Search This Blog

Pages

November 20, 2011

Masalah Ila'. Menjauh Dan Memberikan Pilihan Kepada Isteri, Serta Firman Allah Taala: وَإِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ Yang bermaksud: Dan Jika Kamu Berdua Membantu Menyusahkan Nabi

 Hadis Umar bin Al-Khattab r.a: 
Ketika Nabi s.a.w menjauhi isteri-isteri baginda, aku masuk ke dalam masjid. Aku melihat orang ramai menghentak-hentakkan kaki ke tanah sambil berkata: Rasulullah s.a.w telah menceraikan isteri-isterinya. Itu terjadi sebelum isteri-isteri Nabi diperintah supaya memakai hijab. Umar berkata: Aku yakin ada kejadian penting pada hari itu. Aku terus menemui Aisyah r.a dan bertanya: Wahai puteri Abu Bakar! Apakah perbuatan yang telah kamu lakukan sehingga menyakiti Rasulullah s.a.w? Aisyah r.a menjawab: Apa urusanmu denganku, wahai putera Al-Khattab? Kamu nasihatilah sahaja puterimu sendiri. Aku segera menemui Hafsah r.a dan aku berkata kepadanya: Wahai Hafsah! Apakah perbuatan yang telah kamu lakukan sehingga menyakiti Rasulullah s.a.w? Demi Allah, aku tahu bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak menyukaimu. Seandainya tidak ada aku, pasti Rasulullah s.a.w telah menceraikan kamu. Mendengar ucapan itu lalu Hafsah menangis tersedu-sedu. Aku bertanyakan kepadanya: Di mana Rasulullah s.a.w berada? Dia menjawab: Di tempat pengasingannya. Aku terus menuju ke sana. Di situ aku bertemu dengan Rabah pelayan Rasulullah s.a.w yang sedang duduk berhampiran dengan pintu sambil melunjurkan kedua kakinya pada sekeping papan. Untuk menemui Rasulullah s.a.w mesti melalui tangga. Dari jauh aku memanggil Rabah: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah s.a.w. Rabah memandang ke arah kamar Rasulullah s.a.w lalu beralih pula memandang aku tanpa berkata apa-apa. Aku mendekatinya dan berkata: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah s.a.w. Sekali lagi Rabah hanya diam sambil matanya memandang ke arah kamar Rasulullah s.a.w kemudian beralih memandangku tanpa berkata apa-apa. Kemudian dengan suara yang agak kuat aku berkata kepadanya: Wahai Rabah! Izinkan aku untuk menemui Rasulullah. Katakan kepada Rasulullah, bahawa kedatanganku adalah untuk membicarakan tentang Hafsah. Demi Allah! Jika baginda memerintahkan aku supaya memukul tengkuknya akan aku laksanakan perintah baginda itu. Akhirnya Rabah memberikan isyarat kepadaku supaya menaiki tangga. Aku segera masuk menemui Rasulullah s.a.w aku melihat baginda sedang berbaring di atas sebidang tikar. Lalu aku duduk berhampiran dengan baginda. Aku lihat baginda menurunkan kain yang satu-satunya digunanya oleh baginda. Ketika itu aku melihat kesan tikar pada pinggang baginda. Kemudian aku layangkan pandanganku ke sekitar kamar. Tidak banyak barang yang ada di situ kecuali hanya segantang biji gandum terletak di sudut kamar, sebidang kulit iaitu belulang binatang yang belum sempurna disamak dan beberapa barang lain yang tidak berharga sehinggalah aku menitiskan air mata. Melihat keadaan itu Rasulullah bertanya: Kenapa kamu menangis, wahai putera Al-Khattab? Dengan suara tersedu-sedu aku menjawab: Wahai Nabi Allah! Bagaimana aku tidak menangis melihat keadaan kamu yang sangat menyedihkan ini dan tikar yang memberi kesan padamu? Jauh sekali dengan apa yang dinikmati oleh Kaisar dan Raja-raja di sana, sedangkan kamu wahai Rasulullah s.a.w hanya memiliki ini. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai putera Al-Khattab! Mahukah kamu sekiranya akhirat menjadi bahagian kita dan dunia menjadi bahagian mereka? Aku menjawab: Sudah tentu aku mahu. Setelah melihat wajah Rasulullah s.a.w sudah mulai kelihatan berseri-seri tidak seperti waktu pertama kali aku masuk, aku memberanikan diri untuk bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah yang memberatkan kamu tentang wanita-wanita iaitu isteri-isteri? Jika kamu ceraikan isteri-isteri kamu sekalipun maka Allah serta seluruh Malaikat-Nya, Jibril, Mikail, aku, Abu Bakar dan seluruh orang mukmin akan tetap bersama kamu. Aku berharap mudah-mudahan perkataanku itu dibenarkan oleh Allah. Kemudian turunlah ayat takhyir yang menyuruh untuk memilih: عَسَي رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنّ وَإِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَوْلَاهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمَلَائِكةُ بَعْدَ ذَلِكَ ظَهِيْرٌ Yang bermaksud: Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu. Jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah pelindungnya dan begitu pula Jibril dan orang-orang mukmin yang baik serta selain dari itu Malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Pada saat itu Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah memang bersepakat untuk mempengaruhi isteri Nabi s.a.w yang lain. Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! Adakah kamu akan menceraikan mereka? Baginda menjawab: Tidak! Kemudian aku jelaskan kepada baginda, bahawa sewaktu aku sedang berada di masjid, aku melihat orang ramai masih lagi menghentakkan kaki ke tanah sambil berkata: Rasulullah s.a.w telah menceraikan isteri-isterinya. Kemudian aku berkata kepada baginda: Adakah perlu aku memberitahu mereka bahawa sebenarnya kamu tidak menceraikan isteri-isteri kamu? Baginda bersabda: Baiklah, jika kamu mahu. Lalu aku berbicara dengan baginda tentang berbagai perkara, akhirnya aku lihat baginda benar-benar reda dari kemarahannya. Bahkan baginda sudah mampu tersenyum dan tertawa. Kemudian kami sama-sama turun dari kamar melalui tangga. Aku berhati-hati semasa menuruni tangga itu, tidak seperti Rasulullah yang kelihatan seperti berjalan di atas tanah dan tangannya tidak berpegang pada apa-apapun. Sebaik saja sampai di bawah. Aku berkata kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungghnya kamu berada di dalam kamar itu selama dua puluh sembilan hari. Baginda bersabda: Sesungguhnya satu bulan itu memang ada dua puluh sembilan hari. Aku terus menuju ke masjid dan berdiri di pintunya dan dengan suara yang kuat aku melaungkan: Rasulullah s.a.w tidak menceraikan isteri-isteri baginda. Kemudian turunlah ayat: وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ ألْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَي الرَّسُولِ وإِلَي أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ Yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, lalu mereka menyiarkannya dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul serta pemimpin di kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya akan dapat mengetahuinya dari mereka iaitu Rasul dan Ulul Amri. Aku adalah termasuk orang-orang yang ingin mengetahui. Maka Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung menurunkan ayat takhyir.

No comments:

Post a Comment