Search This Blog

Pages

April 15, 2010

Keutamaan Membaca Surah Al-baqarah

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”
 
Riwayat Muslim

Larangan Duduk Di Atas Kubur


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Jika kamu duduk di atas bara api, lalu terbakar baju dan kulitmu, itu lebih baik bagimu daripada duduk di atas kubur.”
 
(Muslim)

Siksa Kubur Itu Benar!

Dari Abu Ayyub r.a katanya:”Rasulullah s.a.w pernah keluar rumah sebelum Maghrib, maka terdengar oleh baginda suatu suara. Kata baginda: Itu suara Yahudi sedang disiksa dalam kuburnya.”
 
(Muslim)

Ketetapan ajal


Dari Abdullah r.a katanya:”Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri nabi s.a.aw berdoa:”Ya Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suamiku, Rasulullah s.a.w dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudaraku Muawiyah.” Maka bersabda nabi s.a.w :”Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah) memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya serta rezeki yang yang sudah dibahagi-bahagikan yang tak dapat disegerakan sebelum tiba waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan sejak mula. Seandainya engkau memohon kepada Allah Taala perlindungan dari siksa neraka atau dari siksa kubur itu lebih baik dan lebih bagus.”
 
(Muslim)

Hormatilah Jenazah


ari Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah! Sesiapa yang turut mengiringkannya ke kuburan, jangan duduk sampai jenazah itu diletakkan orang.”
 
(Muslim)

Sejahat-jahat Makhluk


Dari Aisyah r.a. katanya,:”Sesungguhnya ummu Habibah dan Ummu Salamah ada menyebutkan kepada nabi gereja yang dilihatnya di negeri Habsyah, bahawa di dalam gereja itu ada sejumlah patung. Sabda nabi s.a.w,:”Sesungguhnya orang-orang itu jika yang meninggal di antara mereka orang soleh, mereka membuatkannya masjid di atas kuburannya dan mereka buatkan patungnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.”
 
(al-Bukhari)

Setiap Hukum Ada Hikmahnya


Dari Abdullah bin Buraidah r.a, dari bapanya katanyarasulullah s.a.w bersabda:”Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah. Aku pernah melarang kamu memakan daging korbanmu lebih dari tiga hari, sekarang simpanlah sekadar yang kamu perlukan. Aku pernah melarang kamu minum minuman anggur kecuali dengan gelas biasa, sekarang minumlah dengan apa jua bekas minuman. Tetapi jangan sekali-kali kamu minum minuman yang memabukkan.”
 
(Muslim)

Keutamaan Membaca Surah Al-baqarah


Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”
 
Riwayat Muslim

Soalan Di Dalam Kubur


Dari Asma’ r.a katanya:”Pada masa (hidup) Rasulullah s.a.w pernah terjadi gerhana matahari. Lalu aku pergi menemui ‘Aisyah dan kudapati dia sedang solat. Aku bertanya kepadanya,”Mengapakah orang banyak mengerjakan solat?” Dia memberikan isyarat kepadaku dengan kepalanya (mendongak) ke langit. Aku bertanya, “Ayat? (tanda kebesaran Allah?)” Jawab ‘Aisyah, “Ya! Tanda kebesaran Allah!” Rasulullah s.a.w lama sekali berdiri (dalam solat), sehingga aku pusing (pening). Lalu aku mengambil air satu qirbah dan kubawa dekat denganku. Kemudian kubasahi kepala dan mukaku. Kata ‘Asma selanjutnya,”Ketika Rasulullah s.a.w telah selesai solat dan matahari telah terang kembali, baginda berkhutbah di hadapan orang ramai. Mula-mula baginda memuji dan menyanjung Allah. Sesudah itu baginda bersabda, antara lain:”Tidak ada sesuatu pun yang belum pernah kulihat melainkan telah kusaksikan dalam solatku sebentar tadi, syurga dan neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku bahawa kamu semua akan disoal di dalam kubur, atau seperti fitnah (bencana) dajjal. Masing-masing kamu akan didatangi lalu disoal,:”Apa pengetahuanmu tentang orang (Muhammad) ini?”Orang-orang yang beriman dengan yakin akan menjawab,:”Dia adalah Muhammad, Rasulullah. Dia datang kepada kami membawa keterangan-keterangan dan petunjuk lalu kami terima dan kami patuhi.” Pertanyaan itu berulang-ulang sampai tiga kali. Sesudah itu dia disuruh tidur. Katanya,:”Kami sudah tahu bahawa kamu betul-betul beriman dengannya.Kerana itu tidurlah dengan nyenyak.” Adapun orang-orang yang munafiq dan orang-orang yang ragu dalam kepercayaan mereka, maka jawab mereka,:”Aku tidak tahu apa-apa. Aku dengar orang ramai mengatakan begitu dan begini, lalu kuucapkan pula.”
 
