Search This Blog

Pages

October 12, 2011

Hadis tentang korban 1

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w bersama-sama kami, tiba-tiba baginda tersengguk-sengguk seperti mengantuk, kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Kami bertanya: Apakah yang melucukan kamu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Baru seketika aku diturunkan satu surah, lalu baginda membaca:بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ 
Yang bermaksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya. Kemudian baginda bertanya: Kamu tahukah, apa yang dimaksudkan dengan Al-Kausar? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Ia adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku, ianya mempunyai berbagai kebaikan. Ianya juga berbentuk sebuah kolam yang dikunjungi oleh umatku pada Hari Kiamat nanti iaitu untuk mengambil airnya. Disediakan bekas sebanyak bintang di langit. Kemudian salah seorang dari umatku ditarik dari kumpulan mereka. Lantas aku berkata: Wahai Tuhanku, dia adalah salah seorang umatku. Lalu Allah berfirman: Kamu tidak mengetahui apakah yang telah dilakukannya selepas kewafatanmu. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #607,Bab Dalil Bagi Orang Yang Berpendapat Bahawa Basmalah Merupakan Salah Satu Dari Permulaan Ayat Pada Setiap Awal Surah Kecuali Surah Baraah) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 


Hadis Rafi' bin Khadij r.a katanya: Kami telah mendirikan sembahyang Asar bersama Rasulullah s.a.w. Kemudian binatang korban disembelih lalu dibahagikan menjadi dua belas bahagian, seterusnya dimasak. Kami memakan daging yang segar, sebelum terbenamnya matahari. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #990,Bab Galakan Bersegera Mendirikan Sembahyang Asar) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


 Hadis Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1468,KITAB SEMBAHYANG DUA HARI RAYA) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu, iaitu Hari Raya korban (Aidiladha) dan hari berbuka dari bulan Ramadan (Aidilfitri). (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1922,Bab Larangan Berpuasa Pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Hadis Kaab bin Ujrah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menemuiku pada tahun peristiwa Hudaibiah. Ketika itu aku sedang menyalakan api. Al-Qawaririy berkata: Di bawah bekas memasak milikku. Abu Ar-Rabie' pula berkata: Di bawah periukku dan kutu terdapat di wajahku. Baginda bertanya kepadaku: Adakah kutu di kepalamu itu menyakitkanmu? Aku jawab: Ya! Baginda bersabda: Cukurlah dan berpuasalah tiga hari, berilah makan enam orang miskin atau korbankanlah seekor kambing. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2080,Bab Harus Bagi Orang Yang Berihram Mencukur Rambut Jika Ada Penyakit Di Atas Kepalanya Atau Sakit Dan Diwajibkan Membayar Fidyah Serta Penjelasan Kadarnya) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mengerjakan Haji Tamattu' pada tahun Haji Wida' secara mengerjakan Umrah dan Haji dengan satu Ihram. Kemudian baginda membayar Dam iaitu menyembelih binatang yang dibawa bersamanya dari Zul Hulaifah. Baginda memulakan dengan Ihram Umrah kemudian Ihram Haji. Para sahabat juga turut sama mengerjakan Haji secara Tamattu' dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka membayar Dam dan sebahagiannya tidak. Ketika Rasulullah s.a.w tiba di Mekah baginda telah bersabda: Sesiapa di antara kamu yang telah membayar Dam, mereka belum lagi dihalalkan apa yang telah diharamkan sehinggalah mereka selesai mengerjakan Haji. Bagi sesiapa yang belum membayar Dam hendaklah melakukan Tawaf di Baitullah, bersaie antara Safa dan Marwah serta bercukur ataupun menggunting rambut dan bertahallul. Kemudian hendaklah berihram Haji dan membayar Dam. Bagi sesiapa yang tidak mampu membayar Dam hendaklah berpuasa tiga hari ketika masih berada di Tanah Suci dan tujuh hari setelah kembali ke tanah air. Rasulullah s.a.w melakukan Tawaf Qudum setibanya di Mekah, dimulai dengan mengucup Hajarulaswad kemudian berlari-lari anak sebanyak tiga pusingan dari tujuh pusingan dan berjalan sebagaimana biasa sebanyak empat pusingan. Sebaik sahaja selesai melakukan Tawaf di Baitullah, baginda kemudiannya mendirikan sembahyang dua rakaat di makam Ibrahim. Selepas salam baginda menuju ke bukit Safa lalu bersaie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Baginda belum lagi menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan sehinggalah selesai Haji dan menyembelih Dam pada hari Nahr (10 Zulhijah) iaitu pada Hari Raya korban. Kemudian baginda kembali ke Mekah untuk melakukan Tawaf Wida' di Kaabah, setelah mereka dihalalkan melakukan apa yang telah diharamkan sebelumnya. Orang yang membawa atau menyembelih Dam juga melakukan sebagaimana apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2159,Bab Wajib Membayar Dam Bagi Orang Yang Mengerjakan Haji Tamattu'. Jika Tidak Dibayar, Mereka Diwajibkan Berpuasa Selama Tiga Hari Ketika Masih Berada Di Tanah Suci Dan Tujuh Hari Setelah Kembali Ke Tanah Air) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


 Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w berihram Umrah manakala para sahabat berihram Haji. Nabi s.a.w tidak bertahallul begitu juga dengan sahabat-sahabat yang membawa binatang korban sedangkan sahabat-sahabat yang lain bertahallul. Oleh kerana Talhah bin Ubaidullah adalah termasuk dari kalangan sahabat yang membawa binatang korban maka dia juga tidak bertahalul. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2177,Bab Hukum Berihram Umrah Dalam Bulan Haji Iaitu Haji Tamattu') xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 


Hadis Anas r.a: Setelah Sayidina Ali k.w kembali dari Yaman, Nabi s.a.w bertanya kepadanya: Bagaimana kamu berniat Haji dan bertalbiah? Sayidina Ali k.w menjawab: Aku berniat Haji dan bertalbiah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda: Kalaulah aku tidak membawa binatang korban tentu aku telah bertahalul. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2193,Bab Niat Dan Bacaan Talbiah Nabi s.a.w Serta Waktu Menyembelih Binatang Korban) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 


Hadis Anas bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w tiba di Mina lalu menuju ke Jamrah dan melontar. Kemudian baginda kembali ke kediamannya di Mina lantas menyembelih korban. Baginda bersabda kepada tukang cukur: Cukurlah! Sambil menunjukkan bahagian sebelah kanan kepala baginda, kemudian sebelah kiri. Setelah itu rambut baginda diberikan kepada para sahabat. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2298,Bab Penjelasan Bahawa Perkara Yang Disunatkan Pada Hari Raya Korban Ialah Melontar Terlebih Dahulu, Kemudian Menyembelih Korban Dan Disudahi Dengan Bercukur. Semasa Bercukur Hendaklah Dimulai Dari Sebelah Kanan Kepala Orang Yang Dicukur) xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx 


Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah berdiri di Mina untuk menjawab pertanyaan orang ramai ketika mengerjakan Haji Wida'. Seorang lelaki datang lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah bercukur secara tak sengaja sedangkan aku belum menyembelih korban. Baginda bersabda: Sembelihlah korban, itu tidak mengapa. Kemudian datang seorang lelaki lain lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah menyembelih korban secara tidak sengaja sedangkan aku belum melontar. Baginda bersabda: Melontarlah, itu tidak mengapa. Abdullah bin Amru bin Al-As berkata: Setiap kali Rasulullah s.a.w ditanya tentang sesuatu yang telah terlanjur dilakukan (tidak sengaja), baginda hanya bersabda: Lakukanlah! Itu tidak mengapa. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2301,Bab Orang Yang Mencukur Rambut Sebelum Menyembelih Korban Dan Orang Yang Menyembelih Sebelum Melontar)

No comments:

Post a Comment