Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Seburuk-buruk tempat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah tempat suami yang telah saling percaya-mempercayai dengan isterinya, tetapi kemudian si suami membuka rahsia peribadi isterinya sendiri.” (Muslim) |
April 7, 2010
Larangan Membuka Rahsia Pasangan
Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia
Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”. Riwayat Muslim |
Mati Dalam Perbuatan Syirik
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:“Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara: Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua, atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ianya adalah seburuk buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari qiamat pada hal hari qiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya” Riwayat Hadith At-Tarmizi |
Sikap Yang Baik
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka.” Riwayat Muslim |
Keberkatan Doa
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." Abu al-Darda' r.a |
Tanda-tanda Kiamat
Nabi s.a.w sabdanya: "Tidak akan berlaku saat kiamat sehingga orang yang tidak tentu saka bakanya, yang buruk akhlaknya, dan yang bodoh bebal, menjadi sebahagia-bahagia manusia dengan kesenangan dunia." Huzaifah r.a |
Menjaga Kemuliaan Rasulullah
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku beberapa sahabat serta Ia jadikan di antara mereka menteri-menteriku, mertua-mertua dan menantu-menantuku, juga penolong-penolongku; oleh sebab itu sesiapa yang memburuk-buruk dan mencaci mereka, maka tertimpalah diatasnya laknat Allah dan Malaikat serta manusia seluruhnya; Allah tidak akan menerima daripadanya sebarang ibadat dan juga sebarang tebusan." 'Uwaimi bin Sa'idah |
Bohong sunat
Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.” (Bukhari) |
Tidak Mendapat Pahala Puasa Selain Dari Lapar Dan Dahaga
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (al-Bukhari) |
Larangan Mempercayai Tukang Tilik
Dari Aisyah r.a katanya:.”Ramai orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda:”Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi:” Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih.” (Muslim) |
Golongan Yang Tidak Dipandang allah s.w.t
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong”. Riwayat Muslim |
Menjaga Kerukunan Hidup Bermasyarakat
Dari Abi Hurairah r.a katanya : “Telah bersabda Rasulullah SAW : “ Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya. Riwayat Muslim |
Tipu Muslihat Dalam Peperangan
Jabir Ibnu Abdillah r.a berkata:” Nabi SAW bersabda:”Peperangan itu adalah tipu muslihat.” (Bukhari dan Muslim) |
Tipu Daya
Dari Huzaifah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Dajal selalu membawa air dan api. Api itu sebenarnya adalah air sejuk, sedangkan air sebenarnya adalah api. Kerana itu waspadalah kamu agar tidak celaka. (muslim) |
Jangan Berbohong
Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Saya dengar nabi SAW bersabda:”Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak.” (Bukhari) |
Berbohong Satu Pengkhianatan
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.” (Abu Daud) |
Pinjam-meminjam
Sabda Nabi s.a.w : Daripada Abu Hurairah r.a. : “ Bahawa Rasul s.a.w bersabda: Tunaikanlah/Kembalikanlah barang amanah itu kepada orang yang telah memberikan amanah kepadamu dan janganlah engkau mengkhianati janji walaupun kepada orang yang pernah memungkiri janji kepadamu “ Riwayat Abu Daud dan Tarmizi |
Ciri-ciri Orang Munafik
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “. Riwayat Ahmad |
Subscribe to:
Posts (Atom)