Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Apabila kamu bangun dari tidurmu, hendaklah kamu istintsar (membersihkan lubang hidungmu) tiga kali kerana syaitan tidur di dalamnya.”
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:”Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka.”
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”
Dari Jabir r.a katanya:”Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja.”
Dari Abdullah r.a katanya:”Diceritakan kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki yang tidur sepanjang malam sampai Subuh. Maka bersabda baginda Rasulullah SAW: “Orang itu telah dikencingi oleh syaitan di kedua-dua telinganya.”
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.”
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah S.W.T sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah S.W.T, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan “(Yarhamukallah)”. Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya.”
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata:”Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”
Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Apabila kamu bangun dari tidurmu, hendaklah kamu istintsar (membersihkan lubang hidungmu) tiga kali kerana syaitan tidur di dalamnya.”
Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w memulai solat baginda dengan takbir. Sesudah itu baginda membaca surah al-Fatihah. Apabila baginda rukuk, kepalanya tidak mendongak dan tidak pula terlalu menunduk, tetapi pertengahan (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung). Apabila baginda bangkit dari rukuk, baginda tidak sujud sebelum baginda berdiri lurus lebih dahulu. Apabila baginda mengangkat kepala dari sujud (pertama) baginda tidak sujud (kedua) sebelum duduknya antara kedua sujud itu tepat benar lebih dahulu. Tiap-tiap selesai dua rakaat baginda membaca Tahiyat sambil duduk menghimpit kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Baginda melarang duduk seperti syaitan duduk atau seperti binatang buas duduk. Dan baginda menyudahi solat dengan membaca salam.”
Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya:”Ingatlah apa yang belum kamu ingat!” Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.”
Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis:(1)Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, (3) dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain.”
Dari Abu Sa’id al-Khudri, dari bapanya r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Apabila seseorang kamu menguap, maka hendaklah ia menutup mulutnya kerana syaitan dapat masuk.”
Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka.”
Dari Aisyah r.a, isteri Rasulullah s.a.w, dia menceritakan bahawa pada suatu malam rasulullah s.a.w pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah:’Kerana itu aku cemburu kepada beliau. Setelah beliau kembali, dia memperhatikan tingkahlaku ku dan baginda bertanya:”Mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?” jawabku:”Bagaimana wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti anda? Tanya baginda:”Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?” Jawab Aisyah:”Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?” Jawab baginda :”Ya!” Aku bertanya:”Aku sendiri juga?” Jawab baginda:”Ya! Tapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat.”
Dari Aisyah r.a katanya:”Abu Bakar datang ke rumahku, dan ketika itu di rumahku ada dua orang gadis Ansar sedang menyanyikan lagu yang pernah dinyanyikan orang dalam peperangan Bu’ats. Dan keduanya bukanlah gadis penyanyi yang sesungguhnya. Maka berkata Abu Bakar:”Kenapa sampai ada seruling syaitan di rumah Rasulullah s.a.w ?” Hari itu adalah hari’Id. Maka bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Abu Bakar! Setiap kaum mempunyai hari raya (‘Id) dan hari ini adalah hari raya kita.”
Dari Anas r.a katanya:”Tatkala Rasulullah s.a.w menakluk Khaibar, kami menangkap keldai di luar kota lalu kami memasaknya. Tiba-tiba datang pesuruh Rasulullah s.a.w berseru:” Perhatian! Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang kamu semua memasak daging keldai kerana daging keldai itu najis (dan memasaknya) termasuk perbuatan syaitan.” Maka dibalikkan orang periuk sehingga isinya tumpah semuanya.”
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya di Madinah terdapat sekelompok jin yang telah Islam. Maka sesiapa yang telah melihat jin-jin ini, beri izinlah dia tinggal selama tiga hari. Jika sesudah tiga hari telah diperingatkan supaya pergi, tetapi dia masih kelihatan, bunuhlah. Kerana itu adalah syaitan.”
Dari Aisyah r.a katanya:” Aku bertanya kepada Rasulullah SAW perihal menoleh atau berpaling di dalam solat.” Jawab baginda:”Hal itu adalah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang.”
Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”
Anas bin Malik r.a berkata adalah nabi SAW apabila masuk ke dalam tandas mengucapkan “Wahai Tuhan ku, sesungguhnya aku berlindung dengan engkau daripada syaitan jantan dan syaitan betina
Ibnu Abbas r.a meriwayatkan katanya: “Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawan mereka supaya membantah kamu. Sabda Nabi SAW : “Mereka berkata: “Binatang yang disebutkan nama Allah, janganlah kamu memakannya dan binatang yang tidak disebutkan nama Allah, maka hendaklah kamu memakannya.” Maka Allah berfirman : “Maka janganlah kamu makan binatang yang tidak disebutkan nama Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Segerakanlah solat subuh sebelum matahari terbit. Sebab ketika itulah para pengikut syaitan sedang keluar dari sarangnya. Ketika itu pula orang-orang kafir tengah bersujud kepada matahari.”
Rasulullah s.a.w menyebut perihal Dajal serta menyatakan: "…..Sebenarnya Dajal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah); ……Sebenarnya ia akan keluar di satu tempat di antara negeri Syam dengan negeri Iraq, serta ia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang ia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan - mewah makmur, dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya - susah meleset; dan dengan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang - mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur;juga menjadikan orang muda yang kuat gagah dibelah dua badannya, sepotong dicampakkan jauh dari satu lagi, kemudian diserunya, lalu kedua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya; demikian juga mana-mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam Syurganya yang dirasai oleh orang itu sebagai Neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai Syurga; dan lain-lain lagi)." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Wahai sekalian hamba Allah, setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!" Kami bertanya: "Ya Rasulullah! Berapa lama ia bermaharajalela di bumi?" Baginda s.a.w menjawab: "Empat puluh hari - hari yang pertama: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang kedua: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang ketiga: Seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: Seperti hari-hari kamu yang biasa." Kami bertanya lagi: "Ya Rasulullah! Jika demikian, hari yang panjangnya seperti setahun iu misalnya cukupkah kami mengerjakan padanya sembahyang untuk sehari?" Baginda s.a.w menjawab: "Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan;"….Baginda s.a.w menerangkan lagi: "Semasa Dajal itu bermaharajalela, Allah hantar turun Nabi Isa anak Mariam lalu ia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik…..maka Nabi Isa pun mengejar Dajal sehingga dapat menawannya di pintu kariah yang bernama: "Lud", lalu membunuhnya. Setelah itu datanglah suatu kaum yang Allah selamatkan dari bencana Dajal itu menghadap Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa hapuskan kesan kedukaan dan kesedihan dari air muka mereka dengan menyatakan: Bahawa Dajal telah pun dibunuh, serta mengembirakan mereka denga darjat-darjat kedudukan mereka dalam Syurga;" Nabi s.a.w menerangkan lagi: "Bahawa semasa Nabi Isa sedang menerangkan perkara-perkara yang menggembirakan mereka, Allah wahyukan kepada Nabi Isa dengan firmannya: "Bahawa Aku telah mengeluarkan sekumpulan hamba-hambaKu (Ya'juj wa Ma'juj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapa pun memerangi mereka; oleh itu maka bawalah hamba-hambaKu yang bersama-samamu berlindung di bukit Tursina; setelah itu Allah keluarkan Ya'juj wa Ma'juj dan mereka pun meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi….; Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya pun terkepung lama di bukit itu sehingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka dari seutas dinar kepada seseorang kamu sekarang; lalu Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu kepada Allah supaya membinasakan musuh mereka, maka Allah s.w.t hantarkan ulat-ulat menyerang batang leher Ya'juj wa Ma'juj itu,mereka pun mati bergelimpangan dengan serentak seperti matinya satu jiwa. Kemudian Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya turun dari bukit itu, lalu mereka dapati tidak ada barang sejengkal pun di bumi melainkan penuh dengan bau hapak dan busuk disebabkan bangkai Ya'juj wa Ma'juj itu; maka Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu lagi kepada Allah lalu Allah Taala hantarkan kumpulan burung yang batang lehernya seperti batang leher unta, maka kumpulan burung itu pun mengangkut serta mencampakkan bangkai-bangkai itu ke tempat yang dikehendaki Allah. Kemudian Allah Taala turunkan hujan lebat yang sebarang bangunan tidak dapat menahan airnya daripada meliputi serta mencuci muka bumi sehingga menjadi bersih dan rata seperti cermin. Kemudian Tuhan berfirman kepada bumi: Tumbuhkanlah tanamanmu serta keluarkanlah buahmu, dan kembalikanlah segala nikmatmu"; maka pada masa itu sebilangan orang boleh kenyang dengan memakan sebiji buah delima, dan boleh berteduh dengan kulitnya; dan pada masa itu juga diberkatkan Tuhan pada susu sehingga susu seekor unta perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu kaum yang besar jumlahnya, dan susu seekor lembu perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu qabilah; dan susu seekor kambing perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu suku kaum." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Semasa manusia sedang menikmati kemakmuran dan kemewahan yang tersebut tiba-tiba Allah menghantar sejenis angin yang baik….lalu mengambil nyawa tiap-tiap orang yang baik - mukmin dan muslim, dan tinggallah sahaja orang-orang jahat dengan keadaan bercakaran sesama sendiri dan berhubung jenis seperti haiwan, maka pada zaman mereka inilah berlakunya hari kiamat." (Dan pada satu riwayat yang lain: "Kemudian Allah menghantar sejenis angin yang sejuk nyaman, yang datangnya dari arah negeri Syam, maka pada saat itu tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang terdapat dalam hatinya seberat zarah kebaikan atau iman melainkan diambil nyawanya oleh angin itu." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Maka tinggallah sahaja orang-orang jahat yang cepat bergerak melakukan maksiat dan kedurhakaan secepat burung terbang, dan yang menceroboh serta menzalimi satu sama lain seperti binatang buas; mereka tidak suka dan tidak mengenal perkara yang baik, dan tidak benci serta tidak melarang daripada melakukan perkara yang buruk. Pada saat itu syaitan menyamar diri kepada mereka serta bertanya: "Tidak malukah kamu meninggalkan jalan mendampingkan diri kepada Allah? Tidak mahukah kamu menurut ajakanku? Maka mereka pun bertanya: Jika demikian apa yang engkau suruh kami lakukan? Syaitan pun menyuruh mereka menyembah berhala untuk mendampingkan diri mereka dengan Tuhan (konon), mereka menerima ajakan Syaitan itu lalu menyembah berhala, sedang rezeki mereka mencurah-curah dan penghidupan mereka baik dan mewah; kemudian ditiup sangkakala, yang pertama, yang mematikan segala yang bernyawa….")
Rasulullah s.a.w memerintahkan daku dengan bersabda: "Hendaklah engkau memohon perlindungan Allah daripada angkara syaitan-syaitan manusia dan jin". Aku pun meminta penjelasan Baginda s.a.w, dengan berkata: "Ya Rasulullah! Adakah manusia juga menjadi syaitan-syaitan?" Baginda menjawab: "Ya! Benar!".
Rasulullah s.a.w bersabda dalam khutbahnya: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku telah memerintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu mengetahuinya dari perkara-perkara yang diajarkannya kepadaku pada hari ini, iaitu (Tuhanku berfirman): "Segala harta benda yang Aku berikan seseorang mendapatnya dengan mana-mana jalan yang Aku benarkan: Adalah Halal; dan sesungguhnya Aku telah jadikan hamba-Ku semuanya suci bersih (dari fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan semula jadinya; dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh syaitan-syaitan sehingga sebahagian besar di antara mereka menyeleweng dan terpesong dari ajaran agamanya yang sebenar…."
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan."
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya yang tersebut, berkatalah Malaikat yang ditugaskan untuk itu: "Aamin, dan engkau pula akan beroleh seperti itu juga."