Hadis Abu Syuraih Al-Adawi r.a:
Sesungguhnya beliau pernah berkata kepada Amru bin Said, yang telah mengutus beberapa orang utusan ke Mekah: Izinkan aku wahai Amir! Untuk menceritakan kepada kamu satu ucapan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah. Aku mendengar sendiri sabda baginda dengan kedua telinga aku, dengan hati yang khusyuk dan dengan kedua pasang mata aku terus menatap baginda. Setelah memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah, baginda bersabda: Sesungguhnya Allahlah yang mengharamkan Mekah, bukan manusia yang mengharamkannya. Maka diharamkan bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat menumpahkan darah di Kota Mekah atau memotong pokok-pokok di dalamnya. Jika ada seseorang yang mempersoalkan keringanan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w dalam hal ini, katakan saja kepada mereka; sesungguhnya Allah memang mengizinkan kepada Rasul-Nya tetapi tidak mengizinkannya kepada kamu. Sebenarnya aku sendiri pun hanya diizinkan seketika sahaja di waktu siang hari kemudian kembali diharamkan. Pengharaman yang berlaku hari ini adalah sebagaimana sebelumnya. Jadi, hendaklah orang yang hadir iaitu menyaksikan, menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir.
No comments:
Post a Comment