Search This Blog

Pages

February 5, 2010

2 Waktu Diharamkan Solat

Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Janganlah kamu menunggu-nunggu waktu (solat) kerana sengaja hendak solat tepat pada waktu matahari terbit dan jangan pula pada waktu matahari terbenam.”

Imam Menghadap Makmum Setelah Selesai Solat

Musa bin Ismail menyampaikan kepada kami, daripada Jarir bin Hazam, daripada Abu Raja’, daripada Samurah bin Jundab katanya:’Apabila nabi s.a.w selesai menunaikan solat, baginda menghadap mukakanya kepada kami."

 

Disiplin Dalam Solat

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:”Bersabda Muhammad s.a.w.:” Tiadakah takut orang yang mendahului imam mengangkatkan kepala sebelum imam, bahwa Allah akan mengubah kepalanya menjadi keldai?”
  

Huraian
Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat. Melaksanakan solat mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan yang merupakan sebahagian daripada disiplin yang wajib dilaksanakan. Demikian juga solat turut membentuk disiplin pelakunya terutama jika kita solat berjamaah yang menuntut supaya menghormati imam (ketua) dan tidak boleh mendahului imam dalam setiap pergerakan. Oleh itu jika seseorang itu sentiasa menjaga disiplinnya dalam bersolat nescaya dia juga akan menjadi efisien di dalam pekerjaan yang dilakukannya.

Jom Ke masjid !

Dari Ubai bin Kaab r.a katanya:”Ada seorang lelaki yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan bersolat jamaah. Kata orang kepadanya:”Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap atau di panas terik.” Dia menjawab:”Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan masjid kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku.” Sabda Rasulullah SAW :”Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi mu.”


Huraian
Begitu indah ‘panggilan Allah’ sehingga orang yang benar-benar beriman akan segera berganjak dari kesibukan mereka untuk segera menyahut panggilan-Nya. Demikian juga banyak sekali keutamaan yang diberikan kepada mereka yang memakmurkan rumah Allah (masjid). Maka sesuai dengan kemajuan hari ini juga, banyak surau-surau dan masjid yang cantik dibina bagi memudahkan kita untuk solat berjemaah. Apatah lagi jika surau atau masjid itu terletak berdekatan dengan kediaman kita. Tidak perlu kita berkenderaan untuk ke sana. Namun kelazimannya manusia sentiasa tidak bersyukur di atas nikmat tersebut yang jika direnungkan amat ketara sekali pengabaiannya. Ini terbukti apabila kebanyakan masjid tinggal terbiar, sunyi sepi tanpa dimakmurkan oleh ahli kariah masing-masing sedangkan fungsi masjid amat luas iaitu selain menjadi tempat mendirikan solat ia juga berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti ceramah, majlis ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Hari ini apa yang menjadikan masjid meriah hanyalah jika tiba bulan puasa dan hari raya. Meskipun kedudukan masjid tidak jauh ternyata kita tidak tertarik untuk ke sana. Kata orang, hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tetapi jika hendak ke masjid, meskipun tidak hujan, panas, jauh sekali ribut petir kita tetap tidak pergi ke masjid. Betapa kita menilai bahawa pemberian gaji dan pemberian pahala itu seakan sesuatu yang asing. Kerja untuk dunia dan solat untuk akhirat. Sedangkan kerja juga suatu ibadah yang ganjarannya selain datang dari manusia yang berupa gaji, ia juga datang daripada Allah yang dengan sifat Pemurah-Nya memberikan kita rezeki (melalui kerja tersebut) dan Dia jugalah yang memberikan kita pahala jika kerja itu diniatkan sebagai ibadah yang dilakukan kerana Allah. Maka kita selaku manusia sewajarnya bersyukur kepadanya dengan datang beramai-ramai ke masjid untuk memakmurkan rumah-Nya yang sekalipun kita tidak diberi gaji untuk itu tetapi yang penting kita dikurniakan pahala dan keberkatan oleh-Nya. Bukankah itu sebaik-baik jalan bagi manusia menuju kesejahteraan hidup memandangkan bahawa bumi ini adalah milik Allah dan kita hanyalah makhluk yang kerdil yang menumpang sementara di atasnya. Justeru hidupkanlah masjid sebagai tempat untuk menunaikan ibadah secara berjemaah selain mendirikannya di rumah secara sendirian ataupun bersama keluarga!

Seperti Ayam Mematuk Padi!

Anas r.a bercerita katanya:” Nabi SAW pernah memendekkan solat beliau, tetapi beliau melakukannya dengan sempurna.”

 
(Bukhari)

Curian Syaitan

Dari Aisyah r.a katanya:” Aku bertanya kepada Rasulullah SAW perihal menoleh atau berpaling di dalam solat.” Jawab baginda:”Hal itu adalah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang.” 


Huraian
Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat seperti memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat adalah mempamerkan sifat tidak berdisiplin seseorang itu ketika bersolat. Hal ini amat ditegah kerana Rasulullah SAW pernah memperkatakannya dalam sabda baginda yang bermaksud: Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain" (al-Bukhari dan Abu Daud ; fath al-Bari, 2/304 ) Juga sebuah hadith lain ada menyebut yang maksudnya: "Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (at-Tirmidzi) Justeru, difahami dari tegahan ini bahawa kita disuruh agar menumpukan hati dan minda kepada Allah SWT semasa solat dan tidak lalai atau dilalaikan oleh sesuatu yang lain kerana itu adalah satu helah syaitan (curian syaitan) untuk menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT.

Pembesar Melalaikan Solat

Dari Abu Dzar r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku:”Bakal terjadi sesudahku, di mana para pembesar melalaikan solat. Kerana itu solatlah kamu tepat pada waktunya. Jika kamu solat kembali bersama mereka, maka itu adalah suatu keuntungan (sunat) bagimu. Jika tidak maka sesungguhnya kamu sudah menjaga solatmu.”

 

Solat Sunat Sesudah Jumaat

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu solat Jumaat, maka kerjakanlah sesudah itu solat (sunat) empat rakaat.”
 
(Muslim)

Solat Dalam Keadaan Tenang

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Apabila dibacakan iqamat sembahyang, janganlah kamu semua tergesa-gesa pergi untuk menunaikan sembahyang, tetapi hendaklah berjalan dengan baik dan tertib, hendaklah kamu semua bersifat tenang. Tunaikanlah sembahyang mengikut rakaat yang kamu sempat mengikuti imam dan apabila imam memberi salam, maka hendaklah kamu menyempurnakan mana-mana rakaat yang tertinggal.”
 
al-Bukhari & Muslim

jika lupa solat kerjakan bila ingat

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:” Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”
 
Riwayat al-Bukhari