Search This Blog

Pages

September 26, 2011

Larangan Berpuasa Sepanjang Masa Bagi Orang Yang Jika Berpuasa Akan Memudaratkan, Akan Menghilangkan Haknya Atau Orang Yang Tidak Berbuka Pada Dua Hari Raya, Hari Tasyrik Serta Keterangan Tentang Kelebihan Berpuasa Sehari Dan Berbuka Sehari

Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah diberitahu bahawa aku pernah berkata: Aku akan beribadat di waktu malam dan akan berpuasa pada siang hari sepanjang hidupku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkaukah yang telah berkata demikian? Aku berkata kepada baginda: Akulah yang telah berkata demikian wahai Rasulullah s.a.w! Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau tidak akan berkuasa melakukannya. Baginda menambah: Berpuasa dan berbukalah. Tidur dan beribadatlah di waktu malam. Berpuasalah tiga hari dalam sebulan kerana satu kebajikan itu akan dibalas dengan sepuluh kebajikan yang menyamai berpuasa setahun. Lalu aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: Aku mampu melakukan lebih dari itu. Baginda bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah dua hari. Aku berkata kepada baginda: Aku mampu berbuat lebih dari itu. Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah cara puasa Nabi Daud a.s dan puasa yang sederhana. Aku berkata lagi: Aku masih mampu berbuat lebih dari itu. Baginda bersabda: Tiada yang lebih baik dari itu. Abdullah bin Amru r.a berkata: Tentu saja aku terima berpuasa tiga hari sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w yang aku lebih cintai daripada isteri dan hartaku. Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1962

Puasa Nabi s.a.w Pada Bulan Lain Selain Dari Bulan Ramadan Dan Disunatkan Tidak Membiarkan Satu Bulan Pun Berlalu Tanpa Berpuasa

Hadis Anas r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w selalu berpuasa sehingga ada yang mengatakan baginda seolah-olah berpuasa terus-menerus dan pernah juga baginda tidak berpuasa sehingga ada yang mengatakan baginda jarang sekali berpuasa.
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1961

Bab Puasa Nabi s.a.w Pada Bulan Lain Selain Dari Bulan Ramadan Dan Disunatkan Tidak Membiarkan Satu Bulan Pun Berlalu Tanpa Berpuasa

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w tidak pernah berpuasa satu bulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Baginda akan berpuasa jika ingin berpuasa, sehingga seseorang pernah berkata: Demi Allah, baginda tidak berbuka. Baginda juga pernah tidak berpuasa begitu lama sehingga seseorang pernah berkata: Demi Allah, baginda seperti tidak pernah berpuasa iaitu hanya berpuasa sekali sekala sahaja.
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1959

Makan, Minum Dan Bersetubuh Kerana Terlupa Tidak Membatalkan Puasa

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1952

Kelebihan Berpuasa Di Jalan Allah Bagi Orang Yang Mampu, Tanpa Ada Kemudaratan Dan Tidak Meninggalkan Haknya

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1948

Kelebihan Berpuasa

Hadis Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 
Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1947

Menjaga Lidah Bagi Orang Yang Berpuasa

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1941

Mengganti Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Hadis Ibnu Abbas r.a: Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata:
 Ibuku telah meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti selama sebulan. Baginda bertanya kepada wanita itu dengan sabdanya: Bagaimana pendapatmu jika ibumu itu masih mempunyai hutang, adakah kamu akan membayarnya? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dibayar. 


Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1936

Mengganti Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Hadis Saidatina Aisyah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
 Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti, maka diwajibkan ke atas walinya supaya berpuasa sebagai gantinya. 


Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1935

Qadha Iaitu Mengganti Puasa Bulan Ramadan Di Dalam Bulan Syaaban

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Aku mempunyai puasa ganti bulan Ramadan tetapi aku tidak berkuasa menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban disebabkan kesibukan dari Rasulullah s.a.w atau kesibukan dengan Rasulullah s.a.w. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1933

Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa jika hanya pada hari Jumaat sahaja melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.
 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1929

Makruh Berpuasa Jika Hanya Pada Hari Jumaat Sahaja

Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan daripada Muhammad bin Abbad r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah r.a ketika beliau sedang melakukan tawaf di Baitullah: Adakah Rasulullah s.a.w melarang dari berpuasa pada hari Jumaat sahaja? Beliau menjawab: Ya, demi Tuhan Baitullah ini.
 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1928

Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Hadis Ibnu Umar r.a: Seorang lelaki datang menemui Ibnu Umar lalu berkata: Aku telah bernazar untuk berpuasa satu hari yang kebetulan bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Aidilfitri. Ibnu Umar r.a berkata: Allah telah memerintahkan agar menunaikan janji dan Rasulullah s.a.w melarang berpuasa pada hari ini. 
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1924,

Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu, iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka dari bulan Ramadan (Aidilfitri).


 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1922

Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Hadis Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a katanya: Dua hari ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w dari berpuasa. Hari kamu berbuka dari puasa kamu iaitu puasa Ramadan dan satu lagi pada hari kamu makan setelah mengerjakan ibadat Haji.


 Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1920

Sesiapa Yang Makan Pada Waktu Siang Hari Asyura, Hendaklah Dia Berpuasa Pada Baki Harinya

Hadis Ar-Rubaiyyi' binti Muawwiz bin Afra' r.a katanya: Pada hari Asyura, Rasulullah s.a.w telah mengirimkan surat ke perkampungan-perkampungan Ansar di sekitar Madinah yang berbunyi: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat dari bulu biri-biri. Jika ada di antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan tersebut sehingga tiba waktu berbuka.
Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1919,

Sesiapa Yang Makan Pada Waktu Siang Hari Asyura, Hendaklah Dia Berpuasa Pada Baki Harinya

Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengutuskan seorang lelaki dari Kaum Aslam pada hari Asyura supaya melaungkan kepada orang ramai tentang sesiapa yang tidak berpuasa, hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang telah terlanjur makan, hendaklah dia menyempurnakan hari tersebut dengan berpuasa sehingga menjelang malam.

Berpuasalah kamu pada hari Asyura

Hadis Abu Musa r.a katanya: Hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan menjadikannya sebagai Hari Raya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah kamu pada hari Asyura tersebut.