Search This Blog

Pages

June 6, 2011

Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam

Hadis Huzaifah r.a:
Sayidina Umar r.a pernah bertanya aku ketika aku bersamanya. Katanya: Siapakah di antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah s.a.w meriwayatkan tentang fitnah? Para sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya. Sayidina Umar bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab: Ya, benar. Sayidina Umar berkata: Fitnah tersebut boleh dihapuskan oleh sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, siapakah di antara kamu yang pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda tentang fitnah yang bergelombang sebagaimana lautan bergelombang? Huzaifah berkata: Para sahabat terdiam. Kemudian Huzaifah berkata: Aku, wahai Umar! Sayidina Umar berkata: Engkau. Lantas Sayidina Umar memuji dengan berkata ayahmu adalah milik Allah. Huzaifah berkata: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #207,Bab Islam Bermula Dalam Keadaan Asing dan Akan Kembali Juga Dalam Keadaan Asing dan Ia Hanya Akan Didapati Di Masjid masjid)

Solat pada waktunya amalan paling utama

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan baginda.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #120,Bab Beriman Kepada Allah Taala Merupakan Amalan Yang Paling Utama)

Iman Seseorang Berkurang Kerana Berkurang Ketaatan

Hadis Abdullah bin Umar r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka. Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka? Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.

(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #114,Bab Iman Seseorang Berkurang Kerana Berkurang Ketaatan Iaitu Ibadat Dan Keterangan Terhadap Penggunaan Lafaz Kufur Kepada Perkara Lain Selain Dari Kufur Kepada Allah, Seperti Kufur Kepada Nikmat Dan Hak hak Iaitu Kewajipan)

Kekafiran Seorang Yang Menyatakan: Kita Dituruni Hujan Oleh Bintang tertentu

Hadis Zaid bin Khalid Al-Juhaniy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang bersama kami di Hudaibiah, selepas hujan turun pada malam tersebut. Setelah selesaisembahyang, baginda menghadap kepada kaum Muslimin, lalu bersabda: Tahukah kamu apa yang telah difirmankan oleh Tuhan kamu? Para kaum Muslimin menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, lalu baginda bersabda: Allah berfirman: Di antara hamba-hambaKu, ada yang beriman kepadaKu dan ada yang kafir. Maka sesiapa yang menyatakan: Kita dituruni hujan dengan anugerah dan rahmat Allah, orang itu beriman kepadaKu dan tidak beriman terhadap bintang-bintang. Sebaliknya orang yang berkata: Kita dituruni hujan oleh bintang ini atau bintang itu, maka orang tersebut kafir terhadapKu dan beriman kepada bintang-bintang.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #104,Bab Kekafiran Seorang Yang Menyatakan: Kita Dituruni Hujan Oleh Bintang tertentu)

Agama Adalah Nasihat

Hadis Jarir bin Abdullah r.a katanya:
Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w untuk selalu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat baik terhadap setiap Muslim.

(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #83,Bab Agama Adalah Nasihat)

Melarang Kemungkaran Itu Sebahagian Dari Iman

Hadis Abu Said r.a:
Diriwayatkan daripada Tariq bin Syihab r.a katanya: Orang pertama yang berkhutbah pada Hari Raya sebelum sembahyang Hari Raya didirikan ialah Marwan. Seorang lelaki berdiri lalu berkata kepadanya: sembahyang Hari Raya hendaklah dilakukan sebelum membaca khutbah. Marwan menjawab: Sesungguhnya kamu telah meninggalkan apa yang ada di sana. Kemudian Abu Said berkata: Orang ini benar-benar telah membatalkan apa yang menjadi ketentuan kepadanya sedangkan beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya iaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #70,Bab Melarang Kemungkaran Itu Sebahagian Dari Iman. Iman Akan Bertambah Dan Berkurang. Menyuruh Berbuat Baik Dan Melarang Dari Kemungkaran Kedua duanya Merupakan Suatu Kewajipan)

Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka


Hadis Itban bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Beliau berkata: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musala iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyangsementara para sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikansembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ Para sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #48,Bab Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga)
Hadis Abu Said r.a: 

Perintah perangi manusia hingga ucap dua kalimah syahadah

Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat. Sesiapa yang melakukannya bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali dibenarkan oleh syariat Islam dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya.