(Muslim)


Dua Perkara Yang Mendatangkan Azab


Ibnu Abbas menceritakan :”Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :”Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar.” Kemudian baginda melanjutkan perkataannya,:”Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.” Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:”Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?” Jawab baginda “Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.”
 
(Bukhari)

Hukum Menziarah Kubur


Daripada Aisyah r.a katanya: “Rasulullah s.a.w melarang kami (kaum wanita) menziarahi kubur tetapi kemudian beliau membolehkan dan mengizinkan kami.”
 
Riwayat Al- Hakim


Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit


Dari Ummi Salamah katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya, kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)"; (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda s.a.w bersabda: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan - baik atau buruk", kemudian Baginda s.a.w berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya."
 
Ummi Salamah

Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur


Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiga perkara akan menurut orang mati ke kuburnya, kemudian dua daripadanya akan balik dan tinggal satu bersama-samanya - ia akan diturut oleh keluarganya, hartanya dan amalnya, kemudian keluarganya dan hartanya akan balik, dan tinggallah amalnya bersama-sama dengannya."
 
Anas bin Malik r.a

Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur


Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila si mati dikuburkan….., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama "Munkar" dan yang satulagi disebut dengan nama "Nakir", (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:"Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (dan pada satu riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: "Apa yang engkau pernah sembah?" Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: "Aku menyembah Allah!" Kemudian ia ditanya lagi: "Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: "Siapa Tuhanmu?" Ia menjawab: "Tuhanku ialah Allah!" Mereka bertanya lagi: "Apa agama mu?" Ia menjawab: "Agamaku ialah Islam!" Mereka bertanya lagi: "Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?" Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: "Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!" Mereka berkata kepadanya: "Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian"; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga". "Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: "Tidurlah!" Lalu ia berkata: "Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?" Dua Malaikat itu berkata kepadanya: "Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: "Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak". Lalu dua Malaikat itu berkata: "Memang kami tahu engkau berkata demikian"; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya."
 
Abu Hurairah r.a


Kepentingan Mengingati Mati


Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".
 
Abu Sa'id r.a

Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur


Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari tempat-tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika seseorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika ia tidak terselamat dari yang tersebut, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih berat lagi.
 
'Uthman bin 'Affan r.a

Keberkatan Hari Jumaat



Nabi s.a w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan dua Malaikat untuk menulis segala apa yang dilakukan atau dituturkan oleh seseorang hamba-Nya (satu disebelah kanannya dan yang satu lagi disebelah kirinya); kemudian apabila orang itu mati….maka Tuhan perintahkan kedua Malaikat itu dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu berdua tinggal tetap di kubur hamba-Ku itu serta hendaklah kamu mengucapkan tasbih, tahmid dan takbir hingga ke hari qiamat dan hendaklah kamu menulis pahalanya untuk hamba-Ku itu." Dan pada satu Athar, ada disebutkan bahawa kedua Malaikat itu melaknat si mati hingga ke hari Kiamat - jika ia seoarang kafir.
 
Anas r.a

Melampau Dalam Berduka


Dari Abu Musa r.a katanya:”Saya berlepas daripada orang yang Rasulullah berlepas diri daripadanya. Rasulullah saw berlepas diri daripada orang-orang yang berkabung dengan berteriak-teriak, mencukur kepala dan mengoyak-ngoyak baju.”
 
(Bukhari)

Jangan Meratapi Jenazah


Dari Abdullah r.a katanya, Nabi SAW bersabda: ”Tidak termasuk golongan kami orang yang menampar–nampar pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti teriakan jahiliyyah (kerana meratapi mayat) .”
 
(al-Bukhari)