Beliau menjawab: Akulah orang yang lebih tahu. Allah terus menegurnya kerana beliau tidak mengembalikan pengetahuannya kepada Allah. Allah memberikan wahyu kepadanya: Sesungguhnya seorang hambaKu yang berada di pertemuan dua buah lautan adalah lebih tahu daripada kamu. Selanjutnya Nabi Musa a.s bertanya: Wahai Tuhanku! Bagaimana aku dapat berjumpa dengannya? Dikatakan kepada Musa: Bawalah ikan paus dalam sebuah keranjang. Di mana saja kamu kehilangan ikan tersebut, maka di situlah dia berada. Lalu Nabi Musa a.s berangkat bersama muridnya bernama Yusya' bin Nun. Nabi Musa a.s membawa ikan tersebut di dalam sebuah keranjang. Nabi Musa a.s dan muridnya berangkat secara berjalan kaki sehingga sampai di sebuah batu karang besar yang sangat keras lalu Nabi Musa a.s dan muridnya tidur. Sementara itu, ikan yang berada di dalam keranjang tersebut bergerak dan keluar dari keranjang lalu terjun ke laut. Allah menahan ombak, sehingga menjadi seperti sebuah jambatan supaya ikan tersebut dapat melintasinya. Nabi Musa a.s dan muridnya merasa hairan, mereka meneruskan perjalanan yang masih berbaki pada siang dan malam. Murid Nabi Musa a.s terlupa untuk memberitahunya. Pada suatu pagi Nabi Musa a.s berkata kepada muridnya: آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا Yang bermaksud: Bawalah makanan kemari, sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini. Tetapi Nabi Musa a.s tidak akan merasa letih sebelum beliau sampai ke tempat yang diperintahkan. Muridnya berkata: قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا اَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَ اتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا Yang bermaksud: Tahukah engkau ketika kita mencari tempat berlindung di sebuah batu karang tadi aku terlupa menceritakan tentang ikan itu. Syaitan telah membuatkan aku lupa untuk menceritakannya. Ikan itu telah masuk ke dalam laut dengan cara yang sangat aneh sekali. Seterusnya Nabi Musa a.s berkata: ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا Yang bermaksud: Kalau begitu itulah tempat yang kita cari. Lalu kedua-duanya kembali ke tempat tersebut mengikuti jejak mereka yang dahulu sehinggalah mereka sampai ke tempat batu tersebut. Musa melihat seorang lelaki yang berselimut dengan sehelai pakaian dan itulah Khaidir. Nabi Musa a.s cuba memberi salam kepadanya. Khaidir bertanya kepada Nabi Musa a.s: Bagaimana mungkin ada salam di bumi ini? Nabi Musa a.s berkata: Aku adalah Musa. Khaidir bertanya: Musa Bani Israel? Nabi Musa a.s menjawab: Ya. Khaidir berkata: Sesungguhnya kamu memiliki salah satu ilmu yang telah diberikan Allah kepada kamu dan aku tidak mengetahuinya. Sebaliknya aku juga memiliki salah satu ilmu Allah yang telah diberikan kepadaku dan kamu tidak mengetahuinya. Nabi Musa a.s berkata kepada Khaidir: هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِي مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا Yang bermaksud: Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Khaidir menjawab: Sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku. Bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu kerana kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang perkara itu? Musa a.s berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun. Khaidir menjawab: فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَنْ شَيْءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا Yang bermaksud: Khaidir berkata kepada Nabi Musa a.s: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu bertanya walau apapun sebelum aku sendiri yang menerangkannya kepadamu. Nabi Musa a.s berkata: Baiklah. Maka berangkatlah Khaidir dan Nabi Musa a.s secara berjalan kaki di tepi pantai. Sebuah perahu datang kepada mereka. Mereka bercakap-cakap dengan para penumpangnya agar membawanya. Setelah mereka mengenali Khaidir, mereka membawa keduanya tanpa apa-apa bayaran. Khaidir dengan sengaja mencabut sekeping papan pada perahu tersebut. Nabi Musa a.s berkata kepada Khaidir: Mereka telah membawa kita tanpa apa-apa bayaran tetapi kenapa dengan sengaja kamu lubangi perahu mereka? لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا Yang bermaksud: Kamu menenggelamkan penumpangnya. Bukankah kamu telah membuat suatu kesalahan yang besar? Khaidir berkata: Bukankah aku telah berkata: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersamaku. Nabi Musa a.s berkata: Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku. Seterusnya mereka berdua meninggalkan perahu tersebut. Sewaktu mereka berdua sedang berjalan di tepi pantai, tiba-tiba mereka dapati seorang remaja bermain dengan beberapa orang kawannya. Khaidir memegang kepala seorang kanak-kanak kemudian membongkok lalu membunuhnya. Nabi Musa a.s berkata: أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَاكِيَةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُكْرًا قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا Yang bermaksud: Mengapa kamu bunuh jiwa yang bersih itu? Bukankah beliau tidak membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang mungkar. Bukankah aku telah katakan kepadamu, bahawa kamu tidak akan sabar bersamaku? Ini sudah keterlaluan daripada yang pertama. Khaidir berkata: قَالَ إِنْ سَأَلْتُكَ عَنْ شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي قَدْ بَلَغْتَ مِنْ لَدُنِّي عُذْرًا فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ Yang bermaksud: Seterusnya Nabi Musa a.s berkata: Jikalau aku bertanya lagi kepadamu tentang sesuatu, maka aku tak akan mengikutimu. Sesungguhnya kamu cukup memahami akan aku. Mereka berdua meneruskan perjalanan. Ketika mereka berdua sampai ke sebuah negeri mereka meminta supaya dijamu oleh penduduk negeri itu. Tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka. Kemudian keduanya mendapati dalam negeri itu terdapat dinding rumah yang hampir roboh. Lalu Khaidir menegakkan dinding itu. Nabi Musa a.s berkata: Jika kamu mahu, kamu boleh mengambil upah. Khaidir mengisyaratkan tangannya dan menegakkan dinding tersebut. Nabi Musa a.s berkata kepada Khaidir: Orang-orang yang kita datangi tidak mahu menerima kita sebagai tetamu dan tidak mahu menjamu kita. لَوْ شِئْتَ لَتَخِذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَم تَسْتَطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا Yang bermaksud: Jika kamu mahu, bolehlah kamu mengambil upahnya dari pekerjaanmu itu. Khaidir berkata: Inilah perpisahan kita. Aku akan memberitahumu tujuan perbuatan-perbuatanku yang membuatkan kamu tidak sabar terhadapnya. Rasulullah s.a.w bersabda: Semoga Allah merahmati Nabi Musa a.s. Aku amat suka sekiranya Nabi Musa a.s dapat bersabar sehingga beliau dapat menceritakan kepada kita tentang pengalaman mereka berdua. Rasulullah s.a.w bersabda: Tindakan Nabi Musa a.s yang pertama memang kerana terlupa. Baginda bersabda: Seekor burung pipit terbang lalu singgah di tepi perahu tersebut dan mematuk di laut. Lalu Khaidir berkata kepada Nabi Musa a.s: Ilmu kita, jika dikaitkan dengan ilmu Allah, adalah seperti patokan seekor burung pipit pada lautan.

Mimpi Nabi s.a.w

 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: 
Pada suatu hari Musailamah Al-Kazzab datang ke Madinah pada zaman Nabi s.a.w dan berkata: Jika Muhammad menyerahkan urusan kepadaku sepeninggalannya, nescaya aku mahu mengikuti jejaknya. Lalu Musailamah kembali berkumpul dengan kaumnya. Kemudian Nabi s.a.w bersama dengan Thabit bin Qais bin Syammas berangkat menemui Musailamah. Ketika itu Nabi s.a.w membawa sepotong pelepah kurma. Setelah Nabi s.a.w berada di hadapan Musailamah berserta teman-temannya, baginda bersabda: Sekalipun kamu meminta kepadaku sepotong kayu ini, tidak akan aku berikan kepadamu. Aku tidak akan menyerang kamu. Hal itu adalah urusan Allah terhadap dirimu. Jika kamu berpaling, nescaya Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya aku telah bermimpi tentang kamu dan ini adalah Thabit yang akan memberikan jawapannya kepada dirimu. Kemudian baginda beralih meninggalkan Musailamah. Ibnu Abbas berkata: Aku bertanya berkenaan sabda Nabi s.a.w bahawa aku bermimpi tentang kamu. Kemudian dijawab oleh Abu Hurairah sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi melihat sepasang gelang emas berada di tanganku. Sepasang gelang tersebut sangat menarik perhatianku. Di dalam tidur itu, aku mendapat wahyu supaya meniup sepasang gelang tersebut. Setelah aku tiup ternyata sepasang gelang tersebut terang. Maka aku tafsirkan mimpi itu bahawa akan muncul dua pembohong sepeninggalku. Salah seorang darinya ialah Al-Ansi dari daerah Sanaa (Yaman) kemudian yang keduanya ialah Musailamah dari daerah Yamamah.