Search This Blog

Pages

July 5, 2011

Rukun rukun Islam Dan Tuntutannya Yang Agung

Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Islam ditegakkan di atas lima perkara iaitu mengesakan Allah, mendirikan 
sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan Haji.

July 4, 2011

Keterangan Tentang Iman, Islam Dan Ihsan

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan. Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam? Baginda bersabda: Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan perkara lain, mendirikan 
sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bilakah Hari Kiamat akan berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan majikannya maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya penggembala kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 



إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا 


تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ 


اللَّهَ عَلِيْمٌ خَبِيرٌ 




Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya. Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ. Rasulullah s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati lelaki tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah Jibril a.s. Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka.

July 3, 2011

Selamatkanlah diri kamu dari Neraka

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Ketika turunnya ayat Al-Quran surah As-Syura, ayat 214



 وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ


Yang bermaksud: Berilah peringatan berbentuk ancaman kepada kaum kerabatmu yang terdekat. Rasulullah s.a.w telah menyeru kaum Quraisy lalu mereka semua berkumpul. Rasulullah s.a.w telah berbicara secara umum dan secara khusus. Baginda bersabda lagi: Wahai Bani Kaab bin Luaiy. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Murrah bin Kaab. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Syams. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Manaf. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Hasyim. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Bani Abdul Muttalib. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Wahai Fatimah. Selamatkanlah diri kamu dari Neraka. Sesungguhnya aku tidak boleh menolak sebarang seksaan Allah kepada kamu, maka janganlah merasa selamat dari azab Allah dengan sebab mempunyai hubungan kerabat denganku melainkan kamu menjalinkan hubungan silaturahim iaitu Islam. Tentu aku akan menguatkan hubungan itu dengan hubungan yang kuat iaitu ihsan.

July 2, 2011

Allah Tidak Akan Berkata kata Kepada Tiga Golongan Manusia Pada Hari Kiamat, Tidak Membersihkan Mereka Dari Dosa Dan Mereka Akan Diazab Dengan Azab Seksa Yang Pedih

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Tidak Akan Berkata-kata Kepada Tiga Golongan Manusia pada Hari Kiamat, tidak membersihkan mereka dari dosa dan mereka akan di
azab dengan azab seksa yang pedih. Mereka itu ialah seseorang yang mempunyai lebihan air di Padang Sahara tetapi dia enggan memberikan air tersebut kepada musafir yang memerlukan. Seseorang yang menjual barang dagangan selepas waktu Asar dan dia bersumpah dengan nama Allah iaitu sumpah bohong bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga sekian, sekian menyebabkan pembeli mempercayainya sedangkan dia membelinya bukan dengan harga tersebut. Seseorang yang berikrar setia kepada seorang pemimpin kerana tujuan keduniaan, sekiranya pemimpin berkenaan memenuhi permintaannya dia tetap setia dan jika tidak dia berpaling tadah.

July 1, 2011

June 30, 2011

Haram Membunuh Orang Kafir Yang Telah Mengucap Kalimah Syahadat Iaitu لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّ

Hadis Usamah bin Zaid r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah mengutuskan kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Al-Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah pada waktu pagi. Aku berjumpa seorang lelaki, lelaki tersebut menyebut لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ lalu aku menikamnya. Aku menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah. Rasulullah bertanya dengan sabdanya: Adakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan kalimah syahadat لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya lelaki itu mengucap demikian keranatakutkan hayunan pedang. Rasulullah bertanya lagi: Sudahkah engkau membelah dadanya sehingga kamu tahu dia benar-benar mengucapkan Kalimah Syahadat atau tidak? Rasulullah mengulangi soalan itu kepadaku menyebabkan aku bercita-cita untuk menyerah diri pada ketika itu juga. Usamah menceritakan lagi, Saad telah berkata: Demi Allah, aku tidak akan membunuh seorang muslim sehinggalah ianya telah dilakukan oleh orang yang mempunyai perut yang kecil, iaitu Usamah. Usamah berkata lagi, seorang lelaki telah bertanya: Tidakkah Allah telah berfirman وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ Yang bermaksud: Dan Perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah serta jadikanlah agama itu semata-mata kerana Allah. Maka Saad menjawab: Sesungguhnya kami memerangi mereka supaya tidak berlaku fitnah, tetapi kamu dan para sahabat kamu memerangi mereka, untuk menimbulkan fitnah.

June 29, 2011

SENYUM DAN KEINDAHAN PERGAULAN



Dari 'Abdullah bin 'Amr r.a., katanya Rasulullah Sallallohu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya orang-orang pilihan di antara kamu ialah yang paling indah budi pekertinya."

[HR. Imam Muslim]

Sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah

 Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan,

"Sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama), setiap perkara yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap yang bid’ah adalah sesat." (Hadis riwayat Muslim, 4/359, no. 1435)

June 28, 2011

Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga

Hadis Anas bin Malik r.a:
Ketika Muaz bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Muaz menyahut: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ nescaya terselamatlah dia dari api Neraka. Kemudian Muaz berkata: Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah.

Ancaman Terhadap Perbuatan Mendustakan Rasulullah s.a.w)

Hadis Ali r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu cuba mendustakan aku kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan ke dalam api Neraka.