Search This Blog

Pages

May 10, 2010

Balasan Membebaskan Hutang



Dari Abdullah bin Abu Qatadah r.a, katanya:”Abu Qatadah mencari seseorang yang berhutang kepadanya dan menghilangkan diri. Kemudian orang itu ditemuinya. Dia berkata kepada Abu Qatadah,:”Aku sedang dalam kesulitan.” Maka berkata Abu Qatadah:“Demi Allah! Demi Allah! Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,:”Sesiapa yang ingin dibebaskan Allah dari kesulitan pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelapangan bagi orang-orang yang dalam kesulitan atau membebaskannya dari hutang.”
 
(Muslim)

Malu Itu Sebahagian Daripada Iman

Dari Salim bin Abdullah r.a dari ayahnya, katanya:”Nabi s.a.w lalu di hadapan seorang Ansar yang sedang mencela saudaranya kerana saudaranya itu pemalu. Maka sabda rasulullah s.a.w kepadanya:”Biarkanlah dia! Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.”
 
(Bukhari)

Sunat Bagi Yang Sanggup



Dari Abdullah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi.”
 
(Muslim)

Pemberian Ansar Kepada Muhajirin


Dari Anas bin Malik r.a, katanya:”Waktu orang Muhajirin datang ke Madinah, mereka tidak membawa suatu apapun sedangkan orang Ansar mempunyai tanah, kebun dan rumah-rumah. Orang Ansar lalu membahagikan tanah itu dengan memberikan hasil harta itu kepada orang Muhajirin setiap tahun dan mereka (muhajirin) mencukupkan kerja dan belanja. Ibunya (ibu Anas dikenali dengan nama Ummu Sulaim) adalah ibu Abdullah bin Abu Thalhah. Ibu Anas memberikan pohon kurma kepada Rasulullah saw. lalu baginda berikannya kepada Ummu Aiman, maula baginda (hamba perempuan yang telah dimerdekakan dan diambil sebagai isteri) iaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu Syihab berkata:”Anas bin Malik menceritakan kepada saya bahawa nabi saw. setelah selesai memerangi penduduk Khaibar, baginda kembali ke Madinah. Waktu itu orang Muhajirin mengembalikan pemberian orang Ansar yang buahnya dahulu telah mereka ambil. Nabi saw. mengembalikan kepada ibu Anas pohon kurmanya dan Rasulullah saw. memberikan gantinya kepada Ummu Aiman dari kebun beliau sendiri.”
 
(Bukhari)

Tanpa Syak Dan Ragu-ragu


Daripada Abdullah bin Umar r.a., katanya : Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi S.A.W. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata : "Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah S.A.W. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka?"…Setelah itu aku pun berhenti dari menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda : "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya, tidak keluar dari mulutku ini melainkan yang benar."
 
(Abu Daud)

Cara Wudhuk Rasulullah S.a.w Hadith :

Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: “Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk .”
 
(Muslim )

Mencapai Darjat Kesempurnaan


Dari Nu’aim bin Abdullah r.a katanya, dia melihat Abu Hurairah berwudhuk. Dia mencuci muka dan tangannya hingga sampai ke batas bahu. Kemudian dicucinya kedua kakinya hingga sampai ke betis. Sesudah itu dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesungguhnya umatku akan datang kelak di hari kiamat bercahaya-cahaya wudhuknya. Maka siapa yang dapat melebihi batas-batas yang wajib, lebihkanlah”
 
(Muslim)