Perintah Memerangi Manusia Sehingga Mereka Mengucap Dua Kalimah Syahada

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Sayidina Abu Bakar r.a terus memegang teraju pemerintahan sebagaimana yang diamanahkan oleh baginda s.a.w. Keadaan ini menyebabkan beberapa kelompok masyarakat Arab bertukar kembali menjadi kafir. Sayidina Umar r.a bertanya Sayidina Abu Bakar: Bagaimana kamu akan memerangi manusia sedangkan Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali apa yang dibenarkan oleh syariat dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya. Abu Bakar menjawab: Demi Allah aku akan memerangi mereka yang membezakan antara sembahyangdan zakat kerana zakat merupakan tuntutan terhadap harta. Demi Allah, andai-kata mereka enggan membayar zakat tersebut sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #29,Bab Perintah Memerangi Manusia Sehingga Mereka Mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ Mendirikan Sembahyang, Mengeluarkan Zakat Serta Mempercayai Apa Yang Dibawa Oleh Nabi s.a.w. Sesiapa Yang Melakukan Semua Tuntutan Tersebut Nescaya Terpeliharalah diri dan Hartanya Kecuali Apa Dibenarkan Oleh Syarak Untuk Meninggalkannya Serta Berserahlah Kepada Allah s.w.t. Memerangi Orang Yang Tidak Mahu Mengeluarkan Zakat Atau Tidak Mahu Menunaikan Tuntutan Islam Yang Lain. Pemimpin Yang Mengambil Berat Terhadap Syariat Islam.)

Menyeru Kepada Dua Kalimah Syahadat

Hadis Muaz r.a katanya:
Aku diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Engkau akan mendapati golongan Ahli Kitab, oleh itu dakwahlah mereka supaya mengucap Dua Kalimah Syahadat. Jika mereka menerima Dua Kalimah Syahadat tersebut, ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sekiranya mereka tetap mentaati perintah tersebut, ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka agar mengeluarkan zakat. Jika mereka tetap mentaatinya, beritahulah mereka supaya berhati-hati terhadap harta mereka yang sangat disayangi dan takutlah doa orang yang teraniaya kerana doa mereka adalah mustajab.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #27,Bab Menyeru Kepada Dua Kalimah Syahadat Dan Syariat syariat Islam)

Perintah Supaya Beriman Kepada Allah s.w.t

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Rombongan Abdul Qais telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Kami berasal dari perkampungan Rabi'ah. Hubungan kami dan engkau terhalang oleh orang-orang kafir Bani Mudhar. Oleh itu kami tidak dapat datang menemuimu kecuali pada bulan Haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Oleh yang demikian, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang mampu kami lakukan dan kami sampaikan kepada orang lain. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memerintahkan kamu empat perkara dan melarang kamu empat perkara. Iaitu beriman kepada Allah. Kemudian baginda menjelaskannya kepada mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengeluarkan satu perlima dari harta rampasan perang. Manakala aku melarang kamu agar tidak membuat arak di dalam bekas yang diperbuat dari labu, bekas yang diperbuat dari campuran tanah, rambut dan darah, bekas yang diperbuat secara melubangkan batang pokok atau bekas yang dilumurkan dengan tar.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #23,Bab Perintah Supaya Beriman Kepada Allah s.w.t Dan Rasul Nya s.a.w. Hukum hukum Agama Serta Seruan Kepadanya. Menuntut Ilmu, Memelihara Dan Menyampaikannya Kepada Orang Yang Tidak Sampai Seruan)

Rukun Islam

Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Islam ditegakkan di atas lima perkara iaitu mengesakan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan Haji.


(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #19,Bab Rukun rukun Islam Dan Tuntutannya Yang Agung)

Iman Penyebab Utama Masuk Syurga

Hadis Abu Hurairah r.a:
Seorang lelaki kampung telah datang menghadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku memasuki Syurga. Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang sebagaimana yang difardukan dan keluarkanlah zakat yang diwajibkan serta berpuasa pada bulan Ramadan. Lalu orang itu berkata: Demi Allah yang berkuasa ke atas diriku, aku tidak akan menambah atau menguranginya sama sekali apa yang telah dijelaskan kepadaku. Setelah orang itu beredar Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sesiapa yang ingin melihat ahli Syurga maka lihatlah kepada lelaki ini.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #16,Bab Iman Penyebab Utama Masuk Syurga Dan Orang Yang Mematuhi Apa Yang Diperintahkan Akan Memasuki Syurga)

Pertanyaan Mengenai Rukun Islam

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Kami dilarang bertanya sesuatu kepada Rasulullah s.a.w. Maka kami merasa amat bertuah apabila seorang kampung yang cukup bijak datang menghadap Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepada baginda di mana kami dapat mendengar perbualannya. Kemudian datang pula seorang lelaki dari daerah pendalaman lalu bertanya baginda: Wahai Muhammad! Utusanmu telah datang kepada kami dan menyatakan kepada kami bahawa engkau telah diutuskan oleh Allah. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Sekiranya benar, siapakah yang menciptakan langit? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Lelaki tersebut bertanya lagi: Siapakah yang menciptakan bumi? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Siapakah yang menegakkan gunung-ganang dan menjadikannya sebagaimana sekarang? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Lelaki tersebut terus bertanya: Demi Pencipta langit dan bumi serta menegakkan gunung-ganang, adakah Allah yang telah mengutuskanmu? Rasulullah s.a.w. menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki itu bertanya lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mendirikan sembahyang sebanyak lima waktu sehari semalam. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut bertanya: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengeluarkan zakat dari harta kami. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu juga mendakwa bahawa kami diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan setiap tahun. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengerjakan Haji di Baitullah, sekiranya berkemampuan. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Memang benar. Kemudian lelaki tersebut beredar sambil berkata: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak akan menambah atau mengurangi apa yang telah engkau jelaskan. Setelah mendengar kata-kata lelaki tersebut, baginda pun bersabda: Sekiranya dia membenarkan sebagaimana yang diucapkannya nescaya dia akan masuk Syurga.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #13,Bab Pertanyaan Mengenai Rukun Islam)

Sembahyang Merupakan Salah Satu Dari Rukun Islam

Hadis Talhah bin Ubaidillah r.a katanya:
Seorang penduduk Najd telah datang menghadap Rasulullah s.a.w dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah s.a.w dia terus bertanya mengenai Islam. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam. Lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakahsembahyang lain yang diwajibkan kepada ku? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu sembahyang sunat. Seterusnya kamu hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan. Lalu lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah puasa lain yang diwajibkan kepada ku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu puasa sunat. Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya: Keluarkanlah zakat. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Adakah terdapat zakat lain yang diwajibkan kepadaku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin mengeluarkannya secara sukarela iaitu sedekah. Kemudian lelaki itu beredar sambil berkata: Demi Allah, aku tidak akan menambah dan menguranginya. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia amat beruntung sekiranya membenarkan iaitu menepati apa yang telah diucapkannya.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #12,Bab Sembahyang Merupakan Salah Satu Dari Rukun Islam)

Apakah yang dimaksudkan dengan Iman, Islam & Ihsan?

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan. Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam? Baginda bersabda: Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan perkara lain, mendirikan sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bilakah Hari Kiamat akan berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan majikannya maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya penggembala kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيْمٌ خَبِيرٌ Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya. Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ. Rasulullah s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati lelaki tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah Jibril a.s. Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka.
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #10,Bab Keterangan Tentang Iman, Islam Dan Ihsan. Wajib Beriman Kepada Ketentuan Dari Allah s.w.t. Tanda tanda Orang Yang Tidak Beriman Dengan Ketentuan Allah Dan Memesongkan Kebenaran